Perkara bodoh yang sering saya lakukan pada anak-anak

By | 23/10/2012

Sebagai manusia biasa, kita kebiasaannya tidak sedar bahawa apa yang kita tahu, apa yang kita tidak tahu dan bagaimana kita melihat sesuatu perkara adalah amat berbeza dengan orang lain.

Kita biasa melihat sesuatu kejadian yang sama bersama, namun apa yang kita fikirkan terhadap kejadian tersebut banyak bergantung pada tahap pemikiran serta pengalaman yang telah kita lalui.

Contoh yang paling mudah adalah pengalaman yang kita lalui bersama anak-anak. Bagi mereka yang telah berumah tangga dan dikurniakan anak, anda tentu sering melalui pengalaman ditanya berbagai soalan bertubi-tubi oleh mereka.

Saya sering gagal meletakkan diri saya dalam keadaan mereka setiap kali perkara ini berlaku. Antara pengalaman yang sering saya lalui adalah ketika menaiki kereta sekeluarga untuk menuju ke satu destinasi.

Sebaik saja kereta bergerak meninggalkan kediaman, tidak sampai 30 minit mereka akan mula bertanya soalan yang mengejutkan seperti, “dah sampai ke ayah?”, “jauh lagi ke ayah?” dan sebagainya.

Jika perjalanan ke sesuatu destinasi memakan masa 3 atau 4 jam. Saya akan ditanya dengan soalan yang sama berkali-kali sehinggalah sampai ke destinasi. Soalan ini sebenarnya menguji kesabaran kita sebagai orang tua.

Jika kita lupa bahawa jarak umur antara kita dengan anak-anak, serta pengalaman yang telah kita lalui sepanjang hidup, maka kita sering merasakan seolah-olah mereka sengaja mahu menaikkan darah.

Kita lupa bahawa, pengalaman kita berjalan ke serata tempat dan kemampuan mengenal pasti ‘landmark’ pada tempat yang dituju tidak pernah dirasai oleh anak-anak kita. Begitu juga kemampuan kita mengukur masa perjalanan berbanding masa yang diperlukan untuk sampai ke destinasi tidak dimiliki oleh anak-anak kecil.

Bagaimana mengatasi masalah ini
Untuk membiasakan diri kita mengawal keadaan dan seterusnya menjadikan ianya satu tabiat yang baik pada diri kita, beberapa perkara perlu diambil perhatian:

  • Berhenti sejenak sebelum memberikan reaksi. Jangan terus melenting setiap kali soalan (yang kita anggap bodoh) ditanya.
  • Letakkan diri kita dalam keadaan mereka. Bayangkan keadaan anda semasa kecil-kecil dulu. Berapa umur kita sebelum mampu mengenal dan membaca waktu. Bagaimana kita dapat tahu apa yang mereka tidak tahu dan berapa lama masa yang kita ambil untuk mempelajari semua itu.
  • Pecahkan soalan pada beberapa langkah yang perlu. Dalam contoh perjalanan di atas, soalan utama yang perlu diketahui adalah masa yang perlu diambil untuk sampai ke destinasi. Seterusnya apakah tanda-tanda yang menunjukkan kita sudah menghampiri destinasi.
  • Berikan tunjuk ajar bagaimana mereka dapat memahami pecahan kepada soalan-soalan seperti contoh di atas dan tunjukkan pada mereka bagaimana mempelajarinya. Ini akan membawa kepada berbagai tunjuk ajar yang asas serta penting untuk mereka menjalani kehidupan.
Sebenarnya selain daripada anak-anak kecil, kita juga sering berhadapan dengan soalan-soalan yang kita anggap bodoh daripada sesiapa saja. Bagi para usahawan, kita sering akan menghadapi soalan seperti itu setiap kali berhadapan dengan pelanggan yang kurang tahu.
Perkara asasnya adalah kita sering lupa bahawa apa yang telah kita lalui sebenarnya tidak pernah sama dengan orang lain. Apa yang kita fikirkan sebenarnya tidak sama dengan apa yang orang fikirkan dan bagaimana cara kita berfikir dan melihat sesuatu perkara tidak pernah sama dengan cara orang lain.
Jika kita sedar semua tersebut, kehidupan menjadi lebih bermakna dan selagi kita mampu bersabar dan memahami, kita sentiasa dapat memberikan khidmat terbaik pada sesiapa sahaja hatta manusia yang paling dunggu sekalipun. Selamat bersabar!
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

4 thoughts on “Perkara bodoh yang sering saya lakukan pada anak-anak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge