Pengasas RakanCop & DAPAT meninggal dunia

By | 07/02/2013

Siapa tak pernah dengar RakanCop. Mungkin anda juga dah biasa dengar DAPAT. Bagi mereka yang tinggal di Lembah Kelang dan sering dengar Bernama Radio 24 setiap hari pukul 7.30 pagi tentu kenal dengan saudara Azli Paat.

Azli Paat merupakan seorang pakar ICT yang cukup kreatif. Tak pernah dalam siri perbualannya di Bernama Radio 24 dia kedengaran sedih. Sepanjang yang saya dengar dia sentiasa ceria, bersemangat tinggi dan penuh dengan idea. Dia juga sangat merendah diri.

Semalam Azli Paat meninggal dunia. Dengan itu, suara ceria, kreatif dan penuh dengan maklumat berguna tentang ICT yang sering disalurkan pada seluruh pendengar tidak akan kedengaran lagi.

Melihat daripada segala usaha beliau dalam dunia keusahawanan, terlalu banyak sumbangan dan faedah yang telah diberikannya pada orang ramai. Di doakan segala sumbangannya itu dicatatkan sebagai amalan kebaikan yang berguna untuknya di sisi Allah.

Kematian datang tiba-tiba
Tak ada tanda amaran yang pasti untuk memberikan khabar kematian diri kita. Ramai yang mati sedang dalam kesibukan bertungkus lumus samada menyediakan sesuap nasi untuk keluarga ataupun menimbunkan harta yang telah sedia banyak tersimpan.

Terutamanya para usahawan, kita sering sibuk. Otak ligat berputar mencuba selesaikan segala masalah yang dihadapi. Saban waktu duit masuk ditolak dengan duit keluar. Jika bakinya tinggi, kita senyum, jika rendah atau kosong kita masam. Hasil harian, mingguan, bulanan dan tahunan sentiasa menjadi perkiraan berulang-ulang.

Jika kesemua yang saya sebutkan di atas dilakukan atas dasar tamak, tidak pernah cukup atau untuk membesarkan diri, kematian mengejut merupakan sesuatu yang amat malang.

Sebaliknya jika kesemua itu dilakukan atas dasar iman, mendekatkan diri pada Tuhan dan mendapat ganjaran akhirat, maka mati mengejut adalah kelegaan walaupun pasti, kita tetap masih menyesal kerana terlalu banyak yang belum dilakukan.

Bagaimana dengan anda?
Bayangkan selepas ini anda bangun dan mati tiba-tiba. Apa nasib anda di alam sana. Apa amalan atau bekalan yang anda bawa. Adakah kebaikan lebih banyak mengatasi keburukan?

Apakah kesibukan selama ini dan juga kesungguhan anda berusaha kerana dendam, mahu membuktikan anda hebat, mahu tunjuk anda juga kaya, mahu memuaskan nafsu, mahu tunjuk kuasa, atau apa lagi…?

Walau apapun jua yang anda lakukan, sentiasa ada saja alasan untuk menjadikan ianya bekalan buat akhirat.

  • Kira untung dan rugi saban waktu tak henti-henti kerana mahu pastikan zakat perniagaan dapat dikeluarkan tanpa silap dan lebih meningkat, bakal menyelamatkan diri di akhirat kelak.
  • Sibuk terkial-kial mengejar waktu kerana amalan menepati janji terhadap masa dan atas matlamat menunaikan amanah serta harapan orang yang anda bantu (pelanggan), juga boleh selamatkan diri anda di akhirat.
  • Meningkatkan pendapatan lebih banyak agar dapat digunakan untuk memberikan pendidikan ilmu yang terbaik pada anak-anak dan menyediakan rumah perlindungan yang selesa dan kondusif untuk keluarga juga bolah menyelamatkan anda di akhirat.

Walau apapun yang saya dan anda lakukan, ingatlah bahawa mati sentiasa mengintai di mana saja kita berada….

“Mati itu pasti, hidup Insyallah”

Herman Tino

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

One thought on “Pengasas RakanCop & DAPAT meninggal dunia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge