usahawan glamourArtikel pendek kali ini nak kongsikan sedikit pandangan saya berkenaan usahawan glamour berbanding usahawan senyap.

Bila dah baca artikel ini, anda boleh buat sendiri keputusan samada nak jadi usahawan glamour atau nak jadi usahawan senyap.

Usahawan dan usahawan glamour

Perkataan usahawan semua orang tahu.

Secara ringkasnya, usahawan merupakan seorang individu yang mengumpulkan segala sumber yang ada dalam lingkungannya, untuk merealisasikan matlamatnya.

Matlamat seseorang usahawan itu berbagai.

Paling hebat, usahawan itu mahu mengubah dunia yang dilihatnya tidak menyenangkan. Keadaan tertentu yang banyak menimbulkan masalah pada manusia punyai jalan keluar hasil dari idea usahawan tersebut.

Jadi, dia berusaha kumpulkan semua sumber yang dia dapat capai dari segi bahan mentah, kewangan, sumber kemanusiaan, sumber teknologi dan lain-lain lagi untuk membina impiannya bagi memberikan jalan keluar pada orang ramai.

Bagi saya itu usahawan yang hebat dan banyak mendatangkan manfaat pada kemanusiaan.

Usahawan sebegini jarang-jarang muncul sebab cabarannya amat besar dan perlukan daya tahan dan sokongan sumber yang menyeluruh dan mencukupi.

Tetapi, jika berjaya dilaksanakan, duit adalah perkara biasa yang dia akan dapat.

Ertinya duit adalah hasil daripada segala usahawanya menjayakan impian. Usahawan sebegini tak jadikan duit sebagai kemuncak segala kejayaan yang mahu dicapai.

Berbalik kepada perkataan usahawan glamour pulak..

Semua orang tahu apa itu glamour. Malah ramai orang yang tertipu dengan keinginan untuk mendapatkan status glamour.

Manusia biasa memang macam tu.

Saya juga terpaksa akui, suka kalau diri jadi glamour. Bayangkan jika pergi mana saja orang kenal kita. Kemana saja orang cakap pasal kita.

Secara tak dapat dikawal, kembang kuncup juga jika berada dalam keadaan itu.

Bukan setakat tuan punya badan yang suka jika dirinya glamour. Kawan-kawan sekeliling juga tumpang suka.

Kita bangga jika orang ramai bercakap pasal kawan kita yang glamour. Paling best lagi bila kita dengan bangga boleh beritahu orang, dia tu kawan rapat aku. Itupun dah cukup menyeronokkan.

Kat sini kita boleh kenal pasti apa itu usahawan glamour.

Samada tuan punya badan itu sendiri glamour. Atau bisnes yang dia jalankan berada dalam status glamour.

Untuk jadi individu yang glamour mungkin agak sukar.

Melainkan kita berkumpul dan berkawan dan terlibat dalam industri yang penuh glamour seperti dalam dunia artis.

Itu semua perlukan bakat dan bukan semua orang ada bakat.

Kalau ada bakatpun belum tentu berjaya jadi glamour bila terjun masuk dalam dunia artis.

Tapi kedudukan glamour itu sudah cukup untuk membuatkan ramai kawan-kawan yang ada bakat masuk dalam pertandingan yang menjanjikan kemahsyuran.

Status glamour sejak dulu hingga sekarang memang menjadi minat manusia.

Perniagaan yang glamour

Jika anda tak ada bakat untuk masuk dalam dunia glamour, anda ada satu lagi pilihan.

Anda boleh masuk dalam dunia perniagaan yang masuk dalam kategori glamour.

Salah satu industri yang glamour yang sedang rancak meletup-letup kat negara kita adalah perniagaan dalam bidang kosmetik.

Itu salah satu contoh perniagaan yang glamour.

Satu lagi contoh perniagaan yang glamour adalah jenis perniagaan yang berkait rapat dengan gaya hidup. Dalam Bahasa Inggeris kita panggil Lifestyle.

Contohnya perniagaan restoran berbentuk Cafe atau Kopitiam yang separa mewah atau mewah. Sekali minum kat cafe tersebut, secawan kopi harganya tak kurang dari RM8.

Bila tempat minum dan melepak sebegitu, sudah tentu pengunjungnya juga terdiri daripada mereka yang samada memang glamour atau suka jadi glamour.

Tak semestinya orang kata kita glamour. Kita sendiri rasa glamour pun sudah mencukupi.

Banyak lagi jenis perniagaan yang glamour.

Secara ringkasnya, jenis perniagaan yang menjadi sebutan dan perbualan orang ramai. Samada di media masa mahupun di media sosial.

Kadang-kadang perniagaan yang biasa-biasa, yang dilonjakkan oleh pemiliknya yang ada hubungan baik dengan dunia media massa atau media alternatif, boleh bertukar jadi bisnes yang glamour.

Usahawan senyap tidak glamour

Ada satu lagi jenis perniagaan yang orang tahu kewujudannya, tapi bukanlah masuk dalam dunia glamour.

Samada usahawan itu sendiri yang tak glamour dan menjalankan perniagaannya secara diam dan tenang, atau perniagaan itu sendiri memang tak akan glamourpun.

Kalau zaman dahulu, antara perniagaan yang langsung tak glamour adalah bisnes angkut taik.

Zaman saya kanak-kanak dulu, kat kampung masih lagi ada jamban tradisional yang guna tong taik.

Ada sebuah rumah kecil yang dibina hanya muat untuk satu orang. Ada lubang kecil di tengah lantai rumah kecil itu. Dan dibawah lubang itu diletakkan sebuah tong. Dari situlah kita buang air besar dan najis masuk ke dalam tong taik itu.

Kat kampung saya akan ada seorang Apek Tua yang kerjanya datang dua hari sekali angkut taik yang penuh di dalam tong taik tadi.

Dia akan kandar dua tong besar dari rumah ke rumah untuk kosongkan najis yang ada di jamban setiap keluarga.

Sekarang bisnes itu dah tak wujud lagi.

Bayangkan ketika itu jika bisnes anda adalah perkhidmatan angkut taik.

Kalau orang tanyapun anda tak akan jawab secara terus terang. Tambahan lagi jika orang tanya ketika makan di kenduri kat kampung.

Itu contoh perniagaan yang langsung tak glamour.

Ada banyak lagi perniagaan yang tak glamour ini.

Bisnes buat ikan kering, bisnes cuci longkang, bisnes pest control, bisnes cuci toilet dan sebagainya. Semuanya masuk dalam kategori bisnes yang tak glamour.

Umumnya, bisnes tak glamour ini kebiasaannya bergelumnag dengan kerja atau aktiviti yang tidak selesa, kotor atau mungkin sukar.

Orang yang jenis bersolek, pakai berbagai bahan kosmetik untuk cantikkan kulit dan tubuh badan, sudah pasti minta simpang dari masuk dalam bisnes sebegini. Tak glamour katanya.

Bisnes seperti buang bahan buangan, kutip scrap, kutip plastik buangan dan sebagainya juga masuk dalam bisnes yang tak glamour ini. Kerjanya sukar, dan memerlukan kudrat yang tinggi.

Sebenarnya ada banyak lagi perniagaan yang tidak memerlukan taukehnya jadi glamour. Itulah bisnes yang biasanya dijalankan secara diam-diam tapi taukehnya kaya raya.

Kalau dia masuk dalam bidang makananpun dia buat secara senyap bersesuaian dengan keperluan sahaja. Dia aktifi hanya kepada pelanggan setia atau pelanggan sasarannya sahaja. Kalau nak masuk media, akhbar atau nak diviralkanpun dia tak mahu.

Usahawan glamour, usahawan senyap, mana lebih bagus

Kalau anda diberi pilihan, mana satu agaknya bisnes yang nak dibuat ?

Adakah bisnes yang glamour atau bisnes yang tak glamour ?

Nak jadi usahawan glamour atau nak jadi usahawan senyap ?

Bagi saya, pilihan terbaik bagi orang yang baru nak bisnes dan tak berapa banyak duit sangat, pilihlah perniagaan yang tak glamour.

Perasaan nak kepada glamour itu tolak ke tepi sebentar.

Biarlah orang tak kenal kita seantero dunia, tapi kita dapat hasil perniagaan yang lebih dari mencukupi.

Bina perniagaan perlahan-lahan sehingga kita benar-benar cukup kuat sebelum nak jadi glamour. Sebab masa itu, pesaing yang sedar yang nak cuba masuk, akan fikir dua tiga kali untuk cuba bersaing dengan kita.

Cuba pilh perniagaan yang tak ramai orang suka buat. Samada disebabkan remeh temeh atau mungkin disebabkan kotor dan tidak menyelesakan.

Perniagan itu kurang persaingannya. Dan tak ramai yang sanggup untuk terjun masuk.

Berbanding dengan bisnes yang glamour.

Dah namapun glamour, sudah tentu ramai yang suka nak buat. Jadi glamour adalah kecenderungan semula jadi manusia.

Kalau anda tak cukup banyak duit, tak cukup kekuatan, masuk dalam dunia perniagaan yang glamour bakal mengundang gergasi lain yag jauh lebih besar.

Biasanya kita tak akan mampu bertahan lama bila bersaing dengan gergasi yang ada jauh lebih banyak duit dan kuat segala sokongannya. Glamour sekejap dua tiga tahun, kemudian senyap sunyi tenggelam dan hilang.

Jika perniagaan anda dah besarpun, tak payahlah nak tonjolkan diri nak kepada status glamour. Ia hanya mengundang masalah dan persaingan yang tidak dijemput.

Buat segala aktiviti pemasaran yang hanya mendatangkan hasil yang diterjemahkan dari segi untung dan rugi sahaja.

Tak guna iklan sana sini, masuk TV, masuk media dan disanjung menjadi buah mulut orang ramai, sedangkan jika lihat penyata kewangan, nak cecah titik pulang modalpun tak dapat.

Bisnes tak untung tapi orang semua kenal bukanlah satu perkara indah yang boleh anda bangga sebagai seorang usahawan.

Itu pandangan saya… anda pula bagaimana ?

Nota: Maaf lah, niatnya nak tulis pendek, tapi jadi panjang juga akhirnya. Terima kasih sudi membacanya sampai habis

Total
98
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. Assalamualaikum tuan Shubhi. Saya gembira membaca artikel tuan. Apa yg tuan tulis adalah realiti kehidupan kebanyakan usahawan bekerja sendiri. Terima kasih

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge