Lakarkan semula tabiat yang anda perlukan untuk berjaya

Kalau ikut versi hidup ringkas, hanya 3 tabiat sahaja yang benar-benar anda perlukan kalau nak jadi usahawan berjaya.

Kalau nak bina lebih dari 3 pun tak ada masalah. Tapi 3 tabiat yang ini tak ada pilihan. Anda kena berusaha membentuk juga sebaik mungkin supaya ianya dapat permudahkan perjalanan kembara keusahawanan anda.

Sempena kedatangan tahun yang baru ini, elok jika anda buat azam untuk membina 3 tabiat ini. Tabiat khas ini memang amat diperlukan oleh orang yang nak jadi usahawan satu hari nanti.

Juga khas untuk anda yang memang dah berniaga secara sepenuh masa atau separuh masa. Berkemungkinan, perniagaan anda terbantut ditahap tepu sekarang disebabkan kelemahan dari aspek 3 tabiat yang akan saya kongsikan kat sini.

Kenapa perlu tumpu pada pembinaan tabiat

Urusan membina tabiat diri tersangatlah penting.

Samada anda sedang kesempitan, serabut dengan seribu satu masalah atau dalam keadaan apapun, sila tumpukan perhatian pada pembinaan tabiat.

Naik dan turun dalam kehidupan, adalah normal sangat. Memang hidup macam itu. Kehidupan adalah gabungan keserabutan dan kedamaian yang datang silih berganti.

Hidup atas muka bumi ini sampai bila-bilapun tak akan sempurna aman damai sepanjang masa. Keserabutan diperlukan sebagai petanda bahawa waktu untuk bergerak naik sudah tiba.

Orang yang faham makna serabut yang saya sebut kat atas tu, akan fokus kepada mencari jalan penyelesaian yang terbaik supaya kedamaian dan ketenangan datang semula.

Bila dah damai semula tu, tandanya sudah berlaku pembaikan dan perubahan yang lebih baik dari sebelumnya. Tapi biasanya tak akan kekal lama.

Akan muncul pula keserabutan lain untuk didamaikan.

Begitulah prosesnya silih berganti sampai malaikat maut datang mencabut nyawa anda.

Hanya dengan pembinaan tabiat yang baik sahaja anda mampu harung segala keserabutan yang datang silih berganti itu. Kebendaan tak akan dapat bantu anda ketika itu.

Kalau anda jadi kaya raya dipenuhi dengan segala kebendaan yang ada di dunia ini, tabiat yang baik jugalah yang akan bimbing anda dari lupa daratan dan tersasar.

Kemudiannya, jika tiba-tiba, semua kekayaan dan kekuasaan yang anda dapat, ditarik balik dalam tempoh satu malam saja. Anda jadi muflis, miskin. Tabiat yang baik jugalah yang akan dapat bimbing proses pemulihan semula.

Jadi, sila fokus kepada pembinaan tabiat. Tabiat yang baik akan membuahkan hasil yang baik samada harta atau kuasa. Tabiat buruk, akan membuahkan hasil yang buruk juga, samada harta atau kuasa.

Apa dia ‘tabiat’

Elok kita faham dulu makna tabiat. Asyik dok cakap pasal tabiat tapi tak jelaskan apakah dia tabiat itu, tak akan mencapai matlamat.

Tabiat tu mudah saja maknanya.

Sifat, amalan, pemikiran atau lain-lain yang seumpama dengannya, yang anda sering ulang buat.

Kalau anda faham makna tu, tentu anda mula nampak dengan jelas bahawa tabiat memang boleh diubah. Mahu atau tak mahu saja. Kalau ada kemahuan, pasti akan ada jalan.

Kalau setiap kali jumpa halangan dalam usaha mencapai sesuatu, anda akan putus asas dan ubah arah sasar kepada benda lain pulak, maka anda dah berjaya jadikan tabiat suka ubah sasaran setiap kali ada halangan.

Tabiat tu diulang-ulang sampai anda tak sedar jadi darah daging sifat yang melekat dalam diri.

Orang yang asyik ubah kerja, ubah bisnes, ubah gaya hidup akan kekal jadi macam itu sampai dia sedar untuk lawan perangai mudah putus asa tersebut.

Harap takrifan mudah dan ringkas itu mampu membuatkan anda faham dan bersedia dengan yakin untuk mula bina tabiat yang anda rasa perlu.

Kalau anda nak jadi usahawan yang berjaya, maka berikan tumpuan kepada pembinaan 3 tabiat berikut di bawah.

#1. Sentiasa bersemangat tinggi

Ada orang yang dalam 10 kali anda jumpa, maka 10 kalilah, dia akan kelihatan tertunduk layu, bahu jatuh, tak ada mood, asyik nak bangkang, mudah cari alasan dari cari jalan dan seribu satu macam lagi petanda insan yang tak ada semangat tinggi.

Kalau tak 10 kalipun, tentu keadaan yang saya gambarkan kat atas tu lebih kerap berbanding penampilan segar dan bertenaga.

Cuba bayangkan diri anda sekarang. Dalam sehari berapa kali anda pamerkan keadaan tak bersemangat macam tu? Seminggu?, sebulan?

Kalau tak pasti pergi tanya kawan-kawan rapat yang jujur mampu berterus terang.

Pastikan anda dikenali sebagai seorang insan yang punya tabiat sentiasa bersemangat tinggi.

Kalau ternyata sebaliknya, anda perlu cari jalan untuk ubah.

Proses untuk jadi bersemangat tinggi sebenarnya mudah saja. Lihat kepada perkara-perkara berikut kat bawah:

  • Pastikan anda suka dengan kerja atau tugasan yang anda buat – orang kalau suka dengan kerja yang dia buat, secara spontan akan kelihatan bersemangat tinggi tak payah nak paksa-paksa. Betulkan perkara ini terlebih dahulu. Kalau perlu, tukar kerja. Kalau tak boleh, cari jalan supaya suka. Tak ada lagi cara lain.
  • Gaya hidup sihat – Jika urusan kat atas tu selesai, lihat pula pada gaya hidup anda. Hidup secara seimbang dan sihat atau tidak? Jika ini gagal dikawal, anda akan hilang semangat dan jadi kusam semula. Jaga makan, elak aktiviti membawa pada ketagihan, bersenam dan jaga tidur.
  • Cari salah diri sendiri – Walau sebagus manapun anda perasan pada diri sendiri, perah juga otak untuk cari salah diri kalau ada perkara tak kena berlaku. Mula buat senarai urusan yang anda tak suka terjadi dan fikir apa yang boleh anda buat untuk mengubahnya. Mula dengan perkara mudah terlebih dahulu. Selesaikan satu persatu sebanyak mungkin.
  • Bergerak sendiri tanpa dipaksa – Ini lanjutan dari aktiviti kat atas tu. Jangan tangguh. Jangan nak terberak baru nak korek lubang. Bertindak awal buat pergerakan sendiri. Tulis tindakan yang anda perlu dan boleh ambil untuk buat perubahan dan buat. Pilih yang mudah dan pastikan anda fokus satu demi satu sampai selesai.

Panduan mudah 4 perkara kat atas tu, jika anda mula amalkan, insyaallah akan membuatkan anda berubah jadi insan yang sentiasa punya semangat tinggi.

Usahawan yang berniaga dan bekerja di bawah syarikatnya sendiri amat perlukan tabiat ini. Tak ada semangat yang tinggi bila berniaga dan jadi boss anda sendiri, akan menyusahkan diri anda sendiri dan melingkupkan perniagaan dengan pantas.

Kalau makan gaji masih ok lagi. Yang susahnya adalah Boss. Kalau Boss nak buangpun terpaksa ikut prosedur dan makan masa. Anda masih boleh makan gaji buta walaupun Boss makan hati.

Tapi kalau buat bisnes, tak ada orang nak tolong transfer duit masuk dalam akaun anda selain dari usaha anda sendiri.

Saya sambung 2 tabiat lagi kat artikel akan datang.

Cuba hadam apa yang saya tulis kat atas tu. Bukannya susah sangat secara teorinya. Cuma perlukan kesabaran sebab proses membina tabiat makan masa.

Jadikan ini azam tahun baru 2019 anda sekarang dan selamat beramal.

Total
187
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge