Tukang Urut & Tukang Parang

By | 22/03/2013

Selasa baru-baru ini saya berpeluang bertemu dengan dua orang tukang yang tinggal dan mengusahakan kehidupan mereka di satu daerah yang sama.

Yang pertama ialah Tukang Urut yang dikenali sebagai Haji Lugua atau Haji Man Gua. Beliau menjalankan aktiviti khidmat mengurut di Kampung Jerang, Jelebu Negeri Sembilan.

Yang kedua ialah Tukang Parang yang bernama Zamri. Beliau pula membuka sebuah bengkel membuat parang bermutu tinggi di kampung Mentaus, yang terletak bersebelahan dengan kampung tukang urut di atas.

Mereka berkongsikan ciri-ciri yang sama iaitu berjaya mencari makan dengan bekerja sendiri di perkampungan yang agak tercorot tetapi berjaya meraih pendapatan yang lumayan. Mereka juga berjaya mendapatkan pelanggan seantero Malaysia walaupun tinggal di kampung tersorot.

Ini hanya membuktikan bahawa jika ada usaha, di mana saja anda tinggal tidak ada halangan untuk menjadi usahawan berjaya. Ia adalah satu tamparan hebat terhadap mereka yang mengeluh tak ada idea atau tak ada peluang untuk berniaga walaupun tinggal di kota besar dan punya penduduk ramai.

Tukang Parang lebih ke hadapan dalam mempromosikan perniagaannya dari segi penggunaan teknologi komunikasi moden ini. Dia ada membina blog yang menceritakan usaha pembuatan parang mewahnya.

Haji Man Gua pula cukup sekadar menggunakan teknik pemasaran dari mulut ke mulut yang biasanya merupakan satu teknik yang langsung tidak punya kos dan antara teknik pemasaran paling berkesan berbanding segala teknik yang lain, namun memakan masa yang agak lama.

Dua perniagaan di atas merupakan perniagaan tradisi yang biasanya diusahakan secara turun temurun di negara kita. Masalah perniagaan tradisi ini cuma satu. Mereka tidak berusaha membina satu sistem bagi membesarkan perniagaan tersebut agar ianya berkembang menjadi lebih basar.

Ini merupakan satu kerugian besar dalam industri perniagaan di negara kita lebih-lebih lagi seandainya hasil kerja mereka bermutu tinggi dan mendapat permintaan yang tinggi.

Di sinilah kelebihan yang ada kepada orang barat berbanding orang kita. Antara faktor kemajuan barat adalah keupayaan mereka merangka sistem yang terperinci dan berkesan dalam apa sahaja perkara yang mereka lakukan.

Jika manusia dan segala kejadian yang hidup berkembang biak kerana mereka hidup, maka dalam urusan perniagaan pula sistem merupakan satu rahsia yang perlu diadakan bagi menghidupkan sesebuah perniagaan berkembang biak dan membesar serta berterusan dalam jangka masa yang lama.

Untuk memastikan perniagaan kita hidup kita perlu membina sistem. Ia adalah usaha untuk menghidupkan proses operasi, proses, pemasaran, proses kewangan dan proses sumber manusia berjalan secara automatik sehinggalah ke tahap pergantian ketua juga dapat berlaku secara automatik apa bila ketua yang ada berhenti atau pupus meninggal dunia.

Jika anda seorang usahawan dan mahu memahami apa itu pembinaan sistem, anda boleh dapatkan pertolongan saya jika berminat menghidupkan perniagaan yang sedang anda jalankan. Atau berjumpalah dengan mereka yang berjaya menghidupkan perniagaan mereka secara bersistem agar kita semua turut sama berjaya dan membina satu masyarakat yang maju.

Tidak ada yang lebih menggembirakan saya selain dari dapat membantu seramai mungkin para usahawan agar berjaya ke peringkat yang tinggi. Dapatkan khidmat HR Biz Coaching untuk tunjuk ajar serta bimbingan secara berterusan selama setahun.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge