3 petua niaga terbaik yang perlu anda pegang sebelum mula berniaga

By | 02/05/2017

petua niaga terbaik yang mantapApa petua niaga terbaik yang perlu anda pegang kalau nak mula berniaga ?

Soalan sebegitu, dan seumpama dengannya, sentiasa jadi tajuk hangat jika anda ada niat nak mula berniaga.

Soalan cepu emas itu juga sering menghantui fikiran, jika anda selama ini makan gaji dan timbul azam nak berhenti dan jadi usahawan sepenuh masa.

Saya rasa itu lah soalan yang sebenarnya, yang anda perlu tanya.

Walaupun selama ini, soalan yang orang sering tanya pada saya adalah tentang idea nak berniaga apa.

Saya rasa soalan sebenarnya adalah tentang petua bagaimana cara terbaik nak mula berniaga. Cuma ayat itu tak terkeluar dari bibir saja.

Wajib tahu petua niaga terbaik

Punca utama anda nak berniaga sudah tentu disebabkan terpengaruh dengan cerita-cerita kejayaan para usahawan yang dah berjaya diluar sana.

Tambahan pulak ada banyak blog sekarang yang aktif menghimpunkan kisah-kisah kejayaan usahawan.

Cerita yang berkisar dari Zero kepada Hero amat popular dan mampu menarik perhatian.

Saya belum pernah jumpa lagi blog yang kongsikan kisah sedih dari Zero kekal Zero. Kalau anda ada jumpa, tolong bagi tahu.

Hakikatnya, kisah sedih dari Zero dan kekal Zero adalah kisah yang jauh lebih banyak berlaku dalam dunia keusahawanan.

Cuma orang tak tahu dan tak ambil tahu saja. Lagipun tak ada siapapun nak berbangga kongsikan kisahnya yang masih kekal Zero sampai sekarang, setelah banyak kali mencuba.

Semua kisah sedih itu mahu disimpannya dengan harapan, satu hari nanti dia pula akan masuk dalam plot cerita popular, dari Zero ke Hero.

Yang pentingnya, punca utama semua orang mengidam nak jadi usahawan adalah untuk mengecapi kejayaan dalam perniagaan yang dilakukannya.

Oleh itu, persoalan paling penting yang anda perlu tanya kalau nak mula berniaga, bukanlah ‘nak berniaga apa?.

Sebaliknya, soalan paling penting adalah;

‘Apakah petua niaga terbaik yang perlu saya amalkan bila nak mula berniaga?’.

3 petua niaga terbaik sebelum mula berniaga

Dalam artikel ini saya nak kongsikan 3 petua niaga terbaik yang perlu anda pegang betul-betul sebelum nak mula berniaga.

Jika anda pegang 3 petua terbaik ini, kemungkinan untuk anda jayakan usaha dalam apa saja bidang yang bakal diceburi adalah lebih baik.

#1. Mulakan dengan lancar dan selamba

Ya ! betul tu, pastikan perniagaan yang nak diceburi itu dapat anda lakukan dengan lancar dan selamba. Itu matlamat yang perlu anda sasarkan.

Untuk pastikan perkara tersebut, mahu tak mahu anda perlu kerahkan segala akal fikiran untuk mencari apakah jenis perniagaan yang boleh anda mulakan dengan lancar dan selamba.

Itu soalan yang kelihatan sukar kalau anda tak cuba fikirkan betul-betul. Kalau tak reti cara terbaik untuk brainstorm menjawab soalan juga memungkinkan anda tak mampu cari jalan keluar.

Jadi saya nasihatkan agar anda keluarkan sekeping kertas dan ambil sebatang pen untuk mula menconteng idea bagi menjawab soalan tersebut.

Ini soalan yang perlu anda jawab;

“Perniagaan apa yang kalau aku buat, memungkinkan aku buat dengan lancar dan selamba?”

Ramai orang suka tanya pada orang lain, apa perniagaan yang boleh dia lakukan. Percayalah bahwa tak ada orang lain yang lebih tahu perniagaan apa yang sesuai untuk anda selain dari anda sendiri.

Petuanya adalah seperti mana yang saya berikan panduan di atas. Jawab soalan perniagaan apa yang kalau anda buat, ianya boleh dibuat dengan lancar dan selamba.

Kalau anda langsung tak dapat satupun jawapan, ertinya, anda belum bersedia untuk jadi usahawan sepenuh masa. Kalau anda beranikandiri untuk terjun berhenti kerja dan mula berniaga, alamat nak cari penyakitlah namanya tu.

Logiknya, perniagaan yang anda boleh mula dengan lancar dan selamba adalah bisnes yang anda ada pengalaman luas tentangnya. Bukan saja dari segi operasi dan transaksi rutinnya, malah keseluruhan ekosistem perniagaan tersebut sudah anda fahaminya.

Biasanya pengalaman dan kemahiran tersebut anda dapat hasil daripada pengalaman makan gaji anda selama ini.

Atau mungkin juga ianya merupakan pengalaman dan kemahiran hasil daripada minat anda yang mendalam dalam aktiviti tersebut yang dijadikan sebagai hobi masa lapang.

Anda perlu ingat bahawa berniaga bukan sekadar jual barang atau perkhidmatan pada pelanggan. Ia melibatkan persediaan yang banyak.

Perlu tahu siapa pembekal darimana anda boleh dapatkan bahan mentah dengan harga yang terbaik dan berkualiti.

Perlu tahu di mana pelanggan sasaran anda berkumpul atau menyorok dan perlu tahu jalan untuk masuk menemui mereka semua.

Perlu juga tahu dari mana anda boleh dapatkan bekalan tenaga kerja yang terbaik dan sesuai untuk syarikat anda nanti.

Perlu ada rangkaian kenalan yang penting yang diperlukan bagi membantu dan memberikan sokongan dalam kesemua aktiviti perniagaan anda nanti.

Anda hanya tahu kesemua itu jika memang dah ada pengalaman yang mencukupi mengenainya ketika makan gaji atau melibatkan diri di dalamnya.

Sekadar baca buku berkenaan sesebuah industri amat tidak mencukupi. Jadi jangan ingat anda boleh jayakan sesebuah bisnes hanya dengan beli buku business for dummy dan mula berniaga.

Cuba senaraikan bisnes yang anda rasa boleh djalankan dalam keadaan lancar dan selamba sekarang.

#2. Pastikan modal minimum diperlukan

Walau apapun bisnes yang anda dah kenal pasti, petua nombor dua ini wajib diberikan perhatian yang paling serius.

Bila anda dah buat segala persedian atas kertas, pastikan kos yang diperlukan adalah yang paling minimum.

Anda hanya perlu mula merangka model perniagaan anda berdasarkan apa yang anda mahu terpebih dahulu. Kemudian mula kira kesemua kos yang perlu dikeluarkan.

Selepas dah tahu kesemua kos bagi setiap langkah yang perlu diambil, cabar otak anda kesemua kos tersebut dengan soalan;

‘Boleh tak aku kurangkan lagi kos untuk lakukan perkara ini ?’

Anda perlu perah dan tekan keupayaan anda ke tahap maksimum. Sasarannya adalah supaya boleh mencapai kos “Zero”. Kalau tak boleh zero, boleh up sikit kepada puluhan ringgit. Kalau tak boleh juga naikkan lagi ke ratusan dan begitulah seterusnya.

Kalau anda sendiri tak dapat cari jalan untuk zerokan kos, cuba minta bantuan kawan-kawan yang kreatif dan kaki merapu. Mereka pasti dapat memberikan bantuan yang anda perlukan.

Kalau nak diolahkan semula petua ini dalam ayat lain, anda boleh ambil panduan mudah ini;

“Bisnes terbaik adalah bisnes yang anda boleh mulakan dengan RM0 (zero) modal”

#3. Guna duit anda sendiri

Ini adalah petua ke-3 yang juga amat penting.

Jangan mulakan perniagaan dengan ambil hutang untuk dijadikan sebagai modal. Pastikan anda gunakan duit anda sendiri bila nak mula berniaga.

Samada hutang kawan, saudara, Bank, atau mana-mana agensi bantuan kewangan kerajaan. Jangan ambil hutang satu senpun dari mereka semua bila nak mula berniaga.

Sebab itu saya surah buat proses kedua di atas tadi dengan amat serius. Sasarkan modal paling rendah semungkin boleh supaya anda tak perlu berhutang untuk mula berniaga.

Jika anda minimumkan modal permulaan, matlamat ini akan menjadi jauh lebih mudah untuk dilaksanakan.

Walaupun anda baru dapat VSS dan dibayar RM500 ribu, tidak salah untuk anda kedekut tangkai jering dan tak mahu gunakan satu senpun dari wang tersebut.

Tak ada orang yang akan ketawakan anda jika anda hanya gunakan RM2500 dari pampasan VSS berjumlah RM500 ribu yang anda dapat.

Kalau dia gelak juga, pangkah saja namanya dari senarai kawan rapat anda. Tak berbaloi kawan orang macam tu.

Selamat mencuba 3 petua terbaik

Saya dah kongsikan 3 petua terbaik yang anda perlu buat untuk jadi usahawan dan mula berniaga. Kalau anda perasan, kesemua petua tersebut memberikan panduan untuk anda menjawab soalan perniaga apa yang sesuai untuk anda lakukan.

Ambil masa lama tak apa untuk buat perancangan. Jangan terburu-buru dan jangan kelam kabut tak tentu hala. Berniaga bukanlah perkara mudah, semudah macam cerita yang anda selalu baca dari zero ke hero.

Ianya menjadi mudah hanya jika anda mulakan dengan betul sejak awal.

Dan saya yakin jika anda ikut petua yang saya berikan kat atas tadi, insyaallah kemungkinan pelayaran anda berjaya adalah lebih tinggi.

One thought on “3 petua niaga terbaik yang perlu anda pegang sebelum mula berniaga

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge