Usahawan dan isteri

By | 27/05/2013

Bila waktu paling sesuai dan selesa untuk berhenti kerja dan berniaga, adakah ketika bujang atau sesudah mendirikan rumah tangga?

Tentu ramai yang dapat teka jawapan pada soalan di atas. Tentulah waktu terbaik untuk memulakan perniagaan adalah ketika kita masih bujang.

Nasihat saya pada mereka yang masih belum berkahwin dan ada cita-cita untuk jadi usahawan adalah dengan mula berniaga seawal mungkin. Seelok-eloknya sebelum kahwin.

Mereka yang mula awal, mampu untuk menghadapi masalah gagal berniaga beberapa kali sebelum naik semula dan membina satu perniagaan yang berjaya. Waktu bujang dan muda, tanggungan masih belum tinggi untuk kita merasa risau tak ada duit.

Contoh usahawan tegar
Ada seorang kawan yang saya kenal menceritakan pengalamannya dalam bab berkahwin yang mungkin boleh dijadikan pedoman atau sumber inspirasi buat mereka yang masih muda, yang belum mendirikan rumah tangga dan bercita-cita menjadi usahawan yang berjaya.

Kawan saya ini sejak dibangku sekolah memang minat cari duit dengan berniaga. Bila musim buah rambutan, dia akan kait, kumpulkan dan buat ikatan seratus untuk setiap ikatan. Kemudiannya dia akan sewa teksi untuk mengangkut kesemua buahnya ke pusat bandar dan menjualnya.

Selepas habis tingkatan lima, dia buat bermacam-macam perniagaan. Setiap perniagaan yang dimulakannya  akan berkembang setelah beberapa lama dan kemudiannya sebaik saja perniagaan mula menghadapi masalah dia akan meninggalkan perniagaan tersebut.

Ketika itu dia masih bujang dan tidak punya apa-apa komitmen yang tinggi untuk menyara kehidupannya sendiri. Jadi tidak kisah sangat untuk berniaga, jika ada masalah dia akan tinggalkan perniagaan itu untuk mencari dan memulakan perniagaan baru.

Hasil daripada pendedahan berbagai perniagaan, dia punyai cukup kemahiran untuk mencari, mengenal pasti dan memulakan apa saja jenis perniagaan, cuma masalahnya, dia tak konsisten dan tak cukup kuat untuk menghadapi masalah setiap kali perniagaan dilanda cubaan.

Bagi menyelesaikan masalah tersebut, dia ambil keputusan untuk mendapatkan pasangan atau rakan perniagaan yang profesional atau berpelajaran tinggi. Sudah tentu rakan perniagaan yang terbaik bagi dirinya waktu itu adalah seorang isteri.

Oleh itu dia mula mencari-cari calon yang sesuai untuk dijadikan sebagai rakan kongsi perniagaan dan juga rakan kongsi kehidupan rumah tangga. Kriteria yang diletakkan amat mudah iaitu, mempunyai pendidikan tinggi dalam apa saja bidang.

Kawan saya itu tidak meletakkan rupa paras atau harta sebagai syarat, asalkan perempuan, ada jodoh, semunya boleh berjalan lancar.

Dari situ dia berkenalan dengan 3 orang perempuan:

  • Seorang doktor – jika ada jodoh dia akan membuka sebuah hospital swasta.
  • Seorang cikgu – jika ada jodoh, sebuah pusat tuisyen besar-besaran akan dibukanya
  • Seorang jurutera – jika ada jodoh, dia akan membuka sebuah kilang

Akhirnya jodohnya ada bersama doktor. Maka mereka mendirikan rumah tangga. Setelah itu, kawan saya mula menjalankan aktiviti keusahawanannya dengan meyakinkan isterinya itu bahawa kerja doktor di hospital sendiri adalah jauh lebih baik daripada kerja doktor di hospital kerajaan.

Tugas meyakinkan bakal rakan kongsinya itu bukanlah satu kerja mudah sebenarnya. Tambahan pula pasangannya seorang perempuan dan sikap takut adalah perkara biasa.

Kawan saya mengambil masa meyakinkan pasangannya dengan membawa melawat hospital-hospital swasta sehinggalah ke sebuah hospital swasta di Thailand. Dia juga menunjukkan kiraan duit keluar dan duit masuk seandainya hospital mereka terbina dengan jayanya nanti.

Akhirnya keyakinan tumbuh dengan sukarela dan isterinya meletakkan jawatan daripada menjadi doktor kerajaan. Mereka sanggup membayar semula sejumlah wang bagi melepaskan ikatan kontrak pengajian yang dibiayai oleh kerajaan.

Diringkaskan cerita, mereka sekarang punyai sebanyak 3 hospital sekarang dan dalam proses mengambil alih satu lagi hospital swasta yang besar di utara tanah air. Begitulah kejayaan kawan saya yang menjadikan isteri sebagai rakan kongsi sebagai pelengkap kepada dirinya.

Saya yakin jika kawan saya itu berkahwin dengan seorang cikgu, pusat tuisyennya juga tentau akan berkembang. Begitu juga jika dia menjadikan jurutera sebagai isterinya, tentu beberapa buah kilang akan dibinannya.

Apa yang boleh kita jadikan iktibar di sini adalah:

  1. Seorang usahawan perlu tahu dan akui kelemahan diri untuk pergi jauh.
  2. Jangan buang masa untuk membaiki kelemahan diri sendiri dengan berbuat sendiri, cari orang lain yang mahir dan biarkan orang itu jadi pelengkap kepada kelemahan tersebut.
  3. Orang yang terbaik sebagai rakan kongsi adalah mereka yang mampu mendengar impian dan hala tuju anda dan bukannya rakan yang ada hala tujunya sendiri dan degil serta tidak mahu menjadi pengikut anda.
  4. Isteri atau pasangan adalah rakan kongsi yang paling sempurna untuk menjadi pelengkap kepada kekurangan anda. Isteri yang terbaik adalah dia yang meletakkan matlamat untuk berusaha apa saja asalkan cita-cita suaminya tercapai.
  5. Suami mestilah bercita-cita tinggi. Pendidikan bukanlah syarat utama untuk berjaya berbanding semangat dan cita-cita tinggi.
  6. Isteri yang berpendidikan tinggi dan profesional, apabila digabungkan dengan suami yang bercita-cita tinggi mampu menjadi rakan kongsi yang terbaik dalam perniagaan.

Kahwin masa susah kemudian senang
Banyak cerita tentang usahawan yang sudah berkahwin sejak awal berniaga dalam keadaan susah. Kemudiannya berusaha dengan gigih dan mula maju berjaya dan berjaya akhirnya menghadapi masalah dengan isteri.

Kebanyakan cerita yang saya tahu biasanya si suami bertungkus lumus sebagai usahawan seorang diri manakala si isteri hanya menjalankan tugasannya sebagai seorang isteri di rumah sahaja. Begitulah berterusan sehinggalah perniagaan suami berada di kemuncak.

Ada seorang kawan dalam kategori di atas, yang menempuh dugaan susah dan kemudiannya berjaya dengan hebat sekali dan hidup senang dari segi material.

Apabila berjaya, dia ada segalanya kecuali kebahagian rumah tangga. Ini berpunca daripada isteri yang menaruh rasa curiga yang terlalu tinggi terhadap kesetiaan suaminya. Apatah lagi suami kini dah bergaya, punya kereta besar, duit banyak dan banyak harta.

Jika suami bukan mata keranjang, dia tetap mampu meningkatkan minat orang lain terutamanya perempuan untuk berkongsi sedikit apa yang dimiliki oleh si suami itu.

Si isteri saban hari manuduh suaminya ada orang lain, kahwin seorang lagi, ada perempuan simpanan dan bermacam-macam lagi tuduhan seumpamanya.

Segala tuduhan tidak berasas dan rasa cemburu yang membuta tuli membuatkan rumah tangga bertukar menjadi pusat siksaan seperti di penjara Guantanamo.

Akhirnya suami tak tahan dan melafazkan talak bersyarat pada isterinya…

“Aku beri masa pada kamu 3 bulan untuk membuktikan bahawa aku telah berkahwin seorang lagi, jika gagal, maka terjatuhlah talak satu selepas daripada tempoh tersebut”

Memang akhirnya si isteri tidak berjaya membuktikannya kerana memang si suami tidak buatpun, akhirnya air mata serta raungan penyesalan sudah tidak dapat menarik balik keputusan suami yang telah nekad.

Mereka bercerai dan suami memberikan harta dan perlindungan secukupnya untuk jandanya itu. Mungkin itulah yang diingini oleh si isteri dengan menuduh yang bukan-bukan selama ini…mungkin dia puas dan mungkin dia menyesal.

Berjayapun bercerai, gagalpun bercerai juga
Usahawan yang menghadapi masalah rumah tangga tidak semestinya kerana berjaya sahaja di mana masing-masing menjadi kelabu mata.

Seorang lagi kawan saya mempunyai pengalamannya tersendiri dalam menempuh pelayaran menjadi seorang usahawan. Dia bermula dari kosong, berjaya dan kemudiannya kahwin.

Ketika mereka bercinta, kawan saya itu masih biasa lagi dan belum naik dalam perniagaannya. Apabila perniagaan telah maju, dia sudah bergaya dan punyai kereta besar, maka barulah mereka mendirikan rumah tangga.

Setelah masa berlalu, perniagaan mula merosot dan merudum jatuh sehingga ke peringkat yang terlalu sukar untuk diselamatkan.

Kesukaran yang dialami oleh kawan saya itu ditambah pula oleh tekanan dari isteri yang tidak tahan dengan kesusahan mereka. Sepatutnya itulah saat seorang suami paling membutuhkan sokongan isterinya agar dia mampu melonjak semula. Akhirnya semuanya hancur apabila muncul pula pihak ketiga.

Kawan usahawan saya itu menghadapai masalah kehancuran perniagaan, kehancuran rumah tangga dan hutang keliling pinggang. Bila akan reda hanya Tuhan saja yang tahu.

Bila melihat begitu, saya rasa adalah lebih baik hilang dan hancur segala kemewahan asalkan rumah tangga bertahan dalam kesusahan. Namun, itu memerlukan sokongan dari pasangan secara konsisten. Dalam situasi sebegitu, kesabaran merupakan satu kemestian.

Begitulah lebih kurang cerita usahawan dan isteri. Kebahagian rumah tangga bukan bergantung pada kejayaan atau kegagalan kerana dalam kes yang saya ceritakan di atas, gagal pun bermasalah berjaya pun bermasalah juga.

Oleh itu apa yang saya rasa perlu diamalkan oleh usahawan adalah sentiasa meletakkan landasan hukum sebagai pedoman untuk membuat keputusan dan bukannya sentimen atau desakan pasangan yang biasanya bersikap menekan hanya kerana ada rasa tak puas hati yang tidak rasional.

Sebelum membuat sesuatu tindakan pastikan anda bertanya apakah hukumnya melakukan perkara tersebut, jika tidak terlarang dan bermanafaat pula, maka teruskanlah. Jika haram, hentikan saja.

Sebagai contoh, ramai para usahawan yang sering dicemburui oleh isteri kerana sering keluar bertemu dengan kawan-kawan. Biasanya musuh utama isteri seorang usahawan adalah kawan-kawan suaminya.

Apabila seorang usahawan mahu keluar untuk bertemu kawannya atas urusan perniagaan atau perkongsian masalah perniagaan, lalu dimarah oleh isterinya dengan membuat muka masam seperti cuka dan mula membebel, apa tindakan anda?

Ramai yang buat keputusan membatalkan aktiviti tersebut. Jika mereka ada dinner, mereka akan batalkannya, jika mereka ada perjumpaan atau perbincangan mereka akan membatalkannya kerana tak tahan pada sikap isteri.

Sebenarnya ramai yang berbuat begitu adalah sebagai satu proses bantahan. Mereka membuat protes tak puas hati untuk diperlihatkan pada isteri yang buat hal. Sedangkan kalau aktiviti diteruskan atau tidak, isteri tetap bersikap sama.

Oleh itu teruskan saja niat baik tersebut walaupun pasangan memberontak dan masam muka. Janganlah kita membuat keputusan bodoh dan meletakkan kesalahan pada isteri jika kegagalan berlaku.

Banyak lagi cerita usahawan dan isteri ini kalau nak dikarangkan…insyallah bersambung di lain kali.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge