Nak berniaga tapi keluarga tak restu!

Itu antara masalah biasa yang saya sering dengar terutamanya dari kalangan anak muda yang makan gaji.

Dah jadi amalan orang kita untuk terlebih dahulu mendapat restu dari keluarga sebelum nak buat apa-apa. Samada orang Melayu atau bukan Melayu, restu dari keluarga penting diperolehi. Supaya perjalanan yang bakal ditempuh menjadi lebih mudah nanti.

Orang yang paling utama perlu berikan restu terhadap apa saja aktiviti anda adalah ibubapa. Lepas itu abang dan kakak serta adik.

Kalau dah berumah tangga pulak, orang paling penting untuk berikan restu sudah tentu pasangan hidup samada suami atau isteri.

Kalau kesemua orang yang rapat dengan anda tak berikan restu, bersetuju dengan apa yang anda nak buat, alamat perjalanan menjadi seorang usahawan sepenuh masa nanti bertambah kusut dan serabut.

Oleh itu, berikut saya cuba senaraikan apa yang anda boleh buat jika hasrat nak berhenti kerja dan berniaga tidak mendapat restu dari keluarga anda.

#1. Jangan berniaga jika keluarga tak restu

Kalau keluarga tak restu, maka tak perlu nak berniaga. Itu perkara paling mudah untuk anda lakukan.

Teruskan saja dengan apa yang anda buat sekarang. Kerana sudah tentu semua orang yang rapat dengan anda sudah selesa dengan sumbangan anda terhadap kehidupan mereka.

Sebab itu mereka tak setuju. Mereka khuatir kalau anda berhenti kerja dan berniaga, semua itu akan musnah. Keselesaan yang dikecapi sekarang akan hancur. Itu satu risiko yang besar yang tak sanggup mereka hadapi.

Satu lagi perkara yang pasti adalah kelemahan diri anda sendiri untuk yakinkan mereka bahawa anda bersedia untuk membuat kejayaan dalam dunia keusahawanan nanti. Sebab itu mereka tak berikan restu.

Mungkin anda hanya terikut-ikut dengan kawan-kawan. Atau terpengaruh dengan kejayaan usahawan lain. Tapi anda sendiri tak tahu hujung pangkal dunia yang bakal ditempuhi nanti.

Jadi, betullah tindakan keluarga anda itu. Mereka tak setuju dan tak berikan restu sebab anda dilihat tidak bersedia dan macam tak tahu apa yang anda inginkan.

#2. Tunggu dulu dan cuba faham

Jika hasrat anda masih berkobar-kobar nak jadi usahawan sepenuh masa walaupun keluarga tak restu, anda perlu bersabar terlebih dahulu.

Tunggu terlebih dahulu untuk cuba memahami sebab musabab keluarga tak berikan restu. Jangan terlalu mendesak untuk mendapatkan restu mereka. Keadaan akan menjadi lebih tegang nanti.

Takut kalau apa yang anda buat sekarang mendapat kesan negatif pulak. Dan dalam masa yang sama hasrat anda untuk berhenti kerja dan berniaga menjadi lebih sukar.

Anda perlu pandai memilih masa dan ketika yang sesuai untuk berbincang dengan keluarga hasrat anda nak berniaga itu. Cuba tanya dan cuba faham apa yang menghalang mereka berikan restu.

Yang pentingnya jangan cuba nak berdebat dengan mereka. Ini bukan pertandingan debat untuk dimenangi oleh mana-mana pihak. Jadikan ianya satu landasan untuk saling faham memahami secara rasional dan bukan secara paksaan.

Catitkan segala kerisauan mereka dan cari jalan untuk atasinya.

#3. Penuhi syarat untuk berhenti kerja dan berniaga

Lanjutan dari aktiviti di atas tadi, anda sudah tentu dah dapat banyak maklumat tentang kerisauan mereka.

Cuba berbincang lanjut dan berikan cadangan pada mereka untuk bersetuju jika anda berjaya penuhi syarat-syarat tertentu yang dapat melenyapkan rasa risau mereka.

Anda perlu terima segala syarat yang diberikan samada sebelum berhenti kerja dan berniaga, mahupun selepas berhenti kerja dan berniaga.

Keluarga biasanya akan berikan syarat supaya anda tidak susahkan mereka jika apa yang anda nak buat itu tak menjadi. Oleh itu pastikan anda benar-benar pegang pada janji tersebut.

#4. Buat diam-diam

Kadang kala, peluang untuk berniaga ada sangkut paut dengan masa dan ketika yang sesuai. Dan pada masa dan ketika yang sesuai itu pula, keluarga tak restu untuk anda berhenti kerja dan mula berniaga.

Jadi nak buat macam mana?

Jika anda benar-benar yakin dengan apa yang anda buat. Syarat yang dikenakan oleh keluarga pula banyak yang mengarut. Anda hanya perlu berhenti kerja dan berniaga secara diam-diam.

Ini cara yang saya buat dahulu.

Berhenti kerja terlebih dahulu dan lansung tak beritahu pada emak. Mudah untuk saya buat begitu sebab saya tak tinggal dengan mak masa itu. Jadi bila saya berhenti kerja dan berniaga dia memang tak akan tahupun.

Yang paling penting, segala sumbangan duit yang selama ini menjadi tugasan anda perlu ditunaikan. Saya tetap hantar duit pada mak walaupun dah berhenti kerja dan berniaga. Duit pada mak perlu diselesaikan terlebih dahulu walaupun duit untuk diri saya sendiri masih tak lepas.

Kalau anda sudah berkahwin dan pasangan tak setuju, nak buat macam mana?

Anda boleh ikut cara kawan saya.

Dia berhenti kerja dan usahakan bisnes yang dia nak buat secara diam-diam tanpa beritahu keluarganya.

Pagi-pagi dia keluar seperti biasa. Lengkap berpakaian kemas dengan tali leher dan beg kerja. Tapi selepas itu dia akan tukar pakaian dan mula buat kerja perniagaannya. Macam itulah dia buat berbulan-bulan lamanya tanpa disedari oleh keluarganya.

Perlu yakin dengan apa yang anda buat

Perkara paling penting di sini adalah keyakinan terhadap apa yang anda nak buat. Kalau semua orang yakin pada anda, tapi anda sendiri tak berapa yakin, masih tak boleh pakai juga.

Yang pentingnya anda sendiri perlu yakin terlebih dahulu.

Mendapat halangan dari keluarga sebenarnya satu perkara yang positif. Ia mengajak anda untuk menilai semula apa yang anda nak buat. Lakukan pencarian, buat kajian dan mantapkan persediaan.

Itu semua penting untuk berjaya dalam dunia keusahawanan anda nanti.

Hanya mereka yang benar-benar bersedia sahaja yang ada potensi untuk berjaya dalam dunia perniagaannya. Itupun baru 50/50. Bayangkan jika anda main terjun tanpa apa-apa persediaan!

Untuk faham semua starategi yang anda perlu ada dalam perniagaan, sila baca buku kecil Sun Zhu The Art of War

Total
10
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge