hadapi masalah perniagaan tidak menonjolDalam siri 4 tanda kali ini, kita akan lihat pula 4 tanda yang menunjukkan anda sedang hadapi masalah perniagaan tidak menonjol.

Selepas dah selesai kita ulas lebih kurang tentang 4 tanda tersebut, kita lihat pula cara bagaimana nak selesaikannya.

Elak perniagaan tidak menonjol

Mungkin ada yang tak sedar betapa pentingnya untuk berusaha menjadikan perniagaan anda menonjol.

Samada suka atau tidak suka, itu perkara asas yang perlu dilaksanakan supaya perniagaan mampu menarik datang pelanggan yang anda sasarkan.

Kat situ ada sedikit masalah pada ramai orang kita kat negara ini.

Kita terlatih dari kecil agar mengamalkan sikap merendah dan mendiamkan diri. Tak boleh nak tonjolkan diri takut tersasul dan masuk dalam kategori berlagak nak menunjuk-nunjuk pulak.

Saya yakin ramai yang secara tak disedari, ada perasaan tak selesa sedikit bila perkataan menonjol disebut atau dibacanya tadi. Betul tak?

Cuba baca semula perkataan ‘MENONJOL’.

Dan amati bagaimana perasaan atau emosi dalaman anda berubah. Rasa macam tak sedap dan tak selesa bukan?

Mungkin ada yang tak rasa apa-apa. Kalau anda macam itu, ertinya anda jenis yang dah berjaya keluar dari adat kepercayaan orang Melayu yang tak galakkan untuk tonjolkan diri.

Kalau anda buat bisnes, atau buat apa saja urusan, anda akan tak segan silu untuk tonjolkan diri supaya dapat tarik perhatian orang lain. Baguslah kalau macam itu sebab lebih mudah nak buat fobia tonjolkan bisnes sendiri.

Perlu diingat asasnya adalah untuk tonjolkan perniagaan dan bukannya nak tonjolkan diri sendiri dan kelihatan berlebih-lebihan.

Memang tak salah untuk tonjolkan diri sendiri untuk jenamakan diri anda bagi digunakan buat faedah perniagaan, tapi kalau anda jenis budak kampung macam saya, dan rasa tak selesa buat macam itu, anda tak perlu nak amalkannya.

Cukup sekadar tonjolkan bisnes anda sahaja dan mencukupi.

Tonjolkan perniagaan untuk tarik perhatian

Berbalik kepada soalan kenapa tak boleh biarkan berlaku, perniagaan tidak menonjol.

Jawapannya mudah sahaja.

Untuk tarik perhatian orang ramai. Macam nak mengorat pasangan anda. Kalau tak tonjolkan diri, jangan harap nak berkawan dengannya untuk dijadikan pasangan hidup.

Bila buat bisnes, anda terpaksa mengorat pelanggan yang disasarkan. Mahu tak mahu, bisnes mesti menonjol.

Terlebih lagi dalam dunia yang penuh dengan lambakan maklumat sekarang. Masing-masing berebut untuk menarik perhatian anda dari awal pagi celik mata sampai pejam mata di malam hari.

Semakin menonjol perniagaan anda, semakin mudah untuk menarik pelanggan. Dan semakin mudah untuk pelanggan buat keputusan memilih untuk berurusan dengan anda berbanding dengan perniagaan orang lain.

4 tanda perniagaan tidak menonjol

Berikut saya berikan 4 tanda yang kalau ianya berlaku pada bisnes yang sedang anda jalankan sekarang, menunjukkan yang bisnes tersebut ada masalah dari segi penonjolan.

#1. Cara iklan yang tak jelas

Ini tanda yang amat jelas yang sekian lama berlaku dalam bisnes anda tapi mungkin anda tak perasan.

Dalam setiap ceramah bisnes yang saya, kadang kala berikan pada para usahawan, saya akan berikan latihan pemasaran mudah. Saya akan berikan masa untuk masing-masing buat fliers bagi perniagaan mereka.

Latihan mudah ini saja dah cukup untuk saya lihat samada bisnes yang kawan-kawan jalankan itu menonjol atau tidak. Ramai yang terkedu dan terkebil-kebil tak tahu nak tulis apa.

Mereka tak jelas nak buat iklan untuk tarik pelanggan ideal yang mereka mahukan. Malah tak dapat nak gambarkan dengan jelas bagaimana pelanggan ideal bagi perniagaan yang mereka jalankan.

Majoritinya hanya berfikir untuk tarik sesiapa saja tanpa ada ciri-ciri pelanggan yang spesifik.

Tanda itu adalah tanda yang amat ketara bahawa perniagaan anda tidak punya daya untuk tonjolkan diri langsung. Samada salah masuk bisnes atau memang tak ada satupun yang special dalam perniagaan anda tak dapat nak dipastikan.

Tapi yang pastinya, kalau jadi macam itu, taukeh memang ada masalah sebab berniaga secara hentam kromo sahaja.

#2. Perniagaan sama sahaja dengan pesaing

Bayangkan jika anda lalu sebatang jalan yang semua kedainya sama. Bukan setakat kedai saja yang identikal, malah produk yang ditawarkan dan cara dia susun letak semua produk juga semuanya sama sahaja.

Bagaimana anda buat keputusan untuk memilih masuk kedai yang mana satu? biasanya pemilihan akan berlaku secara rawak. Bila berlaku macam itu, semua kedai punya kebarangkalian yang hampir sama saja untuk dikunjungi pelanggan.

Tapi bayangkan warna kedai anda berbeza dan menarik, susun atur barangnya pula tak sama  langsung. Ada pulak seorang pembantu kat depan kedai tu berdiri pakai badut yang comel sambil menari dan menggamit setiap pelanggan yang lalu lalang.

Tentu kedai tersebut punya nisbah kemasukan jauh lebih tinggi berbanding semua kedai lain yang sama saja keadannya.

Ringkasnya, jika perniagaan anda saling tak tumpah sama saja dengan pesaing, lansung tak ada perbezaan, maka jelas dan nyata anda sedang hadapi masalah perniagaan tidak menonjol.

#3. Takut tawarkan jaminan pulangan wang

Cuba fikirkan selama ini adakah anda ada rasa takut untuk berikan jaminan pemulangan wang kembali 100% jika pelanggan tak puas hati dengan apa yang dia dapat?

Kalau memang anda takut dan rasa itu satu tawaran yang boleh membawa maut terhadap bisnes anda, memang sah ada satu lahi tanda yang anda berhadapan dengan masalah perniagaan tak menonjol.

Kalau tak takut dan yakin memang boleh dilakukan dengan persediaan yang rapi, ertinya anda punya potensi untuk tonjolkan perniagaan yang sedang dijalankan. Anda tahu kedudukan perniagaan dan keupayaan sebenar bisnes yang sedang dijalankan.

#4. Asyik lawan harga saja kerjanya

Ini tanda mudah yang berlaku pada kebanyakan perniagaan kat luar sana.

Majoriti besar usahawan akan merungut pasal harga pesaing yang lebih rendah dari apa yang dia mampu berikan.

Malah ramai usahawan yang tersepit apabila sentiasa diugut oleh pelanggan dengan ayat, kenapa mahal sangat?

Kalau semua pelanggan datang ugut perkara yang sama, itu petanda malang. Tak lama lagi anda akan bungkus dan tutup kedai lah jawabnya.

Jika anda hanya boleh fikirkan strategi harga mesti rendah berbanding semua pesaing lain, itu tanda yang amat jelas yang anda memang jalankan bisnes yang langsung tidak menonjol.

Atasi masalah perniagaan tidak menonjol

Dah semak 4 tanda mudah yang saya berikan kat atas itu?

Ada tak salah satu dari 4 tanda tersebut yang berlaku pada perniagaan yang anda sedang jalankan? Atau kesemua 4 perkara di atas adalah dalam bisnes anda sekarang!

Jangan risau. Masih boleh dibetulkan dan sentiasa tidak terlambat untuk buat perubahan, jika ada kemahuan dan azam yang kuat.

Berikut saya gariskan secara dasar, apa yang anda perlu buat kalau bisnes yang anda jalankan punya masalah tidak menonjol. Perlu kerahkan segala tenaga dan akal yang ada untuk perbaiki dan buat perubahans segera kalau mahu kekal berniaga dan selesa jadi usahawan.

#1. Kenal pasti ‘Niche’ pasaran perniagaan

Niche ertinya anda punya sasaran pelanggan yang amat jelas. Mereka kongsikan ciri-ciri demografik yang sama. Ini lebih  emudahkan anda merangka strategi yang bersesuaian dengan kumpulan tersebut.

Contohnya jika anda buat bisnes kedai makan, anda sasarkan golongan kaya dan sederhana kaya berkeluarga yang suka berkumpul makan bersama.

#2. Rangka USP perniagaan anda

Anda boleh buat USP bisnes yang anda jalankan dengan melakukan langkah-langkah yang berikut,

  • Buat senarai yang membezakan perniagaan anda berbanding pesaing
  • Cari jawapan kepada soalan kenapa pelanggan perlu beli dari syarikat perniagaan anda dan bukan dari syarikat lain
  • Jika masih tak jumpa satupun perbezaan antara anda dengan pesaing, cuba lihat ruang kosong yang masih ada untuk dipenuhi, yang orang lain masih tak buat. Iaitu masalah yang belum diselesaikan dalam pasaran.
  • Buat satu ayat yang menerangkan gabungan kekuatan yang anda ada. Atau ayat yang menerangkan hanya satu kekuatan yang paling menonjol. Pastikan ayat itu mudah dan padat. Atau buat dalam bentuk senarai point.

#3. Selesakan pelanggan dari risiko

Rangka idea bagaimana anda boleh kurangkan risiko kepada pembeli dengan melakukan perkara berikut;

  • Bincang dengan staff apa ketakutan atau isu berbangkit yang boleh wujud yang mampu membuatkan pelanggan sukar mendapatkan khidmat atau membeli dari syarikat perniagaan anda atau pesaing.
  • Buat carta isu di atas berdasarkan tahap kepentingan isu atau tahap kekuatan kerisauan. Pilih dua atau 3 isu paling besar
  • Cari pendekatan bagaimana isu atau kerisauan ini boleh dihapuskan. Mungkin anda perlu buat perubahan pada proses atau cara kerja untuk selesaikan isu tersebut
  • Lihat rekod lama dan amati kekerapan isu-isu tersebut pernah berlaku

#4. Jaminan kepuasan pelanggan.

Beri jaminan kepada bakal pelanggan dalam semua aktiviti pemasaran anda.

Buat ayat seperti,

‘Syarikat kami komited terhadap kualiti kerja kami, jika berlaku sebarang ketidak puasan hati dalam apa kes sekalipun, sila kembalikan produk atau kemukakan aduan masalah anda kepada kami untuk dapatkan kembali 100% daripada jumlah pembayaran wang anda’

Sekian panduan untuk selesaikan masalah perniagaan yang tidak menonjol. Moga ada manfaatnya untuk para usahawan yang setia mengikuti blog hidupringkas ini.

Selamat berusaha!

Total
34
Shares

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

2 comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge