Bagaimana nak tahu kekuatan produk saya

By | 18/08/2013
Kekuatan produk

Di satu petang yang damai…seorang peniaga nasi lemak datang bertemu dengan seorang rakannya yang arif dalam perniagaan.

Dia meluahkan hasratnya untuk mendapatkan sedikit tips bagaimana meningkatkan hasil perniagaan nasi lemak yang sedang dijalankannya.

Kawannya yang arif itu memberikan sedikit penerangan berkenaan fakta aktiviti pemasaran dan usaha yang perlu dilakukan terhadap dua jenis pelanggan.

Terdapat dua jenis pelanggan:

  1. Pelanggan sedia ada – Iaitu mereka yang bakal menjadi pelanggan setia yang mengulang beli produk yang ditawarkan.
  2. Pelanggan baru – Iaitu mereka yang tidak pernah sekalipun membeli dan mencuba produk yang ditawarkan.
Si arif perniagaan menerangkan bahawa usaha untuk menarik pelanggan baru yang belum pernah mencuba produk perniagaan kita biasanya melibatkan kos yang tinggi. Kebiasaannya, itu merupakan satu kerja yang sukar.

Si arif perniagaan menerangkan lagi bahawa usaha mengekalkan pelanggan yang pernah mencuba dan memastikan mereka datang lagi dan mengulangi pembelian buat kali kedua dan seterusnya adalah jauh lebih murah dan mudah berbanding pelanggan baru.
Kesilapan sebahagian besar usahawan atau peniaga kecil yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan adalah sering memberikan tumpuan yang terlalu banyak terhadap menarik pelanggan baru berbanding usaha mengekalkan pelangaan sedia ada.
Hasilnya, perniagaan menjadi tidak konsisten dan tidak dapat dibentuk agar ianya boleh dijangkakan atau kata orang putih, ‘predictable’.
Petua mudah untuk menguruskan perniagaan adalah dengan membina perniagaan anda agar ianya ‘as predictable as possible’.
Ini disebabkan lebih mudah menguruskan sesuatu yang dijangka berbanding menguruskan sesuatu yang di luar jangkaan.
Peniaga nasi lemak terangguk-angguk sambil mendengar penerangan si arif perniagaan dengan kusyuk. Nampaknya dia mula faham.
“Jadi apa aku perlu buat sekarang?”, peniaga nasi lemak mencelah.
“Ketahui kekuatan produk anda dan jadikan ia lebih baik sesempurna mungkin, mudah saja!”, jawab si arif perniagaan.
“Macam mana tu?”, peniaga nasi lemak bertanya dengan perasaan tidak sabar dan cukup berminat.
Si arif perniagaan menerangkan beberapa langkah yang perlu kawannya lakukan:
  1. Kenal pasti mereka yang pernah datang membeli sekurang-kurangnya buat kali kedua atau bagus jika lebih daripada itu.
  2. Tawarkan dia promosi diskaun yang menarik dengan bersyarat.
  3. Syaratnya adalah menceritakan pengalamannya menggunakan produk kita dan nyatakan kenapa anda suka membelinya.
  4. Senaraikan sebab-sebab atau kelebihan yang dinyatakan oleh pelanggan.
  5. Lihat satu persatu dan fikirkan bagaimana anda boleh buat penambah baikan agar ianya mencapai peringkat, “WOW!”.
  6. Rangka segala aktiviti pemasaran ke arah menyatakan kehebatan atau kelebihan yang telah anda kenal pasti itu dan seterusnya berikan penumpuan perniagaan anda ke arah itu sebaik mungkin.
Dalam kes peniaga nasi lemak itu, si arif perniagaan mengsyorkan kawannya menawarkan beli satu dapat dua pada pelanggan setianya dengan syarat mereka menceritakan kenapa dia ulang beli di nasi lemak yang dijual oleh rakannya itu.
“Susah jugak tu!”, jawab peniaga nasi lemak.
“Kenapa?” tanya si arif perniagaan.
Rakannya menerangkan bahawa dia sentiasa melihat pelanggannya sentiasa datang daripada pelanggan yang baru. Ini kerana lokasi perniagaannya berada di tepi jalan yang agak sibuk dan juga di kawasan yang ramai orang.
“Tak ada orang yang kamu kenal sering beli nasi lemak kamu ke?” tanya si arif perniagaan dengan musykil.
Sambil berfikir sejenak, rakannya menjawab, “oh ya!, ada, ada. Ada seorang. Tapi seorang sahaja!, tak apa ke?”.
Si arif perniagaan sebagai seorang yang sentiasa positif meyakinkan rakannya dengan menjawab, ” ok le tu! buat apa yang boleh dan mulakan dengan seorang. Dari situ kamu akan tambahkan kepada dua dan seterusnya tiga dan lebih ramai lagi jenis pelanggan yang sama. Insyallah!”.
Peniaga nasi lemak pulang dengan girang dan tidak sabar untuk membuka gerainya esok pagi.
Selang beberapa hari, peniaga nasi lemak datang bertemu si arif perniagaan untuk melaporkan perkembangan usaha mengembangkan perniagaan nasi lemaknya.
” Macam mana, kamu dah buat ke sebagaimana yang aku suruh?”, tanya si arif perniagaan.
” Dah!” jawab peniaga nasi lemak dengan ringkas.

“Ha! apa macam, apa kelebihan nasi lemak engkau yang buat dia ulang beli?”, tanya si ariff perniagaan tak sabar.

“Hanya seorang sahaja yang sering ulang beli setiap pagi, tapi dia beli sebungkus saja. Saya tawarkan beli satu dapat dua padanya untuk jawab soalan, ‘kenapa dia suka makan nasi lemak saya..”, peniaga nasi lemak mulakan cerita.

” Dia kata sebenarnya dia beli untuk supervisornya yang suka buli…dia sendiri beli dan makan nasi lemak orang lain…” sambung peniaga nasi lemak.

“Aik! kenapa macam tu…?” tanya si ariff perniagaan.

” Budak tu kata sebab dia tak suka pada supervisornya itu, sebab tu dia beli nasi lemak dari saya untuk diberikan pada bossnya…”, jawab peniaga nasi lemak.

“Maknanya nasi lemak yang aku jual tu tak sedap ler….!”, jawab peniaga nasi lemak sedih.

“Relaks lah! , nampak tak? kalau engkau tak tanya, sampai bila engkau tak tahu kenapa hanya dia saja pernah ulang beli nasi lemak engkau…sepatutnya engkau bagi dia free 5!”, pujuk si ariff perniagaan.

Rumusannya

  • Kalau nak tahu bagaimana kedudukan produk anda, orang yang paling layak ditanya adalah pelanggan anda.
  • Beri motivasi untuk pelanggan komen dengan tawarkan apa-apa ganjaran.
  • Samada baik atau buruk, terima dengan hati terbuka.
  • Jika buruk, perbaiki sampai baik
  • Jika baik, fokus sehingga lebih sempurna dan jadikan ianya janji anda pada pelanggan…
  • Anda boleh dapat tips dan semangat keusahawanan dengan beli ebook berkenaan keusahawanan dan kejayaan.
Author: Shubhi

Penulis ialah seorang usahawan yang berusaha untuk kekal hidup sederhana dan ringkas. Penulis memiliki beberapa syarikat yang diuruskan oleh kumpulan pengurusan yang hebat. Penulis juga aktif membimbing usahawan lain melalui Program HidupRingkas Biz Coaching.

16 thoughts on “Bagaimana nak tahu kekuatan produk saya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge