Ini panduan mudah urus kewangan untuk hidup tenang.

Masalah kewangan memang merupakan salah satu dari berbagai masalah dunia yang mampu buat hidup anda jadi tak tenang.

Terus terang saya mengaku ada kelemahan yang sama bila cakap bab duit ini.

Jiwa jadi tak berapa nak tenteram setiap kali saya bertembung dengan masalah kewangan. Memang saya tahu itu kelemahan yang ketara.

Memang kalau nasihat kat orang, semua orang boleh berikan kata-kata hikmat supaya relaks walaupun tak ada duit. Duit bukan segala-galanya dan macam-macam lagi ayat yang memang betulpun.

Tapi jiwa tetap tertekan bila ada perkara yang perlu dilakukan yang memerlukan duit, tapi duit tak ada dalam poket. Terpaksa tekan kreativiti diri untuk cuba selesaikan masalah tu, dalam keadaan tak ada duit dalam poket.

Bila tengah tenang berjaya kawal tekanan tak cukup duit, jadi tak tenang semula bila pasangan tekan minta duit nak selesaikan hal dia. Sedangkan kita memang tak ada atau ada tapi hanya cukup untuk urusan lain yang lebih kritikal.

Isu pentingnya kat sini adalah keupayaan untuk kawal jiwa bila tertekan perlukan duit. Selagi anda tewas biarkan jiwa yang kawal diri ketika tak ada duit, selagi itulah masalah tak akan selesai.

Semua orang mampu hidup tenang

Untuk hidup tenang perlukan latihan.

Oleh kerana masalah kewangan sering jadikan hidup tak tenang, elok ilmu menguruskan kewangan ini segera di kuasai seawal boleh. Lebih awal anda berlatih lebih cepat anda kuasai emosi untuk kawal diri.

Paling awal yang anda boleh buat adalah sekarang.

Siapa saja anda, banyak manapun pendapatan anda, teknik uruskan kewangan dengan buka 5 kaun ini, insyaallah akan dapat bantu anda hidup tenang. Tak kisah samada makan gaji atau berniaga, elok segera amalkan teknik yang akan saya kongsikan di bawah.

Mula amalkan sehingga ke satu tahap anda mampu menjalani kehidupan, tanpa perlu fikir pasal duit lagi. Tentu semua orang mahu keupayaan hidup tenang tanpa perlu pening pasal duit kan?

Teknik ini saya ambil dari buku The Barefoot Investor tulisan Scott Pape. Saya keluar dari masalah kewangan dengan menggunakan teknik yang hampir sama. Oleh sebab saya lihat panduan yang dia susun amat mudah dan praktikal, maka saya kongsikan cara yang dia beri.

Hidup tenang bermula dengan buka 5 akaun

Tanpa buang masa, saya teruskan dengan kosep buka 5 akaun bank untuk menuju kepada hidup tenang anda

Dengan teknik ini, masanya akan tiba, di mana anda tak perlu fikir pasal duit lagi. Tapi ia bergantung kepada keadaan diri anda sekarang. Yang pentingnya anda perlu ada pendapatan tetap. Kalau tak ada, perlu bangun dari tidur dan pergi cari kerja.

Tak kisah kerja apapun. Asalkan anda dibayar gaji minima berdasarkan kerajaan kita dah tetapkan, boleh saja membantu anda untuk mula menguruskan duit dengan baik.

Bila anda dah ada pendapatan tetap, perkara paling awal adalah dengan mula membuka akaun 1. Bukalah kat bank manapun tak kisah. Asalkan mudah, tiada bayaran yang tak munasabah, boleh saja. Kalau boleh buka akaun bank yang tak ada apa-apa charge lagi bagus.

Akaun 1 – duit belanja harian

Pastikan semua pendapatan yang anda dapat dimasukkan ke dalam akaun 1 ini. Dan setiap kali duit masuk, anda hanya perlu tinggalkan 60% sahaja dari keseluruhan yang anda dapat di dalam akaun ini.

Duit sebanyak 60% inilah yang anda boleh gunakan untuk segala urusan kehidupan harian anda. Makan minum, sewa, pengangkutan, bils dan lain-lain seumpamanya.

Pusinglah kot manapun, pastikan anda hanya layak untuk hidup berdasarkan duit sebanyak 60% dari apa yang telah anda dapat. Itu disiplin utama yang perlu dibina sampai berjaya.

Akaun 2 – duit belanja ringan

Tadi saya cakap hanya 60% saja tinggal kat akaun satu. Ada baki lain 40% lagi untuk anda uruskan dengan dalam akaun yang lain.

10% dari pendapatan anda tadi, masukkan ke dalam akaun 2.

Tujuan akaun 2 ini adalah untuk sara segala aktiviti hiburan ringan untuk anda nikmati kehidupan supaya tak tertekan. Bukan hiburan yang tidak dibenarkan ya!.

Contoh berhibur yang saya maksudkan adalah seperti pergi makan kat restoran, tengok bola, beli kasut baru dan seumpamanya. Biasa-biasa saja punya hiburan yang anda rasa suka untuk menikmatinya.

Minta kad debit asing untuk akaun ini.

Anda perlu ingat bahawa hiburan santai ini hanya boleh anda nikmati apa bila duit ada kat dalam akun tu. Bila dah kering habis, duduk diam-diam tunggu bulan depan pulak. Jangan nak cari pasal buat dulu bayar kemudian atau sebagainya.

Akaun 3 – Duit belanja besar

Ambil 10% dari jumlah pendapatan anda untuk dimasukkan ke dalam akaun 3.

Guna akaun 3 ini adalah untuk anda menikmati belanja yang lebih besar seperti pergi makan angin. atau lain-lain seumpamanya. Kosnya lebih besar dari belanja kat akaun 2 di atas tadi. Oleh itu anda perlukan masa sedikit beberapa bulan untuk membolehkan anda menggunakannya.

Selagi tak cukup, bersabarlah. Relaks dan tunggu masanya tiba dengan hanya buat perancangan terlebih dahulu seperti mencari maklumat dan sebagainya.

Akaun 4 – Duit padam kebakaran

Saya gunakan terma penulis buku tu, akaun pemadam kebakaran. Anda perlu masukkan 20% daripada keseluruhan jumlah pendapatan anda ke dalam akaun ini.

Sekarang anda boleh lihat kesemua duit pendapatan anda sudah berjaya diuruskan dengan baik ke dalam akaun masing-masing.

Apa guna akaun pemadam kebakaran ini?

Boleh diagak dari namanya tu. Tugasnya adalah untuk padamkan kebakaran yang sedang berlaku. Sembur sampai semua api padam baru boleh cerita akaun 5.

Antara perkara yang membakar hidup anda adalah api berhutang. Terutamanya hutang kad kredit. Anda wajib padamkan api ini terlebih dahulu sehingga terpadam habis. Jadi, sebelum kita cerita pasal akaun 5, anda perlu ambil gunting dan kerat 2 kad kredit anda.

Perkara paling asas untuk anda hidup tanpa perlu fikir pasal duit lagi dan hidup tenang di kemudian hari adalah dengan elakkan guna kad kredit.

Hubungi pihak bank dan beritahu keputusan anda untuk selesaikan semua baki kad kredit anda. Suruh mereka hentikan bunga yang dikenakan yang sangat tinggi tu. Tukar kepada produk lain yang mengenakan charga yang paling rendah.

Duit yang ada dalam akaun 4 ini adalah untuk bayar kesemua hutang kad kredit anda itu sampai habis kesemuanya. Bila anda hentikan penggunaan kad kredit, anda tak perlukan apa-apa penambahan pendapatan untuk keluar dari belenggu masalah kewangan.

Bayar pelan-pelan sampai selesai. Mungkin setahun, mungkin 2 tahun mungkin lebih. Percayalah tempoh itu tidak lama sebenarnya. Sebaik saja anda disiplinkan diri dan amalkan sebulan demi sebulan, anda tak akan sedar sekejap saja semuanya dah selesai.

Jika ada lagi hutang lain, buat penstrukturan semula dan gunakan akaun ini juga untuk menguruskannya. Jika dah selesai kad kredit, mungkin anda ada hutang kenderaan.

Kalau perlu jual, jual saja, cari pengangkutan lain yang boleh keluarkan anda dari belenggu hutang.

Tiba masanya anda dah selesai semua hutang, kekalkan 20% dari pendapatan di dalam akaun 4 ini. Himpun duit kat sini untuk pembelian yang lebih besar. Beli rumah umpamanya, kereta dan lain-lain yang setimpal dengan jumlah duit yang masuk ke dalam akaun 4 ini.

Akaun 5 – simpanan untuk pencen

Duit dah habis kesemuanya, kita masih adalah satu lagi akaun 5. Apa nak buat dengan akaun ini?

Ini adalah akaun simpanan untuk masa pencen anda bila dah tak kerja nanti. Bagi yang kerja ada buat bayaran KWSP, yang biasanya memang ada kat negara kita, anda dah pun ada akaun ini. Jika anda kerja sendiri dan tak bayar KWSP, elok segera buka atau anda boleh buka kat Tabung Haji umpamanya untuk tujuan simpanan pencen nanti.

Disiplin yang anda perlu pegang untuk urus akaun 5 ini mudah saja.

Sekali masuk, ia tak akan keluar-keluar lagi.

Jadi pilihlah mana-mana pelaburan jangka panjang yang punya track record yang baik dalam jangka panjang. Ada banyak kat Malaysia ni seperti ASB dan lain-lain. Masukan lebihan duit anda kat sini untuk tujuan pelaburan.

Di peringkat ini, di mana anda dah tak ada hutang dan mula tingkatkan simpanan kat akaun 4 tadi, anda dah berjaya menjadi pelabur sebenarnya. Dan insyaallah, anda akan jalani hidup tenang tanpa perlu fikir pasal duit lagi.

Menarik tak?

Kalau anda teruja dengan konsep mudah ini, jangan tangguh lagi. Mulakan sekarang juga dan mula menuju kepada kejayaan.

Asasnya adalah hidup berdasarkan apa yang anda ada. Tak perlu belanja beli barang untuk pamerkan kononnya anda berjaya berdasarkan apa yang anda beli. Tak guna tunjukkan anda kaya sekarang sedangkan anda tak kaya-kayapun di belakang hari.

Total
45
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge