Perniagaan yang anda tak tahu

By | 18/03/2013

Dunia kini saling berkait rapat antara satu dengan yang lain. Banyak aktiviti impot dan ekspot berlaku antara berbagai negara yang ada di dunia ini.

Antara barang yang paling kerap berlaku pertukaran adalah dalam industri pertanian. Banyak negara yang menggunakan kelebihan industri pertanian di tempatnya untuk menjana pendapatan dengan menjual ke negara lain.

Selain dari hasil tani, hasil perhutanan juga merupakan sumber pendapatan yang tinggi bagi negara yang kaya dengan tumbuhan hutan. Dari situ muncullah industri perabut, industri pallet dan lain-lain. Barang hasil kayu ini menjana sumber pendapatan sesebuah negara apabila ianya diekspot keluar.

Pallet hampir wajib digunakan dalam keseluruhan aktiviti import dan eksport. Ia merupakan bahan hampir wajib dalam industri logistik. Berjuta-juta pallet dari negara kita berterbangan keluar masuk dari satu negara ke negara lain di seluruh dunia.

Apabila bahan-bahan pertanian bergerak dari satu negara ke satu negara lain, ia bukan saja membawa bahan atau hasil pertanian itu, ia juga membawa bersamanya serangga perosak yang terselit di dalam atau dicelah hasil pertanian yang dieksport itu.

Keadaan ini menakutkan semua negara-negara di dunia. Kemasukan serangga perosak yang tidak terkawal boleh memusnahkan hutan dan juga industri pertanian negara yang menerimanya.

Untuk menghalang segala masalah itu, seluruh dunia telah menetapkan pada setiap negara yang mahu mengekspot barangan pertanian atau perhutanan agar tidak membawa bersama sebarang serangga pemusnah pertanian atau pemusnah hutan.

Untuk itu segala produk yang mahu masuk ke sesebuah negara lain perlu menunjukkan sijil ‘Bebas serangga perosak’ pada pihak berkuasa kastam sebelum dibenarkan untuk masuk. Di sinilah satu peluang perniagaan terbentuk yang ramai orang tak tahu.

Bagaimana saya merebut peluang perniagaan ini
Pada tahun awal saya berniaga, saya ada mendengar tentang perkhidmatan menghapuskan serangga perosak dalam industri logistik ini daripada rakan-rakan sesama industri. Tapi tidak banyak syarikat kawalan serangga perosak yang melibatkan diri mereka di dalamnya. Ia di namakan perkhidmatan ‘Fumigasi’

Sebagai syarikat dan orang baru dalam industri ini, saya lihat ianya satu kelebihan untuk saya bersaing dengan mereka yang sudah lama. Jika mereka yang sudah lama masih tidak berupaya menyediakan perkhidmatan tersebut, maka sudah tentu ianya adalah sesuatu yang remeh atau sukar.

Saya mesti cari jalan untuk menyediakan khidmat ini walau bagaimana sukar sekalipun agar ia dapat membantu melonjakkan sayarikat saya sebaris atau lebih baik dari mereka yang sudah lama. Apa yang saya buat adalah:

  • Cari maklumat sebanyak mungkin daripada pesaing, seminar, Jabatan Pertanian, persatuan dan lain-lain. Dari sini saya dapat tahu ia adalah satu perkhidmatan yang memerlukan lesen. Untuk mendapatkan lesen kita perlu terlatih dan akan diuji dengan ujian praktikal, bertulis dan lisan.
  • Cari di mana boleh saya dapatkan latihan untuk melakukan kerja fumigasi. Saya mula mencari individu yang boleh memberikan khidmat latihan pada saya berkenaan industri fumigasi. Akhirnya saya dapat seorang guru bekas pegawai pertanian. Saya membayar RM3 ribu untuk itu.
  • Mencari syarikat yang sudah berlesen dan menjalankan kerja-kerja fumigasi. Saya bertemu dengan satu syarikat yang cukup berpengalaman dengan kerja fumigasi ini. Mereka beroperasi sejak tahun 1975 lagi. Saya cari jalan untuk berbaik-baik dengan taukehnya.
  • Memahami industri dan mencari peluang. Dari latihan, saya dapat mengenal pasti siapa bakal pelanggan. Sebenarnya, saya bukan ambil latihan untuk dapatkan lesen, sebaliknya untuk membolehkan saya faham industri dan membuat jualan bagi menawarkan khidmat tersebut pada pelanggan.
Diringkas cerita akhirnya saya mempunyai kelengkapan untuk menjalankan perniagaan khidmat fumigasi walaupun saya tidak ada lesen dan tidak ada kemahiran untuk menjalan kerja-kerja tersebut.
Saya berjaya mendapatkan kontrak dari pembekal pallets untuk menjalankan kerja-kerja fumigasi pada palletnya dan mendapatkan sijil bebas serangga perosak untuk diekspot. Semua itu berjaya dilakukan walaupun syarikat saya tiada pekerja dan tiada lesen fumigasi!
Semua kerja saya dilakukan oleh syarikat yang cukup berpengalaman dengan tenaga kerja yang cukup terlatih dan berlesen. Ia boleh dilakukan kerana saya sudah kenal rapat dengan syarikat tersebut dan taukehnya.
Kini. syarikat saya merupakan salah satu daripada pembekal perkhidmatan kerja fumigasi yang diiktiraf. Kami sendiri mengeluarkan lesen bebas serangga perosak pada setiap produk yang mahu diekspot dan sijil syarikat saya diiktiraf di seluruh dunia di semua negara.
Hasil daripada perniagaan fumigasi ini boleh menjana di antara setengah juta ke satu juta setahun. Cukuplah untuk membolehkan saya membeli keperluan susu anak-anak di rumah.
Pengajaran
  • Banyak perniagaan yang kita tidak tahu tapi telah lama dijalankan oleh usahawan-usahawan secara diam dan tidak glamour. Sebagai contoh, industri fumigasi sudah beroperasi di negara kita sejak tahun 1947 lagi! Cubalah cari perniagaan seperti itu jika anda berminat dunia yang tak glamour.
  • Biasanya industri sebegitu banyak kekangan dan keperluan yang ketat dikenakan oleh pihak berkuasa. Tapi itu merupakan satu kelebihan bagi mereka yang degil dan tabah. Jika anda sering dilabel sebagai degil oleh ibubapa dan guru sejak kecil, anda sesuai untuk industri sebegitu.
  • Semakin sukar sesuatu kerja itu, semakin perlu kepada jaringan yang luas. Berkawanlah dengan para pesaing dan tunjukkan keikhlasan anda. Biasanya mereka amat alu-alukan jika anda berupaya memberikan pekerjaan pada syarikat mereka.
  • Ambil masa untuk membina keupayaan sendiri. Bentuk kumpulan sendiri perlahan-lahan dan tetap jalinkan kerjasama dengan syarikat yang anda gunakan sebelum itu walaupun anda sudah mampu berdikari.
  • Tidak ada alasan untuk memulakan perniagaan walaupun anda tiada kemahiran, tiada pekerja dan banyak kekurangan berbanding pesaing. Jika ada kemahuan, pasti ada jalan.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

9 thoughts on “Perniagaan yang anda tak tahu

  1. Mohd Fazli Bahar

    Salam, saya berkecimpung didalam bidang logistik sudah lebih 7 tahun. Saya juga selalu menggunakan khidmat fumigasi untuk barang2 yang kebiasaaannya di eksport. Memang berminat untuk membuat perniagaan fumigasi ini, boleh Tuan tunjuk ajar?

    Fazli
    0173601803

    Reply
  2. Tukang Kasut

    Tkasih atas perkongsian. Saya mesti follow blog ini!

    Reply
  3. sepol

    lagi perkongsian menarik dari tuan… moga semakin dimurahkan rezki oleh allah swt.

    Reply
  4. Anonymous

    Hebat tuan..
    Banyak saya kena belajar dari tuan.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge