Kita sambung lagi artikel panduan untuk elak bisnes rugi dengan melakukan 6 perkara asas.

Sebelum itu, elok saya ingatkan semua pembaca bahawa untuk pastikan sesebuah bisnes tu tak rugi perlu ambil masa.

Ada orang berjaya jadikan bisnesnya tak rugi dalam masa yang pantas.

Ada sesetengah orang, ambil masa yang lama.

Yang pastinya, tak ada orang orang yang boleh mula berniaga dan terus untung. Saya maksudkan orang yang ada niat untuk bina sesebuah bisnes atau syarikat yang mampu bertahan selama yang mungkin.

Alang-alang nak jadi usahawan, eloklah ada niat untuk membina sebah syarikat yang boleh kekal lama. Dapat diperturunkan kepada anak cucu. Atau mungkin sebuah syarikat yang akhirnya dikendalikan oleh kumpulan yang profesional ke tahap yang lebih jauh. Sejauh mungkin.

Kalau buat bisnes sekali sekala ikut musim. Buat duit kemudiannya berhenti. Cari pula projek lain, buat duit dan berhenti. Itu namanya buat duit. Bukan nak berusaha untuk bina apa-apapun melainkan nak buat duit saja. Kita tak nak bincangkan projek keusahawanan semacam itu dalam artikel ini.

Bisnes tak rugi dengan buat 6 perkara asas

Saya ulang kaji balik kesemua perkara yang dah saya kongsikan dalam 2 artikel sebelum ini dalam urusan untuk jadikan bisnes tak rugi.

  1. Pantau duit keluar dan masuk – Harap semua dah cekap buat urusan penting ini. Kalau ada modal, gunakan teknologi supaya urusan ini jadi lebih mudah dan teratur.
  2. Kira margin untung kasar – Pantau segala belian yang diperlukan untuk tunaikan segala pembelian yang berlaku. Catit dan ambil kesemua resit kos jualan. Dari jumlah jualan dan kos jualan, anda dah boleh dapatkan kiraan jumlah untung kasar. Pastikan untung kasar 50% atau lebih berbanding jumlah jualan.
  3. Kira titik pulang modal dan pastikan sentiasa lepas – Untuk kira titik pulang modal, anda perlu seleaikan kiraan untung bersih perniagaan yang anda buat tu. Untung bersih sebelum cukai mudah saja nak kira bila anda dah tahu untung kasar. Kos tetap perniagaan tu hanya perlu kira sekali saja sebab ianya adalah tetap dan jarang berubah dalam keadaan bisnes berjalan seperti biasa.

Dalam artikel yang lalu, saya terangkan agak panjang proses ke-3 di atas tu. Macam mana nak kira Titik Pulang Modal.

Iaitu, jumlah jualan yang paling minimum perlu anda capai supaya perniagaan yang anda usahakan tidak untung dan tidak pula rugi. Maknanya, setelah tolak kesemua kos jualan, tolak kos tetap, tak ada lagi baki untuk disimpan dalam akaun bank syarikat anda.

Sekali pandang, nampak macam kerja sia-sia.

Apa kes berniaga macam itu. Satu senpun bisnes tak buat untung!.

Sebelum anda buat anggapan macam itu. Lihat semula macam mana anda kira tadi. Walaupun bisnes anda lansung tak ada baki, sekurang-kurangnya, gaji untuk anda sendiri sebagai pemilik bisnes dah selesai. Boleh tunaikan semua tanggungan yang ada untuk teruskan kehidupan tanpa tekanan.

Mungkin anda tak tahu bahawa, dari pengalaman saya dok kongsikan panduan uruskan perniagaan selama ini, hampir separuh dari usahawan tak sedar selama ini bisnesnya rugi !. Tak payah nak cakap pasal gaji Taukeh. Memang tak pernah dapat tetappun dan sentiasa kurang daripada jumlah yang diharapkan.

Antara kesilapan paling popular adalah, tak tentukan gaji tetap Taukeh.

Sebab itu saya sarankan sangat, supaya anda tentukan terlebih dahulu keperluan gaji tetap anda. Supaya anda dapat pastikan Kapten kapal tak kojol terlebih dahulu. Kalau kapten tak kojol, maka peluang untuk kapal terus belayar adalah jauh lebih tinggi.

Dengan tentukan gaji tetap taukeh juga, anda mula tetapkan sasaran yang betuk ke arah pembinaan syarikat supaya boleh pergi lebih jauh. Dalam masa yang sama melatih diri berdisiplin kawal perbelanjaan peribadi jangan sampai terlajak dan ikut perasaan.

Cara mudah cari titik pulang modal

Jika anda dah buat kesemua kiraan yang saya dah kongsikan dalam 2 artikel sebelum ini. Anda tentu dah dapat faham kesemua perkara asas yang perlu diketahui untuk pastikan jumlah jualan yang wajib anda capai setiap bulan.

Jika masih tak faham. Biasanya anda puas adjust nak jadikan untung bersih tu kosong. Tak untung dan tak rugi.

Lebih-lebih lagi jika setelah habis kira, anda dapati duit baki setelah untung kasar ditolak dengan kos tetap adalah Negatif!. Maksudnya Rugi bersih!.

Kalau jadi macam tu, tak perlu risau.

Anda masih boleh kira jumlah jualan minimum perlu dicapai (Titik Pulang Modal) dengan ambil jumlah Kos Tetap perniagaan anda tadi.

Titik Pulang Modal = (Kos Tetap) x 2

Katakan setelah dikira, anda perlu bayar segala kos tetap perniagaan anda sebanyak RM12,450

RM12,450 x 2 = RM24,900

Dari kiraan kat atas tu, maka jumlah jualan yang perlu anda capai setiap bulan adalah RM24,900 ke atas. Nak mudahkan urusan, genapkan saja jumlah tu jadi RM25,000

Itu formula mudah macam mana nak kira Titik Pulang Modal bisnes yang anda buat sekarang. Syaratnya adalah pastikan anda dapat Margin Untung Kasar 50% berbanding jumlah jualan.

Saya dah terangkan betapa pentingnya untuk kuntau dengan apa saja cara supaya bisnes yang anda buat boleh capai untung kasar separuh dari jumlah jualan.

Itu panduan cara saya. Mungkin sekolah bisnes lain berbeza caranya.

Tapi kalau saya punya cara, itulah yang akan jadi pedoman untuk tentukan samada sesebuah perniagaan itu, saya nak teruskan atau tidak. Kalau mustahil untuk buat margin untung kasar 50%, saya akan tidak berminat dengan bisnes tersebut.

Untuk yang baru nak berbisnes, lebih mudah dan selamat pakai cara itu. Tapi kalau anda dah ada modal banyak. Duit melimpah-limpah dalam bank, tak kisah kalau untung kasar nipis pun.

Berusaha dan pantau sampai capai titik pulang modal

Bila dah tahu yang anda perlu pastikan jumlah jualan perlu sentiasa lebih dari RM25,000 macam contoh kat atas tadi, maka berusahalah sehingga capai sepantas mungkin.

Kat situlah bermulanya peranan penting untuk mantapkan segala strategi Pemasaran & Jualan perniagaan yang anda jalankan. Fahamkan proses pemasaran dan jualan. Buat aktiviti pemasaran dan jualan. Dan paling penting, ukur keberkesanan setiap usaha yang anda lakukan.

Mana yang berkesan teruskan. Mana yang tidak berkesan, perlukan perubahan sampai ianya berkesan. Anda perlu pantau setiap hari dengan lihat hasil jualan yang berjaya dicapai. Kita lihat contoh jumlah jualan RM25 ribu yang perlu dicapai seperti kes kat atas tadi.

  • Anda perlu capai jumlah jualan dari 1 haribulan ke 30 haribulan sebanyak RM25,000.
  • Ertinya, dari 1hb sampai 15hb, jualan anda perlu capai RM12,500
  • Dari 1hb hingga 7hb (seminggu) jualan anda perlu ada RM6,250
  • Sehari (dengan andaian anda berniaga 6 hari seminggu), anda perlu capai jualan sebanyak RM1,042
  • Dari pukul 8 pagi anda mula berniaga sampai tengahari, jualan mesti ada dalam tangan sebanyak RM521

Kalau anda buat macam itu punya pemantauan. Betulkan setiap kali tak berjaya capai, dengan usaha yang lebih baik. Maka insyaallah akan ada hasilnya. Malah boleh dijadikan SOP perniagaan anda itu untuk diajar pula kepada orang bawah yang menguruskan perniagaan anda.

#4. Adakan polisi beri hutang

Apa yang saya terangkan dari langkah #1 hingga langkah #3 tu dah mencukupi untuk anda pastikan supaya bisnes anda tak rugi.

Memang betul!, setakat kira saja, tanpa ada usaha untuk tingkatkan jualan, apapun tak akan menjadi. Tapi ramai yang kata mereka berusaha untuk tingkatkan jualan. Bertahun, malah berbelas tahun, masih tak capai-capai juga.

Puncanya adalah buat aktiviti pemasaran dan jualan tanpa ada satu sistem untuk membuat ukuran keberkesanan segala usaha yang telah dilakukan. Ertinya, tak ada sasaran jumlah jualan yang perlu dicapai.

Main bola tanpa gol memang seronok juga. Tapi ianya tidaklah seseronok dengan bermain bola dengan adanya tiang gol. Ada sasaran dan arah tujuan untuk anda pergi sehingga boleh tembak masuk gol.

Bila anda dah berjaya capai titik pulang modal, langkah ke-4 ni sangat penting. Jangan sia-siakan segala usaha anda itu dengan buat kerja banyak tapi duit tak dapat.

Perlu ada polisi dalam bab beri orang hutang.

Jika bisnes yang anda buat tu semuanya adalah tunai, tak jadi masalah. Itu bermaknan, polisi hutang anda adalah, “No Hutang!”.

Polisi untuk berurusan secara tunai sahaja adalah polisi terbaik dalam apa jua perniagaan. Tapi bukan semua perniagaan boleh buat macam itu. Ada kalanya anda terpaksa benarkan juga pelanggan berhutang.

Jika perniagaan anda jenis macam itu, buat polisi hutang perniagaan anda dengan jelas. Pastikan anda tetapkan;

  • Prosedur untuk benarkan hutang – tetapkan segala syarat untuk membenarkan mana-mana pelanggan berhutang. Anda sendiri tentukan apa syaratnya.
  • Tentukah tempoh bayar habis – Anda juga perlu tetapkan tempoh untuk pembayaran penuh dibuat. Jangan main-main dengan tempoh tersebut dan pastikan anda serius pegang janji terhadap tempoh yang dibenarkan. Berikan peringatan dan hantar surat amaran bila tiada bayaran.
  • Tentukan jumlah maksimum – Jangan main bagi hutang macam itu saja tanpa tentukan jumlah maksimum yang dibenarkan dalam satu-satu masa. Setiap pelanggan mesti ada jumlah tertentu yang anda benarkan. Pegang janji dan serius dengan jumlah tersebut.
  • Hadkan jumlah maksimum hutang keseluruhan – Hadkan jumlah orang hutang dengan syarikat anda supaya syarikat mampu bertahan dan dapat terus rolling duit untuk uruskan perniagaan dengan lancar. Bila had dah cukup, hentikan beri hutang dan fokus untuk kutip balik segala hutang tersebut sebelum benarkan hutang semula.

Dengan adanya polisi berikan hutang yang jelas dan teratur, anda tak akan jadi seperti sesetengah perniagaan yang nampak sibuk riuh rendah buat kerja tetapi akhirnya terpaksa gulung tikar sebab duit kering orang pegang tak bayar.

Anda perlu ingat bahawa proses jualan masih tak habis selagi duit tak masuk ke dalam akaun syarikat anda. Sebab itu saya masukkan bab polisi beri hutang ini dalam salah satu dari langkah pastikan bisnes tak rugi.

#5. Rekrut pekerja yang sesuai

Ramai usahawan takut untuk merekrut pekerja tetap masuk dalam syarikat perniagaan mereka. Alasan paling popular adalah sebab takut tak mampu bayar gaji. Maka mereka berterusan berniaga buat kerja seorang diri dalam tempoh masa yang lama.

Tak ada syarikat yang boleh berkembang membesar tanpa adanya pekerja tetap yang uruskan syarikat perniagaan anda. Jadi mahu tak mahu perlu berani ambil pekerja.

Tak perlu nak risau pasal gaji sebab bukan anda yang bayar duit gaji mereka. Yang bantu bayar gaji pekerja ialah para pelanggan anda.

Untuk itu, perkara yang penting anda buat adalah untuk pastikan syarikat anda merekrut pekerja yang sesuai dan berkelayakan untuk melaksanakan kerjanya dengan baik dan cekap. Perlu ada cara atau sistem mereksut pekerja yang betul.

Fosmula asasnya mudah sahaja. Pastikan anda buat penilaian pekerja hanya berdasarkan dua perkara asas ini.

  • Sikap – Pastikan pekerja punya pemikiran dan sikap yang betul sesuai dengan budaya syarikat yang nak anda terapkan.
  • Kemahiran – Pastikan pekerja punya kemahiran yang cekap dan bersesuaian dengan kerja yang dia nak laksanakan. Jangan ambil orang yang pandai memasak untuk kerja cuci pinggan mangkuk. Kalau anda terpaksa ambil pekerja yang baik sikapnya tetapi kurang kemahiran, pastikan anda ada proses melatih kemahiran yang diperlukan.

Bila urusan merekrut pekerja yang sesuai berjalan lancar, urusan untuk pastikan syarikat anda tak rugi akan menjadi tersangat mudah. Malah lebih cekap daripada jika anda berniaga seorang diri. Semua berat dapat dipikul secara gotong royong.

Dengan adanya pekerja yang layak, kecekapan akan menjadi berganda. Satu campur satu akan jadi lebih dari dua.

#6. Elak sikap semua nak buat sendiri

Langkah terakhir ini berkaitan dengan langkah nombor 5 di atas tadi.

Buang sikap nak buat semua urusan perniagaan anda sendiri. Kedekut, takut, tak yakin untuk serahkan tugasan kepada orang lain.

Anda perlu ada keberanian dan kepercayaan pada orang lain. Untuk permulaan, boleh upah orang lain yang lebih cekap dari anda untuk lakukan tugasan yang anda tak suka atau tak tahu nak buat. Perlu ada pemikiran sedemikian untuk belajar buang sikap semua nak buat sendiri ni.

Kalau masih tak perlu ambil pekerja tetap, boleh ambil pekerja part-time sahaja terlebih dahulu. Ini latihan awal untuk belajar bahagikan tugasan kepada orang lain.

Untuk pastikan mana tugasan yang anda perlu serahkan pada orang lain, terlebih dahulu anda perlu kenal pasti mana satu kerja yang paling penting yang anda perlu fokus untuk jayakan perniagaan anda.

Senaraikan semua kerja penting tersebut dan semak samada anda cekap atau tidak. Mana yang cekap, anda boleh buat sendiri. Mana yang tak cekap, cari orang lain yang jauh lebih cekap dari anda. Upah orang itu supaya dia boleh bantu anda selesaikan kerja penting tersebut.

Dengan membuang sikap semua nak buat sendiri, anda berlatih untuk mula menjadi seorang usahawan yang ‘work smart’. Bukan sekadar ‘work hard’.

Insyaalah, proses untuk jadikan bisnes tak rugi akan berjalan lebih lancar. Peningkatan akan berlaku berganda-ganda …

Tamat kat sini 3 artikel berkaitan proses nak jadikan bisnes anda tak rugi. Moga semua perkara asas di atas dapat dilaksanakan oleh semua kawan-kawan usahawan termasuklah untuk diri saya sendiri.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge