Bagaimana memilih rakan niagaRamai usahawan yang rasa kecewa setelah beberapa lama menjalankan perniagaan disebabkan oleh kesilapan memilih rakan kongsi ketika mula berniaga dahulu.

Sebab itu tidak hairan apabila kebanyakan di antara mereka memilih untuk bersendirian dalam meneruskan perjalanan keusahawanan mereka.

Silap memilih rakan kongsi dalam perniagaan memang amat meletihkan dan mengecewakan. Bayangkan jika satu pertiga daripada masa, anda habiskan bersama dengan orang yang dirasai tak sesuai.

Seorang usahawan yang baru memulakan perniagaan biasanya terpaksa menggunakan lebih daripada satu pertiga daripada 24 jam masa yang dia ada untuk menaikkan perniagaan yang diceburinya.

Jika dia bermula dengan adanya rakan kongsi, dan rakan kongsi yang dipilih tidak sesuai, bermakna lebih daripada satu pertiga masanya terpaksa bekerja sama dengan orang yang silap.

Bila itu berlaku, kemungkinan untuk perniagaan berjaya amat tipis sekali. Kalau berjayapun, akhirnya akan retak semula apabila berlakunya keretakan hubungan antara rakan kongsi.

Kriteria penting dalam memilih rakan kongsi

Untuk memulakan apa saja perniagaan, usahawan perlu ada modal. Saya pernah jelaskan sebelum ini bahawa modal bukan hanya wang semata-mata.

Ada berbagai jenis modal yang kita perlukan untuk menjadi usahawan dan menjalankan perniagaan. Secara umumnya modal boleh dibahagikan kepada 5 perkara berikut:

  1. Wang – Ini semua orang tahu. Nak buat apapun dalam dunia sekarang, wang mesti akan muncul dalam salah satu daripada pusingan atau kitaran proses. Sejak dari permulaan sehingga tamatnya sesuatu urusan, wang pasti muncul sekurang-kurangnya sekali dalam carta proses.
  2. Kemahiran – Ini juga salah satu daripada modal yang perlu ada untuk menjayakan apa saja urusan. Berbeza dengan wang, kemahiran sentiasa diperlukan dalam setiap proses untuk melengkapi kitarannya. Ini menunjukkan kemahiran sebenarnya jauh lebih berharga daripada wang. Kebiasannya kemahiran boleh ditukar kepada wang dan begitulah juga sebaliknya wang boleh ditukarkan dengan kemahiran. Jumlah wang yang diperlukan akan berkurangan dengan meningkatnya kemahiran.
  3. Jaringan – Tidak dinafikan keusahawanan amat berkait rapat dengan jaringan. Tanpa jaringan, kemahiran tidak dapat dimanfaatkan untuk orang lain dan begitu juga tanpa jaringan, wang menjadi sesuatu yang tidak bernilai.
  4. Reputasi – Sebagai orang yang percaya kepada hari akhirat, reputasi boleh dirumuskan sebagai komitmen beragama. Landasan kita dalam menentukan samada seseorang itu punyai reputasi baik atau tidak mestilah berlandaskan agama. Orang yang melaksanakan segala yang wajib dan meninggalkan segala yang haram adalah mereka yang punyai reputasi asas. Manakala mereka yang melangkau lebih lagi dengan perbanyakkan amalan yang sunat dan meninggalkan yang makruh pasti menyimpan stok reputasi yang tinggi dan nilainya amat tinggi harganya.
  5. Masa – Ini juga merupakan satu modal yang cukup penting. Jika kita ada memiliki kesemua yang saya sebutkan di atas, keupayaan kita masih dibatasi oleh masa.  Semua orang hanya ada 24 jam sahaja sehari dan masa yang sedikit itulah perlu diimbangi dalam menjalni kehidupan yang seimbang. Sehebat manapun seseorang itu, masa yang terhad membuatkan kita sentiasa memerlukan bantuan manusia yang lain. Tak ada orang yang akan melonjak naik dengan tinggi dengan buat kerja sendiri-sendiri.

Kriteria yang disenaraikan di atas perlu dijadikan penilaian dalam menentukan samada kita perlukan seorang rakan kongsi atau tidak. Jika kita ada kesemuanya termasuklah wang, kita sebenarnya tak perlu pada rakan kongsi. Cukup dengan mengupah atau membayar gaji bagi melengkapi apa yang kita kurang.

Tetapi amat jarang ada manusia yang punyai segala-galanya. Jika dah ada semua perkara, dia tak akan bersusah payah untuk berusaha membentuk perniagaan. Mungkin dia lebih banyak buat kebajikan

Cuba lihat semua usahawan yang besar-besar, mereka masih tetap mempunyai rakan-rakan strategik atau rakan kongsi dalam berbagai usahasama perniagaan yang besar-besar. Ertinya sehebat manapun kita, rakan kongsi tetapi diperlukan bila tiba masanya untuk melangkah lebih jauh.

Kesilapan usahawan dalam memilih rakan kongsi

Sering terjadi situasi di mana usahawan kabur dalam menentukan atau memilih rakan kongsi mereka. Mereka jarang membentangkan secara terperinci kenapa diperlukan rakan kogsi dalam perniagaan yang mahu dijalankan.

Antara kesilapan utama yang terjadi dalam memilih rakan kongsi adalah:

  1. Memilih rakan kongsi yang sama – Ramai yang terperangkap untuk jadikan rakan kongsi yang berdiri sama tinggi, duduk sama rendah sebagai rakan niaga. Orang bijak pandai berkata jika kita punyai rakan kongsi yang sentiasa setuju dalam apa saja perkara, yang ada apa saja yang kita ada, ertinya salah seorang tidak diperlukan. Orang putih kata itu “redundant”. Kita sebenarnya perlu pada rakan kogsi yang saling lengkap melengkapi.
  2. Memilih rakan kongsi sebab kawan lama – Ini juga salah satu kriteria yang sering menjadi keutamaan dalam menentukan rakan kongsi. Jika kita letakkan kriteris ini sebagai keutamaan, berkemungkinan akan berakhir dengan kesilapan pertama tadi.
  3. Memilih rakan kongsi sebab hubungan keluarga – Ini juga salah satu pilihan yang orang suka buat. Rakan kongsi dipilih semata-mata atas dasar hubungan sahaja dan tidak menjuruskan pada perniagaan. Samalah jika kita memilih isteri sebagai rakan kongsi sedangkan berkemungkinan isteri tidak ada nilai tambah dalam menjayakan perniagaan kita. Mungkin ianya akan berakhir dengan masalah lain dan merebak kepada perhubungan suami isteri pula.
  4. Memilih rakan kongsi sebab janji yang tak pasti – Ada usahawan jadikan janji rakan atau orang lain sebagai sebab utama memilihnya sebagai rakan kongsi. Terutamanya jika rakan itu menjanjikan satu projek yang berkaitan dengan idea perniagaan kita. Kalau benarpun janji-janji tersebut, kita perlu bertanya apakah peluang itu berterusan dalam jangka masa yang panjang. Jika tidak jadikan saja rakan kongsi sementara untuk satu projek saja. Jangan masukkannya dalam perkongsian syarikat.
  5. Timbul sifat tamak – Mungkin kita pada asalnya membuat pilihan yang tepat. Kita menjadikannya rakan kogsi kerana ada keperluan berdasarkan kriteria yang saya sebutkan di atas tadi. Tetapi sudah menjadi lumrah manusia kita suka anggap sumbangan diri sendiri melebihi semua orang lain, lalu timbul sifat tamak dan melupakan asal usul kenapa berkongsi.
  6. Tidak ada persetujuan ketua sejak awal – Ini juga menjadi salah satu punca timbulnya masalah dalam memilih rakan kongsi. Sejak awal tidak ditentukan siapa kepala siapa pembantu. Persetujuan tidak semestinya (walaupun lebih baik) dengan perjanjian hitam putih, ia cukup sekadar pengiktirafan dan sikap menghormati ketua dalam menentukan keputusan akhir. Walaupun keputusan ketua kadangkala salah, rakan kogsi yang betul dan faham perlu akur dan sentiasa bersama membetulkan keadaan dan bukannya mengata dibelakang dan menambah parah kepada masalah.

Mungkin ada lagi kesilapan-kesilapan lain yang saya tak senaraikan di atas. Jika anda rasa ada lagi atau berpengalaman dalam melakukan kesilapan dalam memilih rakan kongsi, saya amat alau-alukan tambahan dari anda. Sila tambah pada ruang komen di bawah. Moga artikel ini dapat memberikan manfaat pada usahawan dan bakal usahawan diluar sana.

Nota: Bengkel menilai potensi perniagaan yang akan saya anjurkan pada hari Sabtu, 22hb Mar 2014 nanti akan mengumpulkan rakan usahawan dan bakal usahawan, Insyaallah. Sertailah bengkel tersebut untuk menimba ilmu asas perniagaan, barang kali anda boleh berkenalan dengan usahawan lain yang sesuai. Bolehlah anda memilih rakan kongsi di situ. Buat pendaftaran dengan klik di sini jika berminat

Total
35
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

6 comments

  1. Rakan kongsi ni mmg penting.. ada perniagaan yg bagus tp rakan kongsi bermasalah pun boleh membawa kepada kegagalan perniagaan. T kasih diatas perkongsian tips & peringatan ini.. 🙂

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge