petua niaga pengasas al-ikhsanRasanya dah ramai orang kongsikan rahsia kejayaan pengasas Al-Ikhsan, Ali Hassan yang punya rangkaian kedai sukan terbesar di negara kita.

Dalam surat khabar, dalam media alternatif dan merata tempat lagi. Cerita tentang kejayaannya menjadi buah mulut orang ramai.

Sayapun dah baca dan dengar kawan-kawan kongsikan bagaimana saudara Ali Hassan Mohd Hassan dari tak ada apa-apa sampai ke tahap yang dia ada sekarang.

Baru-baru ini, saya diberikan rezki untuk mendengar sendiri dari mulut beliau bagaimana dia memulakan perniagaannya dari awal dahulu sehinggalah sekarang.

Sekarang, saya pulak nak kongsikan apa yang saya belajar dari ceritanya dalam melayari dunia keusahawanan.

Petua niaga pengasas Al-Ikhsan

Dalam kisah yang pengasas Al-Ikhsan kongsikan, saya nampak beberapa perkara yang menonjol yang beliau sampaikan.

Petua yang dia guna pakai itu memang amat seiring dengan konsep asas yang perlu ada untuk menjadikan perniagaan berjaya.

Paling asas, saudara Ali Hassan membina perniagaan yang ada kena mengena dengan aktiviti kegemarannya, iaitu sukan. Ketika zaman belajar dulu dia gemar bermain bolasepak.

Bila main bolasepak sudah tentu dia perlu beli kasut bola dan lain-lain peralatan yang diperlukan dalam sukan bolasepak. Pengalamannya membeli kasut bolasepak itulah yang mencetuskan idea untuk dia menjalankan perniagaan menjual peralatan sukan.

Tunggu sejam untuk dapat diskaun

Dia ada cerita bagaimana dia terpaksa tunggu lebih kurang sejam untuk mendapatkan diskaun bila dia nak beli kasut bola.

Walaupun tunggu sejam, diskaun yang dia dapat amat sedikit sekali. Dia rasa amat kecewa.

Tapi nak buat macam mana, tak banyak kedai sukan yang ada kat Skudai ketika itu dan dia tak punya banyak pilihan. Dibelinya kasut itu dan bermula satu dorongan untuk buka kedai sukan sendiri satu hari nanti untuk lawan kedai yang kedekut diskaun itu.

Ini satu perkara yang jarang orang perhatikan dalam urusan seharian kita membeli barang keperluan.

Berapa kali anda rasa kecewa ketika membeli barang atau mendapatkan perkhidmatan dari kedai atau mana-mana syarikat perniagaan dari zaman dulu hingga sekarang.

Bila kecewa, biasanya ramai akan lepaskan rasa kecewa tersebut dengan sumpah seranah atau merajuk tak mahu berurusan lagi dengan kedai atau syarikat perniagaan tersebut.

Kecewa membeli petanda adanya ruang berniaga

Jika anda peka, itu sebenarnya satu peluang untuk masuk buat perniagaan yang sama dan selesaikan kekecewaan anda itu.

Jika anda kecewa, berkemungkinan besar ada ramai lagi orang yang turut sama kecewa. Ertinya ada ruang untuk menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang ditawarkan sekarang. Sudah tentu ada permintaan jika anda mampu selesaikan masalah itu.

Persoalannya berapa ramai orang yang terjemahkan pengalaman kecewanya dalam bentuk peluang untuk berniaga?

Itu yang membuatkan pengasas Al-Ikhsan berbeza dari ratusan ribu rakyat Malaysia lain. Bayangkan berapa ramai lagi rakyat Malaysia yang minat bersukan dan ada pengalaman beli alat sukan. Berapa ramai yang pernah kecewa ketika beli peralatan dan keperluan sukan?

Apa yang orang lain buat bila timbul rasa kecewa itu?

Saya juga main bolasepak.

Tapi malangnya tak ada pengalaman beli barang sukan dari kedai sukan sebab hanya mampu gunakan barang dari abang-abang saja. Mungkin sebab itu tak terlintas untuk buka kedai sukan.

Anda pula macam mana?

Buat part time sara pengajian

Ketika belajar kat Skudai, pangasas Al-Ikhsan terpaksa buat kerja part time untuk menyara yuran pengajiannya. Ini disebabkan dia bukan datang dari kalangan keluarga berada dan terpaksa cari duit sendiri.

Ini menunjukkan Ali Hassan merupakan seorang yang berdikari.

Dia tak akan salahkan perkara luaran yang diluar kawalannya. Apa yang dia buat adalah berusaha melakukan sesuatau yang dia sendiri boleh buat tanpa mengharapkan orang lain dan menyalahkan persekitaran dan orang lain.

Beliau ada sikap mampu bertindak sendiri dalam mencapai matlamatnya tanpa perlu diketuk oleh orang lain. Sebab itu dia berjaya sampai ke tempat yang dia ada sekarang.

Semua orang yang berjaya baik dalam kerjaya makan gaji atau berniaga ada sikap yang amat penting ini. Mampu bergerak sendiri tak payah tunggu diketuk.

Bukan hanya urusan yang anda suka.

Jika urusan yang anda suka memang tak payah tunggu orang ketuk untuk anda bangun laksanakannya. Tapi juga terhadap urusan yang anda tak suka, malah itulah yang membezakan antara orang berjaya dengan orang gagal.

Samada suka atau tidak suka, orang berjaya akan pastikan urusan tersebut dilaksanakannya sampai habis dan tidak mengharapkan bantuan orang lain untuk memaksanya bangun dan buat.

Anda bagaimana? jenis kena ketuk baru nak jalan ke?

Sediakan apa yang orang mahu

Bila Ali Hassan mula berniaga, dia sentiasa mencari idea bagaimana nak pastikan orang akan datang ke dikedainya. Untuk itu dia perlu pastikan apa yang orang cari ada di kedainya dan tak ada di kedai pesaing.

Masa zaman dia mula berniaga dahulu, dia perhatikan adanya segelintir peminat pasukan Manchester United yang pakai baju pasukan kegemaran mereka itu. Tapi baju pasukan MU itu tak ada di mana-mana kedai kat Johor ketika itu.

Bila dia selidik, orang yang pakai baju tersebut biasanya pernah ke UK atau punya kenalan yang pernah ke sana. Kalau nak cari dan beli kat Malaysia pasti tak dapat.

Maka dia berusaha untuk bawa pakaian tersebut ke kedainya.

Apa lagi! berduyunlah para peminat MU datang ke kedainya untuk dapatkan baju pasukan kegemaran mereka. Itu melonjakkan populariti kedai sukannya ketika itu sebab ada jual barang yang tak ada di tempat lain.

Begitulah sikap Ali Hassan dalam membina perniagaannya itu.

Dia sentiasa mencari barang yang pelanggan mahu dan tawarkan barang tersebut dari kedai sukannya. Hinga ke satu tahap, kedainya bukan saja didatangi oleh peminat barang sukan dari Johor, malah ada juga yang datang jauh dari KL semata-mata untuk beli barang yang hanya ada kat kedai sukan Al-Ikhsan.

Biar perniagaan membesar secara organik

Menurut pengasas Al-Ikhsan, dia tak pernah merancang untuk ada sampai 180 cawangan kedai sukan di seluruh Malaysia.

Ketika zaman awalnya, dia hanya mahu buka kedai sukannya sendiri di Johor dan cukuplah dengan itu. Dia dah mampu sara kehidupannya dengan pendapatan yang dijana dari perniagaan tersebut.

Setelah beberapa lama berniaga, ramai pelanggan yang terpaksa datang dari jauh merungut. Mereka minta Ali Hassan pergi buka ke KL pula. Bila dah ramai yang luahkan maslaah yang sama, maka Ali Hassan terpaksa akur dengan permintaan tersebut.

Diapun datang ke KL dan membuka cawangannya di Bukit Bintang.

Semua keperluan modal adalah dari perniagaannya sendiri. Dia tidak mahu tergesa-gesa membesar dengan berhutang ketika itu. Biarlah semua berlaku secara aman damai dan bukan secara paksaan.

Sambutan yang sama yang amat menggalakkan datang ke kedai sukannya di KL pula.

Dan begitulah seterusnya dia mula membuka cawangan demi cawangan yang pada awalnya secara organik sehingga ke satu tahap bantuan kewangan dari institusi kewangan yang sendiri datang mencarinya.

Bagaimana perniagaan anda membesar sekarang. Adakah anda buka cawangan disebabkan adanya permintaan atau anda buat kerja terbalik.

Ramai juga usahawan yang buat kerja terbalik.

Dia pergi buka cawangan dan selepas dah buka baru kelam kabut membina permintaan. Silap hari bulan masa tak mencukupi dan bekalan duit dalam tempayan dah kering untuk sara bisnes yang tak untung. Akhirnya cawangan utama terpaksa sara dan silap hari bulan semuanya lingkup.

Fokus buat yang terbaik

Ini sudah pasti salah satu perkara asas dan amat penting untuk kita contohi.

Ali Hassan sentiasa istiqamah dengan kerja yang dilakukannya. Bukan saja istiqamah, malah dia sentiasa berusaha untuk buat kerjanya itu dengan cara yang paling baik semampu mungkin.

Dari ceritanya, saya boleh lihat bahawa Ali Hassan jenis orang yang tak akan duduk diam melihat apa yang berlaku dan mencari sudut penting apa yang boleh dipelajarinya dari situ.

Dia juga amat tegas dan tidak berkompromi dengan apa yang dia sedang fokus. Kalau ada gangguan yang tidak seiring dengan tumpuannya, dia pantas akan kata, No!.

Dengan daya fokus tinggi yang dia ada, dia akan tumpukan pemikirannya kepada apa yang dia buat, kepada perniagaan yang dia lakukan.

Bukan habiskan masa untuk cemburu dengan kejaaan orang lain dan ada keinginan nak buat perniagaan lain pulak.

Semua usahanya dilaburkan hanya pada apa yang dia sedang buat dengan sepenuh perhatian.

Anda fokus tak?

Rumusan dari pengalaman pengasas Al-Ikhsan

Ada banyak lagi yang nak saya tuliskan berdasarkan perkongsian daripada pengasas Al Ikhsan kat sini, tapi kalau tulis kesemua ceritanya, akan jadi sebuah buku novellah pulak.

Apa yang saya kongsikan kat atas itu adalah perkara penting yang saya dan anda semua boleh ambil iktibar dari pengalaman Ali Hassan.

Sudah pasti ada banyak lagi faktor lain yang mungkin Ali Hassan sendiri tak sedar ynag membuatkan dia tak kongsikan.

Perkara kecil lain seperti siapa lingkungan rakan-rakannya, siapa mentornya atau orang yang menyuntik inspirasi kepadanya, keadaan sekeliling ketika dia mula berniaga yang membantu kelancaran bisnesnya, masa yang sesuai ketika dia masuk dan bagaimana dia mendapat rezki mengenal pasti masa tersebut dan macam-macam lagi.

Untuk tahu semua cerita sebenar itu perlu berkawan dengan Ali Hassan dan banyak luangkan masa bersama dengannya.

Peluang itu hanya boleh didapati oleh pembantu atau pekerjanya sekarang yang beliau percayai dan sering bersama dengan beliau.

Sebab itu saya tekankan pada anda yang ada keinginan nak jadi usaha supaya pergi kerja dengan usahawan yang dah berjaya terlebih dahulu untuk kenal pasti segala ilmu jalanan dari mereka. Itu anda tak akan mampu dapat walaupun masuk ke Harvard.

Saya doakan semoga Allah berikan kejayaan yang lebih tinggi kepada pengasas Al-Ikhsan samada di dunia mahupun di akhirat. Dan moga Allah merahmati beliau, ibu bapa beliau dan seluruh keluaga beliau juga para pekerja beliau yang banyak membantu.

Sekian terima kasih kerana sudi membaca.

Jika anda rasa teruja dengan artikel ini, sila tekan butang Like dan kongsikan pula dengan orang lain.

Lagi ramai orang dapat manfaat, lebih banyak pula pahala yang saya dapat dan anda yang tolong sebarkannyapun akan turut dapat manfaat yang sama.

Total
94
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

7 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge