Petai habis, jual kain pulak – Cerita sedih

By | 28/12/2012

Sambungan dari cerita ini…

Setelah musim petai habis, saya memikirkan idea nak jual apa pulak di pasar malam. Rasa seronok berniaga di pasar malam membuatkan saya rasa ketagih pulak.

Sebelum itu saya ada menjual Baju Kelawar secara sambilan dengan cara ‘direct selling’. Baju kelawar dari Terengganu yang saya jual ketika itu mendapat sambutan yang baik. Agen saya yang mempromosikan baju kelawar adalah adik perempuan saya sendiri.

Mungkin atas faktor jual baju kelawar itu membuatkan saya terfikir untuk menjual barangan dari pantai timur di pasar malam. Tanpa berlengah saya mula mendapatkan berkotak-kotak kain pelikat, kain batik dan baju kelawar dari Kelantan dan Terengganu.

Dengan pertolongan seorang kawan saya berjaya mendapatkan tempat tetap di pasar malam Tasek Gelugor dengan menumpang sedikit daripada ruang kepunyaan orang. Maka bermulalah satu pengalaman menjual kain di pasar malam sambil ditemani oleh seorang kawan.

Minggu pertama, tiada sehelai kain pun yang terjual, saya pujuk diri sendiri agar bersabar. Minggu kedua juga begitu. Minggu ketiga juga elek!. Apa yang habis adalah buku-buku yang saya bawa sebagai teman menghilangkan rasa bosan nganga melihat orang lalu lalang.

Kawan saya dah mula rasa perniagaan yang kami buat itu tidak perlu diteruskan. Saya bersetuju dengannya tapi mencadangkan agar ia diteruskan lagi seminggu. Minggu ke empat kami berjaya menjual sehelai kain pelikat.

Orang yang membeli kain pelikat tersebut adalah pakcik yang berniaga bersebelahan dengan kami. Saya amat yakin dia membelinya sebab kesian dengan perniagaan kami yang terlalu muram. Kami berterima kasih padanya dan bersalaman sebagai tanda perpisahan. Itu merupakan jualan yang pertama dan terakhir kami di pasar malam!.

Kesemua bungkusan kain yang saya ada saya bawa pulang dan hadiahkan pada ibu saya. Saya berikan pada ibu sambil berkata, “nah!, Mak ambillah semua kain batik dan kain pelikat serta lain-lain untuk mak. Mak boleh salin kain baru setiap satu jam sekali…semuanya untuk Mak”.

Mak yang terkejut hanya menggelengkan kepala dan tersenyum kesian dengan apa yang saya lalui. Itulah pengalaman paling sedih dalam hidup saya sepanjang berniaga mencari seringgit dua buat menyara kehidupan. Pahit ketika melaluinya tetapi manis apabila dikenangkan semula sekarang.

Pengalaman tersebut membuatkan saya berpaling untuk mencari perniagaan lain yang tidak melibatkan pasar malam. Puas berfikir mencari produk untuk diniagakan tapi tak jumpa. Satu hari saya teringatkan kawan yang sama belajar di Perancis dulu.

Kawan saya itu anak kepada seorang yang bergelar datuk. Ayahnya itu merupakan seorang Businessman, jadi saya terfikir tentu dia ada sesuatu untuk saya. Tanpa berlengah saya menelefonnya bertanyakan berita…aha! ada berita baik! saya temui apa yang dicari…bersambung

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge