tingkatkan jualan perniagaanPerkara yang paling seronok buat usahawan bila perniagaannya dah berjalan lancar adalah, usaha untuk tingkatkan jualan perniagaannya.

Proses sejak mula menceburkan diri sebagai usahawan biasanya akan berkembang seperti berikut,

  1. Dapat idea nak buat bisnes apa – Ini bukanlah satu perkara mudah sebenarnya.
    1. Ramai orang sedar yang dia memang teringin atau minat sangat nak jadi seorang usahawan. Mungkin idea minat nak jadi usahawan itu adalah gambaran seronok bila tengok usahawan berjaya yang lain, maka dia juga teringin nak jadi usahawan.
    2. Sebab itu ramai yang akan bertanya soalan pada usahawan lain, apakah perniagaan yang baik untuk dijalankan. Jawapan kepada soalan itu sebenarnya hanya diri anda sendiri yang perlu buat kajian, perniagaan apa yang sesuai untuknya.
  2. Buat persiapan untuk mula niaga – Biasanya perkataan yang amat popular sekarang dalam proses ini adalah Start-up.
    1. Tidak ada perkataan khusus yang saya tahu dalam bahasa kita untuk terjemahkan perkataan Bahasa Inggeris ini. Antara perkara penting dalam proses ini adalah usaha kumpulkan dana untuk mulakan perniagaan berdasarkan idea yang ada dalam kepalanya.
    2. Untuk dapatkan dana, perkara penting adalah untuk yakinkan orang untuk berikan duit padanya. Sebab itu pembuktian atas kertas atau kertas kerja perniagaan biasanya menjadi panduan untuk kerja meyakinkan pelabur atau peminjam.
  3. Mula berniaga – Jika kertas kerjanya baik, dibuat berdasarkan kajian dan keyakinan usahawan itu sendiri dengan ikhlas, dia akan dapat dana untuk mulakan perniagaannya.
    1. Pada peringkat ini, usahawan mula tahu bahawa apa yang dia rancangkan dalam kertas kerjanya hanyalah persediaan asas semata-mata. Realitinya ternyata jauh lebih sukar daripada yang dia sangkakan.
    2. Dalam peringkat ini, usahawan baru faham kenapa ramai orang kata, ” tembak terlebih dahulu kemudian baru sasarkan supaya lebih tepat “. Itulah yang usahawan perlu lakukan bila dah mula berniaga.
  4. Perniagaan mula bergerak naik – Usahawan tahu bahawa perniagaannya mula bergerak naik apabila melihat adanya duit masuk hasil daripada jualan produk atau perkhidmatan yang dia jalankan. Dalam peringkat ini, kebanyakan usahawan akan leka pada jumlah jualan setiap bulan. Itulah yang biasanya menjadi kayu ukur kejayaan perniagaannya.

Mula kejar untuk tingkatkan jualan

Selepas melalui peringkat ke-4 yang saya senaraikan di atas tadi, kebanyakan usahawan akan leka dan mula fokus untuk tingkatkan hasil jualan perniagaan yang dia jalankan.

Segala ilmu dan segala idea yang dia cari adalah ke arah untuk tingkatkan hasil jualannya.

Ini tidak menghairankan sebab biasa terjadi bila perniagaan mula rancak, usahawan akan rasa duit tak berhenti masuk, jualan nampak macam ok, duit ada keluar dan masuk, tapi yang menjadi tanda tanya pelik dalam kepalanya adalah, kenapa duit sentiasa dirasakan macam tak pernah cukup.

Bila semua urusan untuk menjawab soalan pelik tersebut dibuat hanya dengan kaedah congak sahaja, maka biasanya rumusan yang usahawan akan buat adalah,

Untuk bagi duit cukup, usahawan perlu tingkatkan lagi hasil jualan.

Nampak macam logik.

Betul jugak !, kalau jualan perniagaan naik, sudah tentu lebih banyak untung. Bila banyak untung, tentu duit akan mula mencukupi.

Maka terkejar-kejarlah usahawan untuk menjalankan projek tingkatkan hasil jualan.

Akan keluar idea nak buka cawangan, tambah stok, pinjam duit lebih banyak untuk besarkan perniagaan dan macam-macam lagi usaha yang seumpama dengannya.

Tingkatkan untung sebelum tingkatkan jualan

Berdasarkan pengalaman saya, sebelum anda nak bertungkus lumus buat berbagai pendekatan bagi meningkatkan jualan, terlebih dahulu elok kaji peratusan keuntungan bersih terlebih dahulu.

Kenapa saya kata begitu ?

  • Sebab kerja mengkaji keuntungan bersih yang perniagaan anda catatkan amat penting untuk stabil dan matangkan perniagaan anda.
  • Kerja mengkaji keuntungan bersih boleh dilakukan tanpa mengeluarkan apa-apa modal tambahan. Anda hanya perlu sediakan perincian duit keluar dan masuk perniagaan dan lihat baki yang ada pada hujungnya.
  • Bila dah dapat peratusan untung bersih perniagaan, anda boleh bandingkan dengan prestasi industri. Anda perlu semak dengan kawan lain yang jalankan perniagaan yang sama dan bandingkan kedudukan perniagaan anda. Sasaran sebenar adalah untuk pastikan peratusannya adalah sama atau lebih tinggi daripada prestasi industri.
  • Kalau tak dapat seperti yang saya sebutkan di atas, anda boleh sedar bahawa ada sesuatu yang salah dalam urusan pengendalian perniagaan anda. Mungkin kos anda tinggi atau mungkin harga anda terlalu rendah. Jadi kerja pembaikan dapat dijalankan segera sebelum ia menjadi parah dan meletihkan.

Untung mantap baru fikir naikkan jualan

Bila dah capai sasaran, barulah mula ambil langkah seterusnya untuk tingkatkan jualan.

Barulah semua urusan untuk naikkan hasil jualan itu berbaloi dan perniagaan anda berada di landasan yang betul.

Biasanya usaha untuk tingkatkan jualan ini boleh dilakukan dengan 4 cara yang mudah. Maksud saya cara itu saja yang mudah, tapi nak lakukannya bukan semudah ungkapannya.

Saya akan kongsikan apakah 4 cara mudah untuk meningkatkan jualan perniagaan anda dalam artikel lain bila saya ada masa nanti.

Sebelum itu, sila buat apa yang saya sarankan terlebih dahulu, iaitu pastikan keuntungan bersih perniagaan anda adalah maksimum berdasarkan prestasi industri.

Selagi tak dapat selesaikan masalah itu, jangan nak buat pasal untuk tingkatkan jualan lagi.

Nota: Sebab itu penjagaan akaun untuk melihat prestasi perniagaan anda amat penting dan bukan satu urusan yang boleh dibuat main-main. Walaupun apa alsan anda, pastikan semua nilai duit keluar dan masuk dijaga dengan kemas dan dicatit secara terperinci. Taukeh jangan lupa untuk ambil gaji tetap macam pekerja lain !.

Total
123
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

17 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge