“Saya baru nak jinak-jinak berniaga. Bantu saya cari makan. Tolong share page saya kat orang lain ya! terima kasih!”.

Pernah tak baca posting macam tu kat mana-mana wal media sosial anda?

Tentu pernah kan.

Biasanya, apa yang anda buat?

Share ke tak?

Saya ada jadi admin kat beberapa grup di Facebook. Selalu sangat dapat tampalan kemas kini macam tu. Minta posting yang dia buat macam tu untuk diluluskan. Supaya semua orang boleh baca dan bantu dia kongsikan posting sebegitu.

Biasanya, bila tengok orang buat posting macam tu. Minta simpati supaya bisnes dia maju atas dasar kena tolong dan bersimpati dengannya, saya rasa serba salah.

Pertamanya, saya rasa, kesian sebab dah tentu dia dah mula jem dalam kepala. Lansung tak ada nampak lagi jalan lain untuk pastikan bisnes dia naik dan mendapat sambutan dari pelanggan.

Kalau tak, takkan sampai dia terpaksa buat posting macam tu.

Yang kedua, kesian juga. Sebab kalau sebelum buat macam itu, satu usahapun belum ada, untuk cari cara berkesan supaya orang teruja nak share bisnes yang dia buat. Ertinya, ada potensi untuk dia bungkus sebelum cukup usia setahun berniaga.

Tak ada bisnes yang akan maju tanpa usaha yang bersungguh-sungguh.

Tiada share free dalam dunia kejam

Macam yang Puan Ainon Bisnes School punya mazhab selalu ulang. Dunia Bisnes ni sangat kejam. Kejam bukan sebab sengaja nak zalim atau tak ada hati perut. Bukan sengaja jadi macam tu.

Lagipun, Dunia Bisnes bukanlah makhluk bernyawa.

Dunia bisnes merupakan satu zon yang terbentuk dengan sendiri berdasarkan kreativiti ciptaan manusia. Ia merupakan himpunan idea, himpunan sikap, himpunan tabiat, budaya, aktiviti, dan seribu satu macam lagi yang membentuk keadaan dipanggil dunia bisnes.

Dunia yang tiada ketua mengawalnya. Ia berlaku berdasarkan undang-undang alam yang telah Tuhan tetapkan. Macam kerasnya bila dinamakan batu. Macam sesatnya seseorang bila masuk berkawan dengan orang zalim.

Ia merupakan dunia aksi dan reaksi. Kalau buat cam ni jadi cam ni, kalau buat camtu jadi macam tu.

Jadi tak perlu nak marah. Tak perlu nak kecam dengan pendapat sebegitu. Hanya orang yang berpengalaman masuk dunia bisnes akan faham apa yang dimaksudkan sebagai dunia bisnes adalah satu dunia yang kejam.

Jesteru dunia kejam, maka biasanya takkan ada orang nak share buta-buta, free macam tu saja.

Melainkan yang buat posting tu kawan baik saya. Saya kenal. Maka saya share atas dasar kawan. Kawan tentulah nak bantu kawan. Lagipun saya tahu macam mana kawan saya tu.

Tapi kalau lansung tak kenal, kenapa saya nak share?

Betulkah dia layak. Betulkah produk dia bagus. Betulkah dia ok dan macam-macam lagi persoalan timbul.

Perlu sangat hebat baru teruja nak share

Untuk tentukan keputusan samada nak share atau tidak, pertimbangannya sudah tentu akan tertumpu pada apa yang dia kongsikan.

Itulah yang biasanya saya buat.

Tengok apa yang dia post. Apa isi kandungan bisnesnya. Macam mana persembahannya. Dia buat bisnes apa, kat mana. Siapa dia dan macam-macam lagi.

Akan saya usaha juga buat, supaya dapat satu alasan untuk membolehkan saya share.

Kalau ceritanya sangat hebat, persembahannya sangat hebat. Bisnes yang dia buat luar biasa, sudah tentu ada saja orang nak share. Bukan share atas dasar kesian. Tapi atas sebab ada sesuatu yang berbaloi untuk dikongsikan kepada orang lain.

Belum cukup bagus untuk layak dikongsi

Jujur saya cakap, setiap hari saya akan fikirkan persoalan yang sama. Macam mana nak buat supaya orang share hasil yang saya persembahkan.

Ada beberapa bisnes yang saya buat. Dari tahun 1998 salah satu syarikat saya dah wujud. Dan sekalipun tak pernah saya buat perangai, tolong share page saya ni ya, saya tengah teruk niaga.

Tak buat sebab saya tahu bukan macam itu nak minta orang share. Kalau orang share sebab kesian, macam mana saya nak baiki diri. Macam mana saya nak hidup lama dalam dunia persaingan yang kejam ni?

Cara paling mudah yang saya amalkan adalah pergi cari kawan-kawan yang kenal saya.

Bukan nak minta tolong. Tapi nak dapatkan bantuan moga-moga dia akan jumpa orang yang perlukan produk atau servis yang bisnes saya ada, lalu dia share atas dasar kenal siapa saya.

Tapi takkan buat macam tu pada orang yang tak kenal. Samalah macam kat media sosial.

Orang tak share blog hidupringkas

Sama macam blog dan segala tulisan yang saya buat kat hidupringkas.com ni. Dah tentu tak ada keseronokkan yang lebih kembangkan hidung selain dari artikel dan blog saya ada orang share.

Tapi demi Allah, itu bukanlah satu perkara yang sering berlaku. Walaupun saya dah curahkan apa yang saya rasa paling baik yang saya mampu buat. Dalam penulisan. Dalam cara peyampaian. Dalam topik yang cuba diketengahkan.

Tapi terima saja hakikat kalau ianya belum cukup hebat, memang takkan ada orang nak share.

Jadi pendekatan yang saya mampu buat adalah, terus menulis dan menulis. Mencuba dari berbagai sudut. Semakin banyak saya berlatih, semakin banyak saya buat, semakin meningkat potensi adanya artikel yang akan orang share.

Itu sajalah yang mampu orag biasa macam saya lakukan.

Sama macam buat sales dalam apa saja bisnes.

Kalau anda jumpa 100 orang dapat jual satu. Maka, kalau nak jual 10 kenalah usaha jumpa 1000 orang. Ada potensi untuk berjaya jual 10. Itupun hanya potensi. Belum tentu jadi. tapi kalau tak buat, janganlah harap akan jadi.

Itupun bila dah berjaya hasilkan tulisan yang hebat, bersepah orang plagiat pulak. Depa kidnap, bubuh dalam blog depa dan jadi jauh lebih viral dari apa yang berlaku pada penulis asal.

Nak marah?

Tak payah lah nak tertekan sangat. Itu dah jadi lumrah. Sama macam bisnes juga Bila produk anda hebat, orang share. Bila orang share, ramai orang tahu Bila ramai orang tahu dan berminat, kaki plagiat akan terjun dahulu.

Kalau tak lindungi hak cipta dan  buat paten, air mata sajalah jadi hiasan pipi. Teruk remuk rendam lagi bila yang plagiat tu pi paten dan dakwa dia yang empunya produk.

Macam mana tak nak kata dunia bisnes itu ganas dan kejam!

Perlu praktikal dan ada nilai hebat

Ada dua posting yang saya buat dalam FB baru-baru ini. Posting berupa pertanyaan, bancian pilihan terhadap proses pembelian.

Satu, pasal nak beli Jam Loceng.

Saya tanya, ‘ketika anda nak beli jam loceng berharga RM30, promoter bagi tahu ada jam yang sama, dijual kat cawangan mereka satu lagi. Kena pandu 20 minit ke sana. Tapi harganya hanya RM20 sahaja’

Adakah anda teruskan beli jam itu juga kat situ atau anda batalkan sebab fikir elok beli kat tempat satu lagi dengan harga lebih murah.

Kalau saya, memang akan batalkan pembelian. Saya akan pergi beli kat cawangan satu lagi. Tak semestinya saya pergi masa itu juga. Saya akan bookmark. KIV dan cari kesempatan lain bila ke sana nanti.

Diskaun lebih dari 33%. Itu jumlah yang agak tinggi. Berbaloi untuk tangguhkan dan jimat RM10.

Tapi saya hairan juga sebab lebih ramai jawab, mereka akan beli juga. Ertinya nilai diskaun 33% bagi mereka yang jawab tidak itu, tidak mencukupi.

Lebih menarik, ada yang tak mahu jawab ya atau tidak. Siap ada yang suruh fikir dulu perlu atau tidak nak beli jam tu. Ada yang kondem juga, jam RM30 mana ada kualiti … perghh!

Ertinya soalan saya sendiri telah gagal.

Bukan saja tak mampu tarik ramai yang nak jawab, malah tak mahu berikan kerjasama untuk fikir dan fokus pada soalan pilihan ‘ya’ atau ‘tidak’ yang sangat mudah tu.

Bayangkan betapa perkara sangat simple sebegitu tidak berjaya disampaikan dengan jelas dan baik sehingga mampu mendorong orang jawab dan lebih penting lagi menjawab dengan betul. Apatah lagi usaha anda untuk jual barang atau servis!!!

Itu maksudnya dunia yang sangat kejam. Tak ada perasaan. Perlu terima. Sebab memang tak boleh kawal semua itu.

Sama juga berlaku pada soalan ke-2.

Tentang beli TV yang berharga RM890. Keadaan yang sama dengan diskaun RM10 juga. Ertinya kalau dia pergi beli kat cawangan satau lagi harganya hanya RM880.

Tapi ini jawapan yang saya jangkakan diberikan oleh semua yang menjawab. Majoriti besar jawab tidak. Ertinya mereka akan terus beli saja tak mahu buang masa pergi beli ke cawangan satu lagi untuk penjimatan hanya RM10.

Memang logik pun. Diskaunnya hanyalah 8.9% sahaja. Kurang dari 10% pun. Memang kukuh untuk tak beli.

Kedua-dua soalan tersebut adalah untuk lihat kesan terhadap perkara praktikal dan nilai yang boleh pengaruhi orang ramai bertindak. Sebab itu saya bezakan kedua-dua soalan itu untuk melihat kesan praktikal dan kesan nilai.

Apa yang saya belajar, untuk pastikan orang share apa saja yang anda hasilkan, ianya perlulah praktikal dan perlu ada nilai tinggi.

Kalau tak, tak payahlah nak buat apa-apa ayat minta dikasihani. Takkan ada orang nak layan.

Nilai dengan harga tak sama

Dari pemerhatian saya, majoriti orang punya sikap yang tidak waras terhadap harga sesuatu barang. Memang tak ada satu panduan yang sangat jelas dalam menentukan bagaimana harga sesuatu barang itu ditentukan dengan betul.

Bayangkan harga satu lukisan RM100 juta !. Macam mana nak rasionalkan harga sebegitu?

Begitu juga apa yang saya pernah tanya dalam posting kat page Hidupringkas ni.

Kenapa orang sanggup bercuti habis RM10 ribu, Beli jam tangan puluhan ribu dan beli beg prada yang ribu riban. Tapi bila nak bayar parking hanya RM1 dia buang masa 20 minit cari parking Free?

Nak kata dia tak ada duit, salah.

Nak kata dia tak tahu nilai harga betul dan sesuai, nampak macam ada kemungkinan yang sangat besar. Itu antara bukti atau tanda yang cara kita tentukan harga mahal atau murah adalah sangat subjektif dan tidak waras.

Dalam soalan pasal parking tersebut, seorang kawan saya jawab sebab dia tak nampak apa nilai yang dia dapat bila parking kena bayar.

Betul juga.

Tapi jika itu jawapannya, sama juga yang dia tidak nampak apa nilai buang masa pusing 20 minit. Baginya, masa tidak bernilai?

Sehingga dia samakan 20 minit terbuang dengan penjimatan RM1. Itu belum masuk lagi kos minyak dan kos emosi mencari.

Ringkasnya, manusia punya persepsi buat penilaian, adalah sangat pelik dan luar biasa.

Itu satu lagi contoh kenapa betulnya andaian yang dunia bisnes adalah kejam.

Tak ada sesiapa dapat kawal setiap individu punya cara menilai dan tentukan harga dan keutamaan. Bayangkan apa berlaku pada pasaran yang biasanya dibentuk oleh jutaan atau ratusan ribu manusia!!!.

Satu perkara yang saya belajar yang sangat betul selama ini sejak berniaga adalah, segala keputusan yang manusia buat adalah berdasarkan emosi. Bukanlah berdasarkan rasional.

Pertimbangan, yang kita rasa sangat baik dan logik serta rasional sebenarnya didahului oleh emosi. Rasional hanya datang kemudian. Kerja rasional hanya untuk berikan ketenangan supaya kita yakin keputusan emosi itu adalah betul.

Itu saja.

Dan emosi pula sangat volatile.

Naik turun tak terkawal oleh seribu satu macam pemboleh ubah. Genetik, keadaan sekeliling, malam dan siang, cerah dan gelap, jantina, cantik dan huduh, warna, cuaca, kesihatan, cerita sebelumnya, jangkaan selepasnya … macam-macam lagi.

Anda perlu faham semua itu. Sediakan sesuatu yang amat bernilai. Sangat praktikal. Sehingga emosi teruja dan terkesan untuk kongsikan cerita anda.

Itu satu kerja yang sangat sukar

Subscribe

Subscribe now to our newsletter

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*
*

CommentLuv badge