Tanam sikap ketagih cuci tandas awam

By | 21/10/2012

Ada sekali saya masuk ke sebuah tandas awam di satu pasaraya besar. Seperti biasa tandas sentiasa ramai orang keluar masuk. Saya lihat beberapa pemuda menunggu giliran masing-masing di depan pintu tandas yang  sedang digunakan.

Cuma pelik sedikit sebab ada satu tandas yang luas terbuka pintunya tidak di masuki oleh sesiapa. Lalu saya terus ke situ dan masuk. Patutlah tak ada orang nak masuk, rupa-rupanya taik berterabur dalam mangkuk tandas dan juga sekitar lantai tandas itu.

Pemandangan memang sungguh menjijikkan dan rasa nak muntah. Entah siap punya kerja yang berusaha keras mengotorkan tandas itu sebegitu rupa.

Saya terus tutup pintu tandas dan sambil menahan nafas mula mengalirkan air paip pada najis satu demi satu untuk membersihkan tandas itu. Akhirnya tandas menjadi bersih semula dan barulah saya melepaskan hajat dengan selesa.

Ketika masuk ke dalam tandas tadi, kelihatan beberapa orang mengerling pada saya. Mungkin mereka rasa pelik saya dengan berpakaian kemas sanggup masuk ke dalam tandas itu. Mungkin mereka rasa saya pekerja di pasaraya itu atau ada kaitan dengannya.

Walau apapun orang nak kata, itu urusan mereka. Yang pastinya saya merasa lega dan begitu berpuas hati setelah membasuh tandas tersebut dengan sempurna dan boleh digunakan semula oleh orang ramai dengan selesa.

Bukankah tandas awam hak orang awam macam saya dan sudah tentu menjadi tanggung jawab saya mempastikan ianya kemas dan boleh digunakan oleg semua orang. Saya lega dapat berkhidmat pada semua orang walaupun tidak ada sesiapa yang tahu (sebelum saya ceritakannya di sini).

Iktibar peristiwa
Adakah anda pernah mengalami situasi yang sama dan apa yang telah anda lakukan? Kebanyakan daripada kita akan meludah tuih pada tandas jelik seperti itu dan mengutuk serta melaknat siapa saja yang telah mengotorkannya tanpa berbuat sesuatu.

Tentu ada yang berkata itu bukan kerja aku dan orang lainlah yang perlu pastikan tandas sentiasa elok untuk aku gunakan. Begitulah yang telah saya katakan sebelum ini di sini, bahawa jika kita lupa antara tugasan utama kita adalah berkhidmat, maka kita mula mementingkan diri sendiri.

Jika perkataan khidmat tersemai kukuh dalam dada dan sentiasa berazam untuk memberikan khidmat terbaik, kita akan sentiasa berjaya terutamanya jika menceburkan diri dalam perniagaan.

Oleh itu bagi para usahawan dan juga bakal usahawan, latihlah diri mempertingkatkan kecemerlangan tahap perkhidmatan anda di dalam apa jua situasi, insyallah apabila ia menjadi tabiat, anda akan berjaya di mana jua.

Ingat, kecemerlangan adalah tabiat, bukan sesuatu yang boleh dipaksa-paksa. Setiap perbuatan menjadi tabiat hanya apabila ia dilakukan berulang-ulang. Berlatihlah berulang-ulang berkhidmat dengan cemerrlang mulai hari ini.

Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

4 thoughts on “Tanam sikap ketagih cuci tandas awam

  1. Popo

    Samalah kita bang. Saya pun selalu buat macam ni. Automatik menjadi janitor tandas awam. Barulah lega jiwa nak membuat urusan kita.

    Manusia ni, kalau nama ‘awam’ sahaja terus dia buat macam haram. Pada halnya benda tu semua orang akan pakai, apatah lagi kalau dia bekerja di situ – dia akan pakai mungkin lebih dari sekali sehari.

    Reply
    1. Mohd Shubhi Abdul

      Alhamdulillah!, kalau ramai orang yang tahu tandas awam adalah tandas kepunyaan semua orang dan ada tanggung jawab untuk pastikan semua orang dapat menggunakannya dengan selesa, jadi world class negara kita!

      Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge