maklumat sistem francaisRasanya ramai dah pernah dengar tentang sistem francais yang wujud dalam dunia perniagaan.

Tapi apakah sebenarnya yang dikatakan sebagai sistem francais itu ?

Mungkin ramai yang tak tahu bahawa Tun Mahathir, mantan  Perdana Menteri kita merupakan antara orang awal yang menulis pasal industri francais ini.

Saya ada baca tulisan Tun Mahathir yang ditulisnya dalam sebuah buku kecil berkenaan perniagaan kecil lama dahulu.

Kalau tak silap saya buku yang saya baca itu adalah cetakan kedua yang dibuat pada tahun 1975.

Tun Mahathir ada memberikan panduan kepada para usahawan tentang dunia perniagaan kecil khasnya untuk orang Melayu bumiputera yang ingn melibatkan diri dalam dunia perniagaan.

Banyak panduan berguna dan amat praktikal yang diberikan oleh Tun Mahathir di dalam buku tersebut. Beliau menulis dan mengeluarkan buku itu atas permintaan Tengku Razaleigh Hamzah yang ketika itu amat aktif dalam membangunkan ekonomi negara dan juga ekonomi orang melayu di bawah Perdana Menteri Tun Abdul Razak.

Sekadar maklumat pembaca, Tengku Razaleigh Hamzah banyak memberikan sumbangan terhadap kemajuan ekonomi negara pada zaman awal perkembangan negara kita dahulu. Antara buah tangan beliau pada negara termasuklah Petronas dan Bank Pembangunan Malaysia.

Beliau menjadi bendahari Umno pada tahun 1973 di zaman Tun Abdul Razak. dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Kewangan negara kita pada tahun 1976 ketika Tun Hussein Onn menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Berbalik pada tajuk asal kita berkenaan Francais, dalam buku kecil panduan untuk peniaga kecil tulisan Tun Mahathir itu, dia ada menyentuh tentang potensi perniagaan Francais ini.

Bagi beliau, sistem Francais perlu dicuba oleh orang Melayu yang ketika itu masih tertatih-tatih dalam dunia perniagaan.

Dengan merebut peluang yang ada dalam industri Francais, orang Melayu dapat belajar dengan lebih cepat tentang dunia perniagaan hasil daripada tawaran Francais yang biasanya merupakan sebuah jenama atau perniagaan yang telah terbukti berjaya.

Permulaan sistem Francais di Malaysia

Untuk maklumat anda, sebenarnya sistem Francais telah masuk dan ada di negara kita sejak tahun 1940-an lagi.

Ketika itu jenama terkenal yang masuk atas konsep francais adalah seperti Bata dan Singer. Mungkin kita dah biasa dengan jenama itu tapi tak perasan bahawa ianya merupakan konsep francais awal yang masuk ke sini.

Kemudiannya pada era 1960-an masuklah pula jenama A&W. Mungkin orang yang seangkatan dengan saya amat biasa dengan A&W ini terutamanya dengan minuman Root Beernya.

Selepas itu, pada era 1970-an dan 1980-an masuklah pula jenama yang amat terkenal sampai sekarang iaitu KFC dan juga McDonald’s.

Dengan kemasukkan dua jenama besar itu, orang ramai mula sedar akan potensi industri Francais. Dari situ juga kita lebih banyak kaitkan industri Francais dengan industry F&B.

Sistem Francais mula rancak

Pada era 1990-an, ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia, Tun Mahathir mendapat peluang untuk merealisasikan pandangannya terhadap konsep francais ini.

Atas matlamat untuk mendedahkan orang Melayu dalam dunia perniagaan dan dunia korporat, Tun Mahathir melihat landasan yang baik disediakan untuk itu dalam konsep Francais.

Tun Mahathir percaya sistem Francais merupakan satu sistem yang cepat dan berkesan untuk mengembangkan perniagaan.

Ia juga satu sistem yang berkesan untuk menurunkan ilmu dan kemahiran dalam dunia perniagaan. Segala keupayaan itu diturunkan dari usahawan yang berjaya dan terbukti dalam perniagaannya kepada usahawan lain yang baru dan kurang pengalaman.

Kemudiannya pada tahun 1992, Jabatan Perdana Menteri telah mewujudkan Franchise Development Program (FDP). Tujunnya adalah untuk membantu mengembangkan industri ini, memberikan latihan dalam bentuk seminar dan menyediakan pakej pembiayaan khas untuk Bumiputera yang berminat menceburi sistem francais.

Lanjutan dari itu juga wujudlah Malaysian Franchise Association (MFA) bagi menyemarakkan lagi industri ini.

Malaysia mungkin merupakan satu-satunya negara yang memasukkan agenda pembangunan industri francais ini ke tahap kementerian. Itu menunjukkan betapa seriusnya negara untuk menggunakan sistem francais sebagai batu loncatan merancakkan ekonomi negara.

Kerosakkan dalam sistem francais

Sudah menjadi adat, di mana ada gula di situ ada semut.

Bila perebut peluang melihat adanya galakan dan kemudahan dalam industri francais ini disediakan oleh kerajaan, maka ramai yang ambil kesempatan.

Jenapa tempatan yang baru setahun jagung dan tak tahu menahu akan konsep francais terjun merebut peluang yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Ramai usahawan yang menawarkan sistem francais dengan tujuan untuk buat duit sebagai matlamat utama.

Mereka tawarkan konsep francais kepada usahawan baru dengan matlamat utama untuk belasah duit hasil dari yuran sistem francais yang ditawarkan.

Pemilik francais juga dapat belasah duit usahawan baru hasil dari kerja-kerja pembinaan premis perniagaan dan jualan produk-produk mereka yang dipaksakan kepada usahawan baru tersebut.

Kalau produk atau jenama dan perniagaan mereka memang terbukti berkesan dan berjaya oklah juga, tapi kebanyakannya tidak jadi begitu.

Maklumat dari pegawai Perbadanan Nasional Berhad mengatakan bahawa 75% daripada dana yang diberikan untuk memulakan perniagaan francais tidak dapat dibayar semula oleh peminjam.

Lanjutan daripada masalah tersebut, pada tahun 1998, akta berkenaan sistem francais telah diwujudkkan bagi mengawal risiko dan mengurangkan lubang penipuan dalam sistem francais ini.

Untuk mereka yang berminat untuk mendapatkan maklumat berkenaan industri sistem francais di negara kita, anda boleh dapatkannya di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

KPDNKK merupakan kementerian yang bertanggung jawab terhadap hal ehwal sistem francais sekarang. Pergi panjat kat Purtajaya sana untuk penerangan lanjut.

Atau jika anda malas nak panjat bangunan KPDNKK, sekadar nak tahu lebih lanjuat pasal industri sistem francais kat Malaysia, boleh dapatkan buku tulisan Sofia Leong Abdullah’s Guide to franchising in Malaysia di MPH.

Sekadar itu saja sedikit sejarah berkenaan sistem francais di negara kita yang anda perlu tahu.

Tentang persoalan samada bagus atau tidak jika usahawan yang baru nak menceburi dunia perniagaan mengambil sistem francais dari mana-mana jenama perniagaan yang ada, jawapannya adalah terpulang pada jenama apa yang anda pilih.

Paling penting sekali adalah pada diri anda sendiri. Belajar terlebih dahulu, cari maklumat dan pastikan anda berusaha untuk selamatkan diri dari kena perdayaan orang yang lebih licik.

Moga ada manfaatnya !

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge