Dalam artikel ini, saya nak kongsikan 5 perkara wajib ada dalam setiap perniagaan yang berjaya.

Kalau anda memang dah ada syarikat, atau tak ada syarikat, tapi dah menjalankan perniagaan, tak kisah kecil atau besar, artikel ini memang khas untuk anda.

Cuba lihat semua perniagaan yang berjaya yang anda kenal di sekeliling anda. Tak payah nak tengok jauh-jauh. Tak perlu lihat perniagaan yang berjaya terkenal, besar dan bertaraf nasional atau global. Anda hanya perlu lihat bisnes kawan-kawan atau usahawan daerah anda saja yang ada perniagaan yang berjaya.

Anda boleh lihat mereka semua ada 5 perkara wajib yang akan saya kongsikan dalam artikel ini.

Kalau nak lebih menarik, anda boleh jadikan pemerhatian terhadap 5 perkara wajib yang ada pada semua mereka, sebagai satu kerja rumah untuk menambahkan lagi kefahaman anda terhadap pencarian ciri-ciri penting sesebuah perniagaan yang berjaya.

Bila dah dapat banyak maklumat dari pengamatan anda sendiri, lebih mudah untuk merangka kejayaan terhadap perniagaan anda sendiri pula.

5 perkara wajib ada pada perniagaan yang berjaya

Untuk pastikan yang bisnes anda berjaya, anda hanya perlu pastikan ada 5 perkara penting sahaja. Semuanya adalah asas. Orang putih kata commom sense saja.

Anda tak perlu masuk universiti atau ambil kursus keusahawanan untuk adakan kesemua 5 perkara asas ini.

5 saja dan tak perlu lebih-lebih.

Tapi ingat, kekurangan satu saja dari 5 perkara ini, bakal membuatkan bisnes anda berpotensi untuk gagal. Atau paling tidak, sudah pasti akan membuatkan bisnes anda tak boleh naik, maju ke tahap yang lebih baik.

Berikut adalah 5 perkara yang saya maksudkan. Saya susun berdasarkan proses keutamaan dari mula hingga akhir.

#1. Bisnes yang berjaya selesaikan masalah pengguna

Kalau anda rujuk semula makna perniagaan yang pernah saya kongsikan dalam blog ini, perkara asas pertama yang menjadikan apa saja aktiviti sebuah perniagaan adalah melibatkan proses penyediaan sesuatu yang bernilai.

Ciri-ciri utama yang wajib ada pada semua perkara yang bernilai untuk manusia adalah keupayaan untuk selesaikan masalah manusia.

Kalau produk atau servis anda tidak berupaya untuk selesaikan apa-apa masalah, sah, produk itu tak ada nilai lansung. Kalau anda buat juga, ianya hanya sekadar hobi masa lapang anda saja, yang tak boleh diperniagakan.

Jadi cuba semak bisnes yang berjaya yang anda kenal. Apakah masalah yang produk atau servis mereka selesaikan?

Paling penting, tanya pada diri anda sendiri. Apa masalah yang produk atau servis dalam perniagaan yang anda ada sekarang cuba nak selesaikan?

Wajib ada dua tahap masalah yang diselesaikan;

  • Secara umum – Perniagaan makanan contohnya, selesaikan masalah orang lapar nak makan dan tak tahu atau tak mahu masak sendiri.
  • Secara dalam industri – Untuk pastikan perniagaan anda hidup dan berjaya berbanding pesaing pula, perniagaan anda mestilah berupaya selesaikan masalah yang ada dalam industri. Contohnya, semua pesaing anda masak tak sedap. Jadi anda buka satu kedai makan yang dijamin sedap, sekali makan nak datang lagi.

Kebanyakan perniagaan kawan-kawan usahawan kita kat luar tu berjaya selesaikan tahap pertama di atas. Tapi malangnya gagal selesaikan apa-apa masalah dalam industri berbanding pesaing yang ada. Sebab itu hidup segan mati tak mahu.

#2. Pastikan semua orang tahu tentang bisnes anda

Kalau anda dah pasti dengan masalah yang mahu diselesaikan, tahap pertama dan kedua, masih tak mencukupi untuk membuatkan bisnes anda tu berjaya.

Kalau hanya anda, pasangan hidup dan anak-anak serta saudara mara saja yang tahu, tak guna guna. Mustahil orang datang kalau mereka tak tahu menahu tentang kewujudan perniagaan anda tu.

Jadi wajib tanya soalan penting ni.

Siapa lagi yang belum tahu pasal bisnes aku?

Kalau semua dah tahu, adakah mereka faham masalah apa yang bisnes aku boleh selesaikan untuk mereka.

Tahu kewujudan bisnea anda saja tak cukup. Orang perlu juga tahu kenapa mereka perlu dapatkan produk atau servis yang bisnes anda tawarkan.

Dalam terma biasa perniagaan, aktiviti ini kita namakan sebagai Pemasaran.

Macam mana nak bagi semua orang tahu dengan cara yang berkesan yang boleh membuatkan mereka faham dan tertarik untuk datang kepada bisnes anda. Ini bukan satu aktiviti yang boleh main hentam kromo.

Perlu ada tahap kesedaran dan pengamatan yang tinggi mencari idea dan merangka strategi yang berkesan. Perlu sentiasa ukur segala aktiviti pemasaran anda tu. Mana yang berkesan dan mana yang tak berkesan.

Bab nak bagi orang faham ini banyak diperkatakan dalam dunia pemasaran. Malah kajian demi kajian dilakukan untuk cari rahsia bagaimana manusia boleh faham dengan baik.

Dari kajian yang lalu, pakar pemasaran dapat tahu yang manusia buat keputusan biasanya berdasarkan emosi. Jadi banyak mainan emosi digunakan untuk pastikan orang faham dalam semua aktiviti pemasaran.

Ada banyak lagi perkara yang boleh anda pelajari pasal teknik penyampaian dalam pemasaran ni. Rajinlah membaca, insyaallah anda akan jumpa banyak perkara yang bermanfaat.

#3. Pastikan pelanggan rasa harganya berbaloi

Kalau anda dah pasti semua orang dah tahu. Malah tahu dengan betul apa kelebihan produk atau servis anda, masih tak memadai.

Selagi orang tak keluarkan duit beli barang atau khidmat dari bisnes anda tu, masih tak mampu membuatkan bisnea anda berjaya.

Oleh itu, anda perlu cari jalan supaya orang sanggup belanjakan duit yang mereka ada bagi mendapatkan apa yang bisnes anda tawarkan. Dalam terma perniagaan, ini kita panggil Jualan.

Ramai yang akan gagal bila sampai ke tahap ini.

Pemasaran dah hebat, berduyun-duyun orang datang, atau PM tepi, tanya harga. Tapi selepas tanya, terus hilang. Tak beli pun.

Jika cara anda beritahu orang ramai betul, tepat kepada pelanggan yang anda sasarkan, kemudian bila mereka tanya harga, lalu lesap tak jadi beli. Itu tandanya anda telah gagal dalam urusan jualan.

Mungkin ada yang akan kata mahal, membuatkan orang tak jadi beli.

Tapi secara umumnya, harga mahal bukanlah sebab utama.

Anda sebenarnya gagal meyakinkan pembeli, harga yang anda tetapkan itu adalah berbaloi dengan apa yang bakal mereka dapat. Itu saja. Bukannya sebab mahal.

Kalau mahal jadi penentu, sudah tentu jualan adidas tak boleh lawan jualan kasut power atau kasut getah Fung Keong. Jadi harga mahal bukan sebab utama.

Mungkin anda dah terangkan semua kelebihan yang pelanggan akan dapat. Tapi kalau mereka tak percaya, tak yakin dengan janji anda tu, tak akan berlaku juga jualan. Semua itu memerlukan teknik penyampaian yang baik.

Perlu belajar teknik menjual. Ada banyak buku pasal teknik menjual ni. Belajarlah. Kemudian praktis sampai jaya.

#4. Pastikan pelanggan puas hati

Ok! akhirnya, anda berjaya yakinkan pelanggan yang jumlah duit yang mereka keluarkan bagi mendapatkan produk atau servis anda itu memang berbaloi.

Maka berlakulah jualan.

Tapi masih belum tamat lagi.

Bisnes yang berjaya tak boleh sentiasa berharap kepada pelanggan yang baru. Jika model bisnes anda itu sentiasa berharap kepada pelanggan yang baru untuk kekal hidup, ertinya, bisnea itu ada ciri-ciri bisnes penipu.

Orang yang kaki menipu memang sentiasa bergantung kepada mangsa baru. Dia tak boleh harapkan mangsa yang telah berjaya ditipunya untuk datang sekali lagi untuk ditipu.

Kalau nak tipu juga dengan orang yang sama, dia perlu rangka penipuan yang baru pula. Sampai bila nak buat penipuan demi pemipuan.

Kalau anda lihat majoriti besar perniagaan yang sukses, mereka berjaya kekalkan tahap kesetiaan pelanggan yang amat tinggi. Perkara ini amat jelas terang benderang ada pada semua produk yang hebat kekal zaman berzaman.

Hanya ada satu saja cara untuk pastikan pelanggan datang lagi. Anda perlu pastikan pelanggan berpuas hati dengan apa yang telah mereka dapat. Ertinya, anda perlu tunaikan segala janji pada pelanggan.

Kalau anda kata mereka akan dapat 10 perkara, pastikan kesemua 10 perkara tersebut ada pada produk atau servis anda. Itulah yang membuatkan produk atau servis anda berkualiti.

Oleh itu, jangan main janji itu dan ini. Sedangkan anda tak sedar apa yang anda janjikan. baik secara nyata atau tersembunyi. Perhatikan segala perkataan anda, perbuatan anda, penampilan anda dan lain-lain lagi seumpamanya, agat tidak timbul salah faham.

Paling asas, jangan janji lebih dari kemampuan. Bisnea anda bakal jadi viral di laman sosial nanti!.

Formula paling mudah yang selalu orang petuakan adalah,

‘Biar janji kurang, tapi bagi lebih’

Kalau anda janji pelanggan dapat 10, kemudian tiba-tiba anda bagi 11. Itu cemerlang namanya. Sudah tentu pelanggan akan anggap produk atau servis anda amat cemerlang kualitinya.

Pastikan semua perkara asas lengkap dan konsisten sebelum nak bagi lebih-lebih. Contohnya, kedai makan yang meja makannya ada lipas dan taik cicak tetap gagal walaupun anda hiaskan bunga segar di atasnya.

Bunga segar atas meja itu hanya akan jadi kelebihan seandainya meja makan tu bersih.

#5. Perniagaan yang berjaya wajib ada untung

Katakan anda dah berjaya penuhi kesemua 4 perkara kat atas tadi. Pelanggan puas hati dan gembira dengan perniagaan anda.

Ianya masih tak lengkap juga kalau anda sendiri sebagai Taukeh tak gembira.

Taukeh, setelah bertungkus lumus buat dari perkara #1 hingga perkara #4, tak akan gembira jika bisnesnya tak mencatatkan apa-apa keuntungan.

Sebenarnya ramai usahawan kat luar sana dah lengkap buat semua urusan #1 hingga ke #4. Tapi setelah berniaga 5 ke 6 tahun, habuk pun tak ada. Hanya masa saja habis. Uban naik, kulit kedut, dahi berkerut. Itu saja yang berjaya dikumpul.

Sedangkan aset tak ada, duit simpanan tak ada.

Masih terkehel-kehel nak bayar segala tanggungan perniagaan. Hutang pembekal masih banyak yang bertapuk. Hutang bank kejap bayar kejal sangkut. Pinjam kawan-kawan sampai semua kawan lari. Simpanan dalam bank lansung tak ada.

Bukan saja Taukeh tak ada duit simpanan. Malah akaun syarikatpun tak pernah ada duit lebih. Kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Sedangkan berbisnes dah lebih 7 atau 8 tahun.

Punca utama biasanya adalah disebabkan lansung tak pernah peduli nak rekodkan segala transaksi duit keluar dan masuk. Tak pernah bezakan antara keuntungan perniagaan dengan gaji Taukeh. Semua dicampur adukkan.

Kalau ditanya berapa margin keuntungan bisnes yang dia jalankan .. ‘Tak tahu!’

Bila tak catit, tentu tak pernah buat analisa untung dan rugi. Bila tak ada analisa, tentu tak pernah fikirkan strategi macam mana nak pastikan perniagaan anda untung, tak pernah peduli macam mana nak bagi untung lebih lagi dan lain-lain lagi.

Macam mana bisnes nak ada duit simpanan dari keuntungan.

Apa berlaku jika bisnes ada semua 5 perkara wajib

Cuba bayangkan seandainya bisnes anda telah berjaya menepati kesemua perkara asas yang wajib ada di atas tadi.

Sudah tentu, akhirnya, syarikat anda akan ada keuntungan.

Duit dari keuntungan itu anda boleh gunakan untuk selesaikan lebih banyak lagi masalah samada secara umum atau secara dalam industri.

Anda juga boleh gunakan keuntungan perniagaan untuk mantapkan lagi aktiviti pemasaran supaya orang lebih ramai tahu dengan kaedah yang lebih berkesan supaya orang lebih faham dan tertarik.

Anda juga boleh gunakan keuntungan syarikat untuk melatih jurujual supaya lebih cekap menjual. Anda juga boleh merekrut jurujual yang lebih terlatih dan terbukti pencapaiannya. Maka lebih banyak jualan akan berlaku.

Dari keuntungan syarikat juga anda boleh gunakan untk memberi latihan demi latihan yang diperlukan supaya operasi lebih mantap dan konsisten kualitinya. Merekrut pekerja yang jauh lebih mahir dalam operasi. Sudah tentu pelanggan akan lebih berpuas hati.

Dengan keuntungan syarikat juga anda boleh menggajikan pekerja yang mahir dalam selok belok menjaga dan menguruskan kewangan. Membina aset dan menggandakan keuntungan aktif dan pasif. Membuat analisa untung dan rugi. Merangka strategi meningkatkan keuntungan dan mengurangkan kos dan sebagainya.

Dah sudah pasti anda sebagai Taukeh akan lebih yakin dan tersenyum puas dan semakin seronok dengan apa yang anda lakukan.

Lalu perniagaan anda akan mencatatkan lebih banyak lagi keuntungan.

Dan keuntungan akan diulang guna semula dari proses #1 sehingga ke proses #5 di atas tadi terus menerus.

Barulah perniagaan anda boleh dikatakan sebuah perniagaan yang berjaya !

Harap penerangan kat atas, yang panjang lebar tu dapat memberikan pencerahan yang mudah difahami oleh semua pembaca blog ini, terutamanya yang sedang berniaga.

Total
100
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge