Artikel ini juga merupakan lanjutan dari 2 artikel yang lalu. Bagi pembaca yang tak berniaga lagi mungkin akan bosan sebab tak berapa nak relevan untuk anda.

Tapi, bagi yang dah berniaga, terutamanya kawan-kawan yang buat bisnes kecil, saya harap usaha saya ini bermanfaat untuk anda.

Saya akan habiskan himpunan artikel senarai semak khas untuk syarikat perniagaan kecil dalam beberapa artikel yang akan nanti. Semuanya akan ada 5 topik utama;

  1. Tabiat – saya dah buat dalam artikel yang pertama sebelum ini.
  2. Kewangan – Artikel sdebelum ini.
  3. Pengurusan pekerja – Artikel ini.
  4. Pengurusan pemasaran – Akan datang
  5. Pengurusan jualan – akan datang

Sebagaimana para pembaca tetap saya dah tahu. Konsep pengurusan perniagaan yang saya ketengahkan kat dalam blog ini adalah konsep ringkas dan mudah.

Memang tak sehebat konsep ala-ala korporat sebagaimana para usahawan besar kat luar sana mahukan. Saya hanya fokus pada usahawan kecil macam saya sahaja. Ini semua hanyalah asas sahaja.

Buat yang asas terlebih dahulu sebagai tapak mula. Bila dah besar nanti, rekrut sahaja profesional untuk buat transformasi syarikat anda jadi korporat besar. Anda boleh pantau dari atas buat kerja atau urusan yang anda suka dan minat sahaja.

Cabaran pengurusan pekerja syarikat kecil

Kebanyakan usahawan akan bermula secara seorang diri terlebih dahulu. Dia lah kuli dan dialah pekerja. Semua dia buat sendiri pada mulanya.

Terutamanya bisnes yang masuk dalam kategori gaya hidup. Iaitu bisnes yang taukeh pandai teknikal, ada pengalaman produk dan terlibat secara lansung dalam menjalankan perniagaannya.

Bisnes gaya hidup macam itu biasanya punya peratusan untuk berjaya lebih tinggi. Sebab kosnya rendah bila taukeh boleh buat semua urasan sendiri. Taukeh juga tak ada pilihan untuk malas sebab dia bergantung sara hidupnya kepada bisnes yang dia jalankan.

Bila dah ada kemampuan, dan memang kena usaha sampai mampupun. Anda kena mula ambil pekerja. Dengan adanya pekerja, hasil perniagaan dan segala aktiviti dapat digandakan dengan lebih tinggi berbanding seorang diri.

Kalau nak membesar, anda tak ada pilihan selain dari mula merekrut pekerja. Terutamanya kerja operasi. Supaya anda boleh mula fokus pada pengurusan dan perancangan untuk membesar.

Kat situ bermulalah cabaran paling besar dalam berniaga. Cabaran untuk uruskan manusia yang semua tahu punya emosi yang sentiasa berbolak balik, naik turun, dan mudah dipengaruhi oleh apa yang berlaku disekeliling.

Pengurusan pekerja adalah kerja taukeh

Kalau anda tak ada pengalaman lagi punya pekerja, cuba pergi tanya kawan-kawan yang dah lama berniaga dan pernah uruskan pekerja di syarikatnya. Anda akan dapati hampir kesemuanya akan ada cerita yang pahit.

Ramai usahawan yang putus asa dengan cabaran merekrut pekerja ini. Saya jumpa ramai usahawan yang buat keputusan untuk teruskan bisnesnya secara solo saja. Biarlah dia tetap kecil, cukup makan dan jadi usahawan yang kerja sendiri daripada jadi boss yang sentiasa naik darah dengan kerenah pekerja.

Ramai usahawan yang akan salahkan pekerjanya. Malas, tak tahu buat kerja, gaji nak banyak kerja nak sikit, tak ada matlamat hidup, perangai tak elok dan seribu satu macam lagi salah pekerja.

Jika anda fikir balik …

Kenapa nak salahkan pekerja?

Bukankah kerja menguruskan pekerja itu adalah kerja taukeh?

Takkan pekerja anda nak uruskan diri mereka sebagai pekerja kat bisnes anda tu?

Mereka sebagai pekerja di syarikat anda sudah tentu anggap, anda sebagai taukeh-lah yang perlu uruskan mereka. Memang logik sangat macam tu.

Jadi bila ada masalah dengan pekerja, kebiasaannya, anda sentiasa boleh lihat puncanya adalah diri anda sendiri sebagai taukeh. Anda tak ada ilmu dan tak mau cari maklumat macam mana nak uruskan pekerja dengan baik dan betul.

Untuk semak samada anda buat pengurusan pekerja yang betul, saya kongsikan maklumat senarai semak kat bawah ini. Sila baca satu persatu dan buat semakan kedudukan perniagaan dan syarikat anda sekarang.

Senarai semak pengurusan pekerja

Senarai semak yang saya sediakan untuk anda lihat kat bawah ni tak banyak sangat. Tapi mencukupi untuk ketahui samada anda dah sempurnakan perkara asas pengurusan pekerja di syarikat anda atau tidak.

  1. Visi syarikat – Anda punya visi syarikat atau tidak. Bukan visi yang anda ‘cut & paste’ dari profile syarikat orang lain (Itu yang ramai orang buat). Tapi visi yang realistik dan anda menjiwainya. Intipati visi yang mudah adalah satu impian untuk menjadi yang terbaik dalam apa yang anda buat. Visi perlu jelas dan boleh diukur untuk tentukan pencapaiannya.
  2. Tempoh untuk capai visi – Kalau anda dah ada visi, bagus!. Tapi bila anda sasarkan untuk visi itu tercapai? berapa tahun dari sekarang?.
  3. Apa budaya yang syarikat anda mahu amalkan – Dari visi, anda perlu rangka budaya syarikat. Budaya ialah amalan yang syarikat dan seluruh pekerja termasuk anda sendiri amalkan secara konsisten dan bersungguh-sungguh secara spontan. Diterjemahkan melalui semua urusan perniagaan anda dari A ke Z. Budaya juga boleh jadi panduan untuk memilih calon pekerja yang sesuai untuk syarikat anda.
  4. Sampaikan kepada semua pekerja – Mungkin anda dah ada visi, tempoh masa dan budaya yang yang mahu diamalkan. Tapi tak cukup kalau anda tak berusaha sampaikan kepada semua pekerja secara jelas. Perlu diterangkan juga segala strategi dan sasaran syarikat anda satu persatu kepada semua pekerja lama atau baru.
  5. Carta organisasi – Syarikat anda ada carta organisai tak? siapa report kat siapa?. Semua orang tahukah? anda pamerkan pada semua pekerja atau tak?
  6. Huraian kerja dan tugasan – Adakah setiap seorang pekerja anda punyai senarai dan huraian tugasan dan tanggung jawab yang dia perlu pikul dan capai?
  7. Tahap setiap pekerja – Pastikan anda ada senarai semua pekerja anda. Ada satu fail untuk setiap seorang yang terang dan nyata menunjukkan tahap prestasi dan kedudukan masing-masing berdasarkan tugas yang dipikulnya.
  8. Buat penilaian pekerja – Adakah anda buat penilaian setiap pekerja secara berkala dan konsisten. Untuk anda dan setiap orang sedar dan tahu tahap prestasinya. Tahu juga apa yang dia perlu lakukan untuk tingkatkan prestasinya.
  9. Mesyuarat bulanan pekerja – Mungkin anda buat mesyuarat dengan pekerja setiap bulan. Tapi biasanya lebih fokus pada operasi saja. Adakah anda buat mesyuarat khas untuk melihat pencapaian dan progress syarikat anda mencapai visi dan misinya?
  10. Team building – Ada buat program team building tak? macam mana anda rangka usaha tersebut untuk pastikan wujudnya kerjasama dan mengeratkan perhubungan sesama pekerja dalam syarikat.
  11. Pengiktirafan pekerja – Macam mana anda mengiktiraf pekerja anda yang cemerlang? kalau setakat tepuk bahu tak jadi bossku!

Dah habis senarai semak pendek yang saya janjikan.

Cuba perhatikan pasal visi dan budaya syarikat kat atas tu. Paling ramai usahawan yang merungut tentang pekerja di syarikatnya, visi pun tak ada. Budaya pun tak tentu hala. Dia mungkin syok sendiri simpan daam benak kepalanya sahaja apa yang dia mahu syarikatnya capai.

Paling teruk, dia lansung tak jelas apa yang nak dicapainya. yang dia tahu hanya nak buat duit hasil dari memerah kudrat semua pekerjanya. Dia akan janjikan duit juga untuk pekerjanya yang bagus. Itupun bkannya banyak sangat pun.

Dengan semua itu, dia harap pekerjanya faham dan setia serta tahu macam mana nak bantu syarikat mencapai matlamat … matlamat apa? Duit? .. kalau setakat duit, kat manapun pekerja itu boleh pergi kerja, dia akan dapat duit juga!

Sila semak dan betulkan mana yang tak betul bermula dari sekarang.

Total
34
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge