bebas dan keluar dari hutangHutang adalah fenomena biasa yang melanda manusia di zaman kita ini. Salah satu impian besar majoriti daripada orang ramai yang hidup sekarang adalah untuk bebaskan diri keluar dari hutang.

Berikut dikongsikan tulisan daripada saudara Ilhan Mansiz yang mampu memberikan inspirasi dan panduan untuk anda diluar sana yang sedang berusaha untuk keluar dari hutang.

Artikel asal berbahasa Inggeris diterbitkan di imoney.

Keluar Dari Hutang RM61,000 dalam Masa 25 Bulan

Sejak dari kecil saya mengimpikan kehidupan lengkap.

Apa maksud kehidupan lengkap?

Mengikut pengertian dangkal saya waktu itu, mempunyai semua benda yang dikehendaki tanpa perlu berkongsi dengan orang lain.

Dengan 6 adik-beradik yang lainnya dan sebagai abang sulung, saya mestilah mengalah selalu dalam hal mendapat apa-apa barang baru.

Impian dan pengertian itu terbawa-bawa dalam diri saya sehinggalah saya memasuki dunia pekerjaan.
Orang putih kata ‘corporate employment’.

Ibarat empangan yang pecah, seperti dirasuk, saya berbelanja untuk dapatkan semua benda yang sebelum ini saya mampu lihat sahaja.

Kereta, Rim Kereta, Baju, Seluar ‘skinny jeans’, macbook, pengering rambut (sebelum ni tak pernah kisah pun) dan kira-kira 30 barang-barang kehendak yang lain (tiada satu pun keperluan).

Ditambah dengan banyak pembelian tiba-tiba dengan menggunakan kad kredit, sedar tak sedar dah sampai RM61,000 hutang saya dalam masa lebih kurang 3 tahun bekerja.

Saya senaraikan hutang-hutang itu di sini,

  1. Ansuran AEON untuk Macbook : RM3,000
  2. Kredit Kad Maybank Visa : RM28,000
  3. Pinjaman Peribadi (Kahwin) : RM30,000

Memang gila !

Kehadiran anak dan perkahwinan membuatkan saya terfikir untuk berubah.

Bukan apa, bulan-bulan asyik bayar minimum sahaja sampai bila-bila pun tak habis. Kadang-kadang, bayaran minimum pun tak dapat nak buat. Lagi hancur, sebab bank kenakan penalty 17% untuk baki hutang di kad kredit.

Perlahan-lahan, saya nekad untuk berubah dan hasilnya selepas 25 bulan saya berjaya melangsaikan hutang-hutang tersebut.

Pinjaman peribadi pun saya dapat habiskan awal dengan memilih untuk buat pembayaran awal penuh.

Bila difikir balik, saya boleh ringkaskan perubahan tersebut dalam 7 langkah.

1. Ketahui Sebab Kenapa Perlu Berubah

Ini persoalan pertama yang saya perlu jelas sebelum bermula.

Saya sangat pasti kalau saya tak mengubah sikap saya terhadap kewangan, berapa banyak gaji pun tak akan cukup.

Saya mahu berubah sebab mahukan yang terbaik untuk anak perempuan saya.

Saya tidak mahu pening sebab tak cukup duit, dan saya mahu bermula untuk melabur dalam saham dan hartanah macam orang-orang lain.

Tapi macam mana nak buat kalau setiap bulan cuma mampu bertahan sipi-sipi sahaja?

Mengetahui sebab perlu berubah adalah langkah pertama dan paling penting. Sebab jangkamasa yang panjang, akan ada masa anda tersungkur.

Sebab yang kukuh akan menarik anda ke jalan yang betul.

Apa sebab anda?

2. Bajet Menggunakan Kaedah Sampul

Seorang rakan bercerita secara bersahaja pasal Bajet Sampul. Sangat klasik !.

Saya terpengaruh sebab saya tahu dia sangat berkira dengan kewangannya dan saya ingin lihat kalau ia boleh membantu saya.

Setelah membuatnya, jawapannya; sudah pasti!

Senang je, semua gaji yang saya dapat – saya masukkan dalam 4 sampul mengikut bajet yang telah ditetapkan.

Sampul Merah: Buku (selalu jadi mangsa kalau sampul lain tidak mencukupi)

Sampul Biru: Keperluan (Makan-minum, Minyak kereta)

Sampul Emas: Khas (Hari Raya, Impuls)

Sampul Pink: Bayaran berulang (Servis kereta, Lesen memandu dll)

keluar dari hutang

Setiap hari, saya keluarkan jumlah yang perlu untuk hari itu sahaja untuk digunakan.

Contohnya minyak kereta RM50 dan makanan RM10. Itu sahaja yang saya simpan dalam dompet untuk hari tu.

Ada beberapa sebab kenapa cara ini berkesan:

  1. Saya terpaksa merancang pembelian terlebih dahulu setiap pagi. Jadi tiada lagi pembelian tiba-tiba. Kalau ada, alamatnya tak makan lah hari tu.
  2. Saya dapat lihat duit dalam sampul tu makin lama makin sedikit. Jadi secara psikologi pun saya kurang berbelanja secara automatik.
  3. Sekiranya duit dalam sampul dah habis di tengah bulan, saya akan selaraskan bajet saya di bulan seterusnya. Mungkin bajet saya tak realistik, ataupun saya hidup melebihi kemampuan. Sampul lain akan menjadi mangsa di waktu macam ini.

3. Rekodkan Setiap Perbelanjaan

Dulu saya ingat banyak masa diperlukan untuk rekodkan perbelanjaan.

Tidak selama yang anda sangkakan.

Bila dah terbiasa buat, tak perasan pun masa yang diperlukan.

Banyak yang boleh dibuat bila anda tahu dengan tepatnya apa yang anda buat dengan duit anda.

Dengan klasifikasi kategori yang betul, anda tahu aktiviti mana yang mendominasi duit anda. Adakah aktiviti itu betul-betul anda perlukan?

Apabila saya rekodkan (dah 3 tahun saya buat), barulah tertempek di dahi saya betapa banyaknya saya belanjakan untuk rokok. Ini membuatkan saya terfikir untuk berhenti rokok dan cuba menyimpan RM300 itu untuk bayar hutang.

Dulu, saya guna jurnal dan analisis setiap bulan. Lama juga.

Sekarang dah senang, guna apps Spending Tracker!

Bila anda dah ada rekod perbelanjaan tahunan, aktiviti yang berulang secara tahunan pun anda akan nampak dan boleh rancang.

Contohnya, bayaran cukai kenderaan, perbelanjaan duit raya, jumlah perbelanjaan untuk buku dan lain-lain.

Kalau tak, main teka je.

Tak tepat.

4. Berkawan Dengan Orang Yang Betul

Nasib saya agak baik, sebab di waktu ini antara kawan rapat saya adalah Muhammad dan Hilmi.

Kedua-dua mereka mempunyai sikap yang hampir obsesif kepada perancangan kewangan. Hilmi akan membuat jadual dalam Excel untuk membandingkan pilihan-pilhan barangan sebelum pembelian.

Muhammad pula, akan bimbang selama 6 bulan sama ada mahu membeli seluar pengembaraannya (walaupun harganya RM70 sahaja).

Kelakar juga.

Tapi sikap mereka terkesan kepada saya. Bagus juga.

Saya contohi sikap mereka walaupun tak ada lah obsesif sangat. Untuk setiap rancangan pembelian, saya akan bagitahu dulu pada mereka.

Biasanya, mereka akan saring dulu untuk memastikan yang saya mempunyai wang untuk membayar pembelian itu.

Ataupun barang itu tak perlu dibeli, boleh dipinjam ataupun kehendak sahaja sebenarnya.

Bila dah ditanya sebegitu saya biasanya batalkan sahaja niat mahu membeli barang yang tak perlu tu.

5. Gunting Kad Kredit

Sebab utama saya berhutang, adalah kerana ilusi bahawa saya mempunyai wang yang banyak.

Kad kredit saya waktu tu mempunyai limit 30 ribu, jadi saya bantai cukup-cukup.

Mantra saya waktu tu, biar Ilham masa depan yang fikirkan.

Kalau anda berhutang (hutang jahat, hutang baik tak apa), dan mempunyai kad kredit; hentikan penggunaan kad kredit itu.

Saya gunting kad kredit itu dan tampal di bilik peribadi sebagai tanda kemenangan.

Waktu itu, terasa rugi sebab tak boleh manfaatkan TreatPoints, tapi saya ingatkan pada diri bahawa Treatpoints tu untuk orang yang berkewangan kukuh sahaja.

Saya perlu berusaha dulu ke arah itu.

Satu lagi kekurangan nya adalah, anda akan perlu membawa wang tunai ke-mana-mana.

Contohnya kalau outstation dan perlu tinggal di hotel, kenalah buat advance dengan company. Takpun bawa duit yang banyak dalam poket.

Kadang-kadang tersalah tafsir bulanan, pening kepala juga untuk memastikan boleh bertahan ke bulan seterusnya.

Tapi itulah harga yang perlu dibayar untuk berubah.

6. Tampal Matlamat Anda

Seperti di atas, bersama dengan kad kredit yang sudah terbelah dua, saya sertakan juga jadual baki hutang saya dari bulan ke bulan.

Isteri pun turut serta, dan setiap bulan kami dapat rasakan kami bergerak ke arah yang betul apabila lihat baki hutang semakin berkurang.

Orang kata, jauh dari pandangan, jauh dari ingatan.

Jangan biarkan misi anda diketepikan, jangan bagi peluang untuk diri kita sentiasa terlihat jadual itu.

Saya letak kertas ini di dinding atas TV, jadi selalu nampak bila menonton rancangan di TV.

Ada sekali family isteri datang dan nombor hutang tu pun masih terpampang kat situ!

Hentam je.

7. Tambah Pendapatan, Kurangkan Perbelanjaan

Ini yang paling asas.

Untuk melangsaikan hutang dengan cepat, anda mesti mempunyai lebihan wang dari pendapatan anda.

Untuk itu, langkah-langkah yang di atas tadi telah menunjukkan di mana wang anda pergi.

Inilah gunanya.

Setiap bulan, saya akan melihat bahagian mana yang boleh dikurangkan untuk mendapat lebih wang.

Contohnya, kalau rokok boleh dikurangkan atau dihapuskan terus, saya akan ada lebihan RM300.

Kadang-kadang, saya lihat Kategori: Makan terlalu tinggi saya akan kurangkan makan di tempat mahal dan makan di kafe subsidi di tempat kerja sahaja.

Ataupun cari mesyuarat yang ada makanan lebih.

Semua ini akan menjadi automatik sekiranya anda tahu ke mana wang anda pergi dan aktiviti mana yang dirasakan boleh dikurangkan untuk mencapai impian anda.

Memang lama untuk berubah.

Tetapi saya bersyukur melalui pengalaman sebegini sebab ia memaksa saya untuk berubah.

Kini, saya masih meneruskan sikap ini walaupun hutang itu telah habis. Sekarang adalah waktu untuk hutang baik, dan bolehlah pakai kad kredit.

Ada lagi cara-cara lain untuk jimat duit dan keluar dari hutang dengan cepat? Jika anda juga ada cara tersendiri, boleh turut sumbangkan artiel anda seperti saudata Ilham ini.

Artikel ini disumbangkan oleh Ilham Mukhtar. Dia menulis mengenai produktiviti dan peningkatan diri di ilhamsays.

Total
41
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

10 comments

  1. Terima kasih kongsikan..Sangat meningalkan kesan yang mendalam..sekali fikir, mampu ke saya buat macam ni.. Tapi itulah.. bukan senang nak berubah kearah yang lebih baik dan selesa..
    Hafizul recently posted…Life Must Go OnMy Profile

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge