Siri kaya #2 : Pupuk otak niaga

By | 19/07/2013
siri kaya

” Lu, kalu gua kasi 50 sen aaah, apa lu mau buat?” tanya apek Ah Yan pada aku.

“Alahai!, 50 sen apa boleh buat Ah Yan, kopi o saja yang lepas!”, itulah jawapan saya pada apek Ah Yan. Saya masih tak tahu ke mana dia nak bawa dengan soalan itu.

Ketika itu saya bekerja sebagai pembancuh air di kedai makanan di pekan Penanti, sebuah pekan kecil di Bukit Mertajam. Apek Ah Yan sering datang minum di kedai itu.

Dalam sehari dia akan datang lebih daripada dua kali. Sebaik saja datang dia akan memangggil saya membancuh Kopi O. Kalau orang lain bancuh dia tak mahu. Tak sedap katanya.

Bila kopi siap dan saya menghantar padanya untuk minum dia akan tarik tangan saya untuk duduk sebentar berbual dengannya.

Apek Ah Yan merupakan generasi pertama yang datang dari Tanah Besar Cina. Dia menetap di Pekan Penanti.

Pada zaman awal merdeka dia merupakan taukeh besar yang berniaga segala keperluan rempah dan herba di Pekan Penanti. Mak beritahu, masa itu kedai Ah Yan dipenuhi dengan segala jenis rempah yang diperlukan oleh orang ramai.

“Itu jawapan tak bagus punya!”, apek Ah Yan terus mencelah. Dia merenung mata saya sambil tersenyum simpul. Matanya yang sepek di sebalik cermin mata berbingkai gading itu redup memandang saya.

Kulit pada mata serta keseluruhan mukanya yang kurus itu penuh dengan kerutan. Mungkin jumlah kerutan yang banyak itu sama dengan banyaknya pengalaman pahit getir yang pernah dilaluinya sepanjang hidup.

“Kalu dapat 50 sen, lu misti fikir macam mana mau kasi jadi RM1 !”, sambung Ah Yan sambil tersenyum. Kepalanya terangguk-angguk membuatkan badannya yang kurus kecil dibaluti baju Pagoda itu bergoyang-goyang.

“Banyak ka, sikit ka, bukan jadi hal !” Ah Yan sambung lagi.

“Itu baru betul punya cara fikir, lu mesti mau ingat itu aaah!”, Ah Yan menghabiskan air di cawannya dan bangun perlahan-lahan sambil memandang saya.

Dia hulurkan duit bayaran kopi yang diminumnya dan berlalu perlahan-lahan berjalan kaki pulang ke rumah kedainya yang terletak tidak berapa jauh dari situ.

Semua kata-kata Apek Ah Yan melakat dalam kepala saya. Sepanjang hari itu saya hanya bersoal jawab di dalam kepala segala kata-kata Ah Yan.

Saya berfikir mencari jalan macam mana nak buat 5 kupang berubah menjadi seringgit. Macam-macam idea terlintas satu persatu di dalam kepala dan begitulah seterusnya habis satu hari mencari idea untuk gandakan wang yang hanya berjumlah 50 sen.

Sejak itu saya faham bagaimana apek Ah Yan berfikir, baginya bila ada wang, kita perlu fikirkan untuk menggandakannya. Ah Yan melihat merupakan satu alat menjana kekayaan.

Ternyata berbeza dengan cara pemikiran saya yang hanya tahu nak berbelanja dan habiskan wang yang ada di dalam tangan. Saya selama ini melihat wang hanya alat berbelanja untuk dihabiskan!.

Pupuk otak niaga
Apa yang Ah Yan dedahkan pada saya masa itu adalah supaya saya memupuk pemikiran keusahawanan. Sentiasa fikir macam mana nak berniaga dalam apa saja situasi tak kira samada ada modal atau tak ada, sedikit atau banyak.

Bila otak berniaga menjadi sikap atau tabiat diri kita, kehidupan menjadi satu cabaran dan pengembaraan yang menyeronokkan.

Mereka yang ada otak niaga akan berakhir dengan menjadi usahawan samada lambat atau cepat. Fikir bagai mana nak buat dan jangan fikir kenapa tak boleh buat.

Banyak contoh usahawan berjaya yang kita lihat sekarang mempunyai otak berniaga yang dipupuk sejak dari remaja.

Beberapa contoh yang boleh disenaraikan di sini adalah:

  • Tony Hsieh, CEO Zappos.com – Beliau sentiasa asyik fikir pasal berniaga sejak sekolah dan berusaha merealisasikan perniagaan yang difikirkannya. Bila masuk ke Havard, dia tetap menjalankan aktiviti niaganya. Setelah tamat belajar dia mendapat tawaran bekerja di syarikat besar. Dia hanya bertahan bekerja selama 6 bulan dan berhenti untuk berniaga. Syarikat pertamanya yang berjaya dibeli oleh Microsoft dengan haraga USD280 juta setelah baru dua tahun membinannya! baca buku yang ditulisnya untuk mendapat inspirasi.
  • Richard Branson, pengasas Virgin Group – Dia bukanlah seorang pelajar yang cemerlang dalam pelajaran. Dia tak berani buat pengucapan awam sehingga sekarang. Tetapi dia memang otak niaga dan suka pada cabaran. Beli dan baca bukunya undapatkan inspirasi.
  • Syed Mokhtar Al-Bukhary – Tak perlu diperkenalkan lagi. Semua orang kenal siapa Billionaire Melayu ini.
  • Aitthipat Kulapongvanish – Jutawan muda dari Thailand yang punyai otak niaga sehingga membuatkan dia menjadi billionaire muda yang terkenal.
  • Zul Mat Lazim – Kawan saya yang mengusahakan perniagaan dalam industri kesihatan. Dia punyai 3 Hospital dan sejarah kehidupannya sejak sekolah penih dengan idea niaga.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

18 thoughts on “Siri kaya #2 : Pupuk otak niaga

  1. waiman takwa

    Saya setuju. Wang yang kita ada sebanyak mungkin kita simpan dan fikir bagaimana nak gandakan wang tersebut. Orang kita jika ada wang cuma fikir bagaimana nak habiskan wang tersebut. Entri yang marvelous.. Tahniah HR..

    Reply
  2. Hafizul

    Emm mereka yang lahir dalam keluarga yang sudah berniaga, mungkin pemikiran dia lebih tajam sikit mengenai selok belok perniagaan…namun apa yang dikatakan oleh ah yan tu patut lah dijadikan garis panduan..hehe

    Reply
    1. suri

      keduanya nampak berbeda.

      otak makan gaji..org berkerja dg majikan..

      otak bisnes org selenggara perniagaannya sendri

      Reply
  3. mrhanafi

    kalau ada 50 sen boleh simpan 40 sen dan 10 sen masuk tabung masjid..kalau 30 hari buat mesti banyak punya…

    cuma apa yang saya fikirkan bagaimana nak dapat 50 sen setiap hari sedangkan kerja makan gaji tunggu hujung bulan sahaja..

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Antar idea yang saya fikirkan masa tu:

      Kalau zaman tu boleh beli gula-gula dengan harga 20 sen 5. Boleh jual dgn harga 10 sen 2.

      50 sen boleh beli 12 biji.

      Bila semua terjual kita dapat 60 sen dan ada untung 10 sen (20% keuntungan dari modal)

      Dengan 60 sen boleh beli 15 biji gula-gula dan boleh dijual untuk dapatkan 70 sen dengan lebihan 1 biji gula-gula….dah ada untung lagi tambahan 10 sen….dan seterusnya….

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge