Keluar dari masalah duit dengan 3 amalan mudah ini

By | 10/04/2017

tak ada masalah duit dengan 4 langkah iniAnda ada masalah duit sekarang ?

Jika anda sedang ada masalah duit, jangan risau sangat.

Anda bukan keseorangan, anda seperti kebanyakan orang zaman sekarang. Ramai yang ada masalah duit.

Ramai orang kat Malaysia ni, yang senantiasa di himpit dengan masalah duit yang tidak pernah cukup.

Malah ada yang lebih menyedihkan.

Ramai yang bertungkus lumus kononnya nak selesaikan masalah duit, berakhir dengan mengalami masalah duit yang jauh lebih teruk dari waktu asal dia mula cari jalan untuk buat duit dahulu.

Biasanya ramai yang ambil pendekatan buat pinjaman untuk buat duit. Kononnya dengan berhutang, mereka ada banyak modal untuk buat duit. Ikut falsafah, ‘duit buat duit’.

Akhirnya tak berjaya dan tersasar. Dalam keadaan itu, jumlah duit yang dia ada dah ke tahap negatif.

Kalau difikirkan secara logik, kenapa mereka tak bersyukur sahaja masa dulu tu dengan apa yang ada. Kenapa tak berusaha dengan lebih kreatif tanpa buat pinjaman. Tak lah akan berakhir dengan tambahan masalah yang terlalu banyak.

Tapi tak perlulah nak sesalkan apa yang telah berlaku.

Yang pentingnya, apa yang anda belajar dari apa yang telah berlaku.

Semua orang boleh atasi masalah duit

Walau setakat mana pun masalah kewangan yang sedang anda hadapi sekarang, ianya boleh diselesaikan.

Ramai orang yang telah berjaya melaluinya dan sekarang dah tak ada lagi masalah duit. Asalkan ada kemahuan, sudah pasti akan ada jalan.

Anda hanya perlu amalkan 3 pendekatan di bawah dengan jalan sabar dan beristiqamah bermula dari sekarang. Insyaallah akan sampai masanya, semua masalah tak cukup duit selama ini kan hanya tinggal kenangan.

#1. Fokus hanya pada diri sendiri

Ini bukan bertujuan untuk jadi seorang yang pentingkan diri. Matlamatnya adalah untuk anda jadi diri anda sendiri dan bukannya nak jadi orang lain.

Tak perlu nak bandingkan status anda dengan status orang lain.

Bila anda mula bandingkan status, anda akan mula ukur status tersebut dengan menggunakan pendekatan yang biasa semua orang buat.

Majoriti orang ramai ukur status dengan kebendaaan. Ada yang tunjukkan kereta mewah 3 atau 4 buah untuk berikan mesej dia berjaya dan berstatus hebat.

Kereta pulak diparkir depan rumah mewah yang amat besar tersergam indah. Rumah besar banyak bilik serba indah dikaitkan dengan status berjaya.

Begitu juga dengan cara berpakaian, kasut, baju, jam tangan dan lain-lain seumpamanya.

Termasuk juga di kedai mana anda makan, lokasi mana anda berjalan dan pusat membeli belah mana anda berbelanja.

Tak payah ikut semua itu.

Tak perlu ikut cara orang kaitkan status dan kejayaan dengan kebendaan. Supaya lebih mudah dan tidak terikut-ikut, abaikan saja apa saja status orang.

Anda hanya perlu fokus pada diri sendiri sahaja dan miliki kebendaan berdasarkan apa yang dirasakan amat perlu. Bukannya beli kebendaan sebab nak tonjolkan status anda.

Besarkan minda anda. Tambahkan pengetahuan dan perbanyakkan pengalaman. Itu lah yang paling utama berbanding kebendaan.

Fikirkan sasaran hidup anda

Ini perkara logik yang anda wajib buat. Kalau nak jadi diri sendiri dan fkus hanya pada diri dan cara anda, perlu tahu apa yang anda nak jadi.

Perlu tahu dan yakin apa yang anda mahu dalam kehidupan ini.

Buat senarai matlamat hidup yang seimbang. Pertimbangkan kesemua perkara dari segi ekonomi, pendidikan, minat atau hiburan, keluarga dan sumbangan kepada masyarakat.

Bayangkan 5 tahun dari sekarang, bagaimana diri anda ketika itu ?

Bila dah jelas kesemua matlamat, buat perancangan yang baik. Senaraikan apa yang perlu dibuat untuk mencapai kesemua itu. Tak perlu lengkap sangat, anda boleh baiki nanti dari masa ke masa.

Tulis perancangan besar anda itu dalam sebuah buku khas. Sekali dengan jalan dan pendekatan yang anda perlu ambil.

Buka dan semak buku tersebut serta buat pembaikan sekurang-kurangnya seminggu sekali. Kalau boleh buka dan semak setiap hari lebih baik. Lebih kerap anda semak, lebih mudah untuk mencapai sasaran.

#2. Berbelanja hanya jika perlu

Ini petua mudah. Tapi ramai yang tewas walaupun ianya amat mudah.

Sebab utama anda tewas dengan petua ini adalah berpunca dari perkara nombor satu kat atas tadi.

Sebab itu perkara no.1 tadi amat penting untuk mulakan proses menjadi individu yang tak ada masalah kewangan.

Lihat semula kesemua kebendaan yang anda miliki sekarang. Kalau anda amat rajin, cuba senaraikan satu persatu.

Lihat setiap satu dan tanya soalan apakah anda memang perlukannya. Melainkan anda memang seorang yang amat zuhud sebelum ini, kebiasaannya hampir 20% sahaja barang yang anda miliki yang amat berguna dan amat diperlukan.

Baki 80% lagi biasanya adalah keinginan sahaja. Anda teringin nak beli bila tengok orang lain beli dan rasa seronok jika anda juga memilikinya. Bila dah beli baru nafsu  berhenti meronta. Dan anda terperangkap beli benda yang anda tak berapa pakai sangat.

Bila dah buat semakan barang yang dah ada, baru anda lebih peka pada masa akan datang. Bila teringin nak belanja beli benda selepas ini, anda akan mula tanya samada perlu atau tidak barang tersebut.

Penting untuk mula buat unjuran kewangan masuk dan keluar anda sekarang. Gunakan microsoft excel untuk perancangan kewangan anda selama 2 atau 3 tahun. Masukkan berapa pendapatan dan berapa jumlah yang wajib kena keluar.

Berapa baki yang tinggal setelah ditolak kesemua perbelanjaan wajib. Ada lebihan atau tidak. Kalau negatif, ertinya perlu buat perubahan drastik untuk nyahkan sebahagian dari belanja yang perlu.

Kalau memang tak ada jalan, ertinya perlu cari jalan tambah pendapatan masuk dalam akaun peribadi anda.

#3. Selesaikan kesemua hutang

Jangan lupa masukkan sama jumlah hutang yang perlu dibayar setiap bulan dalam unjuran kewangan di atas tadi. Jika ada hutang kad kredit, masukkan jumlah yang melebihi minima pembayaran yang perlu anda bayar.

Berhenti terus membeli dengan menggunakan kad kredit.

Jika jumlah hutang kad kredit terlalu banyak, pergi mengadap bank. Minta tukar kepada hutang tetap yang boleh dibayar secara berjadual. Dan musnahkan kad kredit itu terus.

Buat unjuran berapa tahun kesemua hutang kad kredit dan hutang-hutang lain akan habis. Bayangkan kalau anda habis bayar kesemua hutang tersebut. Berapa banyak duit lebihan yang boleh masuk tabung simpanan anda nanti. Tentu seronok bila anda bebas dari hutang tersebut.

Paling utamanya adalah jangan sesekali berhutang atau tambah hutang pada perkara yang tidak diperlukan.

 

7 thoughts on “Keluar dari masalah duit dengan 3 amalan mudah ini

  1. Sofian

    Betul kata tuan ,
    Kebanyakkan masalah orang tidak fokus kepada apa yang patut mereka selesaikan.
    End up terjerat kepada masalah wang ini.

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge