Usahawan dan Bank

By | 29/05/2013

Ada tak usahawan yang tak cerita pasal duit?

Walau apapun falsafah yang usahawan pegang, pusing ikut manapun, usahawan tak dapat mengelak dari berurusan dengan duit.

Sebabnya adalah, duit telah menjadi bahan perantara yang penting dalam sebarang transaksi perniagaan.

Ada orang yang berniaga tunai. Duit keluar masuk ke dalam poket atau laci kedai.

Itu amalan biasa para peniaga kecil seperti di pasar malam atau restoran atau gerai kecil dan sederhana.

Ada pula yang berniaga tanpa perlu ada tunai. Hanya pertukaran hak milik sahaja berlaku. Itupun hanya kertas yang berupa dokumen perjanjian sahaja yang berubah.

Wang tak ada, malah barangan yang ditukar milikkan pun tak berubah tempat. Contohnya macam kita beli rumah dari pemaju perumahan. Rumah tak siap lagi dan kita tak bayar apa-apa pada mereka. Tapi semunya berakhir dengan kita ada rumah dan pemaju dapat duit.

Kalau kita beli rumah dengan Harga RM450 ribu, seringgitpun kita tak keluar. Mungkin deposit dikeluarkan. Itupun dalam bentuk cek.

Rumah yang dilihat hanya rumah contoh. Kita hanya tandatangan dokumen dan kemudian diberikan dokumen. Duitnya tak ada pun secara nyata. Kita tak berikan selonggok duit dan ambil rumah bawa balik.

Ringkasnya walaupun transaksi tidak menyaksikan duit secara kasar. Kita masih juga perlu bercakap tentang duit kerana duit menjadi nilai perantara dalam urusan jual beli.

Dari situ, kewujudan bank diperlukan. Bank sebenarnya adalah satu spesis yang sama dengan usahawan. Mereka berniaga macam usahawan lain jugak.

Jika ramai yang berkata Bank hanya berkawan dengan orang yang ada duit, itu bukanlah sesuatu yang menghairankan. Semua usahawan berniaga dengan mereka yang ada duit.

Berurusan dengan mereka yang tidak ada duit kita namakan kerja kebajikan dan bukannya kerja usahawan. Oleh itu jangan marah jika bank tak mau kawan dengan anda yang tak ada duit.

Ada tak bank yang kerjanya nak menolong?
Kalau bank perniagaan biasa, memang tak ada yang kerjanya hanya nak menolong. Mereka berniaga memberikan khidmat kemudahan berurusan tentang duit. Khidmat yang diberikan adalah khidmat berbayar.

Jika mereka memberikan khidmat pinjaman, mereka harapkan keuntungan daripada urusan tersebut. Maknannya, adalah sesuatu yang normal jika bank tak mahu tolong orang yang disyaki tidak berupaya menjana duit.

Dari situ, kita mesti faham bahawa perlunya meyakinkan pihak bank akan potensi kejayaan perniagaan kita sebelum dapat memujuk mereka memberikan kita duit sebagai modal.

Ramai yang kecewa kerana pinjaman tidak diluluskan
Satu perkara biasa bila dengar usahawan mengeluh kononnya bank cakap nak bantu usahawan, tapi bila permohonan dibuat, bank langsung tak layan.

Ramai juga yang berputus asa dan meletakkan kesalahan pada pihak bank. Lebih jauh lagi ada yang menuduh bahawa kerajaan menipu kerana umumkan berbagai-bagai dana sedangkan bila diminta bank kata tak ada.

Cara sebenar nak minta pinjaman bank
Setiap kali anda gagal memohon pinjaman, jangan salahkan bank. Pegawai bank kerjanya adalah memastikan majikannya tidak rugi.

Jika permohonan ditolak mungkin kerana ada berbagai faktor. Antaranya adalah:

  1. Projek perniagaan anda tidak berdaya saing. Projek yang tidak berdaya saing mungkin disebabkan beberapa faktor seperti kemudahan asas atau teknologi dan sebagainya yang tidak sesuai ditempat yang anda mahu jalankan perniagaan.
  2. Anda sendiri tidak diyakini. Projek yang berdaya saing, jika dijalankan oleh mereka yang tidak ada pengalaman dan tidak berkelayakan juga membuatkan permohonan anda ditolak mentah-mentah.
  3. Bank tidak berminat dengan industri anda. Kita perlu ingat ada bank yang meletakkan sasaran dalam industri tertentu untuk memberikan pinjaman. Jika anda minta pinjaman untuk buka kilang motor pada bank pertanian, sudah tentu agak sukar untuk diluluskan.
  4. Jumlah yang anda minta bukan dalam sasaran bank.
    1. Ada juga bank yang sasarkan pinjaman hanya atas projek atau perniagaan yang melebihi RM1 juta atau RM5 juta ke atas. Jadi jika anda tunjukkan kertas kerja perniagaan yang menjana hanya RM350 setahun, sudah pasti permohonan anda ditolak.
    2. Ada juga bank yang mensasarkan pinjaman pada perniagaan kecil sahaja yang perolehan bernilai kurang dari RM500 ribu. Jika anda bentangkan projek yang pendapatannya sampai RM10 juta tentu tak kena.
  5. Rating syarikat atau taukeh buruk. Biasanya semua bank ada satu sistem menganalisa syarikat dan juga taukeh kepada syarikat.
    1. Jika pengarah syarikat yang jumlah modal dibenarkan adalah RM1 juta sedangkan modal berbayar hanya RM2 sahaja. Maknannya pengarah syarikat berhutang pada syarikatnya sendiri sebanyak RM1 juta ditolak RM2. Bank mana nak kasi pinjam?
    2. Laporan kredit pengarah syarikat amat buruk. Jika anda lembab bayar hutang kereta, itu satu petanda bahawa anda bukanlah seorang yang komited untuk bayar hutang.
    3. Keuntungan syarikat terlalu rendah. Mungkin perniagaan anda untung tetapi terlalu sedikit. Jika perniagaan hanya menjana keuntungan bersih kurang 5% dari pendapatan, macam mana anda nak bayar hutang jika diberikan?
  6. Silap institusi bank. Kebanyakan bank komersial berorientasikan keuntungan dan bukan bantuan. Jika anda melakukan projek yang mendapat galakan kerajaan, pastikan anda mohon pada institusi kewangan yang kerjanya menolong. Institusi seperti itu adalah MARA, PUNB, TEKUN dan lain-lain yang seumpama dengannya.
Jika anda perlukan duit untuk membesarkan perniagaan, pastikan anda tahu kesemua yang saya sebutkan di atas. Pastikan kita melakukan penyelidikan terhadap bank mana yang sesuai atau institusi mana yang lebih berkemungkinan membantu anda.
Cara terbaik adalah dengan pergi menemui bank dan berbincang dengan pegawai yang bertugas. Dapatkan maklumat sebanyak mungkin dan sediakan apa yang diminta oleh pihak bank.
Dokumen yang perlu disediakan biasanya adalah sama saja dengan mana-mana bank. Sekali permohonan anda ditolak, pastikan anda tahu di mana kesilapan yang berlaku. Perbetulkan kesilapan dan panjat sekali lagi tangga bank sehingga anda berjaya.
Nasihat berguna
Ketika perniagaan anda tidak bermasalah dari segi kewangan, pastikan kerja memohon pinjaman dilakukan secara agresif.
Anda tidak ada tekanan untuk mendapatkan duit pada masa itu dan ia boleh digunakan untuk persediaan masa akan datang. Biasanya jika kena gayanya kena bank yang anda temui, tawaran akan diberikan.
Ambil dana yang diperlukan sedikit sahaja sebagai persediaan membina reputasi yang baik dengan pihak bank. Bayar pinjaman dengan penuh disiplin sehingga anda dikagumi oleh pihak bank.
Jangan lupa buat persediaan rapi terhadap bagaimana duit yang diberikan itu dapat digunakan untuk memperbaiki perniagaan anda.
Selepas selesai bayaran dibuat, biasanya anda boleh memohon lagi dengan jumlah yang melebihi daripada sebelum itu. Jika perlu ambil kesemuanya dan jika tak perlu ambil sedikit saja sekadar yang diperlukan untuk proses pembinaan syarikat menjadi lebih baik.
Ingat!, jangan bila dah nak terberak baru nak korek lubang. Duit dah tak ada baru nak pulun buat pinjaman. Waktu itu anda tidak akan dilayan melainkan jika anda bertemu dengan Along!
Satu lagi nasihat berguna
Jangan sesekali ambil duit pinjaman dari Along walau seteruk manapun masalah perniagaan anda. Biarlah perniagaan anda karam dan lingkup tanpa ada hutang dari Along daripada bungkus dan dalam masa yang sama diburu oleh Along.
Jika anda risau terhadap riba

Ada yang tak mau hutang kerana ada masalah dengan riba. Jika anda peka dengan keadaan semasa, ada banyak kemudahan pinjaman yang berkonsepkan Islamik. Pilihlah yang bersesuaian dengan keperluan anda dan jangan risau pasal riba.

Bukan senang nak mendapatkan status Islamik. Pihak bank terpaksa membuktikan sistem yang mereka guna pakai selari dengan kehendak syariah sehingga panel syariah kewangan meluluskannya. Sebagai orang awam, biarlah orang yang berkelayakan dalam panel syariah memberikan pendapat dan melakukan kerja mereka.

Jika anda punya banyak masa dan mahu berpuas hati, bolehlah belajar dengan mendalam sistem kewangan Islam sehingga mendapat status Ulama pakar dalam kewangan Islam. Itupun jika anda ada banyak duit dan masa…kalau tidak, biarlah orang lain lakukannya untuk anda.

Ada komen tentang Usahawan dan Bank? luahkan pada ruang komen di bawah…

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge