Integriti akan tewas bila masuk bab duit, usahawan perlu waspada

By | 11/10/2016

bab duit dan kewanganSepanjang pengalaman bertarung dalam dunia keusahawanan, saya dapati, bab duit merupakan salah satu dari cabaran yang amat berat untuk diurus dan dikawal oleh para usahawan.

Mungkin ada dua saja perkara yang biasanya menjadi isu berat dalam melayari perjalanan di dalam dunia keusahawanan ini. 2 perkara itu adalah,

  • Sumber manusia – antara masalahnya adalah kesukaran untuk mencari rakan niaga, pekerja atau pembantu yang dapat membantu usahawan merealisasikan impiannya.
  • Sumber kewangan – Bila nak mula berniaga perlu ada duit. Walaupun dah ada duit, tak pernah mencukupi. Bila terlalu banyak duit hilang kawalan dan tumpuan dan perniagaan pula akan runtuh.

Pengalaman niaga dalam bab duit

Masa mula berniaga dulu saya buta hampir kesemua urusan penting dalam perniagaan. Menjaga kewangan, membuat pemasaran dan jualan, menguruskan sumber kemanusiaan, urusan pembelian, urusan operasi dan lain-lain lagi.

Kemudiannya saya mula rekrut pembantu untuk ambil alih satu persatu urusan tersebut bermula dengan urusan admin, book keeping dan HR. Selepas itu rekrut pula pembantu untuk buat sales & marketing dan akhir sekali amanahkan pembantu untuk melihat keseluruhan operasi.

Dalam semua urusan, bab duit saja yang tak akan saya lepas untuk dipantau. Kelulusan keluarkan duit mesti ada dalam tangan saya. Pembayaran dari pelanggan mesti dan wajib dimasukkan ke dalam akaun bank. Perjalanan kerja dari work order, sehingga ke kutipan duit perlu dipantau sehingga tamat yang biasanya berakhir dengan duit masuk dalam akaun bank.

Cuba longgar dalam bab duit

Sebagai percubaan, saya lepaskan urusan buat keputusan tentang duit pada orang lain pula, bermula dengan diberikan kepercayaan pada rakan kongsi ( yang diserap atas budi bicara kemanusiaan dan bukan pengasas bisnes). Tapi saya masih tetap pegang tugasan tanda tangan cheque.

Cara sedemikian berjalan dengan agak baik dalam tempoh yang agak lama, makan tahun sehingga perniagaan membesar. Kelebihan dengan berbuat demikian adalah, saya mula ada banyak masa untuk mencari idea niaga dan cari sumber pendapatan duit yang lain pula.

Pengalaman memulakan bisnes dari kosong tanpa pinjaman membuatkan saya mudah untuk menghidu peluang dan merangka bisnes lain. Hasilnya adalah saya secara peribadi berjaya buat banyak duit.

Disitulah punca masalah.

Bila saya mendapat banyak peluang dan duit dalam akaun saya meningkat, rakan kongsi yang diamanahkan untuk jaga syarikat masing-masing rasa tak seronok. Mereka rasa saya mempergunakan mereka untuk kepentingan saya dan merasakan apa yang ada dalam akaun bank saya ada bahagian untuk mereka, walaupun mereka tahu itu bukanlah perkiraan yang betul.

Tapi hati emosi adalah sesuatu yang sukar dikawal. Logik akan terpadam bila masuk bab duit ni. Untuk pastikan mereka juga ada sumber pendapatan sama banyak macam saya, maka duit syarikat yang mereka jaga dijadikan sumber untuk penuhi matlamat tersebut. Berlakulah sikap boss lebih utama untuk dipenuhi keperluan duitnya berbanding syarikat sendiri.

Saya belajar satu perkara besar dalam pengalaman tersebut. Jangan sesekali ambil pekerja yang bukan pengasas syarikat untuk dijadikan rakan kongsi. Sebaliknya berikan kelebihan dalam bentuk perkongsian keuntungan sahaja supaya mereka sentiasa sedar diri bahawa mereka memerlukan syarikat dan bukan sebaliknya, iaitu syarikat memerlukan mereka.

Jadi jangan letakkan nama mereka sebagai pemegang saham. Untuk letakkan mereka sebagai pengarah, boleh, tapi mesti buat surat letak jawatan yang siap ditanda tangani oleh mereka dengan kosongkan tarikh. Itu sebagai langkah berjaga-jaga jika ada keperluan untuk menukar pengarah.

Boleh ke buat semua itu?, tentu boleh, anda ada hak 100% terhadap syarikat yang anda asaskan. Ikut suka apa yang anda nak buat dan biasanya hanya orang gila sahaja yang mahu musnahkan syarikat yang dibinannya sendiri.

Cubaan kedua longgar bab duit

Saya buat satu lagi cubaan untuk melonggarkan pengurusan duit dalam perniagaan ini. Kali ini saya berikan amanah kepada pekerja yang menjaga kewangan pula. Saya tak tinggalkan lebihan duit dalam syarikat. Semuanya ngam-ngam seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Andaiannya adalah mereka perlu bijak menguruskan aliran duir keluar dan masuk untuk pastikan syarikat terapung dan bergerak naik perlahan-lahan. Apa yang saya buat adalah hanya melakukan semakan secara rawak untuk pastikan tidak ada apa-apa masalah yang berlaku.

Ternyata, manusia sebaik manapun penampilannya, akan tewas juga dalam bab duit. Tak perlu lihat samada mereka pakai kopiah atau sentiasa basah lidah mereka dengan zikir islamik. Bila terdesak, segala pedoman, segala logik rasional akan terpadam dan kepentingan peribadi yang tak ada kena mengena dengan syarikat akan diutamakan.

Itulah bahana yang menimpa manusia dalam bab duit. Integriti entah kemana bila masuk dalam bab duit. Barulah saya sedar betapa pentingnya mengingati apa yang digariskan dalam banyak ayat-ayat Al-Quran. Allah sering ingatkan manusia agar berusaha menjadi insan yang adil dan soleh walau dalam keadaan mana sekalipun. Itu adalah satu tugasan utama sebagai seorang manusia yang perlu difahami dan diusahakan.

Bab hati dan bab duit ada kaitan

Dalam satu buku ekonomi yang saya baca, penulis ada menyatakan bahwa ilmu pengurusan duit ada kaitan dengan ilmu pengurusan emosi. Jika anda nak kawal duit, anda hanya perlu berupaya kawal emosi. Jika anda nak buat duit, anda mesti faham ilmu emosi.

Ilmu berkenaan emosi adalah ilmu utama samada nak kawal duit ataupun nak buat duit. Sebab itu cara terbaik untuk buat atau kawal duit adalah dengan membina tabiat yang baik. Bila manusia ada tabiat yang baik, mereka tak perlu bersusah payah nak kawal emosi sebab semuanya berlaku secara automatik.

Masalahnya adalah bagaimana nak tahu dan kawal emosi orang. Kita mungkin boleh kenal pasti emosi kita sendiri melalui latihan dan disiplin diri, tapi bukan mudah nak selami emosi orang lain.

Oleh itu, dalam bab duit, malah dalam bab apa saja, tutuplah segala kelemahan yang membolehkan orang lain terbabas bila emosinya sedang dalam keadaan kacau.

Biasanya, segala prosedur dibuat untuk mengelakkan penipuan dan jenayah berlaku ditujukan untuk orang-orang biasa macam anda dan saya. Ini disebabkan ada kalanya emosi menguasai rasional kita jika ada dorongan kemudahan untuk menipu atau mencuri. Jadi bila laluan untuk mencuri atau menipu itu adalah sukar, rasional akan datang kembali.

Segala prosedur keselamatan bukanlah ditujukan untuk penjenayah, sebab namapun penjenayah. Samada anda tutup kunci rapat pintu, pasang pagar duri dan sebagainya, penjenayah tetap akan pecah masuk. Sebab itu mereka digelar penjenayah.

Rumusannya, sebagai usahawan, dalam bab duit, ambil pendekatan yang perlu supaya pekerja tidak dapat mendapat kemudahan untuk menipu atau atau mencuri. Perkataan longgar dan percaya pada orang adalah kesilapan besar yang boleh anda lakukan dalam bab duit. Percayalah cakap saya sebelum anda pula terkena…

6 thoughts on “Integriti akan tewas bila masuk bab duit, usahawan perlu waspada

  1. ramil bin bakar

    jangan ligan duit duit kaki 4 menesia kaki 2 penat dulu baru dapat duit ……. biar duit ligan kita

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge