4 jenis syarikat perniagaan yang anda perlu tahu

By | 12/12/2016

Sebelum kita lihat jenis-jenis syarikat perniagaan yang ada di negara kita, elok kita ambil tahu serba sedikit sejarah kewujudan syarikat perniagaan yang berlaku di Eropah ketika zaman bangsa Eropah menjadi penjajah dahulu.

Kenapa nak tahu sejarah syarikat perniagaan di Eropah, dan bukan sejarah perniagaan di negara kita sendiri sebelum kedatangan Portugis merampas dan menjajah Melaka ?

Ada dua sebab,

  1. Sebab utamanya adalah saya sendiri belum bertemu bahan bacaan yang menceritakan struktur perniagaan dan struktur pembentukan syarikat yang orang Nusantara, terutamanya Bangsa Melayu amalkan sebelum negara dijajah oleh Portugis.
  2. Kerana struktur perniagaan atau jenis-jenis perniagaan yang kita susun sekarang adalah konsep yang diambil pakai daripada amalan bangsa Eropah satu masa dahulu yang kemudiannya mencetuskan Konsep Kapitalisma seterusnya memeriahkan aktiviti perniagaan dunia di zaman moden sekarang.

Kenapa wujud jenis syarikat Liabiliti Terhad

Kalau kita lihat di negara yang menggunakan Bahasa Inggeris, syarikat perniagaan mereka biasanya akan ada huruf seperti PLC, LLC, Ltd dan seumpamanya.

Huruf pentingnya kat sini adalah huluf ‘L’. Ia memberi maknaLimited Liability‘. Berdasarkan makna tersebut, anda yang fasih berbahasa Inggeris tentu boleh faham maksud sebenar apa yang dikatakan limited liability, iaitu mempunyai liabiliti yang terhad (atau berhad, ertinya liabiliti yang ada had).

Tak faham lagi?

Tak apa, teruskan bacaan.

Sebelum terciptanya konsep Limited Liability ini pada abad yang ke-16, di dunia Eropah dahulu, orang yang menjalankan perniagaan hanya menggunakan nama mereka sahaja sebagai pemilik dan pengurus kepada aktiviti perniagaannya.

Masa itupun dah ada orang yang memberikan hutang, terutamanya pada mereka yang perlu wang untuk aktiviti perniagaan atau aktiviti pertanian mereka.

Bila orang yang berniaga, hutang duit untuk menjalankan perniagaannya, hutang itu ditanggung oleh peniaga tersebut.

Ertinya, andaikata perniagaannya bungkus dan gagal, hutang masih tetap perlu dibayar oleh pemiliknya. Walaupun pemiliknya sudah tidak berniaga lagi.

Pemilik terpaksa jual kesemua harta benda yang dia ada untuk bayar hutang.

Dan silap-silap hari bulan, pemilik akan merengkok dalam penjara bila dah tak ada apa-apa lagi yang nak dijual, dan tak mampu lagi bayar hutang sampai habis.

Bayangkan apa akan jadi kalau sampai sekarang dunia masih mengamalkan cara yang sama ?

Tentu tak ada orang yang akan benar-benar berani ambil risiko untuk kembangkan perniagaan mereka menjadi lebih besar terutamanya dengan menggunakan wang hutang.

Tidak hairanlah masa itu, biasanya perniagaan akan hanya ada dalam lingkungan belasan orang sahaja, secara maksimum, sebagai tenaga pekerja mereka. Dan entiti perniagaan juga tidak berapa besar.

Penciptaan konsep Limited Liability

Dari kekangan itu, maka terciptalah konsep Limited Liability. Zaman itu mereka panggil Joint-Stock Company. Ia bermula di Eropah bagi menyelesaikan kekangan membesarkan syarikat perniagaan ke tahap yang amat besar.

Konsep itu mula digunapakai hanya pada pertengahan abad ke-19 sahaja. Sebelum itu, ianya digunakan secara ekslusif di peringkat negara (atau Raja).

Konsepnya adalah mudah.

Syarikat diuruskan oleh pengurus yang bukan pemilik kepada syarikat tersebut. Ertinya pengurus menguruskan duit kepunyaan orang lain untuk membuat keuntungan. Kalau syarikat bungkus, pemilik tak perlu jual segala hartanah kepunyaannya untuk bayar tanggungan hutang yang dibuat oleh syarikat.

John Smith, yang ramai kenal sebagai Bapak kepada pasaran bebas kapitalisma sendiri tidak bersetuju dengan konsep asal.

Dia tak setuju orang lain yang uruskan syarikat, sedangkan semua pemilikan termasuklah wang dikeluarkan dan kepunyaan orang lain.

Kata John Smith, pengurus syarikat akan ambil risiko terlalu besar sebab duit itu bukan bapak dia punya.

Oleh kerana itu, hanya negara sahaja yang ada keupayaan untuk menubuhkan syarikat liabiliti terhad ini. Anda tentu pernah dengan nama syarikat seperti Dutch East India Company, atau British East India Company, atau mungkin South Sea Company dari Britain. Itu semua syarikat liabiliti berhad yang dimiliki oleh kerajaan masa tu.

Liabiliti berhad meriahkan dunia bisnes

Tapi, agak menarik, kerana Karl Marx sudah nampak kelebihan konsep liabiliti terhad ini pada tahun 1865 lagi. Dia berpendapat konsep ini bakal membantu perusahaan yang memerlukan dana yang amat besar demi membangunkan sesebuah negara.

Ketika itu perusahan besar bagi pembangunan sesebuah negara adalah seperti pembinaan keretapi dan landasan keretapi, pembangunan industri besi dan bahan kimia.

Dan memang betul telahan Karl Marx.

Konsep limited liability inilah yang meledakkan industri dan seterusnya pembangunan teknologi oleh syarikat-syarikat yang besar ketika itu sehinggalah sekarang.

SEjak digunakan secara meluas, syarikat perniagaan mula membesarkan perniagaan mereka. Tenaga kerja pula bukan sekadar belasan orang sahaja, malah ratusan tenaga kerja telah diambil bagi menjalankan perusahaan secara besar-besaran.

Pendorongnya sudah tentu disebabkan kemudahan yang ada pada pelabur terpelihara dari risiko jika syarikatnya bankrup. Dia tak perlu jual semua harta peribadinya sebab antara dia dan syarikat adalah dua entiti yang berbeza.

Pengurus syarikat pula akan pulun kembangkan syarikat supaya jadi lebih besar dan maju, dan hasilnya dia boleh dapat lebih banyak ganjaran. Gaji tinggi, bonus dan seribu satu macam kelebihan lagi untuk dikaut bawa pulang. Apa nak takut, bukan duit dia, belasah saja ambil risiko. Lebih tinggi risiko, lebih besar pulangannya.

Beza antara pemilik tunggal dengan limited liability

Jadi sekarang anda tentu dan mula faham apa faedahnya nak adakan macam-macam jenis atau struktur syarikat ini.

Sebelum ini tentu anda rasa buat pening kepala saja. Bukankah mudah jika daftar saja nama syarikat entreprise, habis cerita.

Bezanya adalah, kalau pemilik tunggal, bila syarikat anda berhutang dengan bank, dan ditakdirkan perniagaan anda bungkus, anda masih tetap berhutang.

Jual apa saja yang ada, rumah, kenderaan, ketul emas dan segalanya sebab hutang itu masih tetap anda sendiri yang tanggung.

Tapi kalau buka syarikat jenis limited liability. Jika buat hutang pada bank dengan cagarkan aset yang dimiliki oleh syarikat. Dan ditakdirkan perniagaan anda bungkus, bank hanya boleh sita atau lelong segala hak milik syarikat sahaja tanpa mampu ganggu segala hak dan harta tuan punya syarikat, iaitu anda.

Tentu itu lebih baik kan ?

4 jenis syarikat perniagaan yang ada

Ok !

Sekarang baru saya senaraikan 4 jenis syarikat perniagaan yang disusun oleh kerajaan bagi menguruskan aktiviti perniagaan di negara kita di Malaysia.

Perkara pertama yang anda perlu tahu adalah, kalau anda jalankan perniagaan, apa saja jenis perniagaan, anda diwajibkan mendaftarkan perniagaan tersebut.

Kalau tidak berdaftar, anda sedang menjalankan satu aktiviti perniagaan secara haram dari segi undang-undang negara.

Keduanya, bila nak daftar, anda ada 4 pilihan nak daftarkan syarikat perniagaan jenis yang mana satu seperti berikut:

  1. Syarikat perseorangan atau perkongsian – Biasanya orang selalu sebut entreprise. Boleh satu orang saja, dan boleh juga berkongsi dengan kawan. Macam yang saya kata kat atas tadi, samada anda hutang atas nama syarikat atau atas nama anda, kedua-duanya sama sahaja. Gagal perniagaan, hutang tetap perlu dibayar dengan jual segala harta yang ada. Tapi kelebihannya adalah amat mudah diuruskan dan tak pening-pening kepala dengan berbagai kerja pengurusan atau audit. Untung anda kaut semuanya sendiri.
  2. Syarikat Perkongsian Liabiliti Terhad – Ini baru saja diperkenalkan kalau tak silap saya mungkin pada tahun 2012. Kalau anda faham mukadimah saya kat atas tu, anda tentu dah boleh agak sebab apa kerajaan perkenalkan jenis syarikat perniagaan ini. Ia adalah antara sendirian berhad dan persendirian. Yang pentingnya, hutang syarikat bukan hutang anda. Suruh bank minta kat syarikat dan tak perlu jual sita harta benda milik peribadi anda untuk lunaskan hutang, jika perniagaan gagal.
  3. Syarikat Sendirian Berhad – Ini dah lama wujud. Sama jugak macam konsep limited liability yang saya sebut kat atas tadi. Ia memelihara diri pemilik dari masalah jika perniagaan bankrup. Biasanya jenis syarikat ini mampu mendapatkan pembiayaan bank dengan lebih banyak jumlahnya dan lebih mudah jika perniagaan itu baik. Selain dari keuntungan bisnes yang syarikat jalankan, anda juga boleh jual syarikat itu sendiri, kerana ia ada nilai jual dan beli.
  4. Syarikat Berhad – Ini pula jika anda nak kutip dana awam. Anda boleh senaraikan syarikat di bursa saham dan orang akan beli saham syarikat anda. Ertinya akan ada ramai pemegang saham dan sudah tentu ada banyak birokrasi dalam pengurusannya.

Jika nak tahu lebih lanjut berkenaan 4 jenis syarikat perniagaan yang saya sebutkan kat atas tu, sila pergi kat pautan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Boleh daftar sekali syarikat anda kat situ.

Moga ada manfaatnya untuk semua pembaca.

Rujukan:

  • 23 things they don’t tell you about capitalismHa-Joon Chang
  • Kuasai Formula PerniagaanWan Nong Muzafar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge