Sebagaimana yang saya janji dalam artikel sebelum ini.

Kali ini saya kongsikan pula 20 perkara yang wajib anda buat dalam senarai semak pengurusan kewangan perniagaan anda.

Untuk maklumat pembaca budiman semua. Soalan paling kerap yang saya dapat dari pembaca yang berhubung dengan saya ialah berkenaan masalah pengurusan kewangan.

Ramai kawan-kawan yang berniaga kat luar sana hadapi masalah tak yakin, samada cara pengurusan kewangan perniagaan mereka betul atau tidak.

Paling ramai rasa mereka tak urus dengan betul.

Penunjuk yang buktikan sangkaan mereka itu ialah, bisnes ada, kerja banyak, berniaga dah lama, tapi habuk simpanan pun tak ada. Masih kekal kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Hidup berniaga dalam keadaan kedudukan kewangan macam itu memang sering menaikkan darah ke urat leher. Tegang, tertekan, mudah bertukar hijau jadi Incredible Hulk. Tak nyaman gitu kan!

Pengurusan kewangan perniagaan

Banyak dah saya kongsikan maklumat pasal kewangan perniagaan kat dalam blog hidupringkas.com ni. Sebab itu penunjuk paling utama yang berikan maklumat samada bisnes anda sedang demam atau sihat wal afiat.

Tak ada masalah kalau saya tulis lagi satu artikel pasal pengurusan kewangan perniagaan. Lagipun tak ada apa nak rugi sebab semua yang saya kongsikan kat sini adalah percuma untuk kawan-kawan yang setia baca blog ini.

Tuan-tuan dan puan-puan dapat ilmu dan dapat buat ulangkaji. Saya dapat manfaat untuk fahamkan diri dengan lebih mantap. Dan paling penting boleh jadikan amal jariah saya kepada mereka yang mendapat manfaat darinya.

Asas menguruskan kewangan perniagaan sangat mudah. Bukannya duduk kira duit atas meja saban waktu. Atau kejap-kejap seluk poket, rasa poket tebal dengan isi duit di dalamnya.

Tapi pengurusan kewangan perniagaan yang baik adalah dengan memahami dan melaksanakan  3 perkara berikut;

  • Tahu kedudukan kewangan. Pantau dengan kemas duit masuk dan keluar dalam perniagaan anda. Dari situ anda tahu samada untung atau rugi.
  • Buat angan-angan (unjuran) prestasi keuntungan yang anda mahu. Rancang macam mana nak naikkan jualan dan cara nak kurangkan kos.
  • Laksanakan perancangan (realisasikan angan-angan itu). Buat, tengok hasilnya, belajar dari kesilapan dan baiki kelemahan. Dan ulang semula semua langkah 1 dan 2 di atas.

Semua asas tersebut kat atas membawa kepada perlunya senarai semak yang saya akan kongsikan kat bawah ni. Sila baca dan tandakan ok atau tidak.

20 senarai semak pengurusan kewangan

Berikut 20 perkara yang perlu anda laksanakan dalam menguruskan kewangan perniagaan anda. Buat kesemuanya dan sentiasa perbaiki selagi anda kekal berniaga.

  1. Catitan duit keluar dan masuk. Pastikan anda rekod semua aktiviti duit keluar masuk dan jumlahnya setiap kali berlaku transaksi. Sehari, seminggu, sebulan dan setahun .. berapa jumlah duit keluar dan berapa yang masuk?. Tak kisah pakai buku log kira-kira atau pakai software atau sekadar pakai excel. Yang penting anda jangan lepas pandang walaupun 5 sen.
  2. Tahu titik pulang modal perniagaan anda. Berapa jumlah jualan minimum yang anda wajib buat supaya bisnes tak rugi. Sehari, seminggu dan sebulan .. berapa jumlahnya? Dapat ke tidak. Macam mana nak pastikan sentiasa dapat melepasi titik pulang modal tersebut?
  3. Rancang tindakan untuk kawal kewangan bisnes anda. Perlu ada perancangan dalam semua urusan untuk kawal duit. Polisi nak keluarkan dan belanja, kasi orang hutang. Polisi kutip hutang. Polisi berhutang. Polisi pembayaran, terma bisnes dan lain-lain lagi yang berkaitan.
  4. Buat senarai peghutang dan pemiutang. Wajib ada senarai ini yang sentiasa di kemas kini. Pantau dengan ketat sampai jadi amalan rutin yang membuat anda demam kalau tak buat.
  5. Polisi kredit. Saya ulang lagi walaupun dah gariskan kat item no. 3 tadi sebab ini tersangat penting untuk dikawal. Pastikan anda ada polisi untuk benarkan kredit. Boleh atau tidak. Kalau tak boleh kredit, pastikan anda tempah signboard “Tunai Only!” dan tampal pada pintu masuk kedai atau office. Kalau boleh berapa jumlah maksimumnya. Tempohnya. Apa syaratnyanya. Apa kriterianya dll.
  6. Senarai pembekal. Pastikan anda ada buat senarai pembekal. Simpan maklumat mereka dan simpan senarai sebut harga mereka untuk selalu disemak. Setiap pembekal perlu ada senarai harga yang mereka tawarkan. Buat perbandingan harga sesama pembekal yang ada.
  7. Senarai stok. Pastikan anda buat senarai stok yang ada dalam simpanan anda setiap waktu. Urus dan sentiasa kemas kinikan. Buat ‘stock count’ secara berkala untuk pastikan jumlah yang ada dalam catitan sama dengan simpanan dalam stor anda itu.
  8. Gaji Taukeh. Berapa jumlah gaji yang anda tetapkan untuk anda sendiri setiap bulan. Pastikan jumlah itu ditetapkan berdasarkan keperluan dan kemampuan syarikat anda. Jangan terlalu lama berkorban dan jangan terlalu pantas nak tunjuk kaya berbanding keupayaan sebenar anda. Biar syarikat yang kaya. Taukeh maintain low profile.
  9. Keperluan modal pusingan. Adakah anda punya senarai keperluan untuk perniagaan anda untuk pastikan kerja semua terlaksana dari A ke Z. Berapa jumlah atau kos semua keperluan itu? Ada tak dalam bank?
  10. Senarai produk yang ditawarkan. Pastikan anda ada senarai lengkap semua produk atau servis yang ditawarkan kepada pelanggan. Lengkap sekali dengan harganya.
  11. Bandingkan harga pesaing. Pastikan anda peka dengan harga produk atau servis anda berbanding pesaing. Ambil tahu supaya anda tidak mudah diperdayakan oleh pelanggan. Dan supaya anda tetap pendirian dengan harga anda itu penuh dengan alasan yang kukuh.
  12. Senarai produk paling menguntungkan. Pastikan anda tahu produk mana yang paling menguntungkan dalam perniagaan anda itu. Itulah tumpuan sebenar yang perlu anda salurkan supaya sentiasa meningkat hasil jualannya.
  13. Senarai produk kurang untung atau rugi. Pastikan anda tahu mana produk atau servis yang tak bawa duit kepada perniagaan anda. Sangat sikit untungnya atau mungkin perabis beras saja. Kalau terpaksa dikekalkan juga, cari jalan supaya tak bawa kerugian. Kalau boleh henti, itulah yang lebih baik.
  14. Pantau pembaziran. Buat senarai perkara atau barang atau aktiviti yang menyumbang kepada pembaziran. Tak kira samada bazir duit, masa atau barang. Pantau, kawal dan bertindak tegas jauhi pembaziran.
  15. Sistem kawal stok barang. Macam mana anda kawal stok dalam simpanan anda. Jumlahnya dari segi kuantiti dan berapa nilai (RM) maksimum yang boleh anda simpan. Berapa jumlah minimum yang perlu anda order semula. Berapa tempoh masa stok lama yang anda ada perlu dilelong harga istimewa untuk dapatkan duit balik. Apa prosedur untuk keluar dan gunakan dan lain-lain lagi. Berapa kerap anda buat stock count?
  16. Produk premium. Adakah anda punya produk premium paling hebat dan istimewa, khas untuk pelanggan ideal yang ‘anda suka dia dan dia suka anda’?. Kalau tak ada, pastikan anda segera merangkanya sampai ada dan mula atur strategi untuk ditawarkan.
  17. Buat unjuran kewangan. Pernahkah anda buat unjuran kewangan perniagaan anda? Pastikan buat. Masa permulaan masuk tahun baru dan setiap kali nak masuk bulan baru. Buat unjuran jualan dan belian dan semua kos-kos lain.
  18. Unjuran masa depan bisnes. Pernahkah anda buat angan-angan masa depan bisnes anda. 5 ke 10 tahun lagi duduk kat mana, jadi apa … ?
  19. Perancangan masa depan. Apa tindakan anda berdasarkan unjuran masa depan perniagaan dan syarikat anda kat atas tadi. Ada master plan tak. Pantau tak progressnya?
  20. Penilaian bulanan prestasi kewangan bisnes. Adakah anda akan duduk dengan semua staff pengurusan, setiap kali habis bulan, menghadap laporan kewangan perniagaan anda itu dari segi untung dan ruginya. Berapa margin keuntungannya dan lain-lain lagi … buat, jangan tak buat.

Tamat sudah 20 senarai semak pengurusan kewangan perniagaan yang wajib anda laksanakan. Kalau nak maju, buatlah. Jangan risau kalau masih banyak yang ada tak buat. Buat satu persatu dengan sabar dan jangan putus asa.

Tak payah tunggu sempurna. Yang pentingnya mula dan perbaiki sedikit demi sedikit supaya sentiasa lebih baik dari hari ke hari.

Ada yang tanya, minta saya buat kursus atau berikan ceramah pasal kewangan ni. Saya tak minat sangat dengan aktiviti bagi ceramah atau kursus sebenarnya. Saya lebih suka bimbing usahawan secara 4 mata secara peribadi.

Itu lebih berkesan dan lebih melekat untuk kekal diamalkan.

Moga apa yang saya kongsikan kat atas tu bermanfaat untuk mereka yang masih tak punya pengalaman.

Total
77
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge