bisnes gulung tikarJumlah perniagaan gagal memang tinggi. Itu fakta yang semua orang tahu dan itu bukanlah auta. Kajian di merata tempat terutamanya di negara Barat, membuktikan kebenaran fakta itu.

Lama sebelum ini saya lihat jumlah kegagalan perniagaan adalah setinggi 80% untuk 5 tahun pertama berniaga. Sekarang saya lihat banyak data dari UK dan Amerika memberikan peratus kegagalan sebanyak 50% untuk tempoh 5 tahun pertama berniaga.

Nampaknya peratus kegagalan sudah berkurangan sekarang. Mungkin para usahawan sudah mula lebih bersedia sebelum terjun masuk dalam dunia perniagaan. Ertinya, data itu boleh kita ubah dan kurangkan lagi peratusan kegagalan dalam perniagaan.

Walau apapun, data itu tidak seharusnya membuatkan anda takut untuk berusaha dan terus mencuba.

Seperti yang saya tulis sebelum ini, kalau nak lalui pengalaman perniagaan gagal, biarlah ia berlaku pantas awal dan murah. Kalau tak baca lagi artikel itu, sila pergi baca supaya anda faham. Klik sini untuk baca.

Mereka yang memulakan perniagaan, kemudian gulung tikar, disebabkan banyak perkara. Tetapi saya kongsikan di sini 10 sebab yang paling tinggi yang membuatkan perniagaan gagal. Data ini saya kutip dari berbagai tulisan dari negara barat terutamanya di Amerika.

Samada anda nak berniaga di Malaysia atau di Amerika atau di mana-mana saja, sama sahaja kerenahnya. Jadi maklumat itu boleh dijadikan panduan untuk semua pembaca yang nak mulakan perniagaan.

Pastikan anda elakkan sebaik mungkin kesemua 10 perkara yang saya senaraikan di bawah ini, supaya kemungkinan untuk anda berjaya menjadi lebih tinggi. Seterusnya jumlah usahawan bertambah di negara kita dan dapat membantu meningkatkan lagi tahap kehidupan rakyat Malaysia.

10 sebab perniagaan gagal

  1. Gagal merancang – Bukan gagal buat kertas kerja perniagaan ok !. Tak ada kertas kerja perniagaan pun tak mengapa asalkan ada perancangan yang jelas terhadap bisnes yang nak dilakukan.
    1. Apa produknya, berapa harganya, bagaimana nak beritahu semua orang yang ada potensi menggunakan produk tersebut dan sebagainya.
    2. Mesti jelas semua itu dalam kepala dan luahkannya atas kertas samada buku catitan atau kertas kajang.
    3. Luangkan masa sekurangnya sejam setiap hari untuk buat urusan merancang ini. Seeloknya di waktu pagi sebelum mulakan kerja lain.
  2. Tiada sasaran yang boleh diukur – Berapa jumlah jualan yang anda perlu buat dan dalam tempoh berapa lama anda perlu capai sasaran tersebut. Itu adalah antara sasaran yang boleh diukur yang anda wajib lakukan.
    1. Sebab itu anda perlu sediakan aliran kewangan perniagaan anda. Hanya dengan menterjemahkan semua aktiviti kepada ringgit dan sen sahaja membolehkan anda ukur semua sasaran yang ditetapkan.
    2. Dengan adanya aliran tunai bulanan sebagai unjuran, membolehkan anda buat sasaran dari segi tempoh masa.
    3. Pecahkah aktiviti untuk mencapai sasaran dari bulanan kepada mingguan dan seterusnya kepada harian. Semuanya mesti diukur.
    4. Lebih baik lagi, beli white board dan pasang pada dinding pejabat anda supaya jelas dilihat. Catitkan semua sasaran dan pencapaiannya di atas white board tersebut setiap hari supaya jelas depan mata senantiasa.
  3. Gagal catit dan simpan rekod penting – Ini termasuklah rekod kewangan keluar dan masuk, rekod dan dokumen perjanjian, rekod dan segala resit penting bukti pembayaran, rekod penghantaran, rekod password domain, rekod sijil atau lesen dan sebagainya.
    1. Ini sebenarnya masuk dalam bab pengurusan pejabat. Sebab itu saya katakan sebelum ini penting untuk adakan satu pejabat khas untuk anda urus tadbir dan merancang perniagaan anda.
    2. Perlu juga ada kabinet dan sistem failing. Kalau tak ada duit lagi untuk gajikan pekerja admin, anda perlu buat semua kerja itu sendiri. Luangkan masa untuk itu dan jangan anggap ianya kerja sia-sia.
  4. Pembiayaan terputus – duit habis lah maknanya tu !.
    1. Salah satunya adalah disebabkan tiada modal untuk suntik masuk pertahankan aktiviti perniagaan anda. Mungkin juga disebabkan kurang jualan yang tidak cecah titik pulang modal dalam masa yang ditetapkan.
    2. Ada dua cara tambah pembiayaan dalam perniagaan anda. Pertamanya dengan berhutang samada dari orang atau dari bank. Keduanya minta pada pelanggan, ini lebih mudah jika anda berusaha dengan gigih dan tawarkan nilai yang tinggi yang sukar ditolak oleh pelanggan.
    3. Ini juga ada kaitan dengan unjuran aliran tunai yang saya sebut kat atas tadi. Anda mesti buat jangkaan logik bila titik pulang modal boleh dicapai. Sementara mencapainya, perlu kira samada duit cukup atau tidak untuk terus berusaha. Dan kalau tak cukup nak buat macam mana ?.
  5. Kenakan harga yang murah – Ini ramai yang buat. Lawan harga sampai akhirnya jadi macam cerita P Ramlee, kasi free semua benda.
    1. Saya sering sebutkan masalah ini pada semua usahawan yang ikuti program HR Biz Coaching yang saya anjurkan. Jangan terlalu takut untuk tetapkan harga yang berpatutan. Harga mestilah samada sama dengan pesaing atau lebih mahal. Murah perlu dibuang dari minda selagi anda masih tergolong dalam kategori belum kaya raya.
    2. Untuk pastikan harga tidak murah, anda mesti perah otak merangka item yang saya gariskan di no 6 di bawah ini.
  6. Tiada keunikan berbeza – Orang Putih kata USP. Tidak adanya satu alasan yang kukuh kenapa orang perlu beli dari anda dan bukannya orang lain. Tiada perkara itu bakal membuatkan anda gulung tikar dengan mudah.
    1. Bila tidak alasan kukuh kenapa orang perlu beli dari anda, membuatkan anda fokus pada kurangkan harga serendah mungkin. Ini akan menarik ramai pelanggan yang tidak setia. Ini akan menarik ramai pelanggan yang tidak pentingkan kualiti yang hanya mahu murah sahaja.
    2. Cari kelebihan anda yang tidak ada pada pesaing lain samada pesaing direct atau indirect. Hanya dengan cara itu anda boleh kenakan harga yang sama atau mahal sedikit dari pesaing.
  7. Gagal melayan pelanggan – Ini masuk dalam bab melayan pelanggan dengan cara yang buruk macam seorang yang sombong tapi ada hati nak berniaga.
    1. Sebenarnya ini merupakan salah satu cara untuk bezakan anda dengan orang lain. Kita namakannya sebagai sentuhan peribadi.
    2. Kalau produk atau servis anda sama macam orang lain dan tak jumpa jalan bagaimana nak bezakan dari segi produk atau servis, anda boleh bezakan dengan layanan istimewa supaya pelanggan balik tidur tak lena.
    3. Jangan layan emosi keletihan dan kerisauan anda sampai orang meluat menyesal membeli dari anda.
  8. Taukeh abai kesihatan mental dan fizikal – Kalau taukeh stress sampai dihinggapi masalah kemurungan. Atau lebih teruk lagi, kena serangan jantung, alamat perniagaan akan tutup terus ler jawabnya.
    1. Untuk pastikan perniagaan berjaya, anda tidak boleh tekan diri sendiri sampai tidak ada masa senggang dan masa berehat. Ramai usahawan terlepas pandang perkara ini.
    2. Idea baru memerlukan akal yang kuat daya kreativitinya. Untuk tingkatkan daya kreativiti anda mesti sediakan masa bersantai samada seorang diri atau dengan kawan atau keluarga.
    3. Untuk berniaga banyak guna otak. Untuk itu anda perlu kuat stamina. Dan untuk kuatkan stamina anda mesti ada masa isi semula segala tenaga yang diperlukan. Hanya dengan rehat, bersenam dan jaga makan dan minum serta jaga kesihatan, boleh dapat semua itu.
  9. Tak sedar kurang ilmu dan pengalaman – Memang baru berniaga kita kurang pengalaman. Tak perlu rasa rendah diri untuk mengaku kurang pengalaman. Tapi ada orang yang sombong rasakan dia betul dan tidak mahu dengar pandangan orang. Mendengar pandangan tidak semesti perlu menerimanya. Tapi tidak sudi langsung dengar pandangan orang mampu membaca bencana.
    1. Berkawan dengan orang yang lebih pengalaman banyak membantu dalam bab ini. Buang ego buang malu, dan jangan terus tolak semua pandangan. Buat analisa berdasarkan fakta dan bacalah buku pengurusan dan perniagaan.
    2. Sentiasa niat untuk terus belajar dari apa saja perkara yang anda lalui. Buka mata dan pasang telinga. Sentiasa mencuba perkara baru dan jangan segan bertanya.
  10. Tak ada jiwa dengan perniagaan yang dijalankan – Kalau tidak ada minat, maka tidak akan ada kesungguhan maksimum.
    1. Cari alasan yang kuat kenapa anda mesti buat yang terbaik perniagaan anda itu. Buang segala keraguan yang muncul dalam benak kepala. Atasi segala gangguan.
    2. Untuk tanam minat dalam apa yang kita lakukan, salah satu cara terbaik adalah dengan mendalami perkara tersebut sedalam mungkin. Anda boleh dapatkan semua itu dengan berkawan dan membaca.
    3. Sering kongsikan apa yang anda buat dan apa pengalaman yang anda tempuhi pada orang lain yang sudi mendengar. Ini membantu anda menjiwai apa yang anda lakukan.
    4. Macam teruna dengan dara, walaupun tak suka kali pertama, bla dah selalu jumpa berkongsi cerita, lama-lama jatuh cinta. Sebab itu orang kata tak kenal maka tak cinta. Oleh itu kenali apa yang anda buat sedalam mungkin, pasti akan jatuh cinta juga akhirnya.
    5. Cari mentee supaya anda boleh kongsikan pengalaman anda. Galakkan mereka melakukan aktiviti yang sama dan jangan kemut ilmu takut mereka akan jadi pesaing. Rezki semua orang Allah jamin sampai mati, jadi apa nak takut !

Begitulah sedikit penerangan terhadap 10 sebab utama paling tinggi kenapa perniagaan gagal. Kata Sun Tzu, kenali diri anda, kenali musuh anda, dalam 100 pertempuran anda tidak akan kecundang…

Oleh itu kenali 10 musuh penyebab perniagaan gagal di atas dan kuasainya.

Insyaallah saya, anda dan semua rakan-rakan kita akan berjaya ! Yang pastinya kita perlu berusaha sampai berjaya mendapatkan hasil yang kita idamkan.

Total
6
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

8 comments

  1. Terima kasih Tuan Bihi bagi pesanan yang jelas..

    Saya antara yang pernah gagal dalam biz..insyaAllah ianya akan menjadikan kayu sempadan untuk memulakan perniagaan pada masa akan datang.

  2. Assalamualaikum Tuan,

    Terima kasih di atas perkongsian tuan yang amat baik bagi usahawan-usahawan baru atau lama. Bagi yang baru menceburi bisnes, perkongsian di atas amat baik dibaca dan dihadam, dan bagi yang dah lama berkecimpung dalam bisnes perkongsian di atas adalah sebagai peringatan dan nasihat yang amat berguna.

    TERIMA KASIH TUAN SHUBHI.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge