Nak pilih perniagaan apa?

Ini satu soalan yang mencabar bagi orang yang teringin sangat nak jadi usahawan.

Tapi, kalau anda memang niat nak makan gaji sampai pencen, tak akan timbul soalan untuk pilih perniagaan. Kerja baik-baik, istiqamah menyimpan 20% daripada gaji yang dapat setiap bulan dari awal kerja sampai pencen, insyaallah, hidup anda akan tetap baik juga.

Nak buat apapun. Samada nak makan gaji sampai mati atau nak berniaga, perlukan keputusan ang muktamad dan konsisten.

Masalah timbul bila duduk antara dua keinginan. Nak makan gaji dan dalam masa yang sama nak jadi usahawan. Itu punca timbulnya segala masalah bila tua. Teragak-agak, sekejap itu sekejap ini tak membawa kebaikan untuk jangka panjang.

Orang yang kena langgar lintas jalan biasanya dia yang teragak-agak nak lintas atau tidak. Eh … eh eh.. pergi undur pergi undur… BANG! kena langgar.

Jadi anda yang sedang baca artikel ni, sila ambil perhatian. Kalau nak niaga, rancang dan nekad betul-betul. Kalau tidak, kekal saja makan gaji dan buat cara yang betul untuk selesa sampai pencen nanti.

Pilih perniagaan berdasarkan kemahiran yang ada

Minggu ini agak sibuk. Sampai tak sempat nak tulis artikel.

Saya baru balik dari utara. Buat kerja dan dalam masa yang sama tengok temasya meriah 5 tahun sekali kat negara kita.

Masa balik ke kampung tempoh hari, sempat ajak jumpa kawan-kawan yang berniaga kat sana. Sembang bab pilihan raya dan rapatkan perhubungan dengan ambil tahu perkembangan kawan-kawan.

Salah seorang yang saya jumpa adalah seorang usahawan dalam bidang selenggaraan mesin dan peralatan kilang berteknologi tinggi. Kawan saya ini adalah satu contoh baik kenapa anda perlu pilih perniagaan yang selari dengan kemahiran yang meang dah ada dalam diri.

Perniagaannya hebat sehingga mampu menjana lebih dari RM1 juta bersih setahun. Bersih tau tak. Bukan jualan. Tapi setelah ditolak semua kos operasi dan segala kos pekerja. Dia jadi jutawan senyap yang tak glamour.

Berniaga sebab terpaksa

Selepas tamat belajar di universiti, kawan saya tu kerja kilang. Dia kerja bahagian selenggaraan mesin dan peralatan kilang berpuluh tahun.

Menurutnya, sepanjang kerja makan gaji memang tak seronok lansung. Tertekan dengan suasana kerja makan gaji dalam keadaan persekitaran yang sentiasa mencabar. Pergi kerja waktu gelap subuh dan balik kerja ketika gelap Insya.

Macam itulah hari-hari demi menyara kehidupan.

Walaupun tak suka dan sentiasa mengharapkan dia kemalangan yang tak teruk sangat supaya boleh relaks sebentar rehatkan diri, dia terpaksa teruskan juga dengan kerjayanya. Dah tak ada pilihan lain.

Lagipun kawan saya itu jenis yang tak bercampur dengan orang. Dia gagal dalam bab membina jaringan. Itu menambahkan lagi masalah fikiran tak terbuka untuk mencari alternatif lain. Tak terpintas lansung nak jadi usahawan sebab dia rasa memang tak layak dengan sikapnya yang tak mesra kawan.

Tapi nak jadi cerita, kilang terakhir tempat kerjanya itu akan ditutup terus.

Oleh sebab dia jaga bahagian selenggaraan dan dipercayai oleh boss. Dia terpaksa kekal sampai ke saat akhir kilang tutup. Perlu selesaikan semua urusan kosongkan line production dan jual semua mesin dan peralatan yang ada.

Orang lulur macam dia begitulah. Kekal selama yang boleh walaupun semua orang dah berhenti. Dan akhirnya masa untuk dia sendiri berhenti sampai. Hasil dari sumbangannya itu dia dapat banaklah juga duit pampasan diberhentikan.

Dengan modal yang ada itu dia buka perniagaannnya sendiri. Itu peluang keemasan untuk bebaskan dirinya dari belenggu tidak berdunia dengan orang.

Dan perniagaan yang dia pilih memang tak lari dari kerjanya selama makan gaji berbelas tahun sebelum ini. Dia buat kerja selenggara peralatan dan mesin kilang yang berteknologi tinggi yang ada banyak di Pulau Pinang sana.

Kebetulan kebanyakan kilang memang nak jimatkan kos operasi. Mereka berikan kerja selenggara pada kawan saya itu supaya kilang tak perlu ada kumpulan selenggara mereka sendiri.

Tak payah nak tunggu lama untuk perniagaannya mendapat hasil yang lumayan. Memang kerja dia dan tahu semua selok belok serta segala ekosistem aktiviti pengelangaraan kilang. Makanan dialah, kata orang utara.

Jangan keluar dari bidang kemahiran

Itu hanya satu contoh yang saya boleh kongsikan pada pembaca yang ada niat nak jadi usahawan. Ramai lagi kawan-kawan yang saya lihat berhenti kerja dan berniaga dan berjaya sebab pilih perniagaan yang tak lari dari bidang kemahiran mereka.

Bayangkan kawan saya kat atas tadi tu. Kalau ikutkan teori, dia mungkin susah nak berjaya bila jadi usahawan sebab tak berdunia sangat dengan orang. Hampir semua teori tekankan kepentingan networking untuk jadi usahawan berjaya.

Tapi kawan saya itu kekal dengan networking di dalam lingkungan kerjanya sahaja dari mula sampai berhenti kerja. Malah sampai sekarang dia masih tetap macam itu. Dan dia hidup senang, tak glamour tapi duit simpanan berjuta-juta.

Agak lama juga dia sekadar jadikan rumahnya sebagai pejabat dan premis perniagaannya. Selepas itu baru pindah keluar ke premis luar dan itupun masih kat kampung juga.

Rahsia kejayaannnya adalah kekal dalam lingkungan kemahiran yang telah dibina sejak mula sampai habis.

Jangan pilih perniagaan yang luar bidang

Ramai yang cuba lari dari bidang yang dia memang dah biasa dan penuh pengalaman. Berniaga entah apa-apa yang dia sendiri terpaksa belajar dan perlu ambil masa yang agak lama untuk sedar. Kalau sedar dan faham sebab jenis cepat belajar tak apa juga.

Malang bila sedar bahawa dia memang tak boleh teruskan perniagaan yang dia tak pandai itu. Dah nak ubah buat bisnes lain pula. Kalau masih tak faham, dibuatnya pula perniagaan lain yang asih diluar bidang kemahirannya. Buang masa lagi…

Jadi sila renungkan nasihat saya ini kalau anda nak berhenti kerja dan jadi usahawan.

Fikir betul-betul kemahiran yang ada dan pengalaman yang dah terkumpul selama ini. Pilihlah perniagaan yang serupa supaya lebih mudah untuk naik.

Semua orang membesar dengan jalan masing-masing yang tak serupa. Dari kanak-kanak lagi jalan yang kita ambil biasanya bukan pilihan kita sendiri. Terpaksa disebabkan dorongan atau desakan keluarga.

Samada suka atau tidak kita terrpaksa kumpulkan semua ilmu dan kemahiran dalam perjalanan nak membesar dewasa.

Kemudian kita lanjutkan pengajian, dan kemudian kita kerja.

Semua itu mendedahkan kita kepada kemahiran dan pengalaman tertentu yang unik. Kalau anda jenis yang istiqamah, memang akan ada banyak ilmu dan pengalaman yang terbina sepanjang perjalanan membesar dan dewasa.

Semaklah semua pengalaman dan kemahiran yang ada selama ini dan jangan cuba keluar dari lingkungan tersebut. Istiqamah dan tambah lagi dan pergunakan untuk kehidupan yang sementara ini supaya tak leka membuang masa.

Moga ada manfaatnya perkongsian kali ini untuk yang sedang merangka nak berhenti kerja dan berniaga.

Nota: Kalau anda gemuk, mungkin berminat untuk gunakan gemuk itu dalam perniagaan. Berminat boleh baca projek orang gemuk The Shredder.

Total
18
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge