start niagaMark Cuban dilahirkan pada tahun 1958, awal 10 tahun daripada tahun saya dilahirkan. Tujuan menulis pasal petua mula niaga Mark Cuban dan dibandingkan pula dengan apa yang saya lalui masa mula niaga dulu bukan nak buat bandingan dari segi individu.

Sebaliknya hanya untuk membandingkan konsep atau idea yang diutarakan oleh usahawan Amerika yang berjaya itu dalam memulakan perniagaan.

Bagi orang yang dah mula berniaga dan berjaya melepasi segala halangan untuk terus naik ke atas, biasanya akan mengamalkan petua-petua yang hampir serupa. Tak kira tahap mana perniagaan yang dimulakan, jenis apa perniagaan yang nak dijalankan dan sampai ke tahap mana perniagaannya berjaya naik.

Kita tak perlu jadi Mark Cuban, tak perlu jadi Syed Mokhar atau Ananda Krishnan, atau cuba nak jadi Jack Ma. Mereka cipta sejarah dan perjalanan hidup dengan cara mereka sendiri.

Oleh itu perkara pertama yang mesti kita ikut adalah dengan sentiasa mencari jalan untuk berjaya dengan mencipta sejarah dan perjalanan hidup kita yang tersendiri.

Jika kita tenung dan belajar segala pengalaman yang telah mereka lalui, tujuannya hanyalah untuk melihat konsepnya sahaja. Manalah tahu kalau-kalau konsep yang sama boleh diaplikasikan dalam mengharungi perjalanan hidup kita.

Berjaya jadi jutawan pantas cara barat

Ramai usahawan dari Barat yang berjaya pantas sampai ke peringkat Billionaire mengecapi kejayaan mereka itu dari industri yang melibatkan teknologi komunikasi atau teknlogi yang ada kaitan dengan internet.

Macam Tony Hseih yang naik jadi kaya raya apabila syarikatnya dibeli oleh syarikat gergasi, Mark Cuban juga menempa keuntungan dengan cara yang sama.

Tony Hsieh kaya dua kali hasil daripada penjualan syarikatnya pada syarikat lain yang lebih besar. Jualan pertama menjadikannya jutawan, dan jualan kali kedua pula, iaitu Zappos.com menjadikannya Billionaire. Nak tahu lebih lanjut sila baca bukunya Zappos.com.

Mark Cuban mula jadi kaya atau jutawan ketika umurnya 32 tahun apabila syarikatnya MicroSolution dibeli oleh syarikat CompuServe. Dia buat keuntungan bersih USD2 juta hasil dari jualan tersebut.

Kemudian Mark Cuban terus jadi Billionaire ketika umurnya 41 tahun apabila syarikatnya Broadcast.com dibeli oleh Yahoo.

Nampak tak ? jalan ceritanya hampir sama. Buat syarikat, jayakan syarikat itu dan akhirnya keluar dari syarikat dengan menjualnya pada syarikat gergasi yang berminat.

Begitulah modus operandi para usahawan di barat sana. Mereka biasanya merangka perniagaan agar ianya berpotensi untuk diambil alih oleh syarikat gergasi yang perlu melebarkan kawalan dan kemasukan pasaran mereka.

Cara mudah untuk syarikat besar terus berkembang dan relevan adalah dengan mengambil alih syarikat-syarikat lebih kecil lain yang relevan dengan hala tuju mereka.

Saya tak pasti samada modus operandi yang sama boleh diguna pakai untuk usahawan kita di Malaysia. Kita boleh cuba fikirkan samada syarikat yang kita ada sekarang, ada nilai untuk syarikat-syarikat besar gergasi di sini.

Antara syarikat besar di negara kita, yang disenaraikan di bursa saham yang mengamalkan strategi yang sama dengan membeli dan mengambil alih syarikat kecil lain untuk perkembangan perniagaan mereka adalah seperti J Corp Berhad di Johor.

Boleh lihat contohnya dalam perkembangan perniagaan Kumpulan Hospital KPJ. J Corp juga amat aktif mengambil alih syarikat-syarikat kecil dalam berbagai industri di seluruh Malaysia terutamanya di KL dan Johor.

Saya ada juga hasrat untuk buat begitu. Bina syarikat, jayakannya sampai bernilai dan tunggu kalau-kalau ada syarikat besar yang teringin nak beli.

Dengan adanya hala tuju sedemikian, sekurang-kurangnya kita akan berusaha untuk pastikan syarikat yang dibina sentiasa punyai nilai yang meningkat dari tahun ke tahun dan menarik untuk dimiliki oleh syarikat besar.

Ok lah ! macam biasa, saya mudah melencong mengoreng berbagai perkara sampai tersasar dari tajuk asal artikel yang nak ditulis.

Harap pembaca tak marah !. Lagipun itulah gaya penulisan saya yang rasanya membuatkan tulisan jadi lebih menarik. Tak gitu ? (Syok sendiri !)

Petua mula niaga Mark Cuban dan pengalaman saya

Kita kembali semula ke tajuk asal. Ada 10 petua mula niaga Mark Cuban yang menarik untuk kita lihat dan cuba amalkannya, khasnya untuk yang baru nak mula berniaga.

Berikut saya senaraikannya di bawah berserta dengan ulasan samada saya ada buat perkara yang sama atau tidak masa mula niaga dulu.

  1. Jangan mula berniaga selain dari perniagaan yang anda ‘betul-betul gila’ nak buat. Ini petua Mark Cuban yang pertama.
    • Bukan Mark Cuban saja yang berikan nasihat sebegini, malah ramai lagi usahawan lain yang berjaya di peringkat tinggi macam Bill Gates, Warren Buffet, Steve Job dan lain-lain.
    • Dari segi logiknya memang ada, tapi malangnya itu adalah sesuatu yang sukar untuk dicapai oleh kebanyakan orang. Saya juga salah seorang yang memang tak ada kegilaan yang tinggi untuk membuat perniagaan yang saya buat masa mula-mula dulu.
    • Saya cuma betul-betul gila nak jadi usahawan sahaja, tapi jenis perniagaan yang saya pilih adalah berdasarkan apa yang saya ‘boleh buat’ ketika itu dan bukannya apa yang benar-benar saya nak buat.
    • Cuma selepas berjaya sara hidup dengan jalan jadi usahawan, maka barulah saya mula terfikirkan satu perniagaan yang benar-benar saya suka buat. Itulah yang terkini sekali saya tubuhkan. Iaitu perniagaan membantu pulihkan perniagaan orang lain.
    • Minat membantu usahawan pulihkan atau buat transformasi pada perniagaan orang memang saya dah lakukan sejak zaman awal saya mula berniaga lagi. Saya mulakan dengan membantu syarikat dan perniagaan kawan-kawan yang bermasalah.
    • Cuma pada tahun 2014 sahaja saya serius dengan perniagaan itu apabila saya tubuhkan syarikat khas untuk aktiviti business coaching.
    • Jadi kalau nak ikut petua saya, mulakan terlebih dahulu dengan jadi usahawan. Buatlah perniagaan yang anda mampu buat, jayakannya dan bila dah stabil baru fikirkan pula perniagaan yang anda benar-benar nak buat.
  2. Kalau ada ‘exit strategy’ ertinya anda tak berapa minat dengan perniagaan itu.
    • Petua ini merujuk semula pada petua pertama tadi. Memang betulpun begitu. Sudah tentu perniagaan itu anda tak minat jka dari awal dah mula rangka macam mana nak keluar dari syarikat yang anda baru mulakan. Contoh exit strategy adalah dengan menjual syarikat yang anda bina pada orang lain atau syarikat yang besar.
    • Jika dilihat dari perjalanan Mark Cuban, dia jadi kaya raya apabila dia jual syarikatnya. Tapi dia nasihat jangan ada exit strategi. Mungkin memang betul dia tak pernah berniat nak bina syarikat dan jual, cuma dia jual sebab ada peluang atau tawaran yang datang.
    • Jika begitu, maka apa salahnya jika kita bina syarikat supaya ia ada nilai tinggi dan nilai tambah pada syarikat besar yang memungkinkan mereka berminat nak beli syarikat kita ?
    • Petua Mark Cuban yang pertama dan kedua ini agak berlawanan sedikit daripada cara saya. Anda nilaikanlah sendiri macam mana pula pendirian anda.
  3. Rekrut pekerja yang anda rasa akan suka berkerja di syarikat yang anda bina.
    • Ini memang petua yang amat berguna dan perlu diamalkan. Saya memang sentiasa tekan perkara ini dalam syarikat-syarikat yang saya ada.
    • Untuk itu saya sentiasa fikirkan kebaikan jangka panjang untuk semua pekerja yang saya rekrut. Jika mereka hanya pentingkan kebaikan jangka pendek, saya nasihatkan agar mereka belah cari kerja lain secepat mungkin.
    • Biasanya saya cenderung untuk merangka cara kerja yang fleksibel yang pekerja-pekerja saya rasa selesa. Saya lebih berorientasikan keputusan atau matlamat akhir. Cara bagaimana nak laksanakannya terpulang pada kreativiti masing-masing. Jika mereka perlukan cadangan atau nasihat, saya akan berikan. Tapi itu bukanlah satu arahan.
  4. Hasil jualan adalah segala-galanya. Pastikan syarikat cekap buat duit dan pastikan juga cekap untuk menjual.
    • Petua ini amat tepat dan wajib ada pada semua usahawan yang mahu perniagaan mereka terus kekal.
    • Jangan cari alasan untuk mengelak dari mencipta jualan. Carilah jalan bagaimana nak jual apa yang syarikat ada supaya syarikat boleh terus hidup. Jangan lawan harga sebab itu akan membunuh keuntungan syarikat.
    • Untuk itu perlu ada strategi, perlu ada perancangan, perlu ada unjuran, perlu ada kajian dan sentiasa pantau hasil jualan dan keuntungan.
    • Dari mula saya berniaga terutamnya masa awal dulu, saya akan sentiasa memerah otak mencari idea macam mana lagi nak tingkatkan jualan. Saya akan curi salesman yang baik dari syarikat lain dan apa saja yang boleh dan tidak salah dari segi undang-undang untuk mencipta jualan.
  5. Beri perhatian lebih pada perkara yang anda amat cekap. Tumpukan sepenuh usaha untuk perkara tersebut.
    • Petua ini juga saya amalkan sejak awal berniaga terutamanya selepas mengharungi satu tahun pertama.
    • Saya banyak gunakan prinsip pareto untuk kenal pasti kecekapan utama keseluruhan syarikat saya terutamanya dengan mengenal pasti demografik pelanggan utama saya.
    • Untuk urusan yang saya lemah terhadapnya, samada saya outsource atau tak buat lansung. Segala urusan pembaikan lebih banyak tertumpu pada kecekapan utama samada dari segi kewangan mahupun masa serta sumber-sumber lain.
  6. Keluar makan dan minum bersama terutamanya makan tengahari dan berbincang pasal bisnes.
    • Ini juga satu amalan yang memang saya tekankan terutamanya ketika awal memulakan perniagaan. Saya akan lakukan sekerap mungkin untuk keluar makan bersama staff dan berbincang, berikan motivasi, berikan maklumat dan dapatkan pandangan dari semua staff dan rakan niaga.
    • Bagi saya ada dua jenis mesyuarat yang usahawan perlu buat dengan semua staff. Pertamanya mesyuarat formal yang pendek, jelas dan padat. Keduanya adalah mesyuarat atau perjumpaan tidak formal di kedai-kedai makan.
  7. Tak perlu pejabat. Amalkan konsep terbuka macam pejabat orang jepun.
    • Samada secara sengaja atau tidak memang ini saya amalkan. Pertamanya sebab masa mula niaga tak ada duit nak buat ubah suai pejabat. Jadi apa yang ada hanya meja buat kerja dan pejabat satu lantai dan satu bumbung. Hanya toilet saja yang ada dinding.
    • Masa awal berniaga dulu semuanya terbuka. Tiada rahsia. Biar mudah bincang dan mudah tengok muka masing-masing. Jika orang yang kita nak rekrut masuk tengok keadaan pejabat yang terbuka macam itu dan dia rasa tak selesa, memang orang sebegitu tak sesuai dengan kerja di syarikat yang baru ak menapak.
  8. Gunakan teknologi yang anda tahu
    • Tak perlulah nak laburkan pada teknologi hebat yang anda tak ada dan tak tahu gunakannya. Memag teknologi direka untuk mencepatkan kerja, tapi kalau baru nak mula gunakan saja apa yang ada.
    • Masa mula dulu saya buat semua urusan akaun, perancangan dan segala-galanya dengan microsoft excel saja. Tak perlu pakai sistem akaun mahal dan sebagainya. Jimatkan wang yang memang tak ada pun.
  9. Biarkan organisasi secara mendatar.
    • Bagi Mark Cuban, tak perlu ada hiraki siapa report pada siapa dalam awal perniagaan. Bagi beliau ini akan mencipta politik dalam syarikat.
    • Tapi masa saya mula niaga dulu memang tetap ada carta organisasi dari segi jawapan dan tugasan kerja saja. Namun dari segi komunikasi tak ada dinding yang memisahkan antara boss dengan orang bawah. Juga tak ada dinding antara rakan niaga.
    • Cuma bila pekerja dah bertambah, terpaksa juga ada tingkatan organisasi dan pembahagian tugasan, tapi tetap tak ada halangan atau birokrasi dari segi komunikasi.
  10. Bagi pekerja seronok dengan kerja.
    • Ini memang saya sentiasa cuba nak buat. Saya sering ingatkan pada semua pekerja jika setiap hari isnin mereka rasa senak perut nak datang kerja, maka ada yang tak kena dengan syarikat.
    • Saya sentiasa galakkan semua berikan idea macam mana nak jadikan pekerjaan seronok dan mereka rasa relaks dan suka nak datang kerja.
    • Tapi memang susah nak adakan suasana di mana semua pekerja seronok dan suka datang kerja tambahan pula bila syarikat ada masalah kewangan. Itu adalah satu cabaran yang amat besar buat usahawan macam saya.

Sebenarnya ada 12 petua Mark Cuban yang saya ambil dari sini. Anda boleh pergi ke link itu kalau nak baca artikel asalnya. Saya hanya pilih 10 saja untuk renungan pembaca semua yang ada hasrat nak mulakan perniagaan. Moga ada manfaatnya.

Total
15
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge