Kali ini nak kongsikan sedikit dilema jaga duit dalam perniagaan. Ini perkara yang biasa dilalui oleh ramai usahawan di luar sana.

Ia lebih banyak berlaku kepada usahawan yang menjalankan perniagaan perkhidmatan. Dan perkhidmatan pula ditawarkan kepada entiti perniagaan juga. Dalam terma yang biasa kita dengar adalah, perniagaan jenis ‘Business to Business’.

Jaga duit vs jaga untung

Kita cuba buat pencerahan sikit antara ‘jaga duit’ berbanding ‘jaga untung’ kat sini supaya semua yang baca faham dari sudut yang sama.

Yang dimaksudkan sebagai menjaga duit kat sini, adalah duit sebenar secara tunai dalam perniagaan. Ada peniaga yang lebih selesa untuk pegang dan kira duit tunai saja. Budaya ini diamalkan oleh ramai usahawan kecil-kecilan yang manjalankan perniagaan secara tunai.

Manakala jaga untung kat sini saya maksudkan sebagai perkiraan atas kertas sesebuah perniagaan. Tak ramai usahawan yang buat kerja jaga untung atas kertas ini.  Terutamanya para peniaga yang berbisnes secara tunai seperti di atas.

Bagi usahawan yang buat perniagaan dengan menggunakan syarikat sendirian berhad, urusan ini tidak dapat dielakkan. Sebab akaun syarikat perlu diaudit jika ianya jenis Sdn Bhd. Lebih-lebih lagi bagi perniagaan yang jumlah pendapatan mereka melebihi RM500 ribu. Iaitu perniagaan yang perlu daftarkan syarikat mereka dengan sistem GST.

Jadi kita ambil faham kat sini jaga duit adalah jaga duit tunai. Manakala jaga untung adalah jaga kedudukan sebenar syarikat atas kertas.

Tengok untung rugi perniagaan atas kertas

Dalam artikel yang sebelum ini, saya ada sebut supaya usahawan perlu mantapkan perniagaannya dari segi peratusan untung terlebih dahulu, sebelum nak tekankan peningkatan hasil jualan. Baca artikel tu kat sini terlebih dahulu kalau anda masih tak baca lagi artikel itu.

Langkah kedua selepas dah pastikan keuntungan perniagaan syarikat atas kertas dah mantap adalah, tengok pula kedudukan duit tunai dalam akaun syarikat. Atau mungkin lebih tepat lagi, anda perlu lihat kedua-dua perkara tersebut serentak.

Jaga duit tunai syarikat

Samada dah hadapinya atau belum, anda perlu sedar bahawa banyak syarikat lingkup sebab duit tunai tak ada dalam poket atau dalam akaun bank syarikat. Banyak syarikat secara atas kertasnya menguntungkan, tetap bungkus juga akhirnya bila tak ada tunia nak bayar bil.

Duit tunai adalah hidup dan mati syarikat. Bila tak ada duit nak bayar gaji, nak bayar pembekal, bil, hutang dan sebagainya, syarikat akan mati dengan cepat. Bukan itu saja, reputasi usahawan juga akan menjadi buruk. Potensi nak bangun semula menjadi lebih sukar bila tak ada orang yang mahu berurusan dengan anda.

Dilema jaga duit dalam perniagaan

Bagi usahawan yang baru nak bertapak, urusan kewangan ini amat sukar. Pembekal hanya akan bagi harga yang baik pada usahawan baru hanya jika barangan dibeli secara tunai. Bukan setakat perlu beli tunai, pembekal juga kenakan syarat perlu beli dalam kuantiti yang banyak untuk harga yang lebih rendah. Jadi perlu ada tunai yang banyak untuk semua urusan tersebut.

Usahawan baru sering kena buli dengan para pembekal.

Bagi perniagaan yang berurusan dengan syarikat pula dalam menwarkan produk atau perkhidmatan mereka, sekali lagi akan kena buli.

Syarikat yang menjadi pelanggan akan kenakan syarat pembayaran secara kredit. Mereka tekan usahawan baru terma kredit yang panjang. Paling cepat mungkin satu bulan atau 45 hari. Bagi syarikat yang lebih kejam lagi, mereka akan panjangkan lagi tempoh terma kredit tersebut.

Biasanya, lebih besar syarikat yang jadi pelanggan, maka lebih panjang terma tempoh kredit yang dikenakan. Lebih besar syarikat yang jadi pelanggan usahawan baru, lebih buruk mereka buli.

Sudah jadi perkara biasa syarikat besar akan buli syarikat kecil dengan begitu teruk sekali. Saya ada sendiri pengalaman sebegitu yang memberikan kesan amat pahit dalam sejarah perniagaan saya. Ada syarikat yang tak bayar satu senpun selama setahun. Malah ada syarikat besar, disenaraikan dalam bursa saham lagi, tak bayar hutang habis sampai sekarang.

Malang sekali dunia usahawan kecil macam anda dan saya. Kita sering terperangkap membela dan menyara syarikat yang besar-besar. Sedangkan sepatutnya ia adalah terbalik. Mereka yang sepatutnya membimbing dan memupuk syarikat yang lebih kecil daripada mereka.

Tapi dunia sebenar tidak berlandaskan kepada perkara ‘sepatutnya’. Oleh itu, sila buang saja perkataan sepatutnya dari diari anda jika mahu pastikan anda jadi usahawan dalam tempoh yang lama.

Jadi sila ingat perkara ini. Usahawan kecil dan baru sentiasa akan jadi sadin di tengah dunia perniagaan yang yang penuh persaingan. Anda terpaksa menyara syarikat besar dengan berikan terma kredit yang panjang. Anda juga terpaksa menyara pembekal besar dengan beli barang secara banyak dan tunai.

Jika anda mampu selesaikan kedua-dua perkara tersebut, anda akan mampu melayari dunia perniagaan dengan lebih mudah. Untuk berupaya melakukan semua itu, pengalaman dan jaringan kenalan dari mereka yang dah lama dan berjaya dalam dunia perniagaan amat penting. Jadi pastikan anda cari mereka dan bina perhubungan supaya rapat.

Tengok semua duit keluar masuk dengan tekun

Bagi usahawan baru, pastikan anda sentiasa tengok kesemua duit keluar masuk dalam perniagaan anda. Jika syarikat anda besar dan gunakan cheque, pastikan anda yang sign semua cheque sendiri. Ini perkara pahit yang saya belajar setakat ini. Jangan percaya sesiapapun untuk menjaga duit dalam perniagaan anda selain dari diri anda sendiri.

Jangan takut hilang pelanggan yang sudah ada rekod pemalas bayar awal. Buang saja pelanggan sebegitu walaupun ianya adalah sebuah syarikat besar tersenarai dalam bursa saham utama. Tak guna glamour invoice besar sedangkan duit tunainya anda tak dapat, itu bunuh perniagaan anda sendiri.

Jika anda bisnes kat kampung dan ada pelanggan yang suka berhutang, jauhi saja pelanggan jenis sebegitu. Bukan kejam, tapi anda perlu pastikan perniagaan anda berjaya dan anda sendiri ada banyak duit terlebih dahulu sebelum nak buat semua kerja kebajikan percuma sebegitu.

Dalam bab ini, sentiasa ingat pesanan pramugari atas kapal terbang, pakai bantuan pernafasan anda terlebih dahulu sebelum nak pakaikan pada orang lain. Selamatkan diri anda terlebih dahulu sebelum cuba selamatkan orang lain.

Rumusannya kat sini, anda perlu ingat kepada 3 perkara ini;

  1. Pastikan perniagaan anda untung atas kertas.
  2. Pastikan semua kerja dibayar dan duit masuk ke dalam akaun syarikat. Perlu ada kerani yang kerjanya adalah follow-up pembayaran sampai dapat. Anda sebagai boss perlu pantau urusan ini tanpa jemu.
  3. Kawal semua perbelanjaan dan jangan belanja atas dasar andaian. Semua belanja mesti dipantau dan ada alasan yang kukuh untuk keluarkan duit syarikat.

Setakat itu saja untuk kali ini. Jaga duit tunai perniagaan anda walau dengan apa cara sekalipun. Jangan main-main !

Total
68
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge