Jaga pekerja bagus anda

Bukan senang nak cari pekerja bagus dalam syarikat yang kita kendalikan.

Antara perkara utama yang wajib ada untuk pastikan syarikat berkembang dan membesar dengan baik adalah kehadiran sekumpulan pekerja yang bagus.

Tapi malangnya, bab pekerja inilah yang paling sukar sekali untuk diselesaikan. Hampir semua industri menghadapi masalah yang sama. Dah lah sukar nak cari pekerja, nak cari pekerja bagus, terlebihlah lagi sukarnya.

Mesin ganti pekerja bagus

Mungkin sebab itu syarikat-syarikat besar tidak fikir panjang untuk melabur duit dalam mencari kaedah terbaik menggantikan manusia dengan mesin. Lebih mudah kendalikan mesin dari kendalikan manusia.

Dalam masa terdekat ini, banyak mesin telah berjaya menggantikan manusia. Tengok dalam industri perbankan. Mesin ATM dah lama membuatkan kerani di kaunter bank tak ada kerja. Tak lama lagi, dengan kepesatan pembangunan Artificial Intelligence (AI), lebih banyak lagi mesin akan buatkan manusia hilang kerja.

Banyak syarikat baru terutamanya di Israel dan Amerika memberikan tumpuan kepada penghasilan mesin yang cekap dan bijak menyelesaikan masalah yang selama ini dilakukan oleh manusia.

Contoh paling ketara yang saya baca baru-baru ini adalah dalam penggunaan AI bagi membuat semakan terhadap kontrak perjanjian yang selama ini dilakukan oleh peguam. AI semak segala kontrak perjanjian dengan panas dan lebih cekap dari para peguam yang handal dan berpengalaman lama!.

AI juga mula mengambil kerja para doktor dalam membuat diagnosis pesakit.

Hasil dari kerja yang dilakukan oleh AI dalam kedua-dua contoh yang saya berikan kat atas tu didapati jauh lebih cekap dan pantas berbanding manusia.

Tak lama lagi lebih banyak mesin akan digunakan.

Berita baiknya untuk para usahawan adalah, lambat laun, masalah mencari pekerja bagus sudah tidak jadi masalah utama lagi. Diharapkan begitulah. Tapi sudah tentu usahawan perlu sediakan wang yang banyak untuk mendapatkan akses kepada mesin.

Kerja manusia yang akan digantikan oleh mesin paling cepat adalah kerja-kerja remeh yang makan masa tetapi penting. Manusia memang mudah jemu dengan kerja sedemikian. Mesin akan lebih banyak digunakan untuk semua kerje sedemikian.

Tak lama lagi, manusia lebih diperlukan dalam bab pengurusan. Keupayaan mengurus yang lemah akan membuatkan manusia jadi hampir tak bernilai. Kalau orang-orang muda sekarang mahukan dirinya punya nilai tinggi, pastikan anda cekap mengurus. Setakat kuat buat kerja yang pakai tenaga dah tak berapa nak bagus sangat lagi satu masa nanti.

Macam mana kriteria pekerja bagus?

Agak terlajak pula saya goreng bab mesin gantikan manusia kat atas tu. Tapi tak apa. Sekadar nak kongsikan apa yang sedang berlaku dalam dunia ekonomi sekarang ini di dunia.

Apapun, realitinya, kita usahawan kat Malaysia masih banyak perlukan tenaga pekerja bagus untuk membina syarikat dan perniagaan yang kita jalankan. Kalau kebanjiran mesin datang dalam skala besarpun kat Malaysia, mungkin saya dah tak ada lagi kat mukabumi ini.

Lagipun negara kita masih banyak pakai tenaga buruh murahan dari luar. Jumlah tenaga kerja bukan rakyat Malaysia yang ada sekarang mencecah lebih 6 juta orang. Ada pendapat yang kata keseluruhan tenaga kerja termasuk yang tak ada permit mungkin mencecah lebih 11 juta orang. Ertinya dalam 4 orang yang anda jumpa kat jalan tu, seorangnya adalah orang asing bukan rakyat Malaysia.

Kalau anda mengeluh ekonomi tak berapa baik untuk hidup sekarang, mungkin itu antara puncanya. Bayangkan jika kita ingat kek ekonomi dikongsikan hanya oleh 37 juta rakyat Malaysia sedangkan hakikatnya kita terpaksa berkongsi dengan lebih dari 48 juta orang. Itu satu lebihan yang amat ketara.

Apa yang saya nak bagi tahu kat sini adalah, dari jumlah tenaga kerja luar yang ramai itu, bermakna negara kita masih bergantung pada aktiviti pembuatan dan pengeluaran yang fokus pada tenaga kerja murahan. Masih tahap negara baru nak up. Dan bukannya negara berpendapatan tinggi yang bergantung pada aktiviti industri bernilai tinggi.

Ringkasnya, kita masih perlukan pekerja bagus untuk menjayakan bisnes yang sedang dijalankan. Persoalannya adalah, apakah kriteria mudah untuk kenal pasti pekerja yang bagus?

Saya berikan kriteria mudah tersebut di bawah,

  • Kemahiran – Pekerja yang bagus sudah semestinya pekerja yang punya kemahiran yang bagus. Kemahiran yang diperlukan bergantung kepada kerja apa yang anda berikan amanah kepadanya.
  • Sikap – Selain dari kemahiran yang baik, perangai atau sikap juga mesti bagus. Berdisiplin, sentiasa perbaiki diri, bersikap positif dan sebagainya adalah ciri-ciri yang membuatkan seseorang pekerja itu jadi bagus. Kemahiran tinggi tapi suka curi barang syarikat tidak memberikan faedah pada usahawan.

Kedua-dua kriteria di atas wajib ada pada pekerja yang bagus. Kalau nak syarikat berjaya, carilah pekerja yang ada kedua-dua ciri tersebut. Kombinasi lain dalam 2 ciri itu tak dapat membantu syarikat untuk pergi jauh.

Afa 3 lagi kombinasi lain yang saya maksudkan,

  1. Kemahiran tinggi perangai buruk – saya dah beritahu kat atas tadi, ini tak bagus untuk syarikat. Pekerja begini perlu diberi amaran untuk ubah sikap atau suruh dia belah.
  2. Kemahiran buruk dan perangai juga buruk – kalau anda ada simpan pekerja sebegini memang anda sengaja nak lingkupkan syarikat. Jangan fikir panjang untuk cari jalan beretika dan berlandaskan undang-undang untuk buang semua pekerja jenis macam ni.
  3. Kemahiran rendah tapi perangai cemerlang – Biasanya syarikat kecil dan sederhana lebih mudah untuk dapatkan pekerja jenis ini. Mereka tak berpeluang masuk kerja syarikat besar atas faktor kemahiran dan tak ada kabel untuk tolong.
    • Kadangkala anda silap letakkan kerja yang sesuai dengan kemahirannya. Letak semula pada kerja yang sesuai akan ubah golongan ini jadi pekerja bagus.
    • Biasanya mereka kurang pengalaman dan kurang latihan. Berikan dan sabar sedikit ambil masa. Latih supaya mereka jadi cekap dan seterusnya jadi pekerja bagus untuk syarikat anda secepat mungkin.

 Jaga pekerja bagus di syarikat anda

Jika anda sekarang ada pekerja yang bagus dalam syarikat, pastikan anda jaga mereka seelok mungkin. Sebab kalau anda tak mahu jaga dengan elok, ada banyak lagi syarikat lain yang nak tolong jaga.

Jangan sampai pekerja yang bagus di syarikat anda cabut lari ke syarikat lain.

Daripada perkongsian pakar-pakar dalam bab menjaga pekerja bagus ini, mereka rumuskan ada 5 sebab utama kenapa pekerja bagus anda cabut lari. Saya kongskan kat bawah ini,

  1. Tiada kebebasan – Boss yang suka ambil tahu, arah itu dan ini secara tersangat ketat banyak membuatkan pekerja bagus cabut lari. Pekerja bagus lebih suka kebebasan untuk melaksanakan tugasan dengan cara mereka yang tersendiri. Bila dah terlalu terkongkong, ejaan whatsApp pun boss nak tegur dan marah, alamat tak lama dia kerja dengan anda.
  2. Tak nampak masa depan untuk berkembang – Ini satu lagi faktor ketara dalam banyak syarikat kecil dan sederhana. Pekerja tak nampak prospek masa depan mereka dan tak tahu bagaimana kerjayanya boleh berkembang. Apa halatuju syarikatpun boss tak pernah cerita. Kerja yang diberikan pulak amat rutin dan tidak mencabar keupayaan mereka untuk belajar. Bila mereka bosan, cabut lari adalah jalan paling logik yang akan mereka buat.
  3. Tak faham perasaan pekerja – ramai pekerja bagus cabut lari bila boss jenis tak tinggi EQ. Kemahiran merasakan perasaan orang lain yang teruk membuatkan pekerja rasa diperhambakan. Manusia ni samada bijak atau tidak, lebih pentingkan perasaan. Jadi sila jaga perasaan mereka samada dalam kerjaya atau hal-hal peribadi untuk pastikan pekerja bagus tak cabut lari.
  4. Tak hormati hak untuk jalani kehidupan yang seimbang – memang boss nak majukan syarikat dan mahukan pekerja mereka mantap. Tapi itu tidak boleh dijadikan alasan hidup tidak seimbang. Kalau boss nak ligan kejayaan sampai hidup caca merba, itu boss punya pasal. Jangan babitkan pekerja jadi macam boss. Pekerja ada keluarga, ada kawan, ada badan dan jiawa yang perlu dipastikan sihat dan boleh dipakai lama lagi, jadi hormati hak pekerja untuk jalani kehidupan yang seimbang.
  5. Tak berikan kredit dan motivasi – Ada boss yang kalau syarikat berjaya dia sapu semua kredit kejayaan itu pada dirinya seorang. Kalau syarikat merudum dia salahkan pekerja. Tak ada manusia yang akan kekal lama dengan boss macam itu. Berikan pujian, ucapkan penghargaan dan berikan kredit selayaknya pada pekerja bagus di syarikat anda, kalau tak mahu mereka cabut lari.

Itulah 5 sebab kenapa pekerja yang bagus dalam syarkat anda cabut lari. Saya juga agak lemah dalam melaksanakan kesemua 5 perkara tersebut di atas. Paling ketara adalah dalam perkara no. 5 kat atas tu.

Saya susah nak puji orang. Tapi kalau saya puji tu, bermakna memang saya benar-benar terharu dengan sumbangannya. Tapi rasanya masih tak cukup. Untuk mereka yang kerja dengan saya, maafkan saya kalau bab ke-5 itu masih lemah. Saya tahu dan akan baiki supaya lebih sempurna, insyaallah. Tolong berikan masa dan sabar dengan saya.

Bagi anda yang dah ada pekerja, sila ambil perhatian dengan apa yang saya kongsikan kat atas itu. Pekerja bagus adalah tulang belakang syarikat anda. Jaga mereka sebaik mungkin dan insyaallah anda menghampiri kejayaan.

Moga sama-sama dapat kita beramal!

Total
16
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

5 comments

    1. Terkini, untuk mesin menulis blog umpamanya adalah tersangat kacang… ! mesin gubah lagu klasikpun dah boleh. Malah jauh lebih hebat dari keupayaan manusia

  1. Yang paling sakit hati sangat, kita duk bawah ni kerje macam orang gile. Tapi yang atas goyang kaki je. Bonus dia yang dapat lebih, kite? bonus sama macam staf yang main pingpong petang2! arghhhh

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge