Mula berniaga dengan mudah

By | 10/05/2013
Mudah berniaga

Untuk mula berniaga sebenarnya terlalu mudah. Apa yang susah dalam perniagaan adalah untuk mengekalkan dan menaikkan perniagaan setelah  kita berniaga.

Mereka yang sedang makan gaji, tapi teringin sangat nak berniaga memang ramai. Tetapi masalahnya adalah jumlah mereka yang takut ambil risiko untuk berhenti kerja dan mula berniaga adalah jauh lebih ramai.

Anda yang sedang membaca ini mungkin salah seorang daripada mereka yang mahu mula berniaga tetapi masih teragak-agak untuk melakukannya.

Soalan paling popular di kalangan mereka yang sebegitu adalah,

“ada tak cara yang paling mudah, selamat dan terbukti berkesan untuk saya terjun menjadi usahawan, mula berniaga dan meninggalkan makan gaji?”

Kebiasannya, ramai yang akan memberi nasihat agar mula berniaga sambilan sebelum terus letak jawatan. Apabila perniagaan dah cukup stabil dan mampu menyara hidup, barulah letak jawatan.

Nasihat di atas memang berniat baik dan lebih meyakinkan. Tetapi masalahnya, majoriti yang berbuat begitu biasanya menjadi usahawan sekerat jalan. Perniagaan tak ke mana dan kerjaya makan gaji juga tak ke mana.

Malah perniagaan akhirnya akan pupus begitu sahaja dan berakhir dengan duit habis lebih banyak daripada duit yang terkumpul.

Bila jadi begitu, mereka akan berkata,

Nasib baik aku tak terus berhenti kerja dan mula berniaga!, kalau tidak entah apa yang akan terjadi pada aku. Perniagaan lingkup dan kerja tak ada!”.

Kalau anda bertanya pada saya, ayat di bawah adalah lebih sesuai untuk diucapkan oleh mereka begini,

“Kalau aku berhenti kerja dan memberikan tumpuan seratus peratus, tentu perniagaan yang aku mulakan ini akan maju dan meningkat naik!”

Oleh itu jika anda sudi mendengar nasihat, langkah yang paling sesuai untuk dilakukan bagi mula berniaga adalah seperti berikut.

  1. Kerja makan gaji dengan bersungguh-sungguh sehingga anda menjadi pekerja yang paling disayangi oleh majikan. Menjadi pekerja hebat seperti itu akan membentuk tabiat kejayaan dalam apa saja usaha yang dilakukan. Usahawan yang berjaya biasanya juga, adalah seorang pekerja yang berdisiplin dan bermotivasi tinggi. Semua tabiat itu diperlukan bila anda mula berniaga.
  2. Mula kecutkan perbelanjaan dan simpan 10% daripada pendapatan setiap kali anda menerima gaji. Buka satu akaun baru dan yang paling baik adalah menubuhkan satu syarikat samada Sdn Bhd atau Entreprise dan simpan wang itu dalam akaun syarikat. Anda bakal memerlukannya bila mula berniaga nanti.
  3. Semak hutang yang ada. Jika anda terlalu banyak hutang sehingga melebihi 50% daripada pendapatan, elok fikir semula hasrat nak berhenti kerja dan mula berniaga. Mereka yang tak tahan tekanan akan mudah tewas apabila sering tertekan kena kejar ceti. Tanam pegangan bahawa hutang perlu dibuat dengan penuh berhemah dan berhati-hati. Anda amat memerlukan sikap sebegitu bila mula berniaga nanti.
  4. Selesaikan kebanyakan daripada hutang tak patut terlebih dulu. Jika hutang rumah terlalu tinggi, buat penjadualan semula. Jika hutang kereta banyak lagi, jual atau tukar kenderaan lain yang lebih murah. Jika ada hutang courts mammoth beli perabot atau seumpamanya, anda tak layak berniaga sebab tak dapat tahan nafsu. Kawal nafsu dengan habiskan semua hutang yang tak patut. Terutamanya hutang kad kredit. Jangan berhenti kerja dan mula berniaga selagi semua yang tersebut tidak selesai!.
  5. Mula fikirkan satu perniagaan yang sesuai dengan diri anda. Seeloknya berkaitan dengan pengalaman, kemahiran, kenalan, kesukaan, hobi, bakat dan seumpamnya. Paling sesuai jika perniagaan yang ada kena mengena dengan kerja makan gaji anda sekarang. Cuba fikirkan jika wang dan lain-lain bukan satu masalah apakah perniagaan yang anda  ingin lakukan.
  6. Untuk memudahkan urusan mengenal pasti perniagaan ini, anda boleh dapatkan khidmat bantuan saya melalui tawaran HR Biz Coaching. Anda akan dibimbing secara peribadi proses mula berniaga.
  7. Buat senarai perniagaan dan pilih yang paling mudah. Mudah di sini adalah berdasarkan ukuran diri anda sendiri dan bukannya di mata orang lain. Ia bermaksud anda tidak rasa susah untuk menjalankannya walaupun semua orang rasa anda cari nahas. Sesuatu perniagaan itu mungkin mudah bagi anda tapi susah buat orang lain, jadi pilihlah perniagaan yang anda rasa mudah.
  8. Pastikan ada pasaran atau permintaan. Cara mudah untuk menentukan bahawa perniagaan anda ada permintaan adalah dengan melihat samada sudah ada perniagaan yang sama atau tidak. Jangan syok sendiri dengan mencari perniagaan atau produk atau perkhidmatan yang tiada orang pernah lakukannya, anda bukannya Syed Mokhtar Al-Bukhari yang banyak duit untuk buat R&D.
  9. Rangka struktur perniagaan anda. Oleh kerana anda makan gaji, anda tidak ada apa-apa yang nak dikejarkan, duit gaji akan masuk walaupun perniagaan tak jalan. Jadi ambil masa sedikit untuk merangka perniagaan dengan lebih terperinci. Fikirkan struktur Pemasaran, Sumber manusia, kewangan dan operasi dengan mendalam. Mula berniaga dengan betul membantu untuk anda pergi lebih jauh.
  10. Buat website. Atau blog atau Fan Page dan seumpamanya. Dapatkan nasihat mereka yang mahir dalam aktiviti pemasaran di internet. Ini merupakan satu kelebihan usahawan zaman kini apabila terdapatnya satu lagi dunia yang lebih besar dinamakan dunia maya. Anda boleh menjadi raja di pulau ciptaan anda sendiri di dalam dunia maya yang luas.
  11. Dapatkan 3 pelanggan pertama anda. Semakin cepat anda berjaya mendapatkan 3 pelanggan pertama, semakin berpotensi perniagaan anda. Gunakan mereka untuk membuat analisa bagaimana mendapatkan 3 lagi pelanggan yang berikutnya.
  12. Mula buat unjuran aliran kewangan. Rangka perniagaan anda dengan membuat segala kiraan duit keluar dan duit masuk dan dapatkan jumlah jualan paling minimum yang perlu anda capai dan kejar sasaran tersebut.
  13. Mula fikirkan untuk berhenti kerja. Di sinilah petua paling mustahak untuk saya tekankan. Jika anda benar-benar mahu berjaya, jangan tunggu perniagaan jadi stabil baru nak berhenti kerja. Sebaik saja perniagaan anda berjalan lancar, ia memerlukan komitmen penuh dari anda untuk memastikan ianya menguntungkan. Oleh itu sila berhenti kerja dan jangan toleh ke belakang lagi.
  14. Sediakan wang yang secukupnya. Wang boleh didapati daripada simpanan anda sendiri, daripada kawan-kawan, daripada pelabur, daripada bank, keluarga, dan lain-lain seumpamanya. Yang penting adalah anda perlu minta dan bersungguh-sungguh meyakin mereka. Insyallah anda akan dapat.
  15. Jangan risau perniagaan gagal. Apa yang anda risau hanyalah jikalau duit tak ada dan bukannya perniagaan gagal. Sebab itu saya katakan di atas agar sediakan duit secukupnya. Fokuskan hanya kepada menjayakan perniagaan sehingga menguntungakn.
  16. Dapatkan khidmat HR Biz Coaching. Ini merupakan pilihan yang baik jika anda mahu memastikan perniagaan yang dibina berada di landasan yang betul.
Biasanya kita hanya risau pada dua perkara bila memikirkan untuk berhenti kerja dan mula berniaga:
  • Perniagaan gagal
  • Dikritik oleh orang lain.
Untuk masalah dikritik, tiada sesiap boleh membantu melainkan anda sendiri perlu mengatasinya. Pedoman paling bagus adalah dengan berpegang pada hukum. Selagi anda tidak melakukan perkara haram, tidak ada apa yang perlu dirisaukan sama orang nak kritik atau hentam.
Untuk perkara pertama iaitu gusarkan perniagaan yang gagal, sebenarnya apa yang anda risaukan adalah takut tak ada wang. Oleh itu, fikirkan berbagai cara untuk memastikan anda sentiasa ada wang.
Yang paling penting adalah pastikan perniagaan berjalan lancar dan menguntungkan. Jika orang lain berniaga benda yang sama dan mampu menyara hidup mereka, kenapa anda tak boleh? anda bukannya lebih bodoh daripada orang lain!
Selamat mencuba dan mula berniaga…!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

10 thoughts on “Mula berniaga dengan mudah

  1. adiszar

    Terima kasih atas panduan yang telah diberikan. kontrak saya bersama majikan akan tamat pada mei 2015. saya rasa saya perlu bertindak sekarang…

    Reply
  2. Zuan

    saya sedang berjinak dalam affiliate dengan menjual ebook di blog saya 🙂

    Reply
  3. serasi sokmo

    Saya berniat mahu brhenti kerja n brniaga ttp ditentang oleh keluarga. Kdg2 apa yg mereka ckp kan menjatuhkan semangat sy utk berniaga

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge