Soal & Jawab : Terma bayaran

By | 17/05/2013

Berikut soalan yang saya terima daripada:

Nama: Pojam / Fauzan Aziman
Perniagaan: Location Sound Recordist
Perhubungan: +6 012 9819890 http://jwtd.blogspot.com

Oleh kerana Fauzan atau Pojam benarkan saya berkongsi soal jawab ini, maka saya paparkan di sini agar dapat dikongsi bersama dengan para usahawan lain di luar sana. Begini soalan yang dikemukakan:

Salam (abang) encik Shubhi,
Saya Fauzan. Kita ada bertemu semasa Kursus Usahawan Super anjuran Anzaq tahun lepas. Untuk makluman abang Shubhi, saya bekerja di dalam bidang shooting. Freelance.

Biasanya sistem kami begini:

  1. Penerbit akan telefon tanya boleh kerja tak untuk hari tertentu (hari shooting).
  2. Jika kami (pemberi khidmat) boleh, maka kemudian kami akan bincangkan harga bayaran untuk sehari kerja.
  3. Bila sudah bersetuju maka bila hari tersebut datang, kerja dan bila sudah habis biasanya terma bayaran adalah di dalam 30 hari. Kadang-kadang ada produksi yang ambil sehingga 90 hari!
  4. Bila sudah sampai masanya (30 atau 90 hari yang sudah dijanjikan) maka kami akan telefon tanya atau pihak penerbit akan telefon kami suruh datang ambil cek di pejabat mereka.

Saya nak tanya pendapat abang tentang dua idea saya:

  1. Contoh kata saya nak kenakan bayaran RM1400 sehari tapi katalah saya boleh runding RM1500 dengan produser untuk terma 30 hari. Di dalam invoice terus tulis terms: RM1500 di dalam 30 hari tetapi hanya RM1400 bayaran penuh kiranya dilangsaikan dalam 10 hari. Kiranya saya bagi insentif/diskaun untuk dia kalau dia bayar awal. Ini untuk mengalakkan pembayaran awal daripada pihak produksi.
  2. Tadi RM1400 kan? Dalam purchase order saya letak beza caj dua perkara berasingan: (a) Gaji pekerja dan (b) Sewaan barang. Saya runding dengan produser beritahu terma bayaran adalah tunai untuk gaji pekerja (terus dapat lepas habis kerja) dan 30/45 hari untuk sewaan barang. Cara begini melancarkan aliran tunai (cashflow) untuk bayar gaji saya diri sendiri (dan pembantu kiranya ada pakai) manakala bayaran untuk pusing modal/keuntungan itu bolehlah dibayar lambat sedikit.

 Saya sendiri akan mencuba kaedah ini untuk pelanggan yang baru manakala dengan produser yang sudah sedia ada, saya akan runding sebaik mungkin (slow talk) dengan mereka untuk mencuba kaedah ini.

Harap abang boleh beri pendapat tentang hal ini.

Terima kasih kerana menulis blog Hidup Ringkas dan secara langsung turut merubah hidup saya!

Selamat Hari Guru saya ucapkan kepada abang kerana abang seorang guru yang tidak kedekut berkongsi ilmu di blog.

Kalau abang rasa perkara ini abang boleh kongsi/hurai di blog abang pun saya alu-alukan. Terima kasih, 

Ikhlas, selawat dan salam.
Fauzan Aziman bin Lukman.

Berikut jawapan saya:


W’salam Fauzan,

Terima kasih kerana sudi berkongsi idea dengan saya dan saya amat hargai.

Berkenaan terma bayaran pertama yang Fauzan nyatakan ianya memang biasa di amalkan secara meluas terutamanya di luar negara. Ini kerana mereka amat berpegang dengan perjanjian atau terma yang telah dipersetujui.

Di negara kita, jarang peniaga melihat pada terma sebegitu terutamanya peniaga yang kecil. Namun begitu, jika syarikat besar yang berjaya, mereka biasanya mengambil perhatian terhadap tawaran-tawaran diskaun sedemikian.

Apatah lagi jika mereka punyai modal tunai yang besar. Ini membantu mereka yang kekurangan modal atau mereka yang baru mula bertapak dalam perniagaan.

Biasanya dalam invoice, harga diletakkan pada harga biasa sebagai contoh RM1,500 yang biasa Fauzan kenakan.

Di bahagian nota/ terma bayaran di bawah invoice akan di terangkan terma seperti berikut:

  • Terma bayaran: 45 hari
  • Diskaun 10% jika bayaran dibuat dalam tempoh 10 hari dari tarikh invoice.
  • Diskaun 5% jika bayaran di buat dalam tempoh 15 hari dari tarikh invoice.
  • Diskaun 2% jika bayaran dibuat dalam tempoh 30 hari dari tarikh invoice.

Namun begitu, ianya perlu diperbincangkan dengan client dan pastikan mereka faham tawaran tersebut dan terang juga pada mereka betapa ianya bakal membantu krestasi kerja kita kepadanya.

Cadangan keduapun amat baik untuk dilakukan. Asas terma pembayaran adalah untuk memastikan kita tidak rugi.

Jika kerja yang memerlukan modal seperti sewaan, gaji pekerja dan lain-lain, kita perlu fikirkan cara terbaik untuk mendapatkan bayaran dengan apa cara sekalipun, kerana tanpa bayaran kita akan tersangkut berhutang dengan pekerja atau pembekal barangan.

Jika kerja yang tidak memerlukan modal seperti kemahiran, atau peralatan yang kita miliki dan telah habis berbayar, terma bayaran bolehlah dilonggarkan dan ini boleh dijadikan salah satu kelebihan perniagaan kita.

Satu lagi perkara penting dalam bab bayaran adalah dengan memastikan pelanggan mematuhi janji. Jika mereka berjanji 30 hari, pastikan ianya ditunaikan dengan penuh disiplin.

Jangan lupa senaraikan para pelanggan yang ada dengan meletakkan mereka dalam kategori yang kita tentukan seperti:

  • Pelanggan emas – sentiasa bayar awal dan tak pernah mungkir janji
  • Pelanggan perak – Tak pernah bayar awal tapi bayar pada masanya.
  • Pelanggan besi – Bayar lambat daripada janji tapi sentiasa buat bayaran.
  • Pelanggan besi karat – Lambat dan tak habis bayar.

Kalau boleh pastikan pelanggan emas kita ramai dan jangan berurusan dengan pelanggan besi dan besi karat.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

2 thoughts on “Soal & Jawab : Terma bayaran

  1. azmi

    kalau servis ok la kot tapi kalau barang macam susah sikit. kalau dengan gomen harga mati dah tak boleh ubah2 dah.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Azmi,
      Servis atau barang sama. Cuma ianya hanya untuk pasaran terbuka dan bukanlah kerja bekalan dengan kerajaan yang harga dah tetap tak boleh ubah.

      Terima kasih bangkitkan isu tersebut!

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge