Tali yang menghalang kemajuan anda dari maju ke depan

By | 05/08/2013

Dalam artikel kali ini saya nak ceritakan sedikit berkenaan perkara yang sering menghalang anda dari maju ke depan dalam menguruskan perniagaan.

Jika anda biasa berada di kawasan nelayan, mungkin pernah lihat bagaimana para nelayan pulang dari laut dan menyimpan perahu mereka.

Ketika kanak-kanak dulu, saya biasa bermain-main di sebuah tempat yang dinamakan Ujung Batu di Bagan Dalam, Butterworth Pulau Pinang. Ia merupakan kawasan nelayan menambat perahu mereka.

Ada banyak batang kayu yang dipacak pada dasar sungai di mana ia dijadikan sebagai tempat mengikat tali untuk menambat perahu daripada hanyut.

Adakalanya tali yang terikat agak panjang. Jadi jika terjumpa sampan sebegitu bolehlah saya bermain kayuh mengayuh sampan. Saya mula mengayuh dengan menggunakan dayung untuk menggerakkan sampan ke depan.

Sampai di satu tahap, sampan akan tersentak dan berhenti walau sekuat manapun saya berusaha mendayung untuk menggerakkan sampan ke depan.

Tentu pembaca semua boleh agak, kenapa usaha mengayuh itu adalah sia-sia.

Selagi tali yang terikat pada sampan dan batang kayu tadi masih berada di situ, sekuat manapun usaha, tidak akan berupaya membuatkan sampan mara ke depan lagi.

Kekangan yang menghalang kemajuan perniagaan

Cuba bayangkan sampan sebagai perniagaan yang sedang anda jalankan sekarang.

Tidakkah anda rasa seperti telah melakukan berbagai, namun perniagaan tetap berada di tahap yang sama?

Jika anda berada di dalam sampan yang saya ceritakan tadi, apakah yang akan anda lakukan untuk memastikan perahu yang dikayuh itu maju ke depan?

Sudah tentu jawapannya adalah dengan membuka ikatan atau memotong sahaja tali yang mengikat perahu pada batang kayu tersebut.

Jika usaha membuka ikatan tali tidak dilakukan dan anda masih terus menjerit-jerit sambil megayuh sepenuh hati dengan keringat memeleh di serata dahi, anda barangkali ada masalah jiwa yang kronik!.

Jika anda bersetuju dengan perumpamaan yang saya berikan di atas maka sudah pasti anda juga setuju bahawa segala usaha mengayuh ke depan perniagaan yang sedang dijalan sekarang merupakan satu kerja sia-sia selagi anda tidak memotong belenggu yang menghalang kemajuannya.

Apa penghalang kemajuan anda

Ada banyak halangan atau tali yang mungkin sedang membelenggu perniagaan anda daripada terus maju ke hadapan.

Berikut saya berikan beberapa contoh:

  • Hilang minat – keletihan bertungkus lumus selama ini membuatkan anda rasa segalanya tidak lagi berbaloi.
  • Kerja yang tidak terurus – Anda mungkin bersemangat tetapi malangnya kerja anda tidak dilaksanakan dengan betul dan terurus. Pegang sana lepas sini dan begitulah berulang-ulang dan akhirnya satupun tak siap.
  • Tiada daya tumpuan – Buat terlalu banyak kerja sekejap-kejap juga mungkin disebabkan oleh masalah diri yang tidak dapat fokus pada sesuatu kerja.
  • Masalah duit – Perniagaan berdesup-desup maju tapi duit keluar lebih laju daripada duit masuk.
  • Kesunyian – Anda rasa seperti berada di satu planet yang sunyi tanpa ada orang lain yang sudi berkawan dan berkongsi pengalaman.
  • Masalah pekerja – Pekerja anda tak tahu apa tugasannya dan adakalanya anda teragak-agak nak ambil pekerja tambahan atau tidak.
  • Terbelenggu dengan kerja penting yang segera perlu diselesaikan – bayangkan jika kebakaran berlaku 24 kali dalam masa sehari, apa akan berlaku pada Bomba. Begitulah lebih kurang apa yang berlaku dalam perniagaan anda di mana anda ahli bomba dan para pekerja asyik buat kebakaran di sana sini. Taukeh letih apabila asyik ke sana ke mari padam api. Anda faham perumpamaan saya ?

Ada banyak lagi kekangan yang boleh disenaraikan yang menghalang kemajuan sesebuah perniagaan.

Para usahawan perlulah mempunyai ilmu untuk perhatikan apakah tali yang sedang menghalang ke depan itu. Usahawan perlu selesaikan atau buka ikatan tali tersebut terlebih dulu sebelum mula mengayuh ke depan.

Mintalah bantuan daripada kawan-kawan yang berpengalaman yang bijak menganalisa perniagaan anda dan memberikan jalan penyelesaian.

Atau jika anda rasa perlu, dapatkan khidmat bimbingan jurulatih perniagaan profesional yang ada di pasaran bagi membantu anda.

Atau jika kos mereka terlalu tinggi, dapatkan khidmat HR Biz Coaching amatur seperti saya untuk membantu anda.

Walaupun saya amatur, saya merupakan lulusan daripada Universiti Kehidupan yang menjalankan dan membina perniagaan sendiri dan belajar melalui pengalaman juga daripada kawan-kawan usahawan lain yang ada.

Klik sini jika berminat.

13 thoughts on “Tali yang menghalang kemajuan anda dari maju ke depan

  1. sepol

    bila terlalu banyak kita bandingkan perniagaan kita dengan orang lain kita akan hilang minat, hilang fokus… mungkin hati tak cukup kuat kot..

    Reply
  2. Anonymous

    Tuan……Ambillah saya sebagai pelajar.
    -AA,Raub.

    Reply
  3. Zuan

    masalah kesunyian mungkin tiada lagi pada den..sekarang masalah yang membelenggu, fokus.. gagal fokus dengan baik dalam apa apa pekerjaan.. da baca beberapa buku, cuba praktikkan, tapi tak kekal lama.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge