Ramai usahawan kecil terutamanya tak ambil berat sangat berkenaan jumlah gaji taukeh. Gaji taukeh tu ertinya gaji mereka sendirilah.

Maksudnya, tak berapa nak kisah sangat dengan berapa ringgit mereka dapat setiap bulan.

Kalau anda yang sedang baca artikel ini seorang usahawan kecil, saya amat yakin anda juga serupa dengan kebanyakan kawan-kawan usahawan yang saya sering jumpa selama ini. Tak kisah dengan gaji anda sendiri.

Tak pernah tetapkan berapa jumlah gaji taukeh yang sepatutnya diambil setiap hujung bulan.

Jumlah gaji taukeh tak pernah tetap

Kebiasaannya, usahawan kecil yang dah ada pekerja, akan selesaikan semua gaji para pekerjanya terlebih dahulu.

Itulah yang hebatnya usahawan kecil ni. Untuk para pekerjanya, dia tetapkan jumlah gaji, dia bayar secara konsisten setiap bulan tak kurang dan tak lebih.

Tapi untuk dia sendiri, dia lansung tak tentukan jumlah gaji taukeh kepada perniagaannya itu, malah masa ambil gaji juga tak pernah tetap. Paling sedih adalah taukeh akan jadi orang terakhir untuk ambil gajinya setiap bulan.

Mana baki yang syarikatnya ada, itulah jumlah jagi taukeh!

Kalau ada, alhamdulillah!

Kalau tak ada, taukeh akan ikhtiar cari kat tempat lain.

Itu kalau bab sedih, berniaga tak berapa nak bagus.

Kalau berniaga bagus pulak, taukeh akan belasah kesemua baki yang ada dalam akaun syarikat. Ambil duit ikut suka dan berapa banyak yang dia suka.

Itupun tak betul juga.

Sebagai usahawan, anda perlu tahu bezakan antara syarikat, pekerja dan diri anda sendiri. Salah seorang pekerja syarikat adalah anda. Jadi perlu ada peraturan tentang pembayaran yang syarikat perlu buat.

Syarikat perlu jana keuntungan setiap akhir bulan setelah ditolak kesemua kos perniagaan samada kos tetap atau kos berubah.

Keuntungan syarikat perlu supaya dapat gunakan duit itu untuk membuat perancangan menghadapi masa depan. Tak ada siapa yang tahu apa akan berlaku esok hari. Jadi kegunaan duit untung syarikat itu, paling utama adalah untuk hadapi ketidak tentuan masa depan itulah!.

Cara tentukan jumlah gaji taukeh

Setiap kali saya ceramah pasal kewangan syarikat, bab inilah yang akan saya sentuh.

Bermula dari panduan untuk ketahui kedudukan sebenar untung dan rugi perniagaan anda, saya akan cuba sedarkan kenapa amat penting untuk tentukan jumlah gaji yang taukeh perlu ambil setiap bulan.

Dan saya tekankan bahawa jumlah tersebut hendaklah tetap dan bukan nak dan turun ikut suka hati.

Taukeh juga perlu ada kenaikan tangga gaji mereka sendiri.

Cuma persoalannya yang semua usahawan akan tanya adalah macam mana nak tentukan jumlah gaji taukeh?

Siapa yang tentukan gaji taukeh

Untuk jawab soalan bagaimana nak tentukan jumlah gaji taukeh, anda perlu jawan soalan ini terlebih dahulu.

Siapa yang tentukan gaji taukeh? Berapa banyak jumlah gaji yang taukeh boleh ambil?

Saya rasa anda pun tahu jawapannya.

Sudah tentu anda sendiri yang tentukan. Dan jumlah yang anda boleh ambil juga adalah ikut suka anda sendiri. Sebab syarikat itu adalah kepunyaan anda. Tak ada orang lain yang ad ahak nak tentukan berapa gaji anda selain dari diri anda sendiri.

Jadi perlu ada pendekatan mudah untuk tentukan jumlah gaji yang anda boleh ambil dari perniagaan anda itu. Saya akan berikan panduannya kat sini secara mudah.

Tangga gaji taukeh

Untuk menrangka jumlah gaji taukeh, elok kita sediakan kerangka kenaikan tangga gaji taukeh terpebih dahulu untuk seorang usahawan.

Kita boleh bahagikan tangga gaji taukeh dalam 4 peringkat seperti berikut:

  1. Berapa jumlah perlu untuk hidup
  2. Berapa jumlah kira OK
  3. Berapa jumlah yang seronok
  4. Berapa jumlah impian

Berapa jumlah perlu untuk hidup

Ini tangga gaji awal masa mula berniaga.

Anda perlu kira berapa jumlah paling minima yang diperlukan untuk anda teruskan kehidupan. Hidup pulak hanya dengan segala perkara asas sahaja termasuklah segala komitmen yang sukar untuk dilepaskan.

Jawapan kepada jumlah ini, hanya anda sendiri yang tahu.

Tapi jika anda nak lebih selamat dan mudahkan diri untuk berjaya, cuba potong segala komitmen yang ada ke tahap yang paling rendah.

Jangan harap anda nak teruskan gaya hidup anda ketika makan gaji dengan bayaran yang tinggi sama dengan gaya hidup bila dah berhenti kerja dan jadi usahawan sepenuh masa.

Buang semua ego. Pindah rumah lebih murah jika perlu, pakai kereta cabuk, makan gerai tepi jalan dan lupakan gaya mewah. Bisik pada diri sendiri bahawa itu semua adalah sementara dan anda perlu berkorban untuk sementara waktu.

Bila dah tentukan jumlah perlu untuk hidup, katakan RM2500 sebulan. Maka tetapkan jumlah itu untuk setahun atau dua. Jika perniagaan masih bertatih dan tak buat jualan yang mencukupi, anda perlu fikirkan dari mana perlu dapatkan bantuan kewangan untuk sara perniagaan termasuklah jumlah gaji yang anda dah tentukan itu.

Berapa jumlah kira OK

Ini tangga gaji kedua selepas beberapa lama berniaga. Dan perniagaan pula dah menjana jualan yang mencukupi dan konsisten.

Bila sampai ke tahap itu, kira berapa agaknya jumlah gaji yang jika anda dapat boleh membuatkan anda rasa selesa dan tak perlu berkorban teruk sangat. Jumlah gaji itu juga mencukupi untuk membuatkan anda tidur dengan lena tapa terjaga di tengah malam berpeluh.

Berapa jumlah yang seronok

Ini tangga gaji taukeh peringkat ke-3.

Anda dah lama berniaga lebih dari 5 atau 7 tahun. Syarikat dah stabil dan anda rasa dapat kuasai perjalanan dan pengurusan syarikat dan perniagaan anda itu.

Dalam keadaan ini, berapakah jumlah gaji yang anda rasa seronok jika dapat. Dengan jumlah tersebut anda boleh beli barang lebih walaupun sedikit merapu dan tak berapa penting sangat.

Anda juga boleh berbelanja pergi berjalan bawa anak dan isteri sekali sekala dan menikmati perjalanan yang selesa dan menyernokkan.

Berapa jumlah impian

Ini tangga gaji paling akhir yang anda perlu dapatkan.

Perniagaan dah membesar dan berjalan secara bersistem dan anda tak terlibat sangat dengan urusan seharian perniagaan anda itu.

Anda banyak buat strategi dan merancang perlaksanaan strategi itu untuk membawa syarikat ke tahp yang lebih jauh.

Jumlah gaji yang anda ambil mampu merealisasikan segala impian hidup anda. Rumah besar dan selesa. Tinggal dikejiranan tertentu dengan menikmati gaya hidup anda yang diidami selama ini.

Jumlah gaji taukeh subjektif

Dari apa yang saya berikan kat atas itu, anda nampak jelas bahawa ianya adalah subjektif. Bergantung kepada kedudukan anda sekarang, citarasa dan cara anda berfikir.

Ambil masa sejenak untuk fikirkan jumlah tangga gaji yang sesuai untuk anda di setiap tangga tagi dari pertama sehingga ke tahap 4 di atas tu.

Bila dah tentukan, pergi kerja semula dan kerja kuat-kuat untuk lepasi dari satu tahap ke satu tahap sehingga berjaya mendapat impian anda.

Total
35
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. bukan senang nak jadi tauke..

    senang atau tidak ..

    jika itu sudah keperluan dalam menghidupkan syarikat..

    wajar difikirkan dengan penuh teliti

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge