19 sebab utama kenapa bisnes gagal yang perlu anda tahu

By | 27/12/2016

Kenapa bisnes gagal ?

Kenapa ada bisnes yang gagal dan kenapa pula ada bisnes yang berjaya ?

Sebab apa ada orang kelihatan macam mudah sangat jayakan bisnes. Satu demi satu bisnes yang dia buat dan jalankan, berjaya dan lancar.

Nampak macam senang sangat !

Sedangkan ada orang lain pula, malah ramai sebenarnya, yang kelihatan bergelut dan berhempas pulas cuba terapung dalam bisnes, tapi akhirnya tenggelam  ke bawah. Masih tak putus asa, cuba lagi dan tetap masih tenggelam juga.

Nampak susah sangat-sangat !.

Anda yang sedang baca artikel ini macam mana ?

Adakah sedang bergelut untuk menjayakan bisnes atau sedang lancar melayari bisnes dengan penuh warna warni dan menyeronokkan ?

Jika ditanya soalan yang sama pada semua orang yang sedang buat bisnes sekarang, terutamanya yang baru masuk berniaga tak sampai setahun, boleh dikatakan hampir kesemua amat yakin bisnes yang dia sedang lakukan akan berjaya dengan gilang gemilang.

Itulah perkara yang amat menyedihkan dalam dunia bisnes sebenarnya.

Hampir kesemua usahawan tidak tahu bisnesnya akan gagal sehinggalah ianya berlaku.

Bila dah berlaku baru nak garu kepala dan cuba cari alasan kukuh kenapa bisnes gagal. Lagi malang bila semua punca gagal cuba diletakkan pada orang lain.

Ayat biasa untuk orang yang tak akan berjaya… semua orang salah kecuali dirinya sendiri.

Hakikat yang amat pasti, kalau anda nak tahu kenapa bisnes gagal, semuanya berpunca daripada salah usahawan itu sendiri.

Perlu terima hakikat tersebut dan cari jalan bagaimana nak hadapinya dan buat pembetulan.

19 sebab kenapa bisnes gagal

Berikut disenaraikan sebab kenapa bisnes gagal yang biasanya antara yang paling kerap terjadi dalam dunia bisnes.

  1. Tiada perancangan – Perancangan jangka pendek tak ada, jangka panjangpun tak ada. Apa yang nak dicapai, mana dahulu perlu dicapai, bulan depan nak capai apa, lima tahun lagi apa, bila tempoh masanya, bagaimana nak mencapainya semua tak ada. Kalau adapun semuanya hanyalah andaian atau lebih kepada angan-angan. Tidak boleh diukur dan diterjemahkan dalam bentuk perancangan dan tindakan yang jelas dan tersusun.
  2. Gagal menjadi pemimpin – Ada dua perkara penting kalau nak jadi pemimpin yang baik dalam menjalankan bisnes. Pertama perlu buat keputusan yang baik dan betul. Keduanya perlu pastikan orang ikut, melaksanakan keputusan yang telah dibuat itu. Kedua-dua keupayaan itu merupakan syarat perlu ada, jika nak jadi pemimpin yang berjaya dalam mengendalikan bisnes yang dijalankan. Untuk itu perlu ada mentor, perlu ada penasihat, perlu cari ilmu, perlu dengar pandangan dan lain-lain seumpamanya. Jangan main ikut perasaan syok sendiri sahaja, rasa semuanya betul dan hebat.
  3. Produk atau perkhidmatan yang lansung tak ada perbezaan – Sehebat manapun perniagaan anda, produk atau perkhidmatan yang anda lakukan, sudah pasti ada bersepah tawaran yang sama kat pasaran. Persoalannya kenapa pengguna atau pelanggan perlu pilih produk atau servis anda berbanding yang lain. Majoriti bisnes yang gagal langsung tak boleh jawab soalan itu dengan betul dan meyakinkan. Kalau boleh jawabpun dia tak mampu nak buktikan ianya benar.
  4. Produk yang tidak menyelesaikan sebarang masalah – Hampir sama dengan masalah no 3 kat atas tu. Produk atau servis yang dia buat benar-benar angkara syok sendiri. Oleh kerana dia suka, maka diandaikannya orang lain akan turut suka. Hakikatnya dia tidak pernah bertanya masalah apakah yang produk atau servisnya boleh selesaikan kepada pengguna.
  5. Abaikan kehendak pelanggan – Sikap tak ambil peduli terhadap kehendak pelanggan juga banyak berlaku pada bisnes yang gagal. Mungkin pada mulanya pelanggan ok, tapi kecenderungan permintaan sentiasa boleh berubah. Pilihan sentiasa bertambah dan ini mampu mengubah kehendak pelanggan. Bila perkara itu tidak dipedulikan, pelanggan akan cabut dan tidak kekal menjadi pelanggan setia. Taukeh yang asyik syok sendiri, tak peduli nak survey maklum balas pelanggan, memang sengaja nak bunuh bisnesnya sendiri.
  6. Tak belajar dari kegagalan – Bukan semua tindakan yang dilakukan dalam bisnes akan berjaya mendatangkan hasil. Itu perkara biasa. Tapi yang luar biasa adalah tidak belajar kenapa ianya gagal. Yang dikesali hanyalah kerugian akibat dari kegagalan tersebut dan bukannya ilmu pelajaran yang boleh diambil untuk dibuat pembaikan dalam tindakan yang seterusnya. Perangai tidak mengukur, tidak mencatit dan seumpamanya adalah bukti amalan tidak belajar dari kegagalan itu berleluasa pada bisnes yang gagal.
  7. Gaya pengurusan yang amat buruk – Tidak percaya lansung pada orang lain. Tidak percaya pada pekerja yang digajikan. Suka ambil tahu semua perkara secara terlebih terperinci dan sentiasa syak wasangka keterlaluan. Tidak bersedia mendengar rungutan atau idea orang. Buat keputusan ikut mood dan langsung tak ada sistem atau pendekatan yang tersusun. Itu semua contoh gaya pengurusan yang amat buruk.
  8. Kurang modal – Perniagaan sudah tak mampu nak bayar sewa. Tak mampu nak jelaskan gaji, hutang dari pembekal, pinjaman dari bank dan ain-lain seumpamanya. Takeh pula gagal untuk dapatkan bantuan kewangan samada dari kawan, saudara mara mahupun dari institusi kewangan. Itu tandanya usahawan tidak ada keupayaan untuk mendapatkan bantuan dan kepercayaan dari semua orang yang boleh membantunya. Ia tetap salah usahawan itu sendiri kerana gagal yakinkan orang lain untuk berikan modal padanya.
  9. Membesar cepat sangat – Kalut sangat nak bergelar jutawan, kalut sangat nak masuk muka dalam media, glamour dapat anugerah itu dan ini, maka dari bisnes puluhan ribu sebulan terus nak tingkatkan jadi ratusan ribu sebulan atau jutaan. Tak sedar setelah dicampur tolak, jumlah hutang melambung ke siling dan keupayaan mengurus sesuatu yang besar masih mentah.
  10. Salah pilih lokasi – Ini sering berlaku disebabkan tidak ada cara tersusun untuk buat keputusan perniagaan. Main ikut apa yang dihidangkan padanya dan bukannya berusaha untuk mengadakan pilihan hidangannya sendiri. Lokasi gagal dalam segala hal termasuklah mudah untuk didatangi, mudah untuk ditemui, mudah untuk mesra alam untuk dimasuk dan sebagainya. Sudahlah lokasi tak ok, nga-nga tak usaha apa-apa aktiviti pemasaran yang berkesan.
  11. Keuntungan yang tidak mencukupi – Hanya 40% bisnes yang mencatatkan keuntungan. 30% lagi hanya cukup pulang modal dan 30% lagi sentiasa rugi lansung tak ada untung. Paling sedih, usahawan tak pernah tahu berapa peratusan keuntungan sebenar perniagaannya sebab tak catit duti keluar dan masuk dan tak tutup keseluruhan transaksi itu secara minggu, atau bulanan serta tahunan.
  12. Pengurusan stok yang tidak betul – Tak pernah ambil peduli untuk menentukan stok yang optimum, yang patut ada dalam perniagaannya. Stok banyak sangat boleh merosakkan perjalanan aliran tunai bisnes. Stok tak cukup juga boleh merosakkan perjalanan bisnes.
  13. Tidak menguruskan kewangan dengan baik – Invoice keluar banyak tapi yang tidak berbayar juga banyak. Tiada polisi beri hutang membuatkan sesiapa saja yang muka tebal mampu berhutang. Itu semua antara amalan pengurusan kewangan yang tidak baik.
  14. Tidak memberikan tumpuan yang penuh – Kononnya nak cepat jadi hebat, buat bermacam projek dalam masa yang sama. Budaya yang berserabut dan tidak kemas menambahkan lagi keupayaan untuk memberikan tumpuan penuh pada perniagaan. Tidak menyediakan masa untuk diri sendiri bermuhasabah kedudukan bisnes dan merancang tindakan seterusnya juga antara sebab gagal terhadap keupayaan fokus pada perniagaan.
  15. Perabih duit bisnes untuk urusan peribadi – Tak reti nak bezakan antara duit perniagaan dengan duit untuk kegunaan peribadi juga merupakan sebab perniagaan gagal. Bila untung lebih sikit, lalu beli barang koleksi kegemaran yang tak ada kena mengena dengan bisnes. Guna duit syarikat pulak tu.. !
  16. Kembangkan perniagaan berlebihan – Buat tambahan produk, masuk pasaran baru, tak habis satu dah mula buat satu lagi, tak sempat-sempat nak matangkan pasaran yang dah ada kembangkan pula beberapa pasaran baru lagi. Sikap terburu-buru itu banyak yang membunuh bisnes.
  17. Faktor ekonomi luar kawalan – Ini juga antara faktor yang membuatkan bisnes bungkus. Memang foktor luaran tidak mampu dihadapi oleh usahawan jika ianya berlaku. Contohnya seperti bencana, perang, undang-undang, polisi kerajaan berubah, ekonomi teruk dan sebagainya. Namun begitu, ada juga perniagaan yang mampu bertahan walau dalam keadaan ekonomi yang buruk sekalipun.
  18. Tidak membina pelapis – Manusia sentiasa diintai maut. Malah malapetaka tidak siapa yang boleh jangka. Oleh itu, usahawan yang tidak memikirkan pelapis biasanya banyak yang terkena dengan bab ini. Bila taukeh kemalangan umpamanya, semua urusan bisnes terus terhenti kaku dan akhirnya bungkus terus.
  19. Salah pilih rakan kongsi – Jika pilihan rakan kongsi dibuat dengan betul, maka perniagaan akan menjadi lebih mudah berkembang dengan adanya rakan kongsi yang baik. Pilihan rakan kongsi yang salah bakal membuatkan perniagaan kusut. Masalah tak puas hati, kecewa, rasa teraniaya dan sebagainya akan menambahkan lagi masalah bisnes yang sedia ada.

Bagi mereka yang baru berniaga, ambil perhatian pada 19 perkara yang saya kongsikan kat atas tu. Jangan terlalu ghairah dan yakin sangat tanpa membuka sedikit ruang untuk mendengar pandangan dan nasihat orang lain.

Mungkin ada banyak lagi faktor lain yang mampu membunuh sesebuah perniagaan. Anda boleh bantu saya berikannya pada ruag komen kat bawah ni.

13 thoughts on “19 sebab utama kenapa bisnes gagal yang perlu anda tahu

  1. Jobkartel

    Kegagalan sebenar adalah apabila kita tidak mencapai sesuatu, kita terus berputus asa. Ingat bahawa kegagalan merupakan suatu proses untuk mencapai kejayaan. Teruskan kekal semangat ! 🙂

    Reply
  2. Arshad

    Salam Tn.Subhi….analisis yang tepat.Saya berusaha belajar dari apa yang tuan perkatakan. Terima Kasih

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge