Nak buat bisnes apa ya, di pekan kecil macam ni yang jauh dari pusat bandar?

Itu soalan yang sering keluar dari pemikiran setiap kali lalu di pekan kecil Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

Saya banyak habiskan masa di sebuah rumah kecil tak berapa jauh dari pekan Sungai Pelek ni. Selesa duduk kat situ sebab suasana yang sunyi dan tak berapa sibuk sangat.

Kalau duduk kat rumah tu di waktu malam tanpa buka radio, bunyi cengkerek dan bunyi burung hantu sangat jelas. Biasanya saya sebut suasana sebegitu sebagai suasana bening atau hening.

Deria rasa lebih peka. Kepala rasa macam kembang. Badan rasa segar.

Suasana macam tu banyak ingatkan saya ketika duduk dengan mak di kampung masa muda dulu. Setiap petang pergi main bolasepak di padang dengan kawan-kawan kampung. Berhenti sebelum magrib.

Balik ke rumah, kecek mak bancuh air teh O panas satu kole besar. Mak yang kelam kabut bersiap nak solat magrib buat tanpa banyak soal. Diletakkannya atas meja sambil pesan, ‘jaga, panas nih!’.

Badan masih panas selepas habis main bola tadi, tak elok pergi mandi. Itulah yang saya sering dengar dari orang tua-tua. Sebab itu jadi macam satu tabiat saya pakai kain tuala saja duduk seorang diri kat luar rumah.

Ambil kole penuh dengan teh o panas tu, bawa ke bawah rumah, letakkan atas katil buruk tempat saya duduk melayan fikiran seorang diri. Katil tu katil lama. Rasanya berasal dari rumah tok di Kubang Semang dulu, tapi masih sangat kukuh diperbuat dari kayu.

Entah berapa ribu hayalan yang saya renung ke depan di bawah rumah tu setiap petang yang kelam saya dah tak ingat. Mata tak berkelip, tangan meraba ke kole, angkat dan hirup teh o panas sedikit demi sedikit.

Bila badan panas tadi masih tak habis, ditambah pula dengan hirup teh o panas, peluh mula keluar berderau menitis laju turun membasahi tuala. Ada kalanya saya hanyut fikir pasal seorang anak dara kat kampung yang saya suka. Senyum sendirian dalam kelam magrib, cuba bayangkan dia sedang buat apa dan sebagainya.

Tiba-tiba terkejut bila dengar mak menjerit dari dalam, Bihiiii ! magrib dah tua nih! hang tak semayang lagi … lekaih. Dok ralit apa!”.

“Sat, sat … teh nak habis dah nih ! ..” saya akan jawab terkejut. Bihi tu nama panggilan saya kat kampung.

Hirup pula satu sip lagi. Melayang pulak fikiran. Fikir nak buat apa dengan hidup ini, berniaga, makan gaji, bila nak kahwin, mana nak cari duit nak kahwin, siapa yang nak kat aku … “Bihiiii!!! …”, dah kena tengking sekali lagi.

Baru bergegas masuk ke dalam mandi, bersiap dan solat magrib. Kemudian keluar rumah ke masjid. Kalau tak sempat magrib tadi di masjid, saya akan pastikan waktu insya tak terlepas di sana.

Jalan kaki ke masjid dalam gelap tanpa lampu suluh. Sekali lagi terasa suasana bening melintas kawasan bendang. Sebab itu saya suka jalan kaki ke masjid tanpa bawa lampu suluh walaupun mak selalu marah, ‘hang tak takut ka , ular ka apa ka nanti ..’ saya dah biasa sangat macam tu.

Saya akan amalkan pesan orang tua-tua juga. Jalan seret sikit kaki tu bagi keluar bunyi. Isyarat macam tu akan buat ular meyimpang. Yalah! ular pun bukannya mahu terserempak dengan manusia. Binatang tu jenis yang bijak, mengelak dari bahaya adalah polisi yang terbaik. Daripada dia ligan nak patuk orang tak pasai-pasai lebih baik dia mengelak bila tahu ada benda datang. Ular bukannya suka kena palu sampai mati.

Waktu malam, kebanyakkan kedai di pekan penanti dah tutup. Yang masih buka biasanya hanya kedai makan atau kedai runcit, masa itulah. Masa tu pekan penanti rasa sama saja macam sekarang. Cuma sekarang lingkungan kawasan yang ada rumah kedai dah lebih sikit sampai ke belakang taman penanti tu.

Rumah kedai yang besar paling hebat masa tu kepunyaan Mat Motor. Kalau tanya orang kampung yang lama sikit di kawasan sana, tentu semua kenal Kedai Mat Motor. Dia jual jentera pertanian seperti kubota dan seumpamanya.

Ada juga orang Melayu kaya raya hanya berniaga kat pekan penanti saja masa tu. Mungkin dia ada buat bisnes lain lagi. Yang saya tahu dia juga ada buat projek perumahan kat sana. Banyak harta yang dia ada termasuklah kebun kelapa sawit, stesen minyak dan syarikat bas, kalau tak salah saya.

Itu Pekan penanti.

Macam mana pula dengan pekan Sungai Pelek. Kita patah balik ke Pekan Sungai Pelek yang saya mula cerita kat atas tadi. Nak buat bisnes apa kat situ yang sesuai. Mungkin boleh ikut jejak Mat Motor kat Pekan Penanti.

Bisnes kecil hidup aman di kampung

Ramai yang berimpian besar jadi usahawan sekarang.

Bila sebut pasal bisnes, mereka bayangkan sebuah syarikat besar. Bisnesnya Viral di laman sosial. TV3 datang buat liputan. Astro buat rencana, The Voket buat cerita sensasi dari zero ke hero. Jutawan hebat berjaya bina empayar bisnes bermula dari panjat pokok kelapa kutip buah nyior … bla-bla-bla ..

Cerita pasal tokeh kedai runcit contohnya di Pekan Penanti jual segala jenis barangan dari tahun 1968 sampai sekarang masih kekal dengan bisnesnya tak masuk dalam The Voket atau TV3 pun. Tokehnya pakai seluar pendek dan baju singlet.

Cerita pasal Haji Johari, buat bisnes kat kampung bawa budak kilang dan cari pekerja kilang di kampung ada berpuluh-puluh bas semua dah habis bayar, tak ada masuk dalam TV Al-Hijrah atau Astro Bisnes pun. Tak ada viral dalam media sosial juga. Diapun tak sibuk kongsi dan selfie cerita bisnesnya di FB.

Begitu juga cerita budak pulau lulus SPM cukup makan buka klinik dan hospital bersalin kekal dari dulu sampai sekarang, juga tak masuk dalam radar sensasi viral.

Mungkin silap mereka semua adalah tidak besarkan perniagaan berganda-ganda buka cawangan satu Malaya dan naik pentas ajar usahawan lain macam mana nak kaya.

Tapi perlukah buat begitu?

Rasanya majoriti besar kawan-kawan berniaga lebih selesa buat bisnes kecil dan hidup aman di kampung.

Kalau itu membuatkan orang kata mereka bukan usahawan, mereka hanya peniaga, lantak pi kat hangpalah!

Dan saya setuju sangat dengan sikap begitu. Tak payah nak berlumba. Selesaikan keperluan hidup terlebih dahulu untuk diri, keluarga dan masyarakat. Jika perlu berkembang, buat besar lagi. Kalau tak perlu, relaks saja.

Jenis kedai yang ada di pekan kecil

Di Pekan Sungai Pelek ada lebih dari satu kedai runcit besar. Semua keperluan ada dijual macam pasaraya kecil. Kedai barang gadget juga ada satu yang agak besar kat situ. Begitu juga kedai perabut, hardware, kedai baja pertanian dan lain-lain lagi bisnes keperluan asas penduduk semua dah ada.

Kalau waktu siang, kedai makan tak berapa nak meriah sangat. Kedai makan orang Cina ada banyak, begitu juga kedai makan orang India.

Mungkin ada satu ruang kosong untuk buka kedai makan tengahari masakan Melayu yang selesa banyak pilihan kat pekan Sungai Pelek tu.

Kalau waktu malam tak payah nak ceritalah. Anda akan dapat lihat kedai makan dengan lampu kalimantang merah hijau kuning dan berbagai warna lain lagi dari jauh bersinar tepi jalan. Itulah kedai Tom Yam.

Oleh kerana di Pekan Sungai Pelek tu tak jauh dari laut, ada sebuah kedai yang menjual segala alat memancing kat Pekan tu.

Kedai barang elektrik juga memang dah ada. Tak berapa besar sangat tapi lengkap.

Satu peluang yang saya rasa boleh diceburi kat Pekan kecil itu adalah workshop kenderaan yang selesa fokus kepada kereta nasional. Mungkin Perodua atau Proton atau kedua-duanya sekali. Masih ada ruang kosong kat situ.

Buka kedai Pets? mungkin ?

Kaji pasaran di Pekan kecil

Walau apapun yang anda nak buat sebagai perniagaan di pekan kecil, pastikan semak pasaran terlebih dahulu.

Antara maklumat penting yang perlu di semak adalah jumlah populasi kawasan tersebut. Komposisi penduduk dari segi bangsa dan agama. Sumber pekerjaan utama penduduk.

Anda juga perlu semak kemudahan asas yang ada di kawasan itu dan lihat bisnes-bisnes yang ada di kawasan itu. Jika kawasan itu jadi kawasan kunjungan orang luar di waktu cuti dan hujung minggu, bertemu dengan orang luar dan bersembang dengan mereka mampu menjana idea bisnes yang ada potensi.

Anda boleh tanya pengunjung apa yang mereka harapkan ada di pekan itu. Kalau ada ramai mengeluh terhadap satu perkara yang sama, maka itu mungkin peluang bisnes yang berpotensi untuk anda cuba.

Saya conteng idea nak berniaga apa di pekan kecil ini khas untuk anda yang nak lari balik kampung menjauhkan diri dari kesibukan makan gaji di pusat bandar.

Kalau hidup stress, masa tak ada, kejar sana dan kejar sini. Dalam masa yang sama ada darah berbisnes dalam diri, itu satu alasan yang baik untuk anda pertimbangkan balik kampung dan buka perniagaan.

Tak perlulah nak harap TV3 atau The Voket atau Soya Cincau tulis pasal kejayaan anda. Tapi fokus kepada menjalani kehidupan sebagai seorang peniaga yang cuba memenuhi keperluan pengguna di kampung atau pekan tempat anda tinggal.

Buat yang terbaik dan hidup aman di kampung. Itu asas yang perlu diutamakan.

Loading...

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge