berhenti kerja sebab bosan kerjaDalam artikel yang lalu berkenaan 16 petua Napoleon Hill siri-2, saya ada sebutkan masalah orang yang sedang bosan kerja makan gaji.

Oleh sebab bosan, maka dia nak berhenti kerja dan mula berniaga dengan andaian perasaan bosan itu akan hilang apabila dia lakukan apa yang selama ini menjadi idamannya iaitu, jadi usahawan.

Ada pertanyaan dari pembaca yang minta pencerahan samada dia salah untuk berhenti kerja makan gaji dan mengubah haluan hidupnya dengan menjadi seorang usahawan dan berniaga.

Ada banyak pertanyaan juga yang saya terima dari pembaca lain sebelum ini, berkenaan masalah yang sama.

Itu tandanya memang ramai orang kat luar sana yang sedang mengalami masalah kebosanan dengan kerja makan gaji yang sedang mereka lakukan.

Sila berhenti jika bosan kerja

Hanya satu sebab bosan yang anda perlu segera berhenti dan berniaga secepat mungkin.

Bosan sebab konsep perniagaan majikan anda mengarut dan anda rasa idea yang ada dalam kepala anda jauh lebih baik sedangkan majikan tak terima idea tersebut.

Dalam keadaan itu, jangan tunggu lama.

Berhenti dan buat perniagaan yang sama dan laksanakan idea anda itu. Buktikan anda betul !.

Bosan yang selain daripada itu, nanti dulu !.

Tunggu dulu setahun dua atasi bosan kerja

Biasanya saya akan nasihatkan agar jangan berhenti kerja terlebih dahulu dan mula berniaga. Saya suka cadangkan agar kekal makan gaji untuk satu tempoh tertentu, mungkin setahun paling cepat dan paling lama 2 tahun.

Dalam tempoh itu, buat perancangan akhir sebelum terjun jadi usahawan sepenuh masa. Masa selama setahun itu cukup untuk membuat segala persediaan yang perlu sebelum mula masuk ke dunia yang penuh dengan cabaran.

Untuk menjawab soalan dari pembaca samada salah atau tidak jika dia berhenti kerja dan berniaga, saya boleh jawab dengan pasti,

“Tidak Salah !”.

Tidak salah seandainya berniaga itu yang anda rasa betul dan benar-benar mahu lakukannya dan telah bersedia untuk menerima segala dugaan yang bakal dihadapi dalam dunia perniagaan.

Habis kenapa saya suka nasihat jangan berhenti dulu, tunggu setahun dua lagi baru berhenti dan berniaga ?

Elakkan tabiat escapism

Sebab paling utama saya suka nasihat sebegitu adalah untuk elakkan diri anda dari terperangkap dalam fenomena ‘melarikan diri dari masalah’. Orang putih kata “escapism”.

Budaya atau tabiat escapism tidak bagus untuk diamalkan. Sekali anda buat begitu, tidak ada jaminan untuk anda tidak ulang lagi perangai melarikan diri dari masalah lain.

Saya pernah sebut kalau makan gaji, anda cuma hadapi 1 dari 10 masalah, sedangkan dalam dunia perniagaan, anda akan hadapi 9 dari 10 masalah.

Bayangkan dalam dunia makan gaji yang hanya ada satu masalah itu anda dah ubah arah tak cuba selesaikannya, inikan pula dalam dunia perniagaan !.

Saya khuatir anda akan lari 9 kali pula !, sebab masalah dalam dunia perniagaan akan datang bertimpa-timpa sampai tak menang tangan.

Belajar jadi penyelesai masalah

Hanya orang yang dah nekad untuk jadikan ‘penyelesai masalah’ sebagai kerjayanya sahaja akan terus bergerak ke depan sampai matlamatnya tercapai.

Nampak tak logiknya kenapa saya nasihatkan jangan terburu-buru cuba nak lari dan terjun jadi usahawan dalam keadaan sedang bosan makan gaji.

Namun begitu, anda jangan salah anggap saya tak galakkan orang jadi usahawan. Sebaliknya saya memang suka lebih ramai orang kita berniaga.

Saya hanya sarankan agar tunggu dan buat persediaan setahun atau 2 tahun dan kemudiannya terjun dengan keadaan lebih bersedia dan bertenaga.

Persediaan sebelum berhenti kerja

Jika anda setuju untuk ambil saranan saya, maka apakah persediaan yang perlu dilakukan sebelum berhenti kerja?

Saya berikan beberapa cadangan kat bawah ini, mungkin tidak lengkap dan anda perlu tambah lagi secukup rasa sampai puas hati. Ianya sekadar beberapa persoalan yang anda perlu jawab dan laksanakan untuk pastikan anda tidak mudah tewas mengaku kalah nanti bila dah mula berniaga.

  1. Nak buat bisnes apa ? – dah ada idea dalam kepala ke nak buat bisnes apa bila jadi usahawan sepenuh masa nanti. Anda perlu ada idea yang baik supaya bila orang tanya, ‘kenapa anda berniaga?’, bolehlah dijawab nanti, ‘sebab saya ada sesuatu yang menarik untuk ditawarkan pada orang ramai!’. Jangan pula jawapannya, ‘sebab saya bosan makan gaji !’. Harap anda jelas sekarang kenapa saya suruh buat persediaan.
  2. Berapa ramai kawan anda usahawan ? – lihat sekeliling anda sekarang, dah berapa ramai kawan yang anda sering bertemu dan berbincang adalah usahawan sepenuh masa dan bukannya kawan-kawan makan gaji yang sama bosan macam anda sekarang kerja makan gaji. Jika tiada golongan kawan rapat dari kalangan usahawan, saya boleh jamin anda belum cukup bersedia.
  3. Berapa banyak buku bisnes atau pengurusan dah anda baca sejak 5 tahun kebelakangan ini ? – Ini juga satu perkara penting untuk sediakan minda anda cenderung kepada cara pemikiran seorang usahawan. Kalau satupun tak ada, atau sekadar buku motivasi untuk naikkan semangat yang dah hilang, anda belum cukup bersedia.
  4. Mana nak cari modal ? – Adakah anda punya duit simpanan untuk dilaburkan sebahagian darinya dalam perniagaan anda nanti. Kalau tak ada, bila duit diperlukan nanti, nak minta pada siapa ? Jangan harap pihak perbankkan mudah-mudah nak kasi duit sedangkan pengalaman niaga tak ada dan perniagaanpun belum ada. Mereka perlu buat untung dan kurang risiko duit hangus, jadi jangan nak marah pada pihak bank komersial.
  5. Berapa lama anda boleh bertahan sebelum perniagaan menjadi ? Ini ada kaitan dengan masalah kewangan untuk menyara kehidupan anda dan keluarga bila berniaga nanti. Buat aliran tunai diri anda dan juga perniagaan anda dan buat unjuran yang logik dan bukannya unjuran syok sendiri. Kurangkan kos saraan hidup dengan ubah gaya hidup jadi lebih sederhana atau lebih rendah dari keadaan semasa. Perlu ada plan A, plan B dan plan C…
  6. Dah buat rancangan perniagaan ke ? – rancangan perniagaan (RP) perlu ada walaupun bukan dalam bentuk formal macam nak bentang kat pihak bank. Tapi RP itu adalah untuk anda sendiri supaya anda ada panduan dan pedoman dalam proses mencari maklumat buat bersedia nanti. RP biasanya membantu anda memerah otak menjawab soalan-soalan penting dalam menjayakan perniagaan anda.

Mungkin cukup 6 soalan tersebut di atas untuk membuka sedikit minda anda yang sedang kebosanan dalam kerja makan gaji dan nak berhenti kerja dan berniaga.

Walaupun saya sendiri buat keputusan semuanya cara Kamikaze masa nak berniaga dahulu, saya tak sarankan anda semua lalui jalan yang saya ambil.

Kali pertama saya buat Kamikaze, memang ternyata hancur seperti yang dijangkakan oleh bekas Boss saya sendiri, tapi masa itu saya masih single, jadi tiada bebanan emosi dan tiada tekanan luar.

Semua duit saya hangus lebur tidak tinggal satu senpun untuk mulakan sesuatu yang baru. Saya terpaksa jual macam-macam untuk dapatkan duit sara diri.

Tapi masih ok, saya ulang, sebab saya masih single.

Akhirnya saya terpaksa masuk makan gaji semula dan duduk di situ beberapa tahun untuk lakukan persediaan.

Semua soalan yang saya sebutkan di atas tadi itulah saya jawab satu persatu ketika makan gaji. Kemudian barulah berhenti semula dan alhamdulillah sampai sekarang saya masih kekal jadi usahawan, memang berbaloi !.

Macam yang dikata oleh penanya soalan yang saya sebut kat atas tadi, benda paling berharga yang saya kecapi adalah ‘masa’.

Saya yang aturkan apa yang perlu dibuat untuk masa yang saya ada.

Pergi belajar pasal BMC

Sebelum saya tamatkan artikel ini, saya nak buat saranan yang penting dalam bab merangka idea perniagaan anda.

Pergi belajar pasal BMC.

Masa saya nak mula berniaga dulu, tak pernah saya dengar pasal perkara BMC ni.

Saya lihat konsep BMC memang amat bagus. Ia memerah otak anda merangka satu model perniagaan yang lebih jitu dengan 9 model asas yang amat mudah.

Anda perlu faham business model macam mana yang nak dibuat.

Dan anda perlu faham bahawa, walaupun anda jelas dengan produk atau perkhidmatan yang nak ditawarkan, belum tentu lagi anda jelas¬†dengan ‘model bisnesnya’.

Contohnya produk anda adalah serbuk kopi.

Untuk serbuk kopi saja ada bersepah-sepah ‘business model’.

Serbuk kopi untuk orang ramai guna di rumah, satu model, serbuk kopi untuk kedai kopi pula satu model lain.

Serbuk kopi yang anda letak di kedai-kedai runcit pula satu lagi model lain yang berbeza.

Serbuk kopi yang anda letakkan di semua pasaraya kecl dan besar pula satu lagi model lain yang berbeza.

Serbuk kopi yang anda guna untuk kedai kopi anda sendiri pula, lain lagi business modelnya.

Serbuk kopi yang anda bekalkan ke kilang buat kopi lain pula jadinya… nampak tak ?

Jadi jangan main-main nak hentam berhenti kerja sebab bosan kerja, dan buat kesilapan yang terlalu banyak.

Maklumat dan ilmu tentang nak mula berniaga sekarang adalah terlalu jauh lebih mudah dan banyak berbanding dahulu. Jadi gunakan kelebihan itu untuk kurangkan risiko.

Kalau ada masa nanti saya cuba tulis pasal BMC ini.

Selamat berjaya !

Total
22
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

  1. Apa yg saya rasa sekarang ni..berbelas tahun menjadi pkerja makan gaji..sampai waktu utk create gaji..bukan makan gaji..

  2. Terima kasih di atas 6 cadangan yang Tuan Bihi sebutkan di atas..insyaAllah bukan” kebosanan” yang menjadi alasan untuk turun di bidang usahawan ini. Saranan Tuan Bihi dengan belajar BMC akan di dibuat dalam masa 2hari lagi..insyaAllah..semoga di izinkan Allah. Juga moga2 kupasan BMC yang akan datang dari Tuan Bihi akan memberi lebih pencerahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge