Bolehkah menjadi kaya dengan makan gaji?

By | 12/06/2012
Banyak orang berkata kalau nak jadi kaya pilihan terbaik adalah dengan menjadi seorang usahawan. Ini juga merupakan pandangan saya sebelum saya cuba mendalami apakah makna sebenar kehidupan ringkas. Sejak itu segalanya mula berubah termasuklah persepsi saya tentang kekayaan.
Saya mula yakin bahawa kekayaan bukanlah bermakna kita ada banyak wang. Kita tidak perlu menunggu sampai memiliki RM1 juta untuk menjadi kaya. Sikap kita yang suka membandingkan nilai wang yang kita ada berbanding dengan berapa yang orang lain ada membuatkan kita sentiasa merasa tidak kaya. Sebanyak manapun duit kita ada, akan ada orang yang punyai lebih banyak daripada kita.
Hidup kita berada dalam keadaan serabut dan tidak pernah berpuas hati dengan apa yang kita ada dan akhirnya kekayaan yang kita cari tak pernah ditemui. Keadaan menjadi lebih teruk apabila kita meletakkan kebahagian dengan syarat kita punyai banyak wang, lalu jadilah kita seorang pemburu wang tegar dengan alasan mahu bahagia. Akhirnya wang tak pernah cukup dan hidup tak pernah bahagia.

Adakah itu yang kita mahu? sudah tentu semua orang yang waras tidak suka menjadi seperti itu, namun selagi kita tidak mengubah konsep kekayaan, selagi itulah kita tidak akan pernah merasakan diri kita kaya dan kita tidak akan berusaha untuk membebaskan diri kita dari belenggu memikirkan tentang wang.
Kembali kepada persoalan yang saya utarakan pada tajuk di atas, menjadi kaya dengan makan gaji adalah sesuatu yang amat sukar untuk direalisasikan selagi kita anggap kaya itu maknanya banyak wang. Sebaliknya jika kita percaya bahawa kita sebenarnya kaya apabila pendapatan kita lebih sedikit daripada keperluan kita maka dengan hanya makan gaji kita mampu menjadi kaya.
Perkara asas yang kita perlu ada untuk menjadi kaya dengan definisi baru kita tentang kekayaan, adalah dengan pastikan kita mempunyai sumber pendapatan. Tidak kira samada sumber pendapatan yang kita perolehi itu hasil daripada makan gaji ataupun dengan berniaga.
Saya buat keputusan untuk berhenti daripada makan gaji buat kali keduanya pada bulan May tahun 2003 bukan untuk menjadi kaya. Pada ketika itu saya cuma memilih untuk menyara kehidupan saya dan keluarga dengan berniaga. Ia merupakan satu keputusan yang cukup berat di mana pendapatan saya berkurangan sebanyak 65%.
Namun saya masih hidup dan mampu menyara seluruh keluarga saya dengan memotong segala keperluan yang mungkin. Hampir keseluruhan gaya hidup saya berubah. Saya pindah menyewa rumah yang cukup murah, saya jual kereta dan tukarkan dengan kereta Kelisa terpakai, saya berhenti merokok, saya makan ala kadar, saya tak beli baju raya setiap kali datangnya hari raya, begitu juga dengan baju raya isteri saya.
Saya juga menunggu saat-saat akhir ramadan untuk mendapatkan baju raya kanak-kanak yang paling murah untuk semua anak-anak saya. Saya juga tak akan mendapatkan rawatan doktor sekiranya sakit yang boleh saya tanggung. Semua itu saya buat semata-mata untuk pastikan pendapatan saya yang telah menyusut sebanyak 65% itu mampu dan cukup untuk menyara keseluruhan keluarga saya.
Bukan tujuan nak ceritakan kehebatan tindakan yang telah saya buat pada masa itu atau lebih tepat kita boleh katakan keputusan kurang bijak. Tetapi apabila saya lihat kembali kebelakang saya terfikir cara lain yang saya boleh lakukan pada waktu itu, adalah dengan kekalkan makan gaji, tetapi dalam masa yang sama melakukan usaha drastik pemotongan keperluan yang sama macam saya nak berniaga. Sudah tentu pada ketika itu saya akan berjaya menyelamatkan 65% daripada pendapatan saya dengan menabung.
Apa yang saya cuba hendak sampaikan di sini adalah dengan azam yang cukup nekad, anda semua yang sedang makan gaji di luar sana mampu menjadi orang kaya jika itu yang anda mahu. Anda hanya perlu menyenaraikan semula segala keperluan anda dan lihat dari berbagai sudut untuk mengurangkannya. Lebih banyak yang anda potong bermakna lebih banyak wang akan masuk tabung.
Dalam keadaan makan gaji, segala keperluan asas anda seperti perubatan misalnya akan ditanggung oleh majikan. Anda juga boleh mengambil berbagai latihan atau kursus dengan pembiayaan majikan yang sudah tentu gembira dengan sikap anda untuk menambah kecekapan bekerja dan seterusnya membantu prestasi syarikat yang anda sedang bekerja. Dan yang paling penting sekali kekalkan gaya hidup anda yang berkos rendah selama mungkin.
Selain daripada itu anda juga perlu memberikan masa selama sejam setiap hari untuk bersendirian untuk memikirkan bagaimana anda boleh menambah gaji dan pendapatan anda. Saya telah menulis tentang masa sejam untuk diri sendiri sebelum ini dan ia adalah untuk semua orang tak kira samada makan gaji atau usahawan.
Antara perkara yang anda boleh lakukan bagi mempastikan anda menjadi pekerja yang cukup cekap dan layak naik pangkat setiap tahun adalah dengan:
  1. Masuk awal sekurang-kurangnya setengah jam setiap hari daripada waktu rasmi mula bekerja. Anda boleh menggunakan waktu tersebut untuk membuat penyediaan kepada tugasan anda untuk hari itu dan memikirkan bagaimana segalanya dapat dilaksanakan dengan lebih cekap.
  2. Pastikan anda sentiasa pulang kerja lewat sekurang-kurangnya setengah jam daripada waktu rasmi. Anda boleh menyusun segala tugasan yang tertangguh untuk disambung keesokan harinya. Anda juga boleh memikirkan bagaimana tugasa yang telah anda lakukan hari itu dapat dilaksanakan dengan lebih mudah dan ringkas di masa hadapan.
  3. Elakkan berkawan rapat dengan mereka yang sering menyalahkan syarikat tempat anda bekerja dan merunggut dengan kerja yang mereka lakukan. Sebaliknya berkawan rapatlah dengan mereka yang berfikiran positif dan sentiasa mahu maju dalam karier mereka. Biasanya golongan ini adalah mereka yang pangkatnya lebih baik sedikit daripada kita dan pastikan mereka berada di jabatan yang berlainan daripada kita. Ia secara lansung menjadikan tugasan anda di syarikat menjadi lebih cekap.
  4. Jangan sesekali menolak tugasan baru dengan memberikan berbagai alasan sebelum mencubanya. Jika boss anda memberikan tanggung jawab ia bermakna ia yakin dengan anda dan dia sudah tentu dan gembira untuk membantu anda dalam melaksanakan tugasan baru tersebut.
  5. Sentiasa memikirkan cara yang paling ringkas dan berkesan dalam semua urusan yang anda lakukan ditempat kerja anda. Jangan sesekali menerima begitu sahaja cara kerja yang telah diajarkan pada anda tanpa menyoal samada ia adalah cara yang terbaik. Cabar minda anda dan juga orang lain bahawa anda mampu melakukannya dengan lebih baik.
  6. Jika anda berjaya mempercepatkan perlaksanaan tugasan anda, anda akan mempunyai masa terluang. Jangan biarkan masa itu berlalu dengan bergossip atau berpolitik ditempat kerja, sebaliknya berjumpalah boss anda dan bertanya kalau-kalau ada tugasan yang anda boleh bantu laksanakan.
  7. Dalam masa yang sama anda berdisiplin dan konsisten melakukan semua perkara di atas, jangan lupa untuk sentiasa mencari peluang kerja baru di pasaran luar. Anda tidak semestinya melompat tukar kerja di syarikat lain, tetapi ia adalah sebagai usaha mengambil tahu pasaran kerja dan apa yang sedang berlaku. Memohonlah bekerja di sayarikat lain sekurang-kurangnya setiap 3 tahun sekali. Ia boleh memberikan anda keyakinan dan memberikan mesej yang jelas pada majikan anda sekarang bahawa anda laris di pasaran.
Dengan apa yang saya cadangkan di atas, anda telah menggandakan pendapatan dan setiap tahun wang simpanan anda akan bertambah. Apabila wang yang anda ada mencukupi, mulakan mencari peluang dengan melaburkannya pada tempat yang selamat. Lakukan penyelidikan agar risiko yang anda ambil adalah berpatutan. Ingat, jangan sesekali lakukan sesuatu yang anda tidak ada ilmu tentangnya, Insyallah wang anda selamat.
Wang yang anda simpan itu jangan dihabiskan dengan membeli barang yang boleh susut nilainya. Antara barang tersebut yang kebanyak orang kita di Malaysia suka membelinya adalah kenderaan. Jangan bandingkan kereta yang anda pandu dengan rakan sekerja anda. Tidak ada faedahnya lansung dan tidak ada sesiapa yang boleh paksa anda berlumba tunjuk siapa lebih mahal barangannya.
Untuk pastikan anda tidak tertipu menghabiskan wang simpanan anda, pastikan anda elakkan diri daripada menonton iklan di TV atau mana-mana media. Iklan kebanyaknnya hanya mahu mempengaruhi anda untuk mengeluarkan wang membeli barang-barang yang anda tidak perlu. Ingat setiap kali anda habiskan wang untuk membeli sesuatu barang, anda sebenarnya telah melepaskan peluang membeli barang yang lebih baik di masa yang akan datang.
Bayangkan sekarang anda lakukan semua yang saya sebutkan di atas selama 5 tahun. Dimana kedudukan anda sekarang?. Adakah anda masih menjadi hamba yang tidak pernah cukup wang? anda sendirilah yang menjawabnya. 

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

3 thoughts on “Bolehkah menjadi kaya dengan makan gaji?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge