Buat 15 perkara ini kalau dah ada idea bisnes

Dalam artikel yang lalu saya dah berikan sumber kat mana anda boleh cari idea bisnes.

Harap-harap ada yang buat dan berjaya jumpa satu idea bisnes yang dia rasa macam boleh buat. Kalau dah jumpa satu idea bisnes bagus!. Tahniah!

Tapi…

Jangan yakin lagi.

Pastikan anda buat 15 perkara yang akan saya kongsikan kat bawah ini terlebih dahulu.

Kalau nak pastikan idea bisnes yang anda ada dalam kepala itu bakal berjaya. Kalau nak pastikan anda jadi seorang pemilik bisnes kecil yang banyak duit nanti. Buat terlebih dahulu 15 perkara berikut.

#1. Tulis kenapa bisnes kecil anda akan berjaya

Ini perkara pertama yang anda perlu buat. Jangan sekadar ada bayangan dalam kepala sahaja. Luahkan semua bayangan tu atas kertas.

Tulis kenapa anda rasa bisnes kecil anda itu akan berjalan dengan jayanya dalam satu muka surat penuh. Buat penerangan yang padat dan jelas.

Selepas dah tulis baca semula. Adfakah ianya amat jelas dan mudah difahami. Buat pembaikan jika perlu sehingga anda puas hati.

Bila dah puas hati, bawa kertas tersebut pada beberapa orang kawan yang anda ada dengan umur-umur yang berbeza. Dari muda belasan tahun sehingga ke tua 70 atau 80 tahun. Baca pada mereka dan tengok apa komen.

Kalau mereka semua boleh faham dengan mudah. Barulah sah yang anda sendiripun faham apa yang anda nak buat tu.

#2. Pastikan bisnes kecil anda ada pelanggan

Bila semua orang dah boleh faham penerangan bisnes kecil anda kat atas tadi, pastikan bahawa bisnes kecil anda itu memang ada pelanggan. Dalam bahasa bisnes orang panggil ada permintaan atau pasaran.

Nak tahu samada ada atau tidak ada, kena buka mata tengok sekeliling. Kalau tak nampak, kena pergi cari pelanggan yang anda sasarkan itu dan tanya.

Proses ini biasanya orang panggil ‘validation’. Dalam bahasa kita pengesahan. Kena sahkan terlebih dahulu secara terang dan jitu bahawa memang bisnes anda ada permintaan. Jangan main syok sendiri kononnya idea anda hebat dan semua orang akan berebut mahukannya. Tak semudah itu.

#3. Kira titik pulang modal

Jika memang sah ada permintaan, buat kiraan titik pulang modal pulak.

Berapa produk atau servis dalam idea bisnes anda itu perlu dijual untuk membolehkan perniagaan anda tidak untung dan tidak rugi.

Perlu ambil kira segala kos jualan dan kos tetap termasuklah gaji anda sendiri.

Titik pulang modal memberikan maklumat berapa nilai jualan yang perlu anda buat. Juga membawa maksud berapa orang pelanggan yang anda perlu dapatkan untuk mencapai jumlah jualan tersebut.

#4. Berapa saiz pasaran idea bisnes anda

Selepas itu, anda perlu dapatkan maklumat berkenaan berapa ramai jumlah pelanggan yang menunggu untuk menjadi pelanggan anda. Berapa ramai orang yang memerlukan produk atau servis anda itu.

Contohnya jika anda jual ubat kurus ‘Fat Burner’. Anda perlu anggarkan berapa ramai orang gemuk yang ada kat dalam populasi anda. Dapatkan statistik berkenaan jumlah orang gemuk dalam populasi anda itu. Itulah saiz pasarannya.

#5. Kenapa anda boleh jual dalam jumlah yang diperlukan

Anda dah ada jumlah titik pulang modal kat atas tadi. Dan ada juga dah ada saiz pasaran anda kat atas tu.

Sekarang cuba cari jawapan kenapa agaknya anda boleh pastikan jumlah minimum yang anda perlu jual itu boleh dicapai. Ertinya, jawapan kenapa sebahagian kecil dari keseluruhan saiz pasaran di atas tadi akan beli dari anda.

Kalau ada 1 juta orang gemuk, sudah pasti anda tak akan mampu membuatkan keseluruhan orang gemuk itu beli produk atau servis anda. Paling kuatpun mungkin hanya dalam lingkungan 1% sahaja untuk permulaan.

Tengok juga pesaing yang ada. Berapa nilai jualannya. Jadi anda boleh agak berapa saiz pasaran yang dia dah berjaya ambil. Kalau dia yang dah lama dan terkenal itu hanya mampu tawan 10 ribu pengguna sahaja dari keseluruhan 1 juta orang gemuk, jangan nak yakin sangat yang anda dok tak dok mampu tawan 2 ribu pengguna daripada saiz pasaran sedangkan anda masih baru.

#6. Tahu bagaimana nak cari, tarik, tawan dan kekalkan pelanggan

Kat mana nak cari orang yang perlukan produk atau servic yang anda tawarkan. Kat mana mereka berada. Dalam group FB macam mana mereka biasanya merayau. Kat kedai macam mana mereka biasanya melepak.

Bila dah tahu kat mana mereka, fikirkan pulak macam mana nak tarik mereka berminat dengan produk atau servis anda. Kemudian tawan hati mereka untuk mencuba dan seterusnya goda mereka supaya terus kekal menggunakan produk atau servic anda itu.

Fikirkan kesemua strategi dan cara yang anda perlu buat. Mesti ada semua perancangan ini. Plan A, Plan B dan seterusnya.

#7. Berapa jumlah duit yang diperlukan untuk mula dan bertahan

Kalau anda dah ada kesemua perancangan kat atas tu, bagus!. Nampaknya bisnes anda macam boleh berjaya.

Tapi masih tak habis lagi.

Berapa jumlah duit yang anda perlukan untuk buat kesemua aktiviti perniagaan anda. Berapa jumlah perlu untuk mula. Dan berapa jumlah yang diperlukan lagi untuk pastikan anda terus dapat kayuh sehingga bisnes mula mampu menyara kehidupan dan segala kos perniagaan anda secara automatik.

#8. Tahu kenapa duit akan ada

Kalau dah kira semua jumlah duit yang anda perlu, peru fikirkan plak dari mana nak dapatkan kesemua jumlah duit tersebut.

Cuba korek poket anda. Ada kah jumlah banyak tu. Pecahkan tabung, minta kat Mak dan Bapak, Abang dan Adik, saudara mara, Jiran tetangga, kawan-kawan, bank, kerajaan, Umno, Ketua kawasan Ketua Bahagian, MARA, PUNB, TEKUN, SME…

Yang paling penting sekali, anda perlu tahu kenapa mereka akan berikan jumlah duit yang diperlukan itu kepada anda. Wajib ada jawapan ini dengan pasti. Setakat nak pakai nama Melayu dan anda spesis Bumiputera saja tak berapa nak cukup kuat.

Mesti ada alasan dan sebab yang kuat. Jangan nak perasan yang anda itu insan istimewa. Tak ada insan istimewa melainkan orang yang dilahirkan cacat. Samada cacat anggota atau cacat akal. Mereka ada keistimewaan dan ada banyak bantuan mudah.

Tapi anda yang semurna tu nak dakwa masuk dalam kategori insan istimewa jugak ke?

#9. Ada jawapan kenapa orang sanggup bayar

Dah ada orang akan bagi duit untuk mulakan bisnes! Tahniah. Lega sikit rasanya. Boleh mula menjual.

Tapi berapa harga yang anda nak jual. Mahal atau murah?

Tak kisah mahal atau murah, asalkan ada baki yang menjadi keuntungan dalam perniagaan anda itu. Setelah tolak kesemua kos samada tetap atau berubah, anda mesti ada baki keuntungan.

Pelanggan bukannya bodoh sekarang. Mereka boleh saja semak berapa kos sebenar produk atau servis anda. Mereka juga boleh bandingkan dengan bersepah lagi produk yang sama. Mereka akan bandingkan harga.

Pastikan anda sediakan jawapan kenapa harga anda sedemikian rupa. Apa manfaat yang pelanggan akan dapat untuk meyakinkan mereka akan sanggup keluarkan duit dari poket. Macam mana nak yakinkan pelanggan akan dapat apa yang anda janjikan.

Macam mana nak hilangkan rasa takut mencuba yang ada pada pelanggan, terhadap produk atau servis syarikat anda itu. Kenapa mereka nak tukar dari produk atau servis lama yang dah biasa dibeli, kepada produk anda yang entah ok atau tidak.

Ada jawapan tak pada semua persoalan itu?

#10. Tahu bagaimana nak tunaikan pembelian

Ok! anda dah selesaiakan kerisauan pengguna. Mereka sanggup korek poket dan bayar.

Macam mana anda akan pastikan produk atau servis dilaksanakan berdasarkan segala janji-janji yang telah anda lepaskan pada pelanggan tu.

Anda yakinkah dia akan dapat sebagaimana yang dia jangkakan. Apa masalah berbangkit yang bakal timbul. Apa akan anda buat kalau timbul.

#11. Tahu sumber manusia yang anda perlukan

Untuk pastikan semua berjalan lancar, anda perlu ada orang untuk melaksanakannya. Mungkin anda jenis superhero dan mampu buat semua benda dari A ke Z. Kalau macam itu ok. selesai masalah.

Tapi kalau bukan superhero, anda tentu perlukan pekerja atau pembantu. Jenis kerja macam mana yang anda perlukan pembantu. Kat mana nak cari pembantu yang ada kemahiran itu?

#12. Tahu kat mana nak beroperasi

Ini mudah dan tak payah nak ajar. Tapi kadang kala, benda mudah ini yang ramai buat silap.

Berniaga riuh rendah main hentam saja mula berniaga kat tempat yang ada, dah bergerak ke depan baru sedar rupa-rupanya lokasi memang bermasalah. Lansung tak sesuai. Nak pindah dah perlukan kos tambahan. Kalau tak pindah bisnes tenat.

Jadi pastikan anda sedar kepentingan lokasi dan tahu kat mana nak beroperasi dan sedar dan yakin lokasi itu sesuai.

#13. Ada nama yang baik untuk syarikat

Sekarang masuk bab mudah dan dah mula seronok.

Apa nama perniagaan atau syarikat anda. Pilihlah yang sesuai. Sekali sebut orang dah boleh agak anda berniaga apa. Jangan susahkan pelnaggan meneka.

Mereka tak ada masa nak main teka teki kalau tak ada hadiah.

Janganlah berikan nama syarikat “Panji Semerang Sedondong Entreprise” kalau anda nak buka bengkel baiki kenderaan. Susah nak agak yang bisnes anda adalah workshop dengan nama macam itu.

#14. Ikat kepala bersedia bertarung

Bila dah sedia semua jawpaan kat atas itu, anda boleh pergi masuk dalam bilik kat rumah tu sekarang.

Ambil kain merah secarik. Ikat kat kepala kejap-kejap. Lilitkan kain pelikat pada pinggang kemas-kemas.

Tahan nafas dan pergi serbu buat serangan jualan.

#15. Mula menjual dan jangan pernah berhenti

Ini nasihat terakhir.

Sekali anda dah serbu menjual macam yang saya suruh kat atas tadi, jangan sesekali berhenti selagi anda tak jana duit secukupnya.

Duit yang cukup untuk anda sara hidup, tanggung anak dan isteri dan semua tanggungan lain.

Jangan pendam jika dah ada idea bisnes

Kalau anda memang dah ada idea bisnes dalam kepala itu, jangan pendam dan hanya berangan-angan ketika nak tidur.

Segera buat 15 perkara yang saya sarankan kat atas. Kalau tak tahu, tak ada jawapan, pergi cari sampai dapat.

Dari situlah pergerakan akan berlaku dan dari situ juga anda semakin depat menghampiri kejayaan berniaga yang diimpikan selama ini. Baru berjaya mula berniaga ya! ingat tu.

Orang Cina punya Falsafah menarik lebih kurang begini,

“Untuk buka kedai, semua orang boleh buat, tapi untuk pastikan kedai sentiasa dibuka, adalah satu seni”

Kalau ada yang dah mula berniaga tapi kelam dan suam tak bermaya. Atau mungkin semuanya gagal. Cuba perhatikan samada anda dah buat kesemua 15 perkara yang saya kongsikan kat atas tu.

Selamat berjaya!

Total
18
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

4 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge