Apa yang anda faham tentang peribahasa ‘Yang secupak takkan jadi segantang’ ini?

Sekarang ni, agak jarang kita dengar orang sebut peribahasa ini dalam kehidupan seharian. Tapi saya yakin semua orang tahu pasal peribahasa yang terkenal ni.

Kalau orang kampung yang masih pakai ukuran secupak, segantang dan yang seumpama dengannya, tentu lebih biasa dengar peribahasa ni.

Masa saya kecik-kecik dulu, mak simpan beras dalam satu tempayan besar kat atas rumah di dapur. Bila nak masak nasi, saya akan bantu mak ceduk beras untuk dimasukkan ke dalam periuk nasi.

Dalam tempayan tu ada dua bekas penceduk.

Satu bekas kecil yang diperbuat dari tin sebesar tin susu. Saya panggil pot. Biasanya mak akan beritahu nak masukkan berapa pot ke dalam periuk nasi untuk di masak. Ikut berapa ramai yang nak makan nasi kat rumah, kalau setakat 2 atau 3 orang, 2 pot sudah lebih dari mencukupi.

Dari segi ukurannya, saya difahamkan 2 pot itu bersamaan dengan satu leng. 2 leng pulak bersamaan dengan satu cupak.

Satu lagi, bekas yang lebih besar. Juga diperbuat dari tin. Yang saya tahu, bekas tin yang lebih besar itu berukuran satu cupak. Kena masukkan lebih kurang 4 pot untuk penuhkan bekas satu cupak itu.

Kalau nak jadikan segantang, kena masukkan sebanyak 4 cupak ke dalam bekas. Tapi bekas segantang memang saya tak ingat samada mak ada simpan atau tidak. Kalau pergi kedai runcit kat pekan, memang akan ada 3 jenis bekas tersebut yang diperbuat dari tin. Bekas untuk leng, cupak dan gantang.

Dari situlah saya tahu ukuran secupak dan segantang.

Kalau nak ikut ukuran sekarang. Satu gantang beras adalah bersamaan dengan beras seberat 3.6 kilogram.

Budak-budak sekarang tentu ramai yang tak pernah tengok kesemua bekas tin yang diguna pakai untuk ukur beras seperti zaman dahulu. Orang hanya main ukuran kilo saja sekarang.

Jadi, peribahasa kat atas tu mungkin akan lebih difahami jika disebut, Yang sekilo tak kan jadi 4 kilo.

Itu semua hanyalah jenis ukuran yang diguna pakai untuk kemudahan timbangan dalam menjalani kehidupan seharian.

Maksud yang secupak takkan jadi segantang

Apa yang penting untuk difahami dalam ayat peribahasa di atas itu adalah maksud yang nak disampaikan.

Kalau anda rujuk ke dalam kamus peribahasa Melayu, makna yang diberikan untuk peribahasa tersebut adalah:

“Sesuatu yang tak dapat diubah lagi”

Peribahasa lain yang membawa maksud sama adalah seperti berikut:

  1. Yang sehasta takkan jadi sedepa
  2. Yang sejengkal tidak dapat jadi sedepa

Kesemuanya berkisar tentang ukuran.

Apa yang usahawan perlu faham

Apa yang boleh diambil pelajaran dari peribahasa tersebut?

Soalan itu lebih penting untuk anda tanya sekarang. Kenapa orang tua-tua berikan pesanan sedemikian?.

Tak ada peribahasa yang orang bijak pandai kita dahulu reka sekadar untuk suka-suka. Sudah pasti ianya punya maksud besar yang kita perlu ambil, pegang dan amalkannya dalam menjalan kehidupan seharian.

Kalau anda berniaga, peribahasa ini amat besar peranannya dalam membentuk gerak kerja anda bagi menjayakan perniagaan yang sedang dijalankan.

Fahaman yang sesat yang perlu dielakkan adalah apabila peribahasa ini dijadikan alasan untuk tidak berusaha lagi.

Biasanya anda boleh kesan ada unsur sesat bila peribahasa ini dilafazkan dalam bentuk mengeluh.

“Alahhhh, nak buat camna. Rezki secupak takkan jadi segantang !”

Tetapi sebaliknya, jika peribahasa ini disebutkan dengan nada yang tegas dan bersemangat, ada kemungkinan besar yang usahawan itu faham kedudukan sebenar dan bersedia untuk mengorak langkah.

Ukur terlebih dahulu kedudukan sebenar

Perkara paling asas dan paling penting untuk anda sebagai usahawan perlu amalkan adalah dengan sentiasa ukur kedudukan diri anda sekarang.

Sebab itu peribahasa tersebut di atas dibentuk dengan menggunakan sistem ukuran yang ada ketika itu. Secupak, segantang, sedepa, sejengkal dan sehasta.

Maksudnya, kalau anda berniaga, tak ukur pendapatan sebenar perniagaan anda, tak ukur berapa kos yang perlu dikeluarkan, berapa jumlah pelanggan yang anda dapat, berapa hasil jualan yang anda berjaya kumpulkan dan sebagainya, itu satu kesalahan besar dalam konsep tawakkal dan berusaha.

Tak tau untung berapa rugi berapa, dah ada hati nak sebut peribahasa ‘yang secupak takkan jadi segantang’. Orang tua kita tak ajar macam itu!.

Ukur dulu. Tahu keseluruhan keadaan dengan setepat mungkin. Gunanya adalah untuk mengukur kedudukan diri dan perniagaan yang sedang anda jalankan.

Lihat apa yang ada sekarang

Kalau anda dah buat kesemua ukuran itu, baguslah. Sekurang-kurangnya, anda dah buat langkah awal untuk ke lankah seterusnya.

Kesilapan kedua yang usahawan buat setelah ukur dan tahu kedudukan sebenar perniagaannya, adalah dengan melihat apa yang dia tak ada sebagai alasan untuk tidak mencapai hasil yang lebih baik.

Saya bagi contoh mudah yang sering berlaku kepada usahawan yang sering saya jumpa.

Biasanya, saya akan pujuk dan yakinkan usahawan untuk mula kira status untung dan rugi perniagaannya. Itupun dah puas kena pujuk baru nak buat. Bila dah buat kiraan, baru nampak jumlah jualan yang dia dapat tidak mencukupi untuk membuatkan syarikat ada untung.

Dalam keadaan begitu, tak ada cara lain untuk jadikan bisnesnya untung, selain dari berusaha meningkatkan jualan dan kurangkan kos.

Kat situlah biasanya akan ada masalah.

Masalah bila dia tak faham makna sebenar ‘yang secupak takkan jadi segantang’.

Dia akan buat andaian, tak boleh nak tingkatkan jualan lagi sebab barang tak banyak dalam kedainya. Untuk tambah banyak barang perlukan dana untuk beli barang. Maksudnya dia perlu suntikan dana dari bank atau mana-mana agensi bantuan kewangan kerajaan.

Bila dia cuba buat pinjaman, memang tak layak sebab ada banyak syarat yang tidak dapat dipenuhi. Lebih parah lagi, selama ini dia tak cubapun berusaha untuk penuhi segala syarat yang ditetapkan. Dia harap pihak bank atau agensi kewangan kerajaan ubah segala polisi untuk mudahkan dia buat pinjaman …

Lagi parah.

Institusi pulak yang nak kena ubah, bukannya dia sendiri yang nak berubah!

Perkara betul yang anda kena buat dalam keadaan sebegitu adalah pegang kejap peribahasa ‘yang secupak takkan jadi segantang’.

Bermaksud, terima kenyataan kedudukan anda sekarang dan berikan tumpuan terhadap apa yang anda ada sekarang. Bukannya tengok apa yang anda tak ada. Yang tak ada tu, tak adalah!.

Lihatlah apa yang anda ada sekarang. Sumber yang ada dalam pemilikan anda. Masa, kudrat dan kekuatan dan lain-lain lagi. Macam mana nak gunakan apa yang ada itu untuk menjana lebih banyak jualan esok, lusa, minggu depan, bulan depan …

Haaa!

Itu baru betul berpegang pada konsep yang secupak takkan jadi segantang!

Begitulah seterusnya, sehingga masanya akan tiba anda akan dapat segantang, malah segunipun boleh dapat bila terus berusaha ke depan.

Bila ada secupak, terima dan bersyukurlah. Gunakan yang secupak itu untuk kedepan sampai jadi segantang. Bila dah ada segantang, terima dan bersyukurlah. Gunakan segantang yang ada itu untuk ke depan sampai jadi seguni …

Begitulah lebih kurang perkongsian saya kali ini. Moga anda mendapat satu perspektif baru dalam berusaha untuk berjaya. Sama-sama kita amalkan.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge