Salah satu daripada sebab perniagaan gagal adalah kerana tiadanya polisi kredit perniagaan dalam syarikat yang anda sedang usahakan.

Mungkin terma ‘polisi kredit’ kedengaran macam hebat sangat pada telingan anda, lalu disangkakan ianya hanya khas untuk mana-mana perniagaan yang besar ala-ala korporat sahaja.

Hakikatnya, polisi kredit perniagaan mesti ada pada semua syarikat tak kira samada perniagaan besar atau kecil, syarikat persendirian atau syarikat sdn bhd.

Untuk memudahkan anda hadam perkara ini, polisi kredit perniagaan adalah keputusan atau pendirian usahawan terhadap urusan berhutang dalam perniagaan anda.

Bukannya urusan anda berhutang dengan pembekal. Tetapi sebaliknya urusan pelanggan berhutang dengan syarikat anda. Memang kalau boleh, usahawan mendapat banyak kelebihan jika diberikan hutang oleh pembekal.

Tetapi sebaliknya pula berlaku, usahawan akan menghadapi banyak masalah jika membenarkan pelanggan berhutang dengannya. Apatah lagi jika yang berhutang itu ada potensi untuk tak bayar.

Keputusan itulah yang kita namakan sebagai polisi kredit perniagaan anda… apakah anda ada memikirkan satu polisi kredit yang wajib dilaksanakan oleh seluruh kakitangan di dalam syarikat anda?

Polisi kredit perniagaan paling mudah

Semua usahawan tahu bahawa polisi kredit perniagaan paling mudah dan tak akan memeningkan kepala adalah dengan tidak membenarkan sebarang jualan hutang.

Ertinya pelanggan perlu membeli secara tunai sebaik saja barang atau perkhidmatan diberikan.

Untuk laksanakan polisi kredit perniagaan secara tunai ini, langkah pertama adalah dengan menempa satu papan tanda yang jelas dan besar, terpampang ayat berikut,

” Tunai sahaja !!!”

Letakkan papan tanda itu di tempat yang paling jelas yang pelanggan mampu melihat dan membacanya sebaik saja masuk ke premis perniagaan anda.

Papan tanda itu akan menjadi satu pendinding awal bagi menghalang semua jembalang yang suka berhutang. Sekurang-kurangnya anda akan dapat menghalau lebih separuh daripada jembalang kaki hutang tersebut.

Peringkat kedua polisi kredit perniagaan

Biasanya, papan tanda ‘tunai sahaja’ itu tak dapat menghalang kemasukan beberapa jenis jembalang kaki hutang yang kebal dari usaha pendinding tadi.

Kumpulan itu biasanya terdiri daripada pelanggan berikut,

  1. Saudara mara
  2. Kawan-kawan
  3. Pelanggan tetap (regular)

3 kumpulan di atas biasanya banyak menimbulkan dilema kepada para usahawan. Orang kita kata ‘telan mati mak luah mati bapak’. Serba salah jadinya untuk keraskan hati kuatkan semangat tidak membenarkan 3 kumpulan di atas dari berhutang dengan perniagaan anda.

Walau bagaimanapun jika anda tak buat satu polisi kredit perniagaan yang berkesan, kumpulan itulah yang akan makan habis kesemua hasil keuntungan perniagaan anda dengan pelanggan lain.

Oleh itu tetapkan satu prosedur yang anda rasa mudah dan dapat kurangkan risiko jika hutang yang diberikan bertukar menjadi hutang lapuk. Sediakan syarat-syarat seperti berikut,

  1. Tetapkan had maksimum untuk berhutang. Anda boleh tetapkan had seperti berikut:
    1. Saudara mara: tidak melebihi RM300
    2. Kawan-kawan: tidak melebihi RM500
    3. Pelangan tetap: tidak melebihi RM1,000
  2. Tetapkan masa atau tempoh pembayaran. Anda perlu tetapkan tempoh yang berbeza seperti di atas juga. Kenapa tempoh dan jumlah berbeza untuk ketiga-tiga kumpulan di atas adalah kerana risiko untuk tidak membayar adalah paling tinggi pada saudara mara, diikuti oleh kawan-kawan dan seterusnya oleh pelangan tetap.
  3. Buat panggilan peringatan sehari sebelum tempoh bayaran sampai. Anda boleh sms, hantar surat, dan buat panggilan telefon untuk berikan peringatan bahawa tempoh dah sampai.
  4. Buat panggilan bila tempoh sampai. Jangan lupa telefon atau cari dan berjumpa bila tempoh bayar hutang dah sampai. Jangan tangguh dan jangan ambil ringan.
  5. Kejar sehingga sekurang-kurangnya 3 kali sehinggalah mereka membayarnya. Jika masih tak dapat bayaran keluarkan senarai nama mereka dan lekatkan pada satu papan kenyataan di premis perniagaan anda. Tuliskan tajuk ‘pelanggan yang dilarang berurusan’. Terangkan pada semua pekerja hal tersebut dan minta mereka patuhi larangan itu. Pastikan papan kenyataan itu dapat dilihat oleh semua pelanggan anda.

 Risiko polisi kredit perniagaan

Jika anda buat apa yang saya gariskan di atas, sudah tentu ada sedikit risiko. Biasanya risiko inilah yang para usahawan tak sanggup hadapi.

Para usahawan takut kalau-kalau dengan berbuat begitu, pelanggan mereka akan lari. Terutamanya jika pelanggan tetap ramai sedangkan merekalah yang membuatkan perniagaan itu hidup selama ini.

Percayalah bahawa itu semua hanyalah ketakutan emosi anda sahaja. Ia adalah satu ketakutan tak logik dalam dunia perniagaan. Buat apa berniaga dan kerja teruk untuk menjual, tapi orang tak bayar?, itu bukan berniaga namanya.

Oleh itu apa yang anda rasakan itu sebenarnya bukanlah satu risiko. Jadi tak payah takut dan laksanakan saja.

Kebaikan polisi kredit perniagaan

Sebenarnya jika anda laksanakan polisi kredit perniagaan yang saya sebutkan di atas. Memang betul akan ada ramai pelanggan yang selama ini jadi kaki hutang, akan lari daripada menjadi pelanggan setia anda.

Biarkan saja begitu kerana ia hanyalah satu permulaan. Ia merupakan satu proses pembersihan membuang kekotoran dari perniagaan anda.

Tahukah kenapa anda menghadapi masalah kebanjiran kaki hutang yang semakin lama semakin ramai ke perniagaa anda?, kerana maklumat kelembutan anda dalam bab memberikan hutang telah disebarkan oleh para kaki hutang tersebut.

“Kalau hang tak ada duit, pergi saja ke kedai Si Mat, dia orait, dia bolah kasi hutang dan tak kisah kalau bayar lambat…”

Penyebaran maklumat itu berlaku tanpa anda sedari dan ia bertindak seperti magnet membawa semua kaki hutang kepada premis perniagaan anda. Jika dibiarkan, lambat laun, para parasit itu akah meruntuhkan dan seterusnya menggagalkan perniagaan anda.

Anda merana, dan semua parasit bahagia sebab tak perlu lagi bayar hutang. Mereka akan pergi cari mangsa lain pula untuk diranapkan perniagaannya.

Seandainya ada tegas dan nekad, anda akan menghalau parasit yang saya sebutkan tadi. Mesej akan tersebar juga pada orang ramai, tetapi biasanya mesej begini,

“Kedai Si Mat tu memang bagus kerjanya, tapi dia susah nak bagi kredit….”

Penyebaran itu akan membawa pelanggan yang baik untuk anda. Mereka tak kisah bayar cash asalkan kerja anda baik dan memberikan kepuasan pada mereka.

Oklah! mana satu yang anda mahu antara dua senario di atas?, masih tak mahu buat polisi kredit perniagaan lagi atau anda dah sedar betapa pentingnya untuk merangka sekarang juga…?

Total
18
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

3 comments

  1. lau ade peluang seposen pn nk hutang lau tuk brg kprluan sbb xde duit lg. tp lau org offer plburn untung setiap bulan dpt. 10k pn cpt je blh bg

  2. Ini memang antara cabaran besar orang berniaga… kadang2 yang hutang bukan tak nak bayar tapi lupa… yang memang tak nak bayar tu lagi2 lah bikin menyirap darah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge