Dalam dunia keusahawanan, kita perlu pastikan duit mengalir lancar dalam perniagaan yang dijalankan. Baru perniagaan menjadi sihat.

Dalam tubuh badan juga sama juga. Darah mesti berjalan lancar ke seluruh anggota tubuh badan. Baru tubuh badan akan jadi sihat.

Kenapa orang suka makan herba Tongkat Ali?

Sebabnya adalah untuk memudah dan melancarkan perjalanan darah ke seluruh badan.

Orang kita percaya darah yang mengalir lancar merupakan lambang kesihatan tubuh badan. Maka berbagai usaha dilakukan untuk memastikan darah berjalan lancar ke seluruh badan. Dari makan herba dan ubatan sehinggalah usaha mengurut seluruh badan.

Secara ringkas, untuk kesihatan tubuh badan, kita perlu pastikan:

  1. Darah ada dan mengalir keseluruh anggota badan
  2. Darah mestilah mengalir dengan lancar.

Bisnes sihat bila duit mengalir lancar

Dalam perniagaan duit boleh diumpamakan sebagai darah dalam badan.

  • Tak ada duit, tak ada perniagaan
  • Duit perlu sentiasa mengalir ke segenap aktiviti perniagaan kita untuk pastikan perniagaan tidak mati.

Jika kita faham konsep duit seperti yang dirumuskan di atas, segala keputusan akan dibuat dengan tepat berlandaskan dua falsafah yang tersebut itu.

Ada banyak perkara penting yang perlu diberikan perhatian bagi memastikan duit sentiasa mengalir.

Aliran duit masuk

Jika perniagaan anda diibaratkan sebagai sebuah sungai, air dari parit atau sungai kecil dari hulu yang mengalir masuk adalah umpama sumber-sumber duit yang masuk ke dalam perniagaan anda.

Aliran duit keluar

Air dari pecahan-pecahan sungai atau parit kecil yang bercabang di kuala adalah wang yang mengalir keluar dari perniagaan anda.

Wang masuk perlu lebih dari wang keluar

Seandainya jumlah yang keluar melebihi yang masuk, alamat sungai akan kering. Oleh itu pastikan wang anda sentiasa cair masuk dan keluar dengan laju ke dalam perniagaan.

Semakin laju wang keluar dan masuk, maka semakin baik dan cepat membesar perniagaan anda.

Antara perkara yang perlu diperhatikan dalam perniagaan agar aliran perjalanan duit lancar adalah seperti berikut:

  1. Pastikan segala kerja yang dilakukan berbayar. Ramai peniaga yang seronok dengan ramainya pelanggan menggunakan produk atau khidmat mereka tetapi tidak perhatikan terma pembayaran. Timbunan imbois yang dihantar kepada pelanggan tidak berguna jika ia tidak dilangsaikan oleh mereka. Hadkan jualan hutang dan tinggikan jualan tunai. Biar untung sedikit asalkan ianya berbayar. Tak guna untung atas kertas tinggi tapi tidak berbayar.
  2. Jangan simpan stok barang atau peralatan yang tidak perlu atau tidak digunakan segera. Duit yang terikat pada stok atau peralatan tersebut beku terpendam dan membuatkan perjalanan duit tersekat. Sungai yang tersekat tidak mengalir mengeluarkan bau yang busuk. Jangan terpengaruh dengan belian dalam kuantiti banyak semata-mata untuk dapatkan harga rendah sedangkan anda ambil masa setahun untuk guna atau habiskannya.
  3. Simpanan tunai atau dalam bank yang tidak berguna merupakan satu pembaziran. Darah yang tersimpan dalam tabung darah dan tidak digunakan terlalu lama akhirnya tidak berguna. Darah itu juga tidak membantu dalam kehidupan. Oleh itu limitkan simpanan tunai anda.
  4. Dapatkan kemudahan kredit bertempoh. Pembelian tunai memang bagus tetapi jika anda boleh dapatkan kredit bertempoh adalah lebih bagus. Jika terma adalah sebulan, jangan bayar terlalu awal atau melebihi tempoh. Melainkan vendor tawarkan diskaun jika bayaran dibuat lebih awal, rebutlah peluang tersebut.
  5. Pertimbangkan antara beli atau menyewa berdasarkan kekerapan penggunaan dan juga nilai peralatan. Jika anda membeli peralatan yang mahal tetapi jarang digunakan, anda membekukan wang dari mengalir ke tempat lain.

Ada banyak lagi contoh lain.

Tetapi jika anda faham konsepnya semuanya adalah sama sahaja dan anda sendiri lebih mengetahui tentang perniagaan anda.

Anggap semua urusan sebagai transaksi duit

Satu lagi perkara penting yang perlu difahami adalah, sentiasa tukarkan apa saja barang, aktiviti atau transaksi perniagaan dalam bentuk nilai wang.

Jika ini dapat dilakukan, fikiran usahawan akan terbuka luas dalam mencari idea untuk mendapatkan kemudahan kewangan.

Wang tidak semestinya dalam bentuk fizikalnya sahaja.  Kemudahan kewangan juga bukan semestinya hanya dalam bentuk pinjaman selonggok dari bank sahaja.

Pemahaman tentang nilai wang dan kemudahan kewangan dalam semua transaksi perniagaan, jika di fahami, membuatkan anda kreatif.

Dengan pemahaman itu, kadang kala anda tidak memerlukan pinjaman dari mana-mana institusi bankpun untuk menguruskan perniagaan anda membesar secara organik.

Contoh mudah supay anda nampak apa maksud saya adalah kakitangan pekerja yang anda ambil di dalam syarikat. Jika anda ada seorang pekerja yang gajinya adalah RM3000 sebulan, anda dapat kemudahan kredit sebanyak RM3000 sebulan dari pekerja tersebut.

Pekerja itu buat kerja terlebih dahulu dari awal bulan sampai habis bulan barulah gajinya akan dibayar. Kalau anda ada 10 orang macam itu, ertinya anda dah ada nilai kredit RM30 ribu sebulan.

Nampak tak ?

Saya akan cuba terangkan selepas ini dalam tulisan lain. Insyallah

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge