Soalan rutin: Bisnes apa yang sesuai?

By | 21/03/2013
Macam mana nak niaga

Siapa yang selalu tertanya-tanya soalan di atas:

  1. Mereka yang sedang makan gaji, tapi mengidam nak berniaga. Terutamanya bila melihat, berjumpa, terbaca dan tertonton kejayaan orang yang dah berniaga.
  2. Mereka yang dah berhenti kerja dan dah berniaga A, kemudian tak menjadi lalu berniaga B, tak menjadi juga, kemudian berniaga C, tak juga menjadi kemudian patah balik buat A, tak jadi, patah balik buat B, tak jadi lalu buat C dan tak jadi lalu buat A, B dan C, kemudian terfikir nak buat D pulak…….tak habis daaa!
  3. Mereka yang dah berniaga lama tetapi merasakan hanya cukup makan, masih tak kaya-kaya seperti mana yang dilihat pada peniaga lain. Selama ini disangkanya dengan berniaga mudah dan cepat kaya. Nak berpatah balik dan malas, lalu diteruskan juga berniaga tak serius dan berangan-angan berjumpa perniagaan lain. Sentiasa mencari apa agaknya perniagaan yang sekali tolak, jalan laju tak henti-henti!.

Setiap kali jumpa orang yang saya sebutkan di atas, soalan yang paling TOP sekali adalah…

“Apa perniagaan yang perlu saya buat errrrr…bagaimana nak pilih perniagaan errrr… kita kena niaga benda yang kita minat ke…?”

Itu dilema yang biasa dialami oleh mereka di atas. Apa yang menarik dan bagus dalam kebanyakan mereka itu adalah tiadanya persoalan tentang duit.

Persoalan yang ada hanyalah untuk cari perniagaan yang pasti strike berjaya. Seolah-olah duit bukanlah satu masalah bagi mereka atau mereka sudah ada satu keyakinan yang betul bahawa ada idea segala keperluan lain boleh dicari.

Timbul soalan sebegitu sebenarnya satu perkara biasa kerana majoriti besar orang ramai teringin untuk memiliki sebuah perniagaan sendiri. Mereka ingin jadi Taukeh yang duduk di sofa besar dan duit penuh di akaun bank melimpah ruah dengan segala kemewahan kebendaan yang menjadi kegilaan manusia.

Mencari bisnes apa yang sesuai

Jika anda salah seorang daripada mereka yang saya sebutkan di atas berikut beberapa pandangan saya untuk keluar daripada masalah tersebut:

  1. Pertama sekali anda perlu terima hakikat bahawa anda manusia. Sebagai manusia perangainya tak pernah puas hati dengan apa yang dah dimiliki. Ini hasil dari keupayaan kita menyesuaikan diri terhadap semua perkara baru. Kereta Ferrari yang kita gila macam nak rak untuk milikinya, akan menjadi perkara biasa dan tidak lagi menerujakan setelah beberapa bulan!
  2. Jika anda buka mata dan melihat sekeliling anda, majoriti manusia tak suka dengan apa yang mereka sedang lakukan dan sedang pertimbangkan nak buat benda baru. Ini hasil daripada perangai yang saya sebutkan di atas.
  3. Mula-mula suka, kemudian lama kelamaan rasa macam dah tak suka. Andainya anda mula berniaga dengan satu perniagaan yang anda suka, masa berjalan dan anda mula tak puas hati lalu mula cari alasan dengan berkata, “baru aku sedar rupanya bukan ini yang aku suka…”. Itu alasan biasa nak merasionalkan perasaan yang dah berubah.
  4. Bukan setakat perniagaan, bab berpasangan juga begitu. Siapa yang dah berumah tangga tentu tahu bab berpasangan ini. Masa belum dapat, jadi angau tak keruan. Misi hidup ketika itu semata-mata untuk memiliki buah hati idaman kalbu dan yang lain tak penting (member tengok pun rasa meluat). Akhirnya dapatlah juga berkahwin. Tak berapa lama kemudian dah mula dengar…“aku rasa dah tak suka ler dengar pasangan aku, kami tak serasi rupanya…menyampah betul!!!”.
  5. Setelah anda ketahui semua di atas, ringkaskan kehidupan anda dengan kembali berpijak di bumi nyata. Jangan menyusahkan diri mencari perniagaan yang anda suka yang anda akan tahu lambat laun akan jadi tak suka. Buat kriteria ringkas dalam menentukan perniagaan apa yang nak dijalankan. Berikut beberapa idea saya dalam mentukan kriteria tersebut:
  • Buat perniagaan yang orang dah buat. Terdapat bersepah-sepah perniagaan yang boleh dikesan dengan mudah dan terdapat bersepah-sepah lagi perniagaan yang anda tak tahu kerana tak dapat dikesan dengan mudah. Buka mata dan ringankan mulut, untung-untung anda ada peluang.
  • Jika masih tak ada idea, beli dan baca buku Usahawan kecil boleh berjaya sebagai pencetus idea.
  • Ingat perkara mudah ini yang merupakan kriteria yang wajib ada, “perniagaan mesti untung”. Asalkan ada keuntungan, maka anda mesti suka. Tak payah susah-susah nak beremosi syahdu brutal kononnya tak sesuai dengan jiwa dan sebagainya.
  • Sentiasa pertimbangkan faktor masa.┬áJika anda sudah kenal pasti 100 perniagaan yang berpotensi, tapis pulak dengan mengambil kira faktor masa. Pilih yang paling cepat boleh dilaksanakan. Paling cepat perniagaan tersebut boleh dijalankan paling bagus dan sesuai untuk anda kerana ia berhubung rapat dengan apa yang telah dianugerahkan oleh Allah pada diri anda.
  • Jangan lupa halal dan haram. Ini perkara asas yang semua orang Islam wajib tahu dan ia bukanlah satu pilihan samada anda suka atau tidak suka. Dalam masa yang sama banyak perniagaan yang halal menjadi haram jika tidak kena dengan caranya. Jangan lupa masukkan seorang Ustaz sebagai salah seorang kawan rapat anda sebagai rujukan.
  • Berikan masa secukupnya untuk berjaya. Bila dah pilih untuk memulakan sesuatu perniagaan, jangan kelam kabut nak cepat berjaya. Semua perkara ada peringkat pembesarannya dan tak boleh lari dari sunnatullah. Sabar dan istiqamah pasti menjadi, Insyallah.
  • Buat sampai berjaya. Jangan buat sekerat jalan, tanpa habis cari ikhtiar dah mula menyerah. Tak ada perubahan akan berlaku tanpa perancangan teliti. Baca apa yang berlaku disekeliling anda di luar dan di dalam. Gunakan segala data/maklumat untuk menganalisa perjalanan. Jangan main hentam kromo dan mengharap perniagaan akan berjaya dengan sendirinya.
  • Bila dah berjaya, baru pertimbangkan idea perniagaan lain pula. Tapi selagi belum berjaya jangan terlintas fikir nak lari. Tunggu, analisa, fikir, cari jalan dan tetap pendirian. Jika masih tak jumpa jalan, cari penasihat, mentor atau jurulatih agar dapat membimbing anda untuk berjaya.
Begitulah lebih kurang pandangan saya terhadap isu nak berniaga apa. Memang kita sering dengar orang nasihat agar pilih perniagaan yang kita minat. Buat sesuatu yang menghairahkan kita, kata Mat Saleh.
Mendiang Steve Job, kata begitu, Warren Buffet juga kata begitu dan ramai lagi yang nasihat agar kita buat pilihan sesuatu yang kita minat. Kalau anda ambil program Dr Azizan sebagai mentor kejayaan peribadi anda, anda membayar sejumlah wang padanya untuk mendengar perkara yang sama juga, ‘cari perniagaan yang anda minat…”.
Mungkin mereka memberikan nasihat yang betul untuk mempastikan kejayaan anda, tapi buat masa sekarang saya lebih cenderung untuk tidak menjadikan minat atau suka sebagai satu kriteria penting.

“Suka atau tidak, bahagia atau tidak kita sendiri tentukan…ia hanyalah mainan minda!”

2 thoughts on “Soalan rutin: Bisnes apa yang sesuai?

  1. SHIKIN

    Assalamuailakum. Saya seorang graduan yg tengah makan gaji. Sejak kematian kedua ibu bapa saya pada tahun lalu, saya lah yg menjaga 3 org adik saya. dgn wang peninggalan arwah yg cukup2 menanggung kehidupan kami, saya terdesak untuk bekerja diusia muda dan melupakan impian saya menyambung Degree. Saya ingin bertanya, apakah bisnes yang sesuai utk beginner mcm saya? . ini kerana saya takut utk gagal , kerana jika ingin memulakan perniagaan , memerlukan kos dan saya hanya ada wang peninggalan arwah saya. terima kasih

    Reply
    1. Shubhi Post author

      Semua orang takut utk gagal, dan hanya yang berjaya ke depan walaupun takut sahaja yang menempa kejayaan. Cadangan saya adalah mula perniagaan secara kecil-kecilan terlebih dahulu dan jangan gunakan wang peninggalan arwah, cari sendiri atau kumpul sendiri modal itu.

      Jika kita kreatif, kita boleh buat duit tanpa memerlukan modal. Melaburlah pada ilmu sebanyak mungkin.

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge