Baru dapat e-mail menarik pasal 3 kumpulan pekerja dari James Clear. Setiap minggu akan ada 2 e-mail yang dia hantar. Setiap kali dapat e-mail tu, ada saja perkongsiannya yang meransang minda berfikir lebih lanjut.

James Clear adalah penulis buku Atomic Habit. Saya dah bagi tau dalam artikel lain sebelum ini. Tapi apa salahnya beritahu sekali lagi benda yang bagus dan bermanfaat. Hanya dengan satu buku tu saja dia buat duit, jadi terkenal, dan jadi penceramah kepada banyak syarikat besar antarabangsa.

Itulah kesan hebat jika anda fokus.

James Clear fokus hanya pada urusan membina tabiat. Dia kaji dan mendalami semua perkara yang menyentuh urusan pembinaan tabiat. Tapi dia bukannya seorang penyelidik.

Dia hanya peka dan sentiasa ambil tahu apa yang baru ditemui oleh pengkaji dan cuba sesuaikan dengan usahanya untuk mantapkan dan permudahkan urusan ubah tabiat.

3 kumpulan pekerja yang anda wajib tahu

Apa yang James Clear tu kongsikan tentang 3 kumpulan pekerja bukanlah satu yang baru. Dah lama tahu. Saya yakin anda pun dah lama tahu.

Cumanya kekadang, bila pekerja buat semak, sikap cepat melatah sering kuasai diri. Lalu hilang pedoman dan lupa bahawa manusia semuanya tak sama. Jika anda tak sering ingatkan diri bahawa bagaimana anda fikir adalah sangat tak sama dengan bagaimana orang lain fikir, anda akan susah hidup bermasyarakat.

Secara individu, manusia amat berbeza sama sekali. Tapi masih boleh dikelaskan dalam berbagai kumpulan yang sama. Pengkelasan biasanya kita buat dengan membuang semua yang tak sama dan melihat pada titik tindan semua yang sama.

Macam Bangsa Asia dengan Bangsa Eropah. Sebagai manusia, kita sama saja. Ada baik ada jahat. Ada pandai ada bodo. Ada cantik ada sangat cantik. Ada rajin ada malas dan sebagainya. Tapi buang semua yang berbeza, kita masih dapat asingkan antara Bangsa Asia dengan Bangsa Eropah.

Macam itu juga dalam bab pekerja.

Secara umumnya mereka semua sangat berbeza antara satu sama lain. Tapi masih bleh dikelaskan dalam beberapa kumpulan yang sama untuk permudahkan urusan pengurusan daam mengenali para pekerja yang ada di sesebuah syarikat.

Bukan untuk menghina. Kalau dah macam itu pembawakannya, nak buat cam mana. Terpulang kepada anda untuk membuat keputusan nak buat apa. Pilih kerja, piluh team berdasarkan kumpulan mana stau yang dirasakan sesuai untuk anda. Itulah yang terbaik dan bukannya buat perbandingan dan menghina.

Kita terus lihat apa 3 kumpulan pekerja tersebut di bawah.

Kumpulan 1 – Buat apa yang disuruh

Biasanya kumpulan ini paling ramai.

Sikap mereka mudah sahaja. Buat apa saja urusan atau kerja yang anda suruh mereka buat. Jika anda suruh mereka bunuh ular, itulah yang mereka buat. Selepas ular mati, kerja mereka habis dan tunggu arahan selanjutnya.

Untuk anda yang berniaga, yang tengah bersemangat pulun nak naikkan syarikat dan perniagaan, akan rasa terkilan dengan kumpulan pekerja macam itu. Anda harapkan mereka berikan lebih dari itu.

Anda terlupa yang cara mereka berfikir dengan cara anda sangat jauh berbeza. Jangan nak susahkan diri kecewa, bebal dan merungut. Ambil tahu hakikat itu dan sila bertindak dengan cara yang sesuai untuk kumpulan pekerja sebegitu.

Antaranya adalah dengan memberikan panduan dan arahan yang jelas dan lengkap. Buat andaian yang kononnya mereka sepatutnya dah besar panjang dan tahu apa yang perlu dilakukan adalah satu andaian yang salah sama sekali.

Kilang atau syarikat besar atasi masalah dengan pekerja tahap 1 ini dengan sediakan SOP lengkap. Tulis semua yang mereka perlu buat dan pastikan mereka semua buat apa yang tertulis. Anda perlu ikut cara yang dah terbukti berjaya itu sebab jumlah pengikut kumpulan 1 ni adalah yang paling ramai di atas muka bumi.

Kumpulan 2 – Fikir ke depan

Ini kumpulan yang tak berapa ramai berbanding kumpulan 1 kat atas tu. Mereka punya semua ciri-ciri kumpulan 1 dengan tambahan satu lagi sikap.

Sikap mencari dan menjangkakan kemungkinan masalah di masa yang akan datang, lalu mencari jalan untuk mengelak masalah itu dari berlaku.

Ertinya, mereka cuba memilih apa yang bakal berlaku dengan menggunakan keupayaan memilih tindakan pada masa yang sedang berlaku. Itu ciri-ciri orang yang hebat dan tidak hanya sekadar memeluk tubuh.

Itu juga saranan kepada anda yang mahu berjaya.

Biasanya mereka yang ada keupayaan ini peka kepada sejarah. Peka mencari maklumat dari cerita yang lalu untuk dijadikan pedoman membuat telahan kepada apa yang bakal berlaku. Itu keupayaan seorang penyelia, paling rendah.

Anda mungkin ada 10 orang pekerja, tapi bukan semua boleh jadi penyelia. Sebab itu saya kata mereka yang jenis ini tak ramai. Lagi malang jika anda ada 10 pekerja dan semuanya kumpulan 1. Poning Boh!

Orang dari kumpulan ini, sekalipun anda tak berikan SOP lengkap, mereka lah yang akan selesaikannya. Sebab mereka tahu kalau tak berikan arahan jelas dan terperinci pada orang bawah, akan kucar kacir jadinya.

Sebab itu saya kata, mereka ada keupayaan penyelia atau pengurus. Jadi kalau nak tahu kumpulan mana pekerja anda seorang demi seorang, berikan saja satu kerja dengan arahan yang tak lengkap dan lihat macam mana mereka laksanakannya.

Kumpulan 3 – Lihat peluang di depan

Kumpulan ini lagilah tak ramai.

Paling kurang, anda sendiri sebagai Taukeh syarikat wajib ada sikap sebegini.

Anda mampu laksanakan semua arahan, mampu melihat ke depan kemungkinan berlakunya masalah dan bertindak untuk mengelak. Di tambah satu lagi keupayaan untuk membau peluang untuk maju dan menjadi lebih baik dan berusaha untuk mendapatkannya.

Itu ciri-ciri Taukeh yang bergerak naik dari bawah.

Ada kalanya akan wujud seorang dua pekerja tersesat dalam ramai-ramai jenis kumpulan ke-3 ini. Jika ada, ia adalah satu rahmat untuk anda yang nak wujudkan sebuah empayar.

Kalau anda lihat usahawan-usahawan yang besar berjaya jadi multi millionaire atau jadi billionaire, mereka ada ramai pekerja di tahap ini.

Kalau anda lihat saya, anda tentu boleh jangka yang saya ketandusan pekerja jenis macam ini. Atau mungkin saya sendiri tak ada ciri-ciri pekerja sebegini.

Itu yang mebezakan antara syarikat yang kita lihat bergerak naik sedikit demi sedikit dan akhirnya membesar secara eksponen.

Anda masuk kumpulan mana

Saya ada kongsikan pasal 3 kumpulan pekerja ni kat media sosial. Soalan yang sama saya tanya, kalau-kalau ada yang sudi jawab.

Ada yang berikan jawapan luar biasa.

Dia kata tak ada satupun yang di atas. Ertinya dia bukan jenis kumpulan-1, bukan 2 dan bukan juga 3. Mulanya saya abaikan saja.

Tapi bila saya renung balik. Dia nak beritahu dia tak buat apa yang disuruh, tak pandang jauh ke depan dan tak ada keupayaan mencium peluang!

Itu sangat teruk!

Itu tahap mayat tu.

Harap anda yang baca ni sedar kat mana kedudukan anda sekarang dan jangan nak dakwa kumpulan manapun tak ada.

Tapi perlu difahami bahawa memang bukan dalam semua keadaan anda akan berada di dalam kumpulan yang sama. Ada keadaan atau kerja atau urusan yang anda hanya duduk level 1 saja. Ertinya anda akan kekal lama kat situ dan tak payah nak harapkan kenaikan ke atas.

Ada pula urusan yang anda berada di tahap ke-2. Baguslah tu. Biasanya anda akan cepat naik pangkat jika buat kerja seumpama itu.

Ada juga keadaan di mana bila anda lakukan urusan tersebut anda berada di tahap ke-3. Itulah kerja yang sangat sesuai untuk anda jika ingin mengecapi kejayaan yang lebih besar dari biasa.

Moga artikel ini bermanfaat.

Next Article

Moneysave sasar bantu 40,000 PKS Malaysia dengan pelaburan RM8 bilion daripada pelabur dengan pulangan antara 7 ke 16% setahun

View Post

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

1 comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge