Ramai berebut yang sedikit…

By | 05/12/2012

Untung kita yang beragama Islam. Rata-rata daripada kita dah tahu sejak kecil bahawa 9 dari 10 sumber rezki ada dalam perniagaan. Cuma agak musykil kenapa kita tetap pulun untuk menjadi pekerja makan gaji sejak di bangku sekolah.

Berikutan itu saya rumuskan beberapa perkara penting yang bersangkutan dengan konsep 9/10 dalam mencari rezki berdasarkan pengamatan dan pengalaman yang telah ditempuhi sepanjang menjadi usahawan:

  1. 9 dari 10 orang tak faham tentang konsep rezki. Sebab itu walaupun dah tahu berkenaan hadith tersebut, hanya seorang dari 10 orang sahaja yang mencari rezki dari 9 sumber, sedangkan sembilan lagi berebut hanya daripada satu sumber.
  2. Hanya seorang daripada 10 orang membolot 90% daripada kekayaan. Sebaliknya baki yang 9 lagi sekadar menguasai 10% daripada kekayaan.
  3. Setiap seorang yang berniaga sepatutnya menghasilkan peluang pada 9 orang lagi usahawan. Apabila kita gagal memahami konsep tersebut, maka idea untuk berniaga menjadi terlalu sempit kerana menyangkakan atau tamak untuk membolot kesemua peluang.
    1. Terdapat banyak rantaian dalam urusan perniagaan. Sebagai contoh, Petani yang mengusahakan ladang sayur dan faham dengan konsep 9/10 tersebut tidak akan menjual sayurnya sendiri di pasar malam. Sebaliknya menjual secara pukal pada pemborong yang mengikat kontrak pembelian daripadanya.
    2. Pemborong pula akan mengedarkannya pada peruncit yang seterusnya menjual di pasar-pasar malam atau di kedai-kedai runcit dan sebagainya. Masing-masing membina kekuatan mereka dan menjadi pakar dalam bidang masing-masing.
    3. Dalam membesarkan perniagaan, peniaga terpaksa merekrut pekerja. Ini menghasilkan satu lagi peluang pada masyarakat yang mahu mencari rezki samada secara makan gaji atau secara kontrak.
    4. Petani yang tanam sayur tak akan buat bajanya sendiri, malah membelinya dari pembuat baja. Begitu juga pembuat roti bun tak perlu membina kilangnya tepungnya sendiri. Begitu juga dengan sumber mentah lain untuk menghasilkan apa saja produk elok dibeli daripada pembuatnya dan tidak perlu dilakukan sendiri. Ini dapat melahir dan membantu penjanaan ramai lagi usahawan dalam bidang lain.
    5. Jika anda mahir dalam pemasaran roti, tak perlu fikirkan untuk membuat kilang roti. Pergi saja bincang dengan pengusaha kilang roti dan minta dia buat roti dengan jenama anda. Kerja pengedaran dan pemasaran anda lebih meningkat dan dalam masa yang sama anda membantu kilang roti menjimatkan kos pengeluaran dan membesarkan perniagaannya.
    6. Buat satu saja dari rantaian dan ‘outsource’ sembilan lagi pada usahawan lain. Dengan cara ini perniagaan anda berkembang dengan cepat dan lebih maju serta cekap.
  4. Setiap 10 daripada pendapatan anda, belanja 9 dan simpan satu. Gunakan satu yang disimpan tersebut untuk menjana 9 lagi pendapatan.
  5. Ajar kemahiran anda pada 9 orang lain. Jangan kedekut ilmu. Ilmu yang diajar tidak pernah padam atau menumpulkan pengetahuan anda. Jika anda mahir membuat kasut, ajarlah pada 9 lagi orang lain. Perturunkan kesemuanya bersama dengan kualiti. Jika anda seorang boleh buat 100 kasut, dengan 10 orang anda boleh buat 1,000 pasang kasut!

Banyak lagi yang kita boleh olah daripada konsep 9/10 ini. Apa yang menarik adalah fenomena tidak seimbang pembahagian rezki ini yang wujud sejak zaman kegemilangan kerajaan British dulu lagi.

Fenomena ini jugalah yang membuatkan kerajaan British menjemput saintis ekonomi dari Itali, J Winfred Pareto untuk melakukan kajian bagi mengatasi fenomena ini.

Penemuan menarik yang ditemui oleh Winfred Pareto adalah, apa saja usaha menyeimbangkan edaran ekomoni secara merata pada masyarakat akan diakhiri dengan penyusunan semula persekitaran dan akhirnya kedudukan kembali pada asal dimana 10% daripada penduduk akan menguasai 90% daripada ekonomi manakala baki 90% dari penduduk lagi hanya menguasai jumlah 10% saja daripada kekayaan ekonomi!

“Manusia yang tahu memang ramai, tapi yang faham apa yang mereka tahu terlalu sedikit!”
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Ramai berebut yang sedikit…

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge