Tips bagi bisnes tak rugi ini khas untuk anda yang baru nak belajar yakinkan diri dalam bisnes.

Sesuai untuk anda yang dah berniaga lama, tapi sampai sekarang masih tak berkembang dok pulun seorang diri atau sesama keluarga sahaja. Sentiasa rasa tak yakin untuk mula lebarkan sayap, ambil pekerja atau tambah pekerja supaya bisnes bisnes lebih maju.

Juga sesuai untuk anda yang masih dok jalankan bisnes secara sambilan sahaja. Asyik was-was samada nak berhenti kerja dan buat bisnes sepenuh masa atau tidak.

Semua perkara asas ini anda boleh mula buat sendiri dengan kadar segera.

Impaknya akan datang samada cepat atau lambat. Yang pentingnya ada impak. Sebaik saja ianya mula memberikan kesan, ianya akan lekat berkekalan.

Itulah yang lebih penting.

Usaha keras gaban supaya bisnes tak rugi

Anda perlu ingat!

Nak bina sampai bisnes berjaya dan nak jadikan bisnes tak rugi dan kukuh ambil masa sedikit.

Sama macam usaha nak jadikan badan anda sasa dan fit. Bukan boleh dilakukan secara pantas segera 2 atau 3 minggu sahaja. Malah 2 atau 3 bulanpun belum dapat lagi. Ia perlu dilakukan secara berterusan sedikit demi sedikit.

Bayangkan kalau anda nak bagi badan sasa dan fit dengan bersenam angkat besi, berlari dan sebagainya selama 7 hari berturut-turut siang dan malam. Apa yang anda akan dapat hanyalah keletihan tahap kronik.

Silap hari bulan masuk wad.

Badan tak ada perubahan melainkan sakit sana dan sakit sini. Anda akan buat rumusan usaha anda itu adalah sia-sia dan terus padam niat untuk cuba jadikan badan sasa lagi. Biarlah kekal badan yang ada sekarang dan teruskan hidup macam biasa sahaja.

Usaha sedikit tapi konsisten sampai bisnes tak rugi

Sebaliknya, cuba buat usaha yang sedikit sahaja dalam 30 minit sekali. Seperti angkat besi sekurang-kurangnya 3 kali dalam seminggu. Jogging dan senam robik dalam 30 minit 3 hari seminggu.

Anda buat semua itu secara konsisten sehingga jadi amalan rutin. Anda akan mula rasa tak selesa dan tak puas hidup kalau tak lakukan semua amalan rutin tersebut di atas.

Tak risau sangat sama badan sasa atau tidak. Yang pentingnya anda dapat rasakan keselesaan dan kesegaran dalam melakukan kesemua amalan tersebut.

Semua usaha itu akan mula berterusan. 2 atau 3 bulan. Teruskan lagi jadi 6 bulan. Teruskan dengan mudah sampai setahun, 2 tahun. Itulah amalan yang anda buat secara konsisten menjadi gaya hidup yang tetap.

Apa yang akan berlaku?

Akan ada perubahan ketara berlaku terhadap bentuk tubuh badan anda. Jadi segar, sihat, dan sasa serta kejap. Tanpa disedari orang mula lihat perubahan ketara yang dah berlaku terhadap diri anda. Orang mula teringin nak jadi macam anda …

6 perkara asas bagi bisnes tak rugi

Perumpamaan kat atas tu, sama juga macam usaha anda untuk jadikan bisnes tak rugi dan stabil.

Ia memerlukan usaha sedikit demi sedikit yang betul dan berkekalan sampai jadi amalan biasa dalam proses menjalankan bisnes anda itu.

Ringkasnya, apa yang anda perlu dalam usaha untuk jadikan bisnes tak rugi adalah memberikan perhatian penuh terhadap melakukan proses kecil yang betul secara berkekalan.

Fokus pada usaha.

Letakkan sasaran kat depan sebagai destinasi yang anda sedang tuju dan berikan perhatian penuh terhadap proses perjalanan menuju ke sana.

Berikut merupakan 6 perkara yang perlu anda usahakan dalam usaha untuk jadikan bisnes anda tak rugi.

#1. Kira jumlah duit masuk dan keluar setiap bulan

Ada dua aktiviti penting di sini.

  • Jumlah duit masuk – Setiap jualan yang anda buat perlulah dicatit. Samada dalam buku 3×5 atau dalam excel spreadsheet. Kalau guna software atau Apps lagi bagus. Catit bila, dari siapa, dan produk/kerja apa dan berapa jumlahnya. Pantau jumlahnya sehari, seminggu, setengah bulan dan sebulan.
  • Jumlah duit keluar – Anda hanya perlu catitkan jumlah duit yang anda keluarkan bila beli barang untuk laksanakan jualan yang berlaku. Kalau anda jual produk, kita kos bahan mentah yang anda dah beli. Kalau repair kereta, kira kos sparepart. Kalau buka restoran, kira kos bahan mentah. Simpan kesemua resit supaya mudah untuk kumpulkan dan catit serta jumlahkan.

Dalam berniaga, kedua-dua aktiviti tersebut di atas merupakan aktiviti kiraan yang paling kerap dan banyak berlaku selagi anda masih menjalankan perniagaan tu.

Setiap kali anda buka kedai berniaga. Setiap kali berlakunya jualan. Sepanjang itulah kedua-dua aktiviti catit dan jumlahkan di atas akan berlaku. Sekali anda tinggal aktiviti itu, kerja akan bertimbun naik.

Jika ditangguh dan ditangguh, akhirnya anda akan gibab dan terus tak buat.

Jadi, jangan tangguh. Anggap yang kerja tak habis hari itu, selagi proses catit dan jumlahkan itu tidak dilakukan.

#2. Kira margin untung kasar

Kalau anda dah buat langkah no. 1 kat atas tu, langkah no. 2 ni boleh dianggap dah separuh siap. Cuma tinggal nak kira saja.

Kalau nak ikut petua mudah saya dalam setiap perniagaan yang nak anda buat. Anda boleh ikut saranan ini.

Pastikan margin untung kasar anda adalah sama atau melebihi 50%. Maksudnya, setiap pembelian RM100 dari pelanggan, anda buat untung kasar sebanyak RM50 atau lebih.

Cara nak kira margin untung kasar mudah sangat.

Kira jumlah jualan yang anda catitkan dalam satu tempoh (sebulan umpamanya). Ambil jumlah kos bahan mentah (kos jualan). Untung kasar anda adalah jumlah jualan sebulan tu, ditolak dengan jumlah kos bahan mentah sebulan.

Untung Kasar = (Jumlah Jualan) – (Kos Jualan)

Margin Untung Kasar % = [(Untung kasar) / (Jumlah Jualan)] x 100

Buatlah macam manapun, cari jalan supaya margin untung kasar anda adalah 50%. Kalau anda masih tak jumpa jalan cara nak jadikannya 50%, anda perlu datang cari saya. Belanja saya minum kopi kat Starbuck, saya akan cuba selesaikannya.

Kalau anda segan nak jumpa saya, cari kawan-kawan yang geliga akalnya. Berikan solan tersebut padanya. Suruh dia cari jalan macam mana nak pastikan bisnes yang anda buat mencatitkan secara purata Margin sebanyak 50% setiap bulan !

OK! sekarang saya dah andaikan yang anda dah berjaya pastikan purata margin untung kasar perniagaan yang anda jalankan adalah 50% setiap bulan.

#3 Pantau Titik Pulang Modal

Kalau anda dah berniaga. Atau anda memang ada hasrat nak jadi peniaga. Pastikan anda tahu benda mudah tetapi penting ni.

Namanya Titik Pulang Modal (TPM). Atau orang putih panggil Breakeven Point.

Jangan rasa takut dengan nama yang diberikan itu.

Ianya hanya sekadar nama saja.

Kalau anda rasa tak selesa dengan nama tu macam hebat sangat. Anda boleh cipta nama anda sendiri. Mungkin anda rasa lebih seronok nak panggil TPM tu dengan nama Titik Berahi Bisnes. atau Titik Lega. Ikut suka nak panggil apapun. Asalkan anda tahu macam mana nak kira benda ajaib tu.

Kira kos tetap perniagaan

Sebelum nak dapatkan titik ajaib tu, anda perlu kira kos tetap yang bisnes anda perlu bayar setiap bulan. Kos tetap ni biasanya anda hanya perlu kira sekali saja. Sebab sama saja jumlahnya setiap bulan anda perlu bayar.

Tak sama macam Kos Jualan kat atas tadi yang lain hari, lain bulan, kiraannya akan naik dan turun bergantung kepada jumlah jualan yang anda berjaya buat.

Kos tetap merupakan semua pembayaran wajib dikeluarkan tak kira samada anda buka kedai atau tidak. Kalau anda cuti Hari Raya selama 2 bulan contohnya, sewa kedai masih tetap kena bayar setiap bulan.

Pemilik kedai yang anda sewa tu tak ada belas kasihan nak pertimbangkan untuk anda tak perlu bayar kalau cuti 2 bulan. Malah kalau anda buka kedai, tapi lansung tak ada jualan selama 3 bulan berturut-turut. Sewa kedai masih tetap kena bayar.

Tiada maaf bagi mu! …

Break ! … saya hentikan kat sini dulu artikel yang panjang ini. Saya akan sambung nanti bila ada kesempatan lagi di sini juga. Rajin-rajinlah jenguk untuk semak samada saya dah sambung atau tidak. Tapi yang pastinya, saya akan cuba paling lewat hari Isnin depan saya siapkan sampai habis.

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

    1. bila tuan free? boleh saya jumpa tuan? saya baru je start niaga. starbuck tu takda hal la… haha

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge

%d bloggers like this: